Monday, April 4, 2011

Selat Gibraltar laluan Islam sebarkan dakwah ke Eropah

 

image

SELAT Gibraltar adalah laluan terpenting kapal dagang yang berulang alik antara Laut Atlantik dan Mediterranean.

Difahamkan, lebih 70,000 kapal menggunakan selat itu setiap tahun. Di sebalik kepesatan pengangkutan di Gibraltar, tersingkap pelbagai peristiwa silam yang menjadi bukti kedatangan Islam di bumi Eropah. Kisahnya bermula apabila 500 tentera Islam pimpinan Abu Zurah Bin Malik al-Nakha Ei atau lebih dikenali Tarif menyeberangi selat berkenaan untuk ke Sepanyol. Diriwayatkan, gerombolan tentera Islam dibantu Gabenor Visigoth, Julian. Julian pada mulanya bersama-sama Raja Visigoth, Roderick tetapi berpaling tadah disebabkan Roderick mencabul anak perempuannya, Florinda. Selepas mendarat di selatan Sepanyol, tentera Tarif yang berketurunan Barbar terus ke Algeciras. Di situ mereka bertempur dengan tentera Visigoth. Dalam peperangan, kemenangan berpihak kepada Islam. Perkara itu amat merisaukan pemimpin kerajaan Visigoth yang sudah menakluki Semenanjung Iberia sejak 414 masihi. Kemaraan tentera Islam kian meluas di Sepanyol. Pada 711 masihi, Gabenor Afrika Utara, Musa Bin Nusair menghantar Tariq Bin Ziyad bersama-sama 7,000 tentera ke Sepanyol. Julian yang berdendam dengan Roderick sekali lagi membantu tentera Islam termasuk membantu menyediakan kapal untuk menyeberangi Selat Gibraltar. Bagaimanapun, berita itu sampai kepada Roderick, lalu beliau terus menghantar tentera bagi menyekat kemaraan tentera Islam. Namun, tentera pimpinan Tariq tetap hebat dan berjaya menewaskan tentera Visigoth. Dalam peperangan itu juga, Roderick terbunuh. Kemenangan ini melebarkan lagi dakwah Islam di bumi Sepanyol. Malah, ia membolehkan Tariq Bin Ziyad membawa risalah tauhid ke Cordoba. Untuk Cordoba, kemaraan mereka pada mulanya ditentang hebat tentera Visigoth di Ecija. Tentera Islam kemudian dibantu kaum Yahudi yang tidak sukakan corak pemerintahan Visigoth dan akhirnya berjaya mengalahkan Visigoth. Kemenangan ini membolehkan Islam bertapak di Toledo dan Cordoba yang pernah menjadi pusat pemerintahan Visigoth. Berikutan sambutan dan sokongan penduduk tempatan, Musa Bin Nusair terus memperhebatkan perkembangan Islam di Sepanyol. Pada 712 masihi, 18,000 tentera Islam berketurunan Arab dihantar ke Seville. Setahun selepas itu, dakwah Islam turut disebar ke Wilayah Madrid. Tidak hanya di bumi Andalusia, tentera Islam juga mahu menakluki Perancis. Usaha itu dilakukan Abdul Azizi, Gabenor Afrika Utara yang menggantikan Musa Bin Nusair. Bagaimanapun, dalam pertempuran di selatan Perancis, Abdul Azizi terbunuh. Tragedi itu menyebabkan tentera Islam berundur ke ke Narbonne bagi mengatur strategi baru. Difahamkan, tentera Islam menjadikan Narbonne benteng terakhir mereka. Tirai kegemilangan Islam di Sepanyol, bagaimanapun, tamat menjelang kurun ke-13 selepas tentera Castile pimpinan Ferdinand menakluk Cordoba. Faktor utama kemerosotan empayar Islam di situ adalah masalah dalaman, di samping sikap pemimpin Islam yang berbalah sesama sendiri dan suka mengumpul kemewahan. Keadaan ini memberi ruang kepada tentera Castile menawan kembali Cordoba, sekali gus menamatkan penaklukan 525 tahun pemerintahan Islam di Cordoba. Ketika zaman kegemilangan Islam, diriwayatkan Cordoba memiliki hampir 1,000 masjid, 800 hamam atau tempat mandi awam, 70 kutub khanah (perpustakaan) dan beberapa universiti.

[tweetmeme only_single="false"]

Mujahidah Islam... Iman Semerbak Kasturi

 

 

Susuri sejarah keagungan serikandi-serikandi Islam...Bermula dengan ibunda seluruh manusia Sayyidah Hawwa’ iman mereka mula mekar seharum kuntuman bunga mawar, menantikan renjisan kasih Ilahi untuk mengisi taman syurgawi.

Bermula dengan ibunda seluruh manusia Sayyidah Hawwa’ iman mereka mula mekar seharum kuntuman bunga mawar, menantikan renjisan kasih Ilahi untuk mengisi taman syurgawi. Bonda kepada Habil dan Qabil, serta Nabi Allah Shith a.s. ini berkorban segalanya demi perjuangan suaminya Adam a.s. Sayyidah Hawwa’ menyaksikan kisah sedih pengorbanan anaknya sendiri Habil yang mati dibunuh oleh saudara sendiri. Naluri keibuannya tidak dapat mengatasi keteguhan imannya kepada Allah swt walau pun anak-anaknya berbunuhan sesama sendiri.

Warisan keimanan ini diturunkan pula kepada wanita tukang sisir rambut anak Fir’aun; Mashitah. Seluruh keluarganya terkorban syahid di hadapan mata sendiri dan bayi di dalam dakapannya dikurniakan Allah keistimewaan bertutur. Ketenangan hati Mashitah melihat bayinya dicampakkan ke dalam kawah berisi minyak panas tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ibu pun. Harum jenazahnya lantaran tempias imannya yang kental telah dipersaksikan di dalam peristiwa agung Israk dan Mi’raj ketika mana Nabi saw dibawa melintasi maqam as-Syahidah Mashitah.

Salasilah keimanan itu diteruskan pula apabila muncul seorang ibu yang sanggup ditinggalkan suami di tengah terik panas matahari lembah Bakkah bersama-sama anaknya yang tercinta. Sayyidah Hajar, bonda kepada nabi Allah Ismail a.s menyaksikan pengorbanan suaminya dan anaknya sendiri demi menjalankan perintah Allah yang disampaikan melalui mimpi sahaja. Hati ibu mana yang tidak hancur apabila anak yang dipelihara sehingga dewasa terpaksa pula dikorbankan. Namun keimanannya telah mencantumkan semula kepingan-kepingan hati itu dan menyuburkannya dengan ketenangan. Sejahteralah wahai Sayyidah Hajar atas pengorbananmu berlari antara Safa dan Marwa sehingga hari akhirat.

Wanita agung seterusnya muncul di zaman pemuda paling tampan diciptakan Allah swt. Sayyidah Zulaikha walaupun beliau terpesona dengan nafsu, keteguhan imannya telah membangkitkan semula maruahnya sehingga berada sebaris bersama-sama mujahidah yang lain. Wanita mulia ini telah ditakdirkan untuk menghadap Allah swt ketika khusyuknya dia menyembah Rabbul Izzati.

Maryam binti Imran. Gadis sunti keluarga Imran ini telah menggegarkan dunia dengan kelahiran anaknya tanpa berbapa. Nabi Allah Isa as dilahirkan dengan penuh kasih sayang dan dipelihara dengan penuh adab dan sopan. Walau pun menerima cercaan masyarakat, ibu mulia ini tetap teguh berpegang dengan imannya kepada Allah. Selain bayi Mashitah, bayi Maryam binti Imran jua diistimewakan dengan kebolehan bertutur semasa kecil. Kisahnya terpahat utuh di dalam lembaran al-Quran buat tatapan umat manusia. Setelah berkorban segalanya untuk perjuangan anak tercinta, akhirnya dia dijemput jua menemui Penciptanya ketika sedang beradu.

Warisan keimanan itu akhir tercurah kepada serikandi pertama Islam Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid. Dialah ibu kepada anakanda-anakanda Nabi Akhir Zaman saw. Dialah wanita pertama yang menyatakan keimanannya kepada Allah tika suaminya menyeru umat Quraisy kepada agama baru itu. Pengorbanannya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun hatta Nabi seringkali teringatkan kekasih pertamanya itu. Dialah wanita yang menenangkan nabi Muhammad saw ketika Jibril as datang menyampaikan wahyu pertama. Dialah yang pertama meyerahkan hartanya untuk perjuangan Islam. Dan pemergiannya ke alam baqa ditangisi seluruh umat Islam sehingga kini.

Bergelar “Wanita Pertama Syahid Di Dalam Islam”, Sumayyah menerima penderitaan yang paling dahsyat untuk mempertahankan imannya. Lembing yang tajam menghunus telah memutuskan hayat wanita agung ini. Ammar bin Yasir, anaknya tercinta menatap penuh hiba pemergian ibunya ke alam abadi. Sumayyah telah meninggalkan contoh pengorbanan seorang wanita yang tiada tolok bandingnya seperti Syahidah Mashitah di zaman Musa as.

Sanggup berkorban nyawa dan meredah kegelapan malam ditambah pula dengan kesejukan pergunungan Thaur, beliau dengan tekad mendaki gunung Thaur dengan bekalan makanan terbeban di bahu. Kegigihan Asma’ binti Abu Bakr r.a. menjadi wanita solehah yang berjasa di dalam peristiwa Hijrah. Wanita mana yang sanggup meredah kegelapan malam ketika mana pemuka-pemuka Quraisy sedang giat mencari Nabi saw ketika itu. Wanita mana yang sanggup mendaki Bukit Thaur setinggi 2000 meter itu di tengah gelap malam tanpa peneman dengan bekalan yang sedia tersangkut di bahunya. Semuanya dilakukan oleh Asma’ kerana imanNya kepada Allah swt. Dialah yang bergelar “Pemilik 2 Tali Pinggang” kerana kain ikatan pinggangnya telah dikoyak dua untuk mengikat bekal makanan ke unta ayahanda dan Nabi saw sebelum mereka bergerak ke Madinah.

Adinda kepada Asma’ telah ditakdirkan menjadi wanita agung di zaman perjuangan Nabi saw. Dia menjadi contoh teladan seorang isteri yang mulia dan ummul mukminin yang agung. Sayyidatina Aishah binti Abu Bakr as-Siddiq. Nama yang harum sepanjang zaman. Kecantikan paras wajahnya telah disempurnakan dengan keindahan imannya. Isteri Nabi saw yang paling bertaqwa dan wara’ serta dalam ilmunya. Beliau menjadi rujukan para sahabat setelah pemergian Nabi saw. Kasihnya pada Nabi tiada tolok bandingan. Perjuangan dan pengorbanannya untuk Islam tiada tandingan. Wanita mulia bergelar “Ibu Orang-orang Yang Beriman”.

Beliau dijanjikan akan menjadi wanita pertama bertemu Nabi saw di syurga. Beliau adalah yang melihat perih jerih perjuangan Nabi saw dari awal sehingga wafatnya Nabi saw. Beliaulah yang paling dikasihi Nabi saw dari ahli keluarga Baginda. Beliaulah Sayyidah Fatimah az-Zahra’ binti Rasulullah saw. Puteri bongsu Nabi saw dan ibu kepada Sayyidina Hassan dan Hussein. Beliau merupakan isteri kepada Khalifah ar-Rasyidin keempat Sayyidina Ali karramallahu wajhah. Pengorbanan Fatimah dipersaksikan seluruh kaum muslimin dan menjadi teladan sepanjang zaman. Imannya tiada tandingan dan ilmunya tiada saingan.

[tweetmeme only_single="false"]

Tiada Yang Lebih indah Melainkan Menjadi Insan Yang DAIE Dan MURABBI

 

image

Tuntutlah ilmu...walaupun hanya sepotong ayat...tetapi ianya terselit dengan seribu makna...Hidup bagi orang-orang yang beriman adalah landasan kematian...

Keteguhan yang terbina daripada jalinan ukhwah lebih kukuh, bentengnya tidak mudah rapuh atau runtuh. Sebatang lidi mampu dipatahkan dan dihancurkan tetapi segenggam batang lidi, tidak bisa dipatahkan. Hidup seorang diri di kampus mungkin contoh yang terlalu simple, dan kancah kehidupannya yang tidak mencabar tidak seperti alam pekerjaan. Namun, di sinilah segala-galanya bermula…dari seorang teman kita mengorak langkah dan sehinggalah kita ke destinasi yang dituju…Lihatlah siapa kita hari ini???

    Tidaklah sukar untuk kita menuju ke arah insan yang Daie dan Murabbi… kita yang dilahirkan dengan seputih kalbu, semakin dewasa semakin ia tercorak…kini mungkin ada yang berwarna hitam, kelabu dan sebagainya…tetapi adalah mustahil untuk kita semua kekal seperti dulu…terhijab daripada sebarang dosa…didikan ibu bapa menjadi asas dan tetapi kita juga menggariskannya. Gelaran sebagai khalifah yang kita pegang ini…sebenarnya telah lengkap untuk membentuk kita sebagai seorang yang Daei dan Murabbi…Alasan yang kita dengar “AKU TAK LAYAK, DAIF ILMU AGAMA BERBANDING ORANG LAIN” dan adakalanya sindirin daripada ketajaman lidah itu sendiri “BAIKI DIRI DULU SEBELUM NAK TEGUR ORANG LAIN” sedar tak sedar ianya semakin berlanjutan…sehingga bila???

    “Allah S.W.T tidak akan mengubah sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang akan mengubahnya.” Renungkanlah…semuanya bermula dalam diri sendiri…Adakah terlalu sukar untuk menjadi seorang Daei dan Murabbi?. Buatmu sahabat, kekuatan kita bermula dengan ukhwahfillah dan titik tolaknya adalah kerana JEMAAH. Tidak kiralah bagaimana bentuk jemaah yang kita sertai tetapi biarlah satu pegangan,dgn satu wadah iaitu HANYA KERANA ALLAH S.W.T.

    Sahabat…2 musim lalu…satu misi ke satu perkampungan di Sarawak telah dijalankan. Mengenali keluarga Saudara Baru yang telah ditinggalkan dan tanpa susulan para Daei. Hati begitu tersentuh apabila mereka sudah lupa amalan sebagai seorang Islam, hal fekah jauh sekali…Dalam masa yang singkat…ku ajarkan cara-cara berwudhuk, walaupun jauh di hati…terasa diri dalam kedaifan. Lantas jemari seorang ibu yang serba kekurangan…memegang erat dibahuku dan membisikkan sesuatu “…bimbinglah anak-anak kami sepertimana dirimu” terfikir sejenak…ini adalah HARAPAN…dan tentunya ada sebab-sebab mengapa aku yang dipilih olehNYA untuk datang ke sini…Bukan kerana bangga menjadi pengajar tetapi adalah untuk memperbaiki diri agar menjadi insan yang Daei dan Murabbi…

    Teringat kembali kata-kata seorang sahabat setelah tamat program pembentukan ahklak jati diri mengikut ajaran Islam, mereka memerlukan bimbingan, jangan tanam perasaan benci jika banyak menyakiti…kenakalan mereka kerana memerlukan perhatian…kita adalah FASILITATOR SEBAGAI SEORANG DAEI dan MURABBI. Jika seorang itu hanya menyediakan bahan-bahan adunan untuk masakan dan seorang lagi yang membuatnya…kuih yng terhasil adalah kerana pembuatnya dan dialah MURABBI yang sebenarnya.

    Dan kita semua sudah digarisan tersebut, Cuma kesanggupan kita yang masih pudar…sahabat, Tiada yang lebih indah melainkan menjadi insan yang Daei dan Murabbi. Salam yang bersambut dan Ukhwah yang bertaut keranaNya adalah perintis untuk kita membanteras penyakit umat…

    Sama-samalah kita renungkan…ingatlah 5 perkara sebelum tiba 5 perkara…Allah memberi nikmat sihat adalah untuk kita semua mempertingkatkan amalan kita. Dan pernah terfikir…seketika dulu kesakitan telah dirasai dan kini nikmat sihat itu semakin pudar dan hanya masa yang menentukannya…penyesalan berbuku kerana pernah lalai… KEREDHAAN ALLAH YANG DI CARI dan kerana itulah hidup ini mesti diteruskan walaupun dalam masa yang singkat!!! InsyaAllah

[tweetmeme only_single="false"]

Menjana Kehebatan Diri Dalam Pergaulan

 

image

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci
dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita.

Oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

Jangan Ada Benci Di Hati

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka,memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan
memaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang(walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain.

Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih Dahulu Baiki Diri

Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan
orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:

"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka"

[tweetmeme only_single="false"]

Panduan membina hidup sejahtera

 

image

Hidup ini indah jika mempunyai garis panduan dan hala tuju...Namun, Kehidupan ini hanyalah sekali, sekali bererti satu, dan Satu ialah ESA, hanya Keredhaan Allah yang di cari...

“Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi manusia yang paling ‘abid, dan terimalah dengan penuh kerelaan akan pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan menjadi manusia yang paling kaya, dan berbudilah kepada jiran anda, nescaya anda akan menjadi mukmin yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang Muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa itu akan mematikan hati”                              Riwayat Imam Ahmad

Hadis ini mengandungi beberapa garis panduan akhlak Muslim yang kita perlu hayati dan laksanakan dalam kehidupan supaya dapat satu bentuk kehidupan luhur, penuh kedamaian dan kesejahteraan.

1.    Menjauhi Perkara-perkara yang diharamkan
Untuk mencapai darjat para muttaqin, siddiqin, a’bidin dan solehin, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari terjerumus ke dalam maksiat dan haram seperti makanan, minuman, perbuatan, tutur kata, pendengaran, penglihatan dan tindakan. Usaha untuk menghindari perkara-perkara ini amat rumit kerana ia biasanya begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.

2.    Relakan pengurniaan dari Allah
Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang Muslim itu haruslah membentuk sifat-sifat qanaah (berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa ckup dan rela serta bersyukur maka ia metrasa dirinya selaku orang yang paling kaya di dunia.

3.    Hubungan baik dengan jiran
Untuk mencapai ketenteraman social setiap Muslim haruslah menjalankan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli kelurga yang lain.

4.    Cintakan orang lain
Islam adalah agama kasih saying dan kedamaian diri dari kekusutan hidup. Oleh itu, setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih saying terhadap orang lain sama seperti perasaan kasih terhadap diri sendiri. Apa yang tidak disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku pada orang lain.

5.    Jangan banyak ketawa
Ketawa pernah disifatkan sebagai “ubat jiwa”. Akan tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang itu tidak serus dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan banyak ketawa. Barang siapa banyak ketawa di dunia dia akan menangis di akhirat dan barang siapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat.

[tweetmeme only_single="false"]

Mencari nikmat abadi

 

image

SESUNGGUHNYA kebahagiaan di dunia ini adalah bersifat sementara. Bahagia dengan pangkat besar, rumah mewah dan sebagainya hanya bagi tempoh terhad. Orang yang dilimpahi nikmat kekayaan juga akan berakhir dengan mati.Dalam hal ini Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia) bahawa kehidupan dunia sebagai air hujan yang Kami turunkan dari langit. Maka menjadi subur kerananya tumbuhan di muka bumi. Kemudian tumbuhan itu menjadi kering dan diterbangkan angin. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Al Kahfi: Ayat 45)

Islam amat menggalakkan umatnya berusaha bagi mencari kebahagiaan abadi di dunia dan akhirat. Rasulullah S.A.W juga menganjurkan kita supaya sentiasa berdoa seperti yang terdapat dalam Al Quran yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.”
(Surah Al Baqarah: Ayat 201)

Para ulama mentafsirkan kalimah hasanah dunia dan hasanah akhirat dengan pengertian berikut:

Kesihatan badan dan jiwa.

Ilmu yang bermanafaat.

Amalan yang soleh.

Keimanan yang teguh.

Ikhlas beramal dan mendapat keredaan Allah.

Disenangi umat manusia.

Hidup bahagia dengan rezeki dan harta.

Rumah tangga yang bahagia dan mendapat anak yang soleh.

Selamat dari seksaan kubur.

Dapat masuk syurga dengan segala kenikmatan yang abadi.

Islam memperingatkan sesiapa yang hanya mencari kebahagiaan dunia akan hilang kenikmatan itu kerana ia bersifat sementara. Keadaan ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud:

“Kesenangan di dunia ini hanya sementara dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan Kami tidak akan anianya sedikit pun.” (Surah an Nisa’: Ayat 77)

Sesungguhnya kebahagiaan di dunia dan akhirat boleh dicapai dengan berpegang teguh dan yakin kepada tuntutan al-Quran dan sunnah rasul yang menjadi pedoman hidup manusia sama ada untuk dirinya,keluarga, jiran dan masyarakat.

Al-Quran berulang kali memperingatkan keimanan yang teguh serta amalan soleh dan ikhlas kepada Allah yang dapat memberi kebahagiaan abadi.

Keadaan ini jelas kalau kita perhatikan Firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa mengerjakan amal soleh, lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah An Nahl: Ayat 97)

Untuk mendapat kebahagiaan abadi, kita perlu mengamalkan prinsip-prinsip berikut:

Menjadikan diri orang yang baik dan patuh kepada segala perintah Allah. Kita hendaklah bersikap ramah dalam pergaulan, gembira dan bersyukur atas segala nikmat dan tidak berdendam serta bersabar atas qada dan qadar.

Bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat siang dan malam agar mendapat keredaan Allah dalam kehidupan.

Menjauhkan diri daripada sifat munafik, noda dan dosa yang menyebabkan masuk neraka di akhirat kelak.

Bersifat murah hati menderma dengan mengeluarkan harta atau sedekah, tidak kikir. Firman Allah s.a.w bermaksud: “Dan belanjalah (harta benda mu) di jalan Allah dan janganlah kamu men jatuhkan diri sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.”
(Surah Al Baqarah: Ayat 195)

Mentauhidkan Allah iaitu mengesakan-Nya tanpa syirik kepada-Nya dengan segala yang lain. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.” (Surah Al Baqarah: Ayat 163)

Menjauhi zina kerana ia perbuatan mungkar, keji dan hina serta terkutuk dan berdosa besar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan keji dan suatu jalan
yang buruk.” (Surah Al Israk: Ayat 32)

Tidak membunuh iaitu tidak membunuh terhadap diri sendiri dan terhadap orang lain yang halal darahnya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah, melainkan dengan hak. Dan barang siapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah berikan kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli itu melampau batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang ang mendapat pertolongan.” (Surah Al Israk: Ayat 33)

Sesungguhnya kebahagiaan selalunya datang secara kebetulan saja. Kebahagiaan bukan seperti sebuah rumah yang dapat dibangunkan dengan tangan. Kebahagiaan itu
laksana lagu merdu yang didengari ketika sedang memanjat tanah tinggi dan apabila turun dari sebelah sana bunyi itu akan lenyap dari telinga kita. Dan hidup bahagia yang abadi ialah hidup yang diredai Allah dan Rasul-Nya serta disenangi semua manusia.

[tweetmeme only_single="false"]

1 Titik Hitam

 

image

 

HATI adalah organ yang paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat yang ikhlas itu akan diberi pahala oleh Allah.

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya adalah membabitkan seluruh anggota tubuh badan manusia. Maka, akan lahirlah penyakit masyarakat berpunca dari hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa bertaubat itu akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Maka bayangkanlah bagaimana pula kalau sepuluh dosa? Seratus dosa? Seribu dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan dalam hadis Rasulullah bermaksud: "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.

Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak akan masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan kita untuk mengamalkannya.

Allah berfirman yang bermaksud "Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 74).

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan bahawa batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah. Perkara yang paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlakulah kemusnahan yang amat besar terhadap manusia.

Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah natijahnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati kita. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada akhirat kelak.

Persoalannya sekarang, Kenapa hati mati? Hati itu mati disebabkan perkara berikut:

Pertama:Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar, ayat 22).

Kedua :Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd, ayat 2

Firman-Nya lagi bermaksud "Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura, ayat 88 - 89)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu.""

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...