Friday, August 26, 2011

Allah perjelas taklif puasa





Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI



Sheikh al-Maghari berkata, selepas Allah menyebut kewajipan puasa kepada kita umat Islam sebagaimana yang telah difardukan kepada mereka sebelum kita kerana ia menyediakan kepada kita hidayah dan takwa. Kemudian menyebut keuzuran yang mengharuskan berbuka. Allah mengiringi baki puasa kepada yang lain. Justeru, ternyata perbezaan puasa kita dengan keistimewaan seperti rukhsah yang tidak berlaku kepada terdahulu.

Kemudian diterangkan masa puasa dan kesudahannya serta pengharaman mendekati wanita dengan bersetubuh ketika beriktikaf dalam masjid. Di akhir dengan penerangan daripada Allah kepada manusia supaya bertakwa.

Sayid Qutub berkata: Kemudian rangkaian ayat ini terus menghuraikan kepada orang-orang mukmin beberapa hukum puasa. Ia menjelaskan kepada mereka hukum halal mengadakan hubungan kelamin dengan isteri-isteri mereka di malam puasa di antara waktu maghrib dan fajar, dan hukum halal makan minum diwaktu itu, di samping menjelaskan masa-masa puasa dari waktu fajar hingga terbenamnya matahari, juga menyatakan hukum mengadakan hubungan kelamin dalam tempoh iktikaf di masjid-masjid.

Firman Allah, Dihalalkan kepada kamu mengadakan hubungan kelamin dengan isteri-isteri kamu pada malam puasa. Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Allah telah mengetahui bahawa kamu telah mengkhianati diri kamu lalu dia menerima taubat kamu dan memaafkan kesalahan kamu. Maka sekarang lakukanlah hubungan kelamin dengan mereka dan carilah kenikmatan yang telah ditetapkan Allah untuk kamu. Dan makan dan minumlah kamu sehingga jelas kelihatan kepada kamu benang yang putih (cahaya siang) dari benang yang hitam (kegelapan malam) dari cahaya fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga malam dan janganlah kamu mengadakan hubungan kelamin dengan mereka dalam masa kamu beriktikaf di dalam masjid. Itulah batas-batas yang telah ditetapkan Allah. Oleh itu janganlah kamu dekatinya. Demikianlah Allah menjelaskan pengajaran-pengajarannya kepada manusia supaya mereka bertakwa. (Al-Baqarah: 187)

Sayid Qutub berkata: Pada permulaan difardukan ibadat puasa, hubungan kelamin, makan dan minum adalah ditegah jika orang yang berpuasa itu tidur selepas berbuka. Apabila ia jaga dari tidurnya diwaktu malam - walaupun sebelum fajar - maka ia tidak halal melakukan hubungan kelamin, juga tidak dihalalkan makan dan minum.

Pernah terjadi setengah-setengah sahabat tidak mendapat apa-apa makanan pada isterinya diwaktu berbuka lalu ia terus tertidur kemudian apabila ia terjaga maka ia tidak dihalalkan makan dan minum lalu ia terus menyambung puasanya, kemudian ia menjadi lesu pada siang yang berikut dan ceritanya sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. Begitu juga pernah terjadi bahawa setengah-setengah sahabat tidur selepas berbuka atau isterinya tidur, kemudian ia dapati di dalam hatinya keinginan kepada hubungan kelamin lalu ia melakukannya dan cerita ini juga sampai kepada Nabi s.a.w.

Di sini nampak jelas kesulitan kaum muslimin dalam melaksanakan taklif puasa lalu Allah kembalikan mereka kepada kemudahan dan pengalaman mereka sendiri telah tersemat di dalam hati mereka supaya dapat merasakan nilai kemudahan itu dan sejauh mana limpah rahmat dan perkenan Alah terhadap mereka.

Firman Allah: Dihalalkan kepada kamu mengadakan hubungan kelamin dengan isteri-isteri kamu pada malam puasa. Ulama telah khilaf tentang nama lelaki Ansari berkenaan dengan sebab turunnya ayat ini:

i. Qis bin Sormah. Seperti kata al-Bara’.

ii. Sormah bin Anas. Seperti kata al-Qasim bin Muhammad.

iii. Domrah bin Anas. Seperti kata Abu Bakar al-Khatib.

iv. Abu Qis bin Umar. Seperti kata Abu Bakar al-Khatib.

Adapun maksud perkataan al-Rafasu seperti tafsiran Ibn Umar, Ibn Abbas, Mujahid, ‘Ata’, al-Hasan, Ibn Jubair dan lainnya dengan maksud jimak.

Firman Allah: Mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka. Ada dua pandangan berkenaan dengan pakaian:

i. Tempat tinggal atau ketenangan seperti pendapat Ibn Abbas, Ibn Jubair, Mujahid dan Qatadah.

ii. Ia setaraf pakaian kerana bertempuh setiap seorang dengan kulit masing-masing; seperti kata al-Zajjaj.

Firman Allah: Allah telah mengetahui bahawa kamu telah mengkhianati diri kamu. Ibn Qutaibah berkata: Dengan melakukan apa yang diharamkan ke atasmu. Sedangkan Ibn Abbas berkata: Dikehendaki demikian itu dengan perbuatan Umar. Beliau telah mendatangi ahlinya apabila mandi beliau mencela dirinya dan menangis.

Firman Allah: Lalu dia menerima taubat kamu dan memaafkan kesalahan kamu. Maka sekarang lakukanlah hubungan kelamin dengan mereka dan carilah kenikmatan yang telah ditetapkan Allah untuk kamu. Terdapat empat pendapat:

i. Anak. Inilah pendapat Ibn ‘Abbas, al-Hasan, Mujahid dan lainnya.

ii. Sebagai rukhsah. Inilah pendapat Qatadah dan Ibn Zaid.

iii. Bahawa ia merupakan malam Qadar; seperti riwayat Ibn al-Jauza’ daripada Ibn ‘Abbas.

iv. Bahawa ia merupakan al-Quran dengan maksud ikutlah al-Quran. Inilah pendapat al-Zajjaj.

Sheikh al-Maghari berkata, orang yang berada di dalam masjid untuk beriktikaf dan pada masa yang sama dia bersama isterinya (bersetubuh) akan terbatal iktikafnya walaupun pada waktu malam seperti mana terbatal puasa pada siang hari jika bersama isterinya.

Firman Allah : Dan makan dan minumlah kamu sehingga jelas kelihatan kepada kamu benang yang putih (cahaya siang) dari benang yang hitam (kegelapan malam) dari cahaya fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga malam. Maksud benang putih merupakan siang hari iaitu fajar yang kedua. Manakala benang hitam pula ialah gelap malam sebelum berlaku fajar yang kedua.

Mengikut riwayat Sya’bi daripada ‘Adi din Hatim bahawa beliau mengambil benang putih dan benang hitam lalu beliau meletaknya di bawah bantal dengan melihat dan perhati sama ada timbul atau tidak. Apabila waktu pagi, beliau sampaikan kepada Rasulullah kerana tidak ternyata benang putih daripada benang hitam. Lantas sabda Nabi s.a.w maksud benang putih ialah siang hari manakala benang hitam ialah malam hari.

Firman Allah: Dan janganlah kamu mengadakan hubungan kelamin dengan mereka dalam masa kamu beriktikaf di dalam masjid. Inilah hukum-hukum yang mengandungi kewajipan, pengharaman serta keharusan pada batasan Allah dan hukumnya. Justeru itu juga kamu mendekatinya kerana siapa mendekati batasan di bimbangi melanggarnya seperti pemuda bersama isterinya di siang hari bulan puasa dibimbangi tidak mampu untuk menahan gelojak syahwatnya.

Justeru itu, pengawasan ayat ini lebih tegas daripada ayat yang lain. Allah menutup perbincangan ayat ini dengan firmannya: Itulah batas-batas yang telah ditetapkan Allah. Oleh itu janganlah kamu dekatinya. Jalan yang lurus ini menerangkan segala hukum puasa daripada awal dan akhir yang mengandungi azimat, rukhsah serta hikmah.

Firman Allah: Demikianlah Allah menjelaskan pengajaran-pengajarannya kepada manusia supaya mereka bertakwa. Allah terangkan kepada manusia supaya bertakwa dan jangan mengikut hawa nafsu.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Penjelasan hukum puasa.

*Kelebihan para sahabat dengan ketakwaan, keimanan dan keilmuannya.

*Allah s.w.t menjelaskan peraturan hidup kepada manusia supaya mereka sentiasa mendapat petunjuk hidayah daripada-Nya.

Jangan makan harta dengan cara batil


Oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sayid Qutub berkata: “Di bawah bayangan pembicaraan ibadat puasa dan pembicaraan menahan diri dari makan dan minum dikemukakan pula satu amaran dari jenis makan yang lain, iaitu makan harta orang lain secara yang tidak sebenar dengan perantaraan berguam di hadapan hakim-hakim berdasarkan penipuan bukti-bukti dan fakta-fakta dan memutar belitkan perkataan dan alasan menyebabkan hakim menjatuhkan hukuman mengikut alasan yang ternampak kepadanya.”

Sedangkan hakikat yang sebenar bukan seperti yang ternampak kepadanya. Amaran ini dikemukakan selepas menyebut batas-batas Allah dan menyeru bertaqwa kepada-Nya supaya amaran dibayangi suasana takut yang mencegah seseorang dari melanggar larangan-larangan Allah.

Firman Allah, Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188)

Sayid Qutub menaqalkan tafsiran Ibn Kathir yang berkata: Ujar Ali bin Abi Talhah dan dari Ibn Abbas: Ayat ini mengenai seorang yang menanggung hak harta (orang lain) tetapi tidak ada bukti atau kesaksian yang terang yang boleh dithabitkan ke atasnya. Lalu dia ingkarkan hak harta itu dan berguam di hadapan hakim-hakim sedangkan dia tahu bahawa dia sebenarnya menanggung hak harta itu dan sedar bahawa dia berdosa memakan harta haram.

Demikian juga diriwayatkan dari Mujahid, Said Ibn Jubair, ‘Ikrimah, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi, Muqatil Ibn Hayyan dan Abd al-Rahman Ibn Zaid Ibn Aslam; mereka berkata: “Janganlah engkau berguam sedangkan engkau tahu engkaulah pihak yang zalim.”

Firman Allah: Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil. Ibn al-Jauzi berkata: Sebab turunnya ayat ini bahawa Imr al-Qis bin Amir dan Abdan al-Hadrami berselisih faham berkenaan berkenaan dengan tanah.

Justeru Abdan yang menuntut tanah miliknya sedangkan beliau tidak mempunyai bukti, sebaliknya Imr al-Qis hendak bersumpah.

Lantas Nabi Muhammad s.a.w membacakan ke atasnya ayat al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang membeli dengan janji Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit. Justeru dia merasa tidak selesa untuk bersumpah sehingga tidak mahu mengambil tanah tersebut. Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat jemaah ahli tafsir; antara mereka ialah Said bin Jubair.

Seterusnya perkataan batil memberi dua maksud:
i. Yang mengambilnya tanpa sebenarnya dari pemilik asal seperti mencuri, merampas dan khianat.

ii. Mengambilnya dengan tenang hati tetapi tidak benar seperti hasil judi, harga arak dan lain-lain.


Dikehendaki dengan makan ialah mengambil atau menguasai ibarat dengannya kerana lebih umum keperluan yang diinfak dengannya harta. Di sini disebut harta kamu untuk gambarkan perasaan kesatuan ummah dan saling bantu-membantu di samping memberi peringatan tentang peringatan orang lain sebagaimana harta milik kamu.

Justeru melampau terhadap harta orang lain merupakan jenayah kepada ummah yang semestinya terkena jenayah yang lain. Perkataan batil di sini ialah kalimah yang makruf di sisi manusia dengan pelbagai jenis :
i. Makan riba.

ii. Harta yang didapati dari jalan rasuah.

iii. Sedekah keatas orang yang mampu untuk bekerja sedangkan dia tidak layak untuk menerimanya.

iv. Menjual tangkal azimat untuk menunaikan hajat atau bagi rahmat kepada si mati.

v. Ambil harta manusia secara hak.

vi. Menipu dan khianat.

vii. Mengambil upah dalam acara ibadat seperti solat dan puasa. Ini kerana ibadat merupakan niat dan iradat keran Allah semata-mata untuk mencapai keredaan dan mematuhi arahan.


Kesimpulannya tidak seharusnya bagi manusia untuk mengambil harta dari jalan yang tidak syarie yang boleh memberi mudarat kepada seseorang.

Bantuan

Sebagai suri teladan suka dinukilkan sebuah cerita daripada Imam al-Zahabi di dalam kitabnya al-Kabair: Bahawa Imam al-Auza’ie ketika menetap di Beirut didatangi seorang Kristian untuk meminta bantuannya seraya berkata: Tuan, sesungguhnya Gabenor Ba’labakka telah menzalimiku dan amat berharap agar engkau dapat menulis surat kepadanya berkenaan masalah ku.

Kemudian orang Kristian ini memberi sebekas madu sebagai hadiah. Melihat madu tersebut Imam al-Awza’ie berkata kepadanya: “Pilihlah antara dua, sama ada aku menolak pemberianmu itu dan aku menulis kepada gabenor atau aku menerima hadiah madumu dengan tidak menulis kepada gabenor?”

Si Kristian itu bersetuju untuk mengambil balik pemberiannya. Lantas Imam al-Awza’ie menulis surat kepada Gabenor yang mengandungi arahan supaya mengurangkan cukai ke atas si Kristian ini. Seterusnya dikurangkan sebanyak 30 dirham dengan sebab surat rayuan Imam al-Awza’ie. Lihatlah, betapa warak imam ini daripada terjerumus kepada perkara yang syubhat.

Firman Allah: Dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim. Sebenarnya tugas hakim amatlah mulia apabila mengikut apa yang ditetapkan oleh syariat Allah dengan berhukum dengan seadil-adilnya. Justeru di sini disebut beberapa peringatan daripada Nabi Muhammad s.a.w dan salaf al-soleh berkenaan dengan wazifah (jawatan) hakim antaranya:

i. Hadis riwayat al-Hakim daripada Buraidah al-Aslami, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Hakim itu ada tiga golongan, seorang hakim yang masuk syurga dan dua hakim lagi masuk neraka.

Yang masuk syurga ialah mengetahui hukum yang sebenar dan berhukum dengannya, adapun yang masuk neraka ialah yang mengetahui hukum yang benar tetapi melanggarinya dan hakim yang menghukum tanpa ilmu.

Lantas sahabat bertanya: Apakah dosa hakim yang bodoh itu? Jawab Nabi: Dosanya ialah sepatutnya dia tidak menjadi hakim kecuali belajar terlebih dahulu.

ii. Dalam riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang diberi tugas sebagai hakim maka sebenarnya dia telah disembelih tanpa pisau.

iii. Fudhail bin ‘Iyad berkata: “Sepatutnya seorang hakim itu suatu ketika berada di tempat pengadilannya dan pada satu ketika yang lain hendaklah duduk di rumahnya dan menangisi dan muhasabah dirinya.”

iv. Muhammad bin Wasi’ berkata:
“Orang yang pertama dipanggil pada hari kiamat menuju pada tempat perhitungan amal ialah para hakim.”

Semoga hakim menjadi golongan yang pertama yang mendapat kurniaan syurga Allah s.w.t

Firman Allah: Dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. Dengan cara kamu rasuah pada hakiki ialah untuk mendapat harta manusia sama ada bersaksikan palsu atau sumpah palsu dan seumpamanya.

Pada ayat ini juga memberi peringatan kepada mereka yang bertugas berkaitan dengan mahkamah tidak sayugia bagi mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat menerima perwakilan atau guaman dalam dakwaan yang di yakini bahawa tuannya adalah pendusta atau bohong. Kemudian yang disandarkan dakwaan mereka dengan hujah. Maka ingatlah balasan Allah yang akan diterima.

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Amalan rasuah merupakan amalan yang terkutuk dan pelakunya hendaklah bertaubat kepada Allah kerana Allah bersifat Maha Pengampun.

* Hakim hendaklah seorang yang amanah dan jujur pada agamanya.

* Dengan takwa boleh menjadi manusia selamat daripada terjerumus ke lembah kehinaan.

Takwa dan sabar penyelamat dari tipu daya



Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Sya’rawi berkata: “Tatkala orang Islam bertanya berkenaan dengan alam. Yang demikian jadi dalil bahawa mereka berpaling daripada ciptaan Allah berdasarkan kepada agama mereka mendapati matahari terbit setiap hari tidak berubah, begitu juga bulan yang terbit setiap malam dan berubah yakni bermula daripada kecil pada awal bulan kemudian besar sehingga mengambang.

“Selepas itu mula mengecil seperti asalnya. Mereka perhati apa yang berlaku kepada bulan dan tidak berlaku kepada matahari lantas mereka bertanya Nabi atau sebahagian daripada Yahudi menghendaki kegelisahan daripada orang Islam. Dan berkata kepada mereka, tanyalah rasul kamu berkenaan anak bulan. Bagaimana ia kecil pada permulaannya kemudian menjadi besar. Seterusnya kembali kepada sifat asal.” Persoalan ini dirakam dalam al-Quran melalui firman-Nya.

Mereka bertanya kepadamu tentang anak-anak bulan. Katakanlah! Ia adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan bagi ibadat haji dan kebaktian itu bukanlah memasuki rumah-rumah dari belakangnya, tetapi kebaktian itu ialah mereka yang bertakwa dan memasuki rumah-rumah dari pintunya dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. (Al-Baqarah: 189)

Firman Allah: Mereka bertanya kepadamu tentang anak-anak bulan. Ayat ini sebab turunnya kerana dua orang sahabat Nabi bertanya: Hai Rasulullah! Kenapa anak bulan pada asalnya kecil kemudian membesar dan mengambang, seterusnya kembali seperti sedia kala? Lantas turunnya ayat ini. Ini adalah pendapat Ibn ‘Abbas.

Sayid Qutub berkata: Sesetengah riwayat menerangkan bahawa Nabi s.a.w telah dihadapkan dengan pertanyaan yang telah kami terangkan sebelum ini mengenai anak-anak bulan, iaitu mengenai (rahsia) kelahirannya, perkembangannya dan kesusutannya, mengapa ia jadi begitu?

Sesetengah riwayat yang lain pula bahawa mereka bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w! mengapakah dijadikan anak-anak bulan itu? Pertanyaannya akhir ini lebih dekat dengan cara jawapan iaitu Allah telah berfirman kepada Nabinya s.a.w:

Firman Allah: Katakanlah! Ia adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan bagi ibadat haji. Al-Sonhadji berkata: Allah menerangkan pula masa orang mengerjakan haji kerana Dia tidak lagi membenarkan haji dikerjakan sebagaimana orang-orang jahiliah mengerjakannya, yang kerap menukar-nukar bulannya. Maka hendaklah haji itu dikerjakan pada bulan-bulan yang tertentu.

Sayid Qutub berkata: Yakni tanda-tanda waktu bagi manusia untuk menentukan masa ihlan dan masa ihram mereka, menentukan masa berpuasa dan berbuka mereka, menentukan masa perkahwinan, masa perceraian dan idah mereka, menentukan masa muamalat, perniagaan dan hutang piutang mereka, menentukan segala urusan agama dan segala urusan dunia mereka.

Firman Allah: Dan kebaktian itu bukanlah memasuki rumah-rumah dari belakangnya, tetapi kebaktian itu ialah mereka yang bertakwa dan memasuki rumah-rumah dari pintunya. Menurut al-Zuhri; ayat ini diturunkan kepada orang-orang Ansar dahulu.

Biasanya di dalam ihram umrah mereka tidak mahu dilindung atap rumah dan benda yang melindungi antara langit dengan dirinya. Kemudian apabila mereka masuk ke rumah dibukanya dinding rumah itu atau masuk dari belakangnya supaya terdedah dan terbuka. Ini untuk tidak ada yang melindungi antara dia dengan langit.

*Pembatalan adat

Turunnya ayat ini menjadi perintah untuk menghapuskan adab kebiasaan tersebut sama ada dalam ihram mahupun tidak. Al-Maraghi berkata: Ini merupakan pembatalan adat yang mereka lakukan pada zaman jahiliah apabila mereka haramkan daripada masuk rumah dari belakangnya dan haram masuk rumah daripada depannya. Lantas Allah turunkan ayat ini.

Mengikut riwayat Ibn Abi Hatim dan al-Hakim daripada jabir katanya: Adalah Quraish dipanggil hums (kekerasan dan melampau dalam beragama). Mereka masuk rumah daripada pintu pada masa ihram sedangkan orang ansar dan bangsa arab lain tidak masuk daripada pintu pada masa ihram.

Ketika Rasul berada di kebun, tiba-tiba keluar daripada pintunya dan keluar bersamanya Qutbah bin ‘Amir al-Ansari lantas berkata: Hai Rasul, sesungguhnya Qutbah bin ‘Amir bukan seorang lelaki yang jahat kerana ia keluar bersamamu daripada pintu lantas berkata apa yang membawa kamu melakukan demikian? Jawabnya aku lihat kamu lakukan, maka aku lakukan seperti kamu lakukan. Lantas katanya sesungguhnya aku lelaki kuat pegangan agama. Seterusnya jawabnya sesungguhnya agamaku adalah agama kamu lantas turunnya ayat Allah.

Firman Allah: Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Selepas Allah memberitahu mereka dengan kesilapan mereka ketika datang ke rumah dari belakang dengan sangkaan mereka bahawa adalah dari kebaktian atau kebajikan.

Dalam ayat ini Allah menerangkan kepada mereka kebaikan hakiki iaitu dengan bertakwa kepadanya, meninggalkan segala maksiat dan membuat segala kebajikan, mengikut kebenaran dan beramal dengan amalan yang baik.

Suka diterangkan di sini hakikat takwa seperti yang dinyatakan oleh salaf al-soleh antaranya:

Takwa pada bahasa bermaksud takut atau memelihara. Adapun pada istilah terdapat takrifan yang diberi oleh ulama antaranya:

Saidina Ali r.a berkata: Takwa ialah takut kepada Tuhan al-Jalil, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, reda dengan sedikit, bersedia untuk hari akhirat.

Al-Nasr Abazi rahimahullah berkata: Takwa ialah seseorang memelihara selain daripada Allah.

Abu Bakar Muhammad al-Rauzabari rahimahullah berkata: Takwa ialah menjauhkan apa yang menjauhkan kamu daripada Allah.
 
Zu al-Nun al-Misri rahimahullah berkata: Orang yang bertakwa ialah siapa yang tidak mengotorkan zahirnya dengan sebarang pertentangan dan batinnya dengan sebarang alamat sedangkan dia berdiri bersama Allah dengan penuh kesepakatan.

Ibn ‘Ataillah rahimahullah berkata: Bagi takwa zahir dan batin. Zahirnya dengan menjaga had dan batasan dan batinnya dengan niat dan ikhlas.

Talq bin Habib rahimahullah berkata: Takwa ialah amal dengan ketaatan kepada Allah atas cahaya Allah.

Abu Hafs rahimahullah berkata: Takwa ialah pada perkara halal semata-mata bukan yang lain.

Abu al-Husein al-Zanjani rahimahullah berkata: Siapa yang modal hartanya takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya.

Al-Wasiti rahimahullah berkata: Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya, yakni dari melihat ketakwaannya.

Seterusnya dibincangkan faktor yang mencapai ketakwaan. Dr. ‘Aid al-Qarni berkata, terdapat dua faktor dalam meraih ketakwaan:

Merasakan pengawasan daripada Allah Zat yang maha esa lagi maha tunggal.

Melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan segala bentuk ketaatan.

Natijah takwa seperti kata Imam al-Ghazali berkenaan kelebihan orang yang bertakwa berdasarkan kepada firman Allah, melalui kitabnya Minhaj al-‘Abidin antaranya:

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 186 yang bermaksud: Jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). Ayat ini menunjukkan bahawa dengan bersabar dan bertakwa sebagai tanda kekuatan azam.

Firman Allah dalam surah Ali Imran 120 yang bermaksud: Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Ayat ini menunjukkan bahawa dengan bersabar dan bertakwa selamat dari sebarang tipu daya dan mudarat.

Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 128 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertakwa diberi pertolongan Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Talaq ayat 2 dan 3 yang bermaksud: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertakwa diberi dua kelebihan, pelepasan dan rezeki.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 70 dan 71 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufik dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Ayat ini menunjukkan dengan bertakwa dan bercakap yang benar akan dielokkan amalan seseorang.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 76 yang bermaksud: Maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa. Ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertakwa dikasihi oleh Allah.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Haji mempunyai musim dan waktu yang tertentu.

*Kekuasaan Allah terhadap makhluknya.

*Bertakwa membawa kepada kemenangan dan kebahagiaan.

Perang dibenarkan untuk pertahan Islam


Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah menyebut pada ayat yang terdahulu berkenaan dengan bulan-bulan sebagai penentuan masa bagi manusia dalam acara ibadat dan muamalat mereka lebih-lebih lagi ibadat haji, maka ia pada bulan-bulan khususnya peperangan diharamkan pada masa jahiliah.

Dinyatakan di sini bahawa tidaklah menjadi kesalahan kamu berperang kepada bulan-bulan ini semata-mata mempertahankan agamamu, memutuskan perjanjian bukan kerana habuan-habuan nafsu, syahwatnya dan suka pertumpahan darah.

Sayid Qutub berkata: Selepas itu dikemukakan pula penjelasan mengenai peperangan secara keseluruhan dan mengenai peperangan di kawasan Masjid al-Haram dan di dalam bulan-bulan haram secara khusus. Di samping itu, mengemukakan dakwah kepada infak untuk sabilillah dan dakwah ini mempunyai hubungan yang amat rapat dengan jihad.

Allah berfirman, Dan hendaklah kamu memerangi demi sabilillah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang menceroboh.

Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu jumpai mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusirkan kamu dan penindasan itu lebih buruk daripada pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di kawasan-kawasan Masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu jika mereka memerangi kamu di situ, maka perangilah mereka. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang kafir.

Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi penindasan dan sehingga agama itu untuk Allah semata-mata, kemudian jika mereka berhenti maka tidak ada pencerobohan lagi kecuali terhadap orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah: 190-193)

Sayid Qutub berkata: Bahawa berperang kerana Allah bukan kerana sesuatu matlamat yang lain dari matlamat-matlamat perang yang dikenali umat manusia dalam sejarah peperangan mereka yang panjang.

Berperang sabilillah bukan kerana matlamat kemuliaan, kemegahan dan kedudukan yang tinggi di muka bumi. Ia juga bukan berperang kerana harta rampasan perang dan kerana perolehan-perolehan yang lain.

Bukan berperang kerana kepentingan pasaran-pasaran ekonomi dan bahan-bahan mentah atau berperang kerana mempertuankan satu golongan terhadap satu golongan yang lain atau satu bangsa terhadap satu bangsa yang lain.

Sebaliknya, berperang kerana matlamat-matlamat tertentu, yang kerananya disyariatkan jihad di dalam Islam. Iaitu berperang kerana untuk meninggikan kalimah Allah di muka bumi dan menegakkan sistem hidup-Nya dalam kehidupan manusia. Juga berperang kerana melindungi kaum Mukminin dari tertindas kerana agama mereka dan daripada dihanyutkan oleh kesesatan dan kebejatan.

Selain matlamat-matlamat ini, maka peperangan itu merupakan satu peperangan yang tidak halal menurut hukum Islam. Mereka yang menceburi diri di dalam peperangan itu tidak akan mendapat pahala dan kedudukan di sisi Allah.

Firman Allah: Dan hendaklah kamu memerangi demi sabilillah orang-orang yang memerangi kamu. Syeikh Sya’rawi berkata: Sebab turunnya ayat ini bahawa Rasulullah dan sahabatnya rindu untuk ke Baitullah al-Haram Mekah dengan berumrah.

Mereka datang pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah untuk berumrah. Apabila sampai di Hudaibiah, kaum Quraisy menghalang mereka memasuki kota Mekah hingga berlaku perjanjian dengan syarat-syarat yang pada zahirnya berat sebelah. Tetapi Rasulullah bersetuju walaupun para sahabat protes. Namun, dengan nasihat isterinya Ummu Salamah akhirnya semua mengikut perbuatan Nabi bertahallul.

Mengikut al-Mawardi; terdapat dua sebab yang lain iaitu: ia diturunkan di Madinah untuk memerangi orang musyrikin. Inilah pendapat Ibnu al-Rabi’ dan Ibnu Zaid.

Ia thabit pada hukum di mana ia diperintahkan memerangi seluruh orang musyrikin. Inilah pendapat Ibnu Abbas, Umar bin Abd. al-Aziz dan Mujahid.

Firman Allah: Dan janganlah kamu menceroboh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang menceroboh.

Terdapat tiga pandangan ulama:

* Pencerobohan dengan maksud memerangi golongan yang tidak memerangi mereka.

* Membunuh wanita dan kanak-kanak.

* Berperang bukan atas dasar agama.

Firman Allah: Dan bunuhlah mereka dimana sahaja kamu jumpai mereka. Yakni apabila kamu menguasai mereka.

Firman Allah: Dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusirkan kamu dan penindasan itu lebih buruk dari pembunuhan. Maksud fitnah di sini ialah kekufuran, mengikut pendapat yang ramai. Sesungguhnya dinamakan kufur dengan fitnah kerana ia membawa kepada kebinasaan seperti fitnah.

Firman Allah: Dan janganlah kamu memerangi mereka di kawasan-kawasan Masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu jika mereka memerangi kamu di situ, maka perangilah mereka. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang kafir.

Syeikh al-Maraghi berkata: Sesungguhnya berlaku sunnatullah bahawa dibalas orang-orang kafir dengan balasan ini dan di azab mereka dengan azab itu. Ini kerana mereka menentang dan melanggar had-had yang disyaratkannya. Merekalah yang sebenarnya zalim pada diri mereka kerana mereka memulakan permusuhan.

Firman Allah: Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Jika mereka meninggalkan peperangan terhadap orang Islam dan kekufuran dengan menganut ajaran Islam sudah pasti Allah menerima amalannya kerana Allah bersifat Maha Pengampun lagi Penyayang.

Firman Allah: Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi penindasan dan sehingga agama itu untuk Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti maka tidak ada pencerobohan lagi kecuali terhadap orang-orang yang zalim.

Ayat perangilah yang pertama menerangkan permulaan peperangan dan perangilah yang kedua menerangkan menerangkan matlamat daripadanya iaitu supaya tiada suatu fitnah dalam agama.

Al-Maraghi berkata: Orang-orang Islam pada permulaan Islam dikalahkan dalam urusan mereka sedangkan orang musyrikin dalam kesesatan mereka yang berkuasa ketika itu.

Justeru jadilah Kota Mekah tempat bertapaknya syirik dan Kaabah pula tempat simpanan berhala-berhala, tetapi Allah enggan kecuali menyempurnakan cahayanya. Kemudian Allah memungkinkan bagi orang yang beriman di bumi seterusnya dapat membuka Kota Mekah dan menghancurkan berhala.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Islam mempunyai adab dan peraturan sekalipun dalam peperangan.

*Fitnah merupakan perkara yang amat besar implikasi dan natijah sama ada terhadap individu ataupun masyarakat seluruhnya.

*Ithbat sifat Allah s.w.t. yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

Beberapa larangan dalam ibadat haji





Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maghari berkata: Selepas Allah menyebut amalan-amalan haji dan menerangkan apa yang wajib kepada orang yang terkepung dengan melakukan sembelihan untuk keluar daripada ihram, kemudian Allah menyebut berkenaan dengan masa atau Miqat Zamani bagi ibadat haji.

Begitu juga adab-adab ketika melakukan haji.

Kemudian disudahi dengan menyuruh supaya berpegang dengan adab-adab dan etika baik serta menyediakan bekalan untuk hari akhirat.

Firman Allah: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah: 197)

Zahir nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu iaitu pada beberapa bulan yang tertentu iaitu syawal, Zulkaedah dan 10 hari pertama Zulhijjah. Berdasarkan nas ini tidak sah ihram dengan haji melainkan di dalam bulan-bulan yang ditentukan sahaja, walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum. Pendapat yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hambal.

Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakh’i, al-Thauri dan al-Laith Ibn Sa’ad, sementara pendapat yang pertama pula dipegang oleh Imam al-Syafie dan pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubayr, `Atta’, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan pendapat yang azhar.

Firman Allah: Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Makna al-Rafath ialah perbuatan menyebut kata-kata persetubuhan dan kata-kata yang mendorong ke arahnya sama ada secara umum atau di hadapan perempuan.

Makna al-Jidal ialah perbuatan bertengkar atau berbalah yang menimbulkan kemarahan, dan makna al-Fusuq ialah melakukan maksiat sama ada besar atau kecil. Larangan ini bertujuan meninggalkan segala sesuatu yang bertentangan dengan suasana sopan santun terhadap Allah dan suasana penumpuan diri kepada Allah dalam masa ihram. Juga bertujuan meningkatkan diri dari keinginan-keinginan bumi dan melakukan latihan rohani supaya bergantung kepada Allah sahaja, beradab sopan di rumah-Nya bagi sesiapa yang berkunjung kepada-Nya dengan diri yang bersih dari segala-galanya hingga dari segala pakaian yang berjahit.

Secara tafsirnya orang-orang yang sedang mengerjakan haji itu dilarang mengerjakan perkara-perkara yang berikut:

1. Dilarang mencampuri isterinya sebelum tahallul awal, kerana yang demikian itu akan merosakkan hajinya. Orang yang berbuat demikian akan dikenakan denda (kafarah), iaitu menyembelih seekor unta dan mesti meneruskan pekerjaan hajinya, kemudian mengqada hajinya pada tahun hadapan.

2. Dilarang berbuat maksiat. Berbuat maksiat dalam ayat ini diertikan, segala perbuatan yang terkeluar dari mentaati Allah. Juga diertikan, perkara-perkara yang diharamkan pada masa berpakaian ihram seperti membunuh buruan darat yang tidak buas, mengerat kuku dan mencabut bulu atau rambut. Atau juga diertikan, mengejek-ngejek orang dengan gelaran yang tidak baik.

Dari Abu Hurairah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Barang siapa mengerjakan haji, tiada ia bersetubuh dan tiada berbuat maksiat, kembalilah ia (bersih dari dosa) sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.

3. Dilarang bertengkar, berjidal atau berdebat yang menyebabkan kemarahan antara seseorang dengan yang lain.

Perkara fusuq dan jidal dalam ayat ini adalah ditegah di dalam sebarang masa. Tetapi tersangat besar larangannya jika dilakukan pada waktu mengerjakan haji, kerana sangat buruknya dan tidak layak.

Firman Allah: Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah. Bagi hati seorang mukmin, ketenangan bahawa Allah mengetahui segala kebajikan yang dilakukan olehnya sudah cukup untuk menjadi pendorong ke arah melakukan perbuatan yang baik supaya Allah melihat dan mengetahuinya. Ini sahaja merupakan satu balasan sebelum mendapat balasan akhirat.

Firman Allah: Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). Takwa merupakan bekalan dan makanan hati dan jiwa. Dengan takwa hati mendapat tenaga dan kekuatannya, mencapai kesuburan dan kegemilangannya.

Takwa merupakan tempat pergantungan hati untuk sampai kepada Allah dan mencapai keselamatan, dan orang-orang yang berakal merupakan orang yang pertama dapat memahami bimbingan kepada takwa dan merekalah sebaik-baik orang yang mendapat manfaat dari bekalan takwa ini.

Sebagai penutup penulis menukilkan kisah kefahaman al-Junaid tentang syiar haji melalui Mabadi’ al-Tasawuf al-Islami oleh Syeikh Abdul Hafiz Faraghli Ali al-Qarani -129-130. Iaitu seorang lelaki yang baru menunaikan haji telah datang berjumpa dengan al-Junaid.

Lalu al-Junaid bertanya kepada lelaki tersebut: “Adakah kamu meninggalkan semua dosa-dosa kamu ketika meninggalkan rumah?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Kata al-Junaid: “Sebenarnya kamu tidak pergi mana-mana.” Tanya al-Junaid lagi: “Dan setiap tempat di mana kamu bermalam adakah kamu berhenti untuk Allah.” Jawab lelaki itu: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berhenti dari satu tempat ke satu tempat.” Kemudian ditanya lagi: “Ketika kamu memakai ihram pada tempatnya adakah kamu meninggalkan sifat-sifat basyari (kemanusiaan) tatkala kamu menanggalkan baju kamu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Sebenarnya kamu tidak berihram.”

Ditanya lagi: “Ketika wukuf di Arafah adakah kamu berfikir tentang Allah walaupun dalam satu saat?” Jawabnya: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak wukuf di Arafah. Ketika kamu pergi ke Mudzalifah untuk menunaikan rukun-rukun kamu adakah kamu menolak semua hawa nafsu?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak menunaikannya di Mudzalifah. Ketika kamu bertawaf di Baitullah adakah kamu memahami keindahan ilahi di rumah suci itu?” Jawab lelaki itu: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak bertawaf di Baitullah. Dan ketika kamu bersaie antara safa dan marwah adakah kamu memahami apa itu al-Safa dan al-Muru’ah?” Jawab lelaki tadi: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak bersaie.” Kemudian ditanya lagi: “Ketika kamu sampai ke tempat korban dan kamu berkorban adakah kamu mengorbankan sebab-sebab keseronokan dunia?” Jawabnya lagi: “Tidak.”

Berkata al-Junaid: “Kamu tidak berkorban. Dan ketika kamu melontar Jamrah adakah kamu melontar juga pemikiran-pemikiran jasadmu?” Jawab lelaki tersebut: “Tidak.” Berkata al-Junaid: “Kamu tidak melontar Jamrah bahkan kamu tidak menunaikan haji.”

Inilah kisah yang digambarkan kepada kita, contoh roh ibadat yang diamalkan oleh ahli sufi. Ia menunjukkan sejauh mana mereka mempertingkatkan diri mereka untuk sampai ke darjat yang tinggi dengan menunaikan syiar-syiar agama yang bertujuan untuk beribadat kepada Allah.

Iktibar Ayat :

* Ibadat haji mempunyai Miqat Zamani.

*Disiplin dan sifat mahmudah hendaklah diterapkan dalam masyarakat Islam lebih-lebih lagi ketika melaksanakan ibadat seperti haji.

*Berbekal dalam kehidupan amat wajar lebih-lebih lagi bekalan dengan takwa untuk hari akhirat.

Thursday, August 25, 2011

Harus berniaga pada musim haji


Syeikh al-Maghari berkata: “Tempat yang satu menunjukkan kebersamaan, meninggalkan unsur takbur, inilah hakikat maksud agama. Justeru hendaklah kamu meminta ampun dan beristighfar kepada Allah daripada perbuatan mengubah acara ibadat haji selepas Nabi Ibrahim dan memasukkan unsur-unsur syirik dalam amalan haji.

Sesungguhnya Allah Maha Luas Pengampunan dan rahmat-Nya.”

Kemudian ayat-ayat berikut menjelaskan hukum-hukum haji dan peraturan-peraturannya. Di sini ia menjelaskan hukum hukum menjalankan perniagaan atau mengambil upah atau memberi sewa kenderaan oleh orang yang mengerjakan haji dan hukum ifadhah (bertolak dari Arafah) dan tempatnya, serta zikir-zikir dan istighfar yang seharusnya dibaca selepas ifadhah itu.

Firman Allah: Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani. (Al-Baqarah: 198-199)

Firman Allah: Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Dalam satu riwayat lain dari Abu Saleh Maula Umar (diriwayatkan oleh Ibn Jabir) katanya: Aku berkata (kepada Umar): Wahai Amirul Mukminin! Adakah anda sekalian berniaga di musim haji? Jawab Umar: Bukankah mereka tidak mencari kehidupan mereka melainkan di dalam musim haji?

Perasaan segan dan rasa bersalah berniaga (di musim haji) yang disebut oleh dua riwayat yang pertama dan merasa bersalah memberi sewa dan mengambil upah dalam musim haji yang disebut di dalam riwayat yang ketiga adalah sebahagian dari rasa segan dan bersalah yang ditanam oleh Islam di dalam hati mereka terhadap setiap perkara yang lumrah di masa jahiliah.

Mereka akan menunggu pendapat Islam sebelum melakukannya. Inilah keadaan yang telah kami jelaskan di awal juzuk ini ketika memperkatakan tentang perasaan segan mereka hendak bertawaf di Bukit Safa dan Marwah.

Al-Sonhadji berkata: “Pada zaman Islam, ramai enggan berniaga sebagaimana kebiasaan mereka. Malah ada setengah orang yang kerjanya mengambil upah untuk sara hidupnya, telah digelarkan oleh kawan-kawannya bahawa haji tidak sah. Setelah orang itu mengadu kepada kepada Rasulullah s.a.w mengenai tuduhan itu, maka Rasulullah diam seketika, lalu turunlah ayat ini.”

Sesetengah ulama berkata, perniagaan ini jika dilakukan sehingga mengurangkan pekerjaan hajinya adalah tidak dibenarkan. Tetapi jika tidak mengurangkan, adalah dibenarkan (harus hukumnya). Namun demikian, yang lebih utama hendaklah ibadat haji itu dipisahkan dari kerja lain, kerana yang demikian adalah afdal dan lebih sempurna.

Firman Allah s.w.t: Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Mengikut al-Dohak, setelah Nabi Adam dan Siti Hawa (a.s) terkeluar dari syurga, kedua-duanya dipisahkan oleh Allah. Nabi Adam diturunkan di India dan Siti Hawa diturunkan di Jeddah. Kedua-duanya saling mencari. Akhirnya berjumpa di sebuah padang, lalu mengenali antara satu sama lain. Semenjak itulah tempat tersebut digelarkan Padang Arafah.

Hari itu pun digelarkan hari Arafah dan peristiwa perkenalan itu pun digelarkan peristiwa Arafah. Lalu menjadi satu tradisi dan amalan zaman berzaman, hingga ke zaman kedatangan Islam - yang dijadikannya pula rukun Islam kelima.

Di sanalah seluruh kaum Muslimin dari pelosok dunia ini menghantar perwakilannya untuk berhimpun dan berkenal-kenalan, di samping menyahut (menunaikan) seruan Nabi Ibrahim (a.s) untuk mengerjakan haji.

Arafah adalah tempat wukuf, yakni tempat semua jemaah haji berhenti. Waktunya dari tergelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar sadik pada malam Hari Raya Korban. Wukuf itu menjadi salah satu rukun haji. Siapa yang luput dari masanya, tidak sah hajinya.

Setelah wukuf pada masa tersebut - walaupun hanya sebentar - bolehlah beredar untuk menyempurnakan pekerjaan haji yang lain, dan bila sampai di al-Masy’aril Haram (Muzdalifah), serulah Allah dengan berdoa dan bertalbiah, tasbih dan puji-pujian untuk-Nya.

Sebutlah nama Allah dengan mentauhidkan-Nya dan mengagungkan-Nya, sebagaimana kamu telah ditunjuki-Nya dengan hidayat-Nya, kerana kamu sudah pun sesat sebelum ditunjuki-Nya.

Wukuf di Arafah merupakan tiang seri amalan-amalan haji. Waktunya mulai dari gelincir matahari (Zuhur) hari Arafah -iaitu hari yang kesembilan Zulhijjah - sehingga naik fajar hari korban. Di sana ada satu pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad, iaitu waktu wukuf itu mulai dari awal hari Arafah.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan para Ashab al-Sunan dan disahihkan oleh al-Tarmizi.

Dari al-Sya’bi dari ‘Urwah Ibn Mudharris Ibn Harithah Ibn Lam al-Ta’i katanya: Aku datang menemui Rasulullah s.a.w di Muzdalifah ketika beliau keluar solat lalu aku bertanya kepadanya: Wahai Rasulullah, saya datang dari dari Jabal Tay’i, saya telah mengalungkan kenderaan saya dan memenatkan diri saya. Demi Allah tiada bukti melainkan kami berhenti padanya. Adakah saya mendapat haji? Jawab Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang mengikuti solat kami ini dan wukuf bersama kami hingga kami bertolak dan sebelum ini dia telah wuquf di Arafah sama ada di waktu malam atau di waktu siang, maka sempurnalah hajinya dan habislah kekotorannya.

Al-Masy’aril Haram ialah Muzdalifah. Di sini al-Quran menyuruh berzikir di Masy’aril Haram selepas bertolak dari Arafah. Kemudian ia mengingatkan kaum muslimin bahawa berzikir adalah dari hidayat Allah kepada mereka dan ia merupakan pernyataan bersyukur di atas hidayat ini.

Ia juga mengingatkan tentang keadaan mereka sebelum Allah memberi hidayat kepada mereka.

Firman Allah: Dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Oleh itu, tidak syak lagi khayalan, ingatan dan perasaan mereka perlahan-lahan dipenuhi oleh gambaran-gambaran hidup mereka yang sesat, hina dan mundur yang mencorakkan seluruh sejarah silam mereka.

Kemudian apabila mereka menoleh semula kepada diri mereka untuk melihat kedudukan mereka yang baru yang diangkatkan oleh Islam, iaitu kedudukan di mana Allah telah membimbingkan mereka kepadanya dengan perantaraan agama Islam ini.

Maka sudah tentu mereka akan menginsafi betapa dalam dan kuatnya hakikat ini bertapak dalam seluruh kewujudan atau kehidupan mereka tanpa dapat dipertikaikan lagi.

Firman Allah: Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.

Mengikut riwayat al-Bukhari dan Muslim, orang-orang Quraisy dan yang menganut agama mereka daripada Qabilah Kinanah, Judailah dan Qais yang dikenali dengan ketebalan anutan sentiasa berwukuf pada zaman jahiliah di Muzdalifah kerana merasa mulia daripada berwukuf seperti orang lain di Arafah.

Ini kerana Arafah tanah halal sedangkan Muzdalifah tanah haram. Lantas Allah perintahkan untuk berwukuf seperti orang lain untuk membatalkan adat tradisi mereka.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Kelebihan zikrullah di tempat-tempat yang mulia seperti Masy’aril Haram dan juga pada waktu-waktu yang mulia seperti selepas haji atau solat.

*Petunjuk yang sebenarnya daripada Allah, justeru sewajarnya kita memohon dengan Allah.

*Sifat Allah yang maha pengampun dan penyayang. Oleh itu sewajarnya kita beristighfar dan memohon keampunan darinya.

Larangan bermegah dengan keturunan



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD

Syeikh al-Maghari berkata: Nabi Muhammad s.a.w pernah berkhutbah ketika hajjatul wada’, pada hari kedua dari hari Tasyrik dan menunjukkan kepada umatnya supaya meninggalkan sifat bermegah-megahan dengan keturunan.

Sabda Rasulullah, seraya bersabda: “Hai manusia, ketahuilah Tuhan kamu adalah satu dan ayah kamu adalah satu. Ketahuilah, tiada kelebihan bangsa arab terhadap ‘ajam, begitu ‘ajam terhadap bangsa arab. Tiada kelebihan bagi yang berkulit merah atas yang berkulit hitam dan begitulah bagi yang berkulit hitam atas yang berkulit merah kecuali dengan takwa. Tidakkah aku sampaikan? Mereka menjawab: Rasulullah telah menyampaikan.”

Allah berfirman, Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya. (al-Baqarah: 200 hingga 202)

Firman Allah s.w.t: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Ibn al-Jauzi berkata: Sebab turun ayat ini dengan tiga pendapat:

i. Ahli jahiliah mereka berkumpul pada musim haji lantas menyebut tentang kehebatan nenek moyang mereka dan juga sejarah mereka dengan berbangga diri. Inilah pendapat yang diriwayatkan daripada al-Hasan, ‘Ata’ dan Mujahid.

ii. Orang arab apabila bercakap biasa menyebut: Dan demi ayahmu sesungguhnya mereka telah melakukan yang begini-begini. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Hasan.

iii. Bahawa mereka apabila selesai melaksanakan ibadat haji lantas seorang bangunan di Mina seraya berkata: Ya Allah! Sesungguhnya ayahku seorang yang hebat, banyak harta. Justeru berilah aku sepertinya. Sedangkan tidak menyebut Allah sebaliknya menyebut ayahnya. Inilah pendapat al-Suddi.

Maksud ibadat di sini ialah:

i. Segala perbuatan haji seperti kata al-Hasan.

ii. Menumpahkan darah dengan sembelihan seperti kata Mujahid.

Sedangkan maksud menyebut ayah- ayah mereka dengan empat pendapat:

i. Mereka mengikrarkan dengan ayah mereka.

ii. Mereka bersumpah dengan ayah mereka.

iii. Mereka menyebut ihsan ayah mereka terhadap mereka sedangkan lupa ihsan Allah.

iv. Bahawa kanak-kanak menyebut ayah kerana permulaan percakapan mereka dengan menyebut ayah.

Firman Allah s.w.t: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Maksud kebaikan di dunia di sini dengan tujuh pendapat ulama:

i. Isteri solehah seperti kata Ali.

ii. Ibadat seperti yang diriwayatkan oleh Sufyan bin Husein daripada al-Hsan.

iii. Ilmu dan ibadat seperti riwayat Hisyam daripada al-Hasan.

iv. Harta seperti yang diriwayatkan oleh Abu Wail, al-Suddi dan Ibn Zaid.

v. Kesihatan seperti kata Qatadah.

vi. Rezeki yang luas seperti pendapat Muqatil.

vii. Nikmat seperti kenyataan Ibn Qutaibah.

Kebaikan akhirat pula dengan tiga pendapat:

i. Bidadari seperti kata Ali.

ii. Syurga seperti pendapat al-Hasan, al-Suddi dan Muqatil.

iii. Keampunan seperti diriwayatkan daripada al-Hasan dan al-Thauri.

Sayid Qutub berkata: Di sana ada dua golongan manusia. Satu golongan hanya berminat kepada kesenangan dunia.

Dahulu ada kaum Arab Badwi datang ke tempat wukuf di musim haji dan berdoa: Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah tahun ini tahun hujan, tahun subur dan tahun beranak yang baik. Mereka tidak sedikitpun menyebut perkara akhirat.

Mengikut riwayat daripada Ibn Abbas r.a ayat ini diturunkan mengenai golongan manusia ini, namun begitu tujuannya lebih luas dan lebih kekal dari itu. Golongan manusia seperti ini merupakan contoh manusia yang berulang-ulang di setiap zaman dan tempat.

Mereka adalah golongan manusia yang hanya berminat kepada kesenangan hidup dunia sahaja. Kesenangan ini sahaja yang diingati mereka walaupun ketika mereka bertawajjuh kepada Allah.

Kesenangan inilah yang memenuhi kekosongan jiwa mereka, melingkungi alam hidup mereka dan mengongkong mereka.

Golongan ini mungkin dikurniakan Allah habuan kesenangan mereka di dunia, tetapi di akhirat mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan.

Firman Allah s.w.t: Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan.

Al-Zajjaj berkata: Doa mereka dimustajabkan kerana usaha mereka disini ialah dengan doa dan ayat ini mempunyai kaitan dengan yang sebelumnya kecuali diriwayatkan bahawa ia diturunkan atas sebab yang menyalahi sebab saudaranya yang lain.

Al-Dahhaq meriwayatkan daripada Ibn Abbas, seorang lelaki bertanya: Hai Rasulullah! Ayahku sudah meninggal dan belum melaksanakan ibadat haji. Adakah aku boleh menunaikan haji untuknya?

Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Jika sekiranya ayahmu mempunyai hutang adakah memadai daripadanya jika dibayar? Jawabnya: Ya. Sabda Rasulullah: Maka hutang Allah lebih berhak dibayar.

Firman Allah s.w.t: Dan Allah amat cepat hitungan-Nya. Terdapat lima pandangan ulama:

i. Bahawa ia sedikitnya seperti kata Ibn Abbas.

ii. Bahawa ia amat dekat kedatangannya seperti kata Muqatil.

iii. Bahawa tatkala mengetahui apa yang akan dihisab dan sebelum hisabnya nescaya cepatlah perhitungannya seperti pendapat al-Zajjaj.

iv. Allah amat cepat membalasnya seperti pendapat al-Zajjaj.

v. Dia tidak memerlukan kepada sebarang fikiran seperti kata Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

Iktibar dan pengajaran ayat

* Zikrullah digalakkan selepas selesai ibadat seperti selepas solat atau haji berdasarkan nas-nas yang sahih.

* Prof. Mahmud Yunus berkata: “Bahawa orang yang meminta keselamatan untuk di dunia sahaja, ia tidak akan berbahagia pada hari yang kemudian, kerana memang ia tidak peduli mengerjakan yang halal atau haram. Asal ia beroleh kesenangan di dunia ini.”

* Perkara yang baik ialah orang yang meminta berbahagia di dunia dan akhirat. Permintaannya itu akan diterima oleh Allah, tetapi hendaklah disertakan dengan usaha dan kerja. Adapun semata-mata doa maka tidaklah mendapat kebahagiaan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...