Tuesday, May 3, 2011

AL-TABARRUJJ

 

image

WANITA DALAM NERAKA

Di sini saya ingin mengutarakan satu peristiwa yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w semasa dalam perjalanan Isra’ Mi’raj yang ada kaitannya dengan penghuraian tabarruj.

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali karam allahu wajhah:
“Saya dengan Fatimah pergi mengadap Rasulullah s.a.w kami dapati baginda sedang menangis lalu kami bertanya kepadanya:
“Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”
Rasulullah menjawab:

“Aku lihat ada perempuan rambutnya tergantung, otaknya menggelegak. Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya, tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya. Aku lihat perempuan tergantung, kedua kakinya diikat, tangannya terikat di umbun-umbunnya dan disuakan dengan ular dan kala.

Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api. Aku melihat perempuan yang memotong tubuhya dengan gunting daripada api neraka. Aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar dari lubang hidungnya, badannya berbau busuk, kerana berpenyakit sopak dan kusta. Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir, badannya seperti badan keldai, beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya. Aku lihat perempuan,
rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, atau ke mulutnya dan keluar di duburnya. Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripda api neraka”.

Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya:
“Ayahanda yang dikasihi, ceritakanlah kepada anakanda; apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”.
Rasulullah menjawab:
“Fatimah, adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang yang bukan muhrimnya.

Perempua yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki hamun dan menyakiti hati suaminya.

Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas.

Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang.

Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, ia memperkenalkan dirinya kepda orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat ole lelaki lain.

Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya, tangannya diikat ke arah umbun-umbun dan disuakan dengan ular dan kala, ianya boleh bersembahyang dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub).

Perempuanyang kepalanya itu seperti khinzir dan badannya berupa badan keldai ialah perempuan ahli pengumpat dan pendusta.

Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya”.

جﺮﺒﺘﻟا
Al-TABARRUJJ
Oleh: Ustazah Ni’mat Sidqi (Seorang Ulamak Wanita Mesir-1930M-Terjemahan)

Tazkirah

Yang paling banyak dibaca dalam Tazkirah:
tanda-tanda kebahagian dan kesengsaraan

Terkini dalam Tazkirah:
Pengertian Syukur
MENCUBA PAKAIAN SYURGA
Neraka Tidak Sentiasa Panas
Aduhai 4 org isteriku
Korban manifestasi kecemerlangan ummah.

Yang Berkaitan
Lagi Artikel Tazkirah
Aktikel lain diluluskan oleh: Engku_Salina

[tweetmeme only_single="false"]

Penghinaan Kepada Orang Yang Meninggalkan Solat

 

image

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat tu, adalah dosa besar, dan malahan lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa A.S.

Buat peringatan untuk kita yang sentiasa 'sibuk' /mencari alasan....dll

Begini kisahnya... Pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga , tetapi dia tidak ada zuriat. Lalu, terdetik dalam hati dia (nazar), "Kalau aku dapat anak. Aku akan minum air kencing anjing hitam."

Dengan kuasa Allah, isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila sudah dapat anak, lelaki ini pun runsinglah... Dia sudah nazar hendak minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tidak perlu buat, tapi kena denda(dam) atau sedekah. Tapi, kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram, tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang dapat anak itu, dengan susah hatinya, pun pergilah bertemu dengan Nabi-Allah Musa. Dan menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki itu tidak payah minum air kencing anjing hitam, tapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan sembahyang dan minum air tu. Lalu, lelaki tu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi...

Lihat.. Betapa hinanya org yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumah dia, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi..

Menyentuh bab air tangan ni, selalu kita suka makan masakan ibu, isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat , sebab kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan, nasi, dan sebagainya.. Anak-anak, suami pulak yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami & anak-anak gelap hati minum air tangan org tinggalkan solat..

Tak tergamakkan? Tapi..Lain pulak halnya dengan kita ini.. Pagi, petang.. Mamak!! Teh tarik satu, roti canai satu.. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat.. Kita pun makan bekas air tangan dia.. Gelap lah hati kita.. Sebab itu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Beware apa yang kita makan... Betapa beratnya amalan solat ni, hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj, sedangkan kewajipan2 lain memadai diutus melalui Jibril a.s.

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (&untuk umat Islam) ,

"As-solah as Solah wa amalakat aimanukum." maknanya,"Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu."

Jadi, sama-samalah kita pelihara solat kita, dari segi zahir & batinnya, kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula akan ditimbang di neraca Mizan kelak...

[tweetmeme only_single="false"]

Mereka Yang Kaya Dalam Kemiskinan

 

image

Dalam Islam, matlamat perjuangan ialah untuk mencari keredhoaan Illahi. Berjuang mesti berkorban, dan dalam pengorbanan pasti ada yang terkorban. Itulah lumrah kehidupan perjuangan. Dalam Islam makin berjuang bukan makin banyak mengumpul harta. Apatah lagi untuk memburu gelaran dan pangkat. Tidak juga untuk mendapat kesenangan dan kemewahan hidup didunia. Sebaliknya semua diburu untuk mendapat saham diakhirat. Dengan rahmat Allah jua.

Dalam Islam, makin berjuang, makin redho menuju kearah
kemiskinan. Sebab harta kekayaan dipergunakan untuk
membangunkan syiar Islam. Lihat lah hartawan Islam pada
zaman Nabi Muhamad iaitu, Abdul Rahman bin Auf, seluruh
kekayaannya dihabiskan untuk pembangunan Umat Islam. Pada
perancangan beliaulah ekonomi Islam dapat membangun sehingga
memusnahkan rangkaian perniagaan orang Yahudi sehingga mereka
gulung tikar.Bersama dengan artikel ini diperturunkan kisah
dahulu kala untuk renungan dan iktibar kita bersama.

Pernah seorang pemuda datang ke Masjid Nabi ,sewaktu Nabi
sedang duduk bersama sahabat. Lalu Rasul berkata, ”Kalau
engkau mahu tengok orang yang cintakan Allah dan Rasul,
tengoklah pemuda itu. ”Dengan serentak mereka melihat. Ternyata
pemuda yang masuk ketika itu adalah Mus’ab bin Umair.

Rasulullah bersabda lagi, “Kamu lihat bajunya yang bertampung
dengan kulit kambing. Dulu ia adalah seorang hartawan di kota
Makkah dan keluarganya orang yang kaya. Sedang makanannya
berhidang dan tukang hidang akan melayaninya sebaik-baik
mungkin. Tetapi demi cintanya kepada Allah dan Rasul, engkau
lihatlah sekarang. Yang tinggal hanyalah baju yang bertampung.
Makannya entah dapat entah tidak dan lebih banyak berlapar dari
kekenyangan.

Pada waktu Umar Bin Abdul Aziz memerintah negara Islam ia
berucap diatas mimbar kota Baghdad. Katanya, ”Tuan-tuan semua
tidak tahu kalaulah tidak kerana beberapa orang pemuda atau
orang-orang yang dipandang oleh Allah nescaya dunia ini telah
terbakar oleh kejahatan manusia. Tetapi Allah masih boleh
selamatkan kita kerana mereka masih berada dimuka bumi ini.”

Itulah orang-orang yang Rasul maksudkan dalam ucapan baginda
sebagai orang-orang yang berpakaian compang-camping dengan
keadaan yang tidak terurus. Kalau ia memasuki perkampungan
nescaya pasti orang akan menghinanya. Kalau ia meminta pertolongan, tiada siapa yang membantunya. Kalau ia meminang
gadis-gadis antara kamu nescaya kamu akan menolaknya .Tetapi
kalau mereka berdoa dengan Allah tiada batas antaranya
dengan Allah.

Merekalah yang menjadi teman kepada Umar Al Khattab dimalam
hari. Merekalah yang menjadi rakan Ali dikala suka dan duka.
Merekalah orang–orang Allah dimuka bumi!Mereka itulah yang
jika ke medan jihad dengan cita-cita tidak mahu balik lagi.
Merekalah yang apabila petang hari, sebelum matahari terbenam
akan menyedekahkan harta-harta, pakaian dan makanan yang
melebihi keperluan mereka.

Lalu mereka berdoa kepada Allah: “Ya Allah, kalaulah malam
ini masih ada orang yang lapar, janganlah engkau salahkan
aku kerana aku telah sedekahkan semua hartaku. Dan kalau ada
orang yang tidur dalam kesejukan, janganlah Engkau salahkan
aku kerana aku telah sedekahkan selimutku.”

Inilah peribadi mereka yang telah dididik oleh Rasulullah
dengan didikan taqwa. Yang hidup dalam kemiskinan tetapi
mampu menolong orang lain. Mereka inilah orang yang kaya
dalam kemiskinan.

Merekalah yang menumbangkan empayar Rom dan Parsi tetapi
dalam hati mereka tidak ada sebesar debu pun keinginan
terhadap dunia. Mereka itulah apabila ditawarkan pangkat
dan jawatan, lumpuh kedua kaki dan tangannya dan jantungnya
berdebar kencang. Tetapi apabila diberi peluang mati syahid
mereka berharap kalau boleh biarlah seratus kali mati.

Rasulullah melihat dan mendidik mereka. Kalau mereka cinta
kepada pangkat, pangkat itu akan dilucutkan darinya. Kalau
mereka cinta nama, nama itu dibuang daripadanya. Kalau mereka
cintakan harta, cinta mereka dialihkan kepada orang lain.
Mereka didorong supaya mendapat kan pangkat taqwa. Harta yang
mereka cari adalah kawasan-kawasan tanah disyurga. Mereka
sanggup mengorbankan apa sahaja hingga papa kedana untuk
mendapatkan tapak disyurga.

Hinggakan Abu Bakar datang kepada Rasullullah menghabiskan
segala hartanya. Rasulullah bertanya, “Wahai Abu Bakar, apa
yang masih tinggal untuk anak dan isterimu?”

Abu Bakar menjawab, ”Yang aku tinggalkan pada anak dan
isteriku ialah Allah dan Rasulnya. ”Inilah hati mereka. Hati
yang selalu mencemaskan akhirat dan neraka, hingga tidak sempat
memikirkan kekayaan peribadi.Mereka kalau disogokkan dengan
harta dunia, jawatan, pangkat dan kemasyuran ia akan lari
sebagaimana lari dari harimau yang ganas. Tetapi kalau diminta
untuk syahid atau diseru berkorban apa saja untuk membangunkan agama merekalah orang yang berada di barisan paling depan.

Jiwa-jiwa seperti merekalah, jiwa yang telah membangunkan
agama Allah. Hati merekalah hati yang menyintai hidup miskin
demi menegakkan urusan ummah. Disebalik kesederhanaan hidup mereka muncul orang yang tajam fikirannya seperti Abu
Bakar As Siddiq. Orang yang memiliki sifat perwira seperti
Khalid Al Walid. Orang yang benci pada pangkat yang berhubung
dengan urusan dunia seperti Nu’man Bin Muqarrin.

Orang yang lebih rindu anaknya mati syahid daripada mati
sakit. Orang yang bersuluk dan beribadah. Tasbih ditangan
kanan dan pedang dikanan kiri menunggu-nunggu pertahanan
musuh seperti Salman Al Farisi. Orang yang sanggup memegang
dan menumpaskan ekonomi yahudi serta ekonomi kafir-kafir
lainnya seperti Abdul Rahman Bin Auf. Orang yang sanggup mati
perwira-perwiranya seperti Abu Ubaidah Ibnu Jarrah. Dia pernah
berkata Saidina Umar “Saya lebih suka mati bersama-sama mereka
daripada lari dari mereka yang diserang taun.” Orang yang kalau
berhadapan dengan musuh tidak ada pilihan selain mati
mempertahankan agama.

Peribadi inilah yang menghiasi pentas sejarah. Bilakah akan
lahir jiwa seperti mereka, bila harta diserahkan pada mereka
nescaya ia akan merintih kerana telah datang dunia untuk
merosakkan akhiratnya. Merekalah yang mentadbir denagn adil
tetapi apabila ditanya orang dimana letak istananya rakyatnya
akan menunjuk nun disana dibawah sebuah khemah dicelah-celah
pokok tamar. Berjalur tubuh dibelakannya bila ia bangun dari
tidur.

Apabila mereka kembali kepada Allah baju yang membalut badan
merekalah sebagai kain kafan. Dan setelah mereka wafat, anak
dan isteri mereka tidak mendapat apa-apa dari harta pusaka
kecuali dua tiga biji mangkuk ataupun sebilah dua pedang. Tidak
ada apa pun yang hendak direbutkan. Bila berjumpa dengan
pemimpin mereka akan berucap “saya hendak syurga”. Seperti
Abdul Rahman Bin Auf jumpa Rasulullah “Ya Rasullullah saya
hendak syurga. Saya mendengar Rasullullah berkata saya akan
lambat masuk syurga dengan sebab harta saya. Izinkanlah saya
habiskan harta saya untuk perjuangan agar saya menjadi
seorang yang papa kedana.

Sekian. Wassalam.

Biar Kaya Jiwa, Miskin Harta dari
Kaya Harta, Miskin Jiwa
Dan lebih baik lagi......
Kaya Jiwa Dan Kaya Harta....
dengan syarat...
Harta tersebut dipergunakan Untuk Pembangunan Islam.
Maha Suci Allah, Peliharalah kami dari azab api neraka.

[tweetmeme only_single="false"]

Nilai kemaafan lebih tinggi daripada keadilan

 

image

PADA zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beberapa pemberontakan berlaku hingga menggoncang pemerintahannya. Kekejaman pihak pemberontak terhadap rakyat membuatkan pemerintah bertekad untuk menghapuskannya. Mereka yang enggan menyerah diri akan menerima hukuman mati.

Pada suatu hari, seorang pemberontak ditangkap dan dijatuhi hukuman pancung.

Tukang pancung bersiap sedia untuk memulakan hukuman mati itu.

Selaras dengan peraturan, orang yang dihukum diberikan peluang menyampaikan permintaan terakhir. Lantas Umar pun berkata: “Hai pemberontak ganas, apakah permohonanmu yang terakhir?

“Kuberikan kesempatan untuk menyampaikan keinginanmu sebelum kepalamu berguling ke bawah.”

Balas pemberontak:”Terima kasih Amirul Mukminin. Saya hanya inginkan semangkuk air sejuk.”

“Hanya semangkuk air dingin? Bukan makanan yang lazat?” tanya khalifah kehairanan.

“Tidak tuanku. Hanya semangkuk air sejuk,” jawab pemberontak itu.

Ucap khalifah:”Baik, akan kupenuhi permintaanmu.” Beliau kemudian memerintahkan supaya dibawakan semangkuk air sejuk untuk pemberontak itu.

Selepas pemberontak menerima air itu, dia dengan ketakutan dan penuh curiga berkata: “Apakah tuanku mahu berjanji apabila air dalam mangkuk ini belum saya minum, tuanku tidak akan memerintahkan tukang pancung untuk memancung leher saya?”

“Tentu sekali. Jika air dalam mangkuk itu belum kau minum, engkau tidak akan dipancung,” sahut khalifah memberikan jaminannya.

Tidak semena-mena, pemberontak itu membuang air dalam mangkuk berkenaan hingga habis lantas berkata: “Janji adalah janji tuanku dan janji harus ditepati. Bukankah demikian, wahai pemimpin orang beriman?”

Khalifah masih tidak dapat memahami tindakan pemberontak yang membuang air sejuk serta pertanyaannya itu, namun Umar tetap menjawab: “Pasti. Janji harus ditepati. Itulah keadilan.”

Pemberontak itu berkata:”Tadi tuanku berjanji jika air dalam mangkuk belum saya minum, tuanku tidak akan melaksanakan hukuman pancung ke atas saya.

“Air itu sudah saya tumpahkan dan sekarang air itu kering di tanah hingga saya tidak dapat minum untuk selama-lamanya. Hal ini bermakna, tuanku tidak akan memancung saya sesuai dengan janji tuanku tadi.”

Khalifah mengerutkan kening seketika lantas tidak dapat menahan diri daripada tertawa. Beliau kemudiannya membebaskan pemberontak berkenaan daripada hukuman mati.

Pada waktu lain, seorang pemberontak juga bakal menerima hukuman pancung tetapi ketika hukuman hampir dilaksanakan, beliau menangis teresak-esak.

Dengan wajah sinis, khalifah berkata: “Seorang pemberontak yang kononnya gagah berani menangis kerana menghadapi kematiannya? Apakah kau sudah menjadi tikus yang pengecut dan takut mati?”

Pemberontak itu menyahut: “Demi Allah wahai Amirul Mukminin, saya tidak menangis kerana takut mati.

Ajal adalah ketentuan dan mati pasti akan ditempuh oleh mereka yang pernah hidup.”

Khalifah kehairanan sambil bertanya:”Jadi mengapa engkau menangis?”

“Saya menangis lantaran saya akan mati ketika tuanku sedang murka,” balas pemberontak tadi.

Mendengar jawapan itu, Umar tertunduk lantaran teringatkan ajaran Islam melarang umatnya melakukan sesuatu atas dasar marah dan Rasulullah pun melarang sesuatu keputusan dijatuhkan ketika seseorang marah.

Ketika salah seorang ketua pemberontak bakal dihukum pancung, beliau pun berkata kepada khalifah: “Wahai Amirul Mukminin, tuan sudah diberi kemenangan, maka anugerahilah saya yang kalah dengan sesuatu yang melebihi nilai kemenangan.”

“Apakah maksudmu?” tanya khalifah.

“Berikan saya keampunan dan kesempatan untuk bertaubat serta memperbaiki kesalahan,” kata pemberontak itu.

“Tidak, engkau dihukum kerana engkau bersalah serta menolak untuk menyerah diri dan itulah keadilan,” kata Umar.

Pemberontak itu kemudian berkata:”Kata-kata tuanku memang benar, tetapi bukankah tuanku pernah menyatakan bahawa ada yang lebih tinggi harganya daripada keadilan iaitu memberi kemaafan?

“Maafkanlah saya kerana Allah cinta kepada orang yang lemah, kalah dan berdosa.”

Khalifah akur dengan kata-kata pemberontak itu hingga ketua pemberontak berkenaan dibebaskan dengan harapan dapat menempuh jalan yang benar kemudian hari.

[tweetmeme only_single="false"]

Sifat ikhlas tingkat kualiti amalan menyamai ibadat

 

image

ALLAH menjadikan alam semesta untuk dihuni oleh sekalian makhluk-Nya, termasuk manusia. Tujuan diciptakan manusia pula untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Hal ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepada Allah.” (Surah al-Dhazariyaat, ayat 56).

Konsep ibadah menurut perspektif Islam bermaksud sesuatu amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap Tuhannya iaitu Allah. Hal ini membawa erti, apabila seseorang manusia melakukan sesuatu pekerjaan kerana Tuhannya, bererti dia telah melaksanakan suatu ibadat.

Ada dua pembahagian ibadat iaitu ibadat khusus yang termasuk dalamnya solat, puasa, zakat, haji, umrah dan korban.

Pembahagian kedua ialah ibadat umum seperti bekerja, belajar, menolong orang dan berpakaian menutup aurat.

Sesuatu perbuatan akan dikira ibadat jika memenuhi beberapa syarat, antaranya ialah ikhlas kerana Allah, menepati sunnah Rasulullah saw, tidak bercanggah dengan syariat dan sewaktu melakukan sesuatu pekerjaan itu ia tidak melalaikan daripada ibadat wajib.

Contohnya, jika seseorang itu berniaga dengan niat ikhlas kerana Allah serta bertujuan menjunjung perintah dan sunnah Rasulullah, maka amalan itu dikira ibadat.

Namun, apabila dia berniaga, tetapi lalai daripada menunaikan ibadat wajib seperti tidak melakukan solat, tidak mengeluarkan zakat keuntungan perniagaan atau tidak menggunakan keuntungan untuk menunaikan ibadat haji, maka amalan itu sia-sia. Amalan itu tidak dikira ibadat kerana tidak memenuhi maksud sebenar beribadat kerana Allah.

Perkara yang amat penting untuk diambil perhatian dalam beribadat ialah mengelakkan diri daripada sebab yang boleh merosakkan amal. Hal ini termasuk, perasaan riak ketika beramal kerana boleh mensia-siakan keseluruhan amalan yang dilakukan.

Perkara ini berdasarkan perumpamaan yang disebut oleh Rasulullah bahawa amalan yang tidak ikhlas akan membatalkan kualiti perbuatan itu seumpama api yang memakan kayu api, tiada yang tinggal, melainkan bara api dan debu-debu.

Setiap amalan yang bercampur dengan perasaan riak bukanlah suatu amalan yang diterima Allah. Malah, perkara itu ibarat menipu diri sendiri, mengotorkan jiwa dan mensia-siakan amalan.

Rasulullah menyatakan bahawa riak termasuk dalam kategori syirik seperti sabdanya yang bermaksud: “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riak.”

Riak membawa maksud beramal kerana manusia dan bukannya kerana Allah. Hal ini seperti solat kerana disuruh, menunaikan haji untuk dilihat dan dinilai manusia dan menghulurkan sedekah agar disebut oleh orang ramai.

Seorang ulama tasawuf terkenal, Fudhail bin Iyadh pernah menyebut: “Meninggalkan sesuatu amal kerana manusia adalah riak. Melakukan sesuatu amalan kerana manusia pula adalah syirik. Penyelamat daripada kedua-duanya ialah ikhlas.”

Kadang-kadang seseorang itu dalam keadaan dilema sama ada amalannya ikhlas kerana Allah atau kerana manusia. Ada juga yang diselubungi perasaan beramal kerana Allah, tetapi pada masa sama ada sedikit perasaan riak apabila dilihat manusia.

Ulama mengibaratkan golongan seperti ini sebagai amal yang bersifat sekutu dan ini hendaklah dijauhkan kerana tidak memberi apa-apa nilai.

Hal ini berdasarkan kepada hadis qudsi yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan dalam keadaan bersekutu kerana Ku dan kerana yang selain daripada Ku, maka akan aku tinggalkan (tidak menilai) perbuatan itu bersama-sama sekutunya.”

Amal yang disekutukan kerana Allah dan kerana manusia bukanlah amalan yang benar-benar ikhlas. Hal ini kerana seolah-olah ada tujuan lain yang ingin diperolehnya iaitu penilaian dan pujian dari manusia.

Namun begitu, Imam al-Ghazali ada membuat ulasan mengenai sekutu dalam beramal ini. Beliau menyebut bahawa kurniaan Allah akan bergantung kepada sejauh mana kadar nilainya.

Contohnya, jika seseorang itu menunaikan haji dengan disertai tujuan untuk berniaga, maka dia akan mendapat pahala mengikut kadar niatnya.

Begitu juga dengan seseorang yang berperang mempertahankan agama, di samping untuk mendapatkan harta rampasan perang.

Melihat kepada kenyataan semasa, ada yang menuntut ilmu kerana Allah dan pada masa sama ingin mendapatkan sijil dan pekerjaan baik apabila tamat pengajian nanti.

Di satu pihak, mereka yang bekerja kerana Allah dan pada masa sama untuk mendapatkan gaji sebagai menampung keperluan hidup diri dan keluarga. Adakah ini juga dikatakan syirik dan adakah akan terbatal amalannya?

Sebagai jalan penyelesaiannya, pendapat daripada Imam al-Ghazali bolehlah diguna pakai sebagai panduan.

Apa yang penting ialah dengan mendahulukan niat kerana Allah dan mengharapkan keredaan-Nya. Dan cubalah membuang perasaan riak agar tidak bercampur aduk antara keredaan Allah dan manusia.

Untuk ikhlas dalam beramal bukanlah suatu perkara mudah. Hal ini kerana ulama mengibaratkannya seumpama semut hitam yang duduk di atas batu hitam di tengah malam yang sangat gelap dan amat susah untuk dilihat. Begitulah ibaratnya ikhlas yang amat susah untuk ditafsirkan.

Jadikanlah hadis nabi ini sebagai pedoman dan neraca dalam beramal. Baginda bersabda maksudnya: “Bahawa sesungguhnya setiap sesuatu perbuatan itu mestilah dengan niat dan tiap-tiap sesuatu perbuatan itu dinilai mengikut apa yang diniatkan.”

Cuba sematkan dalam hati ketika hendak melakukan sesuatu pekerjaan.

Hadirkan niat bahawa amalan yang dilakukan ini hanya kerana Allah semata-mata. Semoga setiap amalan yang dilakukan akan diterima Allah dan tidak terhapus begitu saja tanpa sebarang kualiti dan nilai.

[tweetmeme only_single="false"]

Tutur kata baik pengerat hubungan masyarakat

 

image

RASULULLAH saw bersabda maksudnya: “Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya - orang yang suka mengecam, suka melaknat, yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut.”

Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terbabit dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran rasional.

Hal ini kerana perbuatan itu adalah tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah. Malah, hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka antara satu sama lain.

Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, merendah diri dan tidak berlagak sombong.

Sifat itu akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam. Pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini akan disenangi oleh pengikut dan kakitangannya. Mereka juga akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.

Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam, mencemuh, mencarut dan sebagainya. Hal ini kerana perbuatan itu akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

Satu lagi perkara yang boleh menyebabkan hubungan sesama umat pecah ialah perbuatan suka mencarut.

Mencarut di sini boleh jadi dengan mengeluarkan kata-kata keji yang berbaur kehinaan kepada seseorang itu. Begitu juga mencarut dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan berbau lucah.

Perbuatan begitu bukan saja memalukan orang lain, malah tidak sesuai didengar oleh kanak-kanak.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga mulut daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung orang lain, seterusnya menjadikan orang itu terhina.

Islam menggalakkan umatnya supaya menuturkan kata-kata baik terhadap sesama insan. Melalui cara itu, dapat memupuk persaudaraan lebih erat dalam sesebuah masyarakat.

[tweetmeme only_single="false"]

Hadiah Allah SWT Bagi Golongan Bertaqwa

 

image

Kehidupan orang-orang yang bertaqwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi Allah telah menjanjikan pelbagai 'hadiah', sebagaimana digambarkannya di dalam al-Quran:

1) Sentiasa mendapat petunjuk:

"Mereka itulah (orang-orang bertaqwa) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung.." (al-Baqarah: 5)

2) Diberi penyelesaian dari masalah:

"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan diberikannya jalan keluar.." (at-Thalaq: 2)

3) Dipermudah segala urusan:

"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya akan segala urusan.." (at-Thalaq: 4)

4) Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga:

"..dan memberinya (orang bertaqwa) rezeki dari sumber yang tidak terduga.." (at-Thalaq: 3)

5) Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia):

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang bertaqwa.." (Ali Imran: 76)

6) Mendapat keberkatan dari langit dan bumi:

"Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi" (al-A'raf: 96)

7) Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlidungan dari Allah:

"Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa.." (al-Fussilat: 18)

"..dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah Allah berserta (menolong dan melindungi) orang-orang yang bertaqwa).." (al-Baqarah: 194)

8) Mendapat kemenangan:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan.." (an-Naba: 31)

9) Terpelihara dari tipu daya musuh:

"Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu.." (Ali Imran: 120)

10) Diberikan furqan (petunjuk bagi membezakan yang benar dan salah):

"Jika kamu bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan.." (al-Anfal: 29)

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...