Monday, September 5, 2011

Angkuh



Angkuh atau sombong merupakan satu akhlak mazmumah yang wajar dihindari.Kerana keangkuhan jualah, iblis dicampakkan oleh Allah dari syurga.Angkuh dan ingkar dengan perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s kerana merasakan bahawa penciptaannya daripada api jauh lebih mulia berbanding Adam yang diciptakan dari tanah :

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

(Surah Al-Baqarah :ayat 34)


Di dalam Al-Quran, Allah banyak menyebut tentang persoalan angkuh dan sombong ini.Sebagai contoh, terlalu penceritaan di dalam Al-Quran yang membuka pekung keangkuhan kaum Yahudi.Betapa kaum Yahudi merupakan satu kaum yang cukup angkuh dan sering merasakan bahawa mereka adalah satu kaum pilihan Allah berbanding kaum-kaum yang lain.Kaum Yahudi menganggap mereka adalah umat pilihan, yang tidak akan dikenakan azab seksaan oleh Allah :

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari Yang tertentu”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu Yang tidak kamu mengetahuinya?”
(Al-Baqarah :ayat 80)

Atas dasar itu jualah, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa Rasul terakhir yang diutuskan Allah bukanlah daripada kalangan mereka.

Al-Quran mendedahkan bagaimana kaum ini menolak ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dan tidak terkecuali penolakan mereka terhadap nabi-nabi mereka yang terdahulu sehingga mereka pernah melampaui batasan bila mana mereka bertindak membunuh nabi yang diutuskan kepada mereka.

Kaum ini bertuhankan nafsu dan kemahuan mereka sendiri.Sentiasa merasakan bahawa mereka adalah golongan yang terbaik.Mereka dihijab dengan keujuban dan nafsu mereka sendiri.Mereka seringkali mengkhianati janji yang diikat.Kesombongan dan keengkaran kaum ini yang telah Allah dedahkan di dalam Al-Quran dan ini boleh dirujuk di dalam Surah Al-Baqarah ; ayat 90-93.
90. Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri Dengan mengingkari Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki Bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang Yang kafir itu akan beroleh azab sengsara Yang menghinakan.
 
91. dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa Yang telah diturunkan kepada Kami (Taurat)”. dan mereka ingkarkan (Kitab) Yang lain Yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat Yang ada pada mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa Yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang Yang beriman?”.
 
92. dan Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang Yang zalim.
 
93. dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) Yang Kami berikan kepada kamu itu Dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (Apa Yang diperintahkan kepada kamu Dengan mematuhinya)”. mereka menjawab: “Kami dengar, dan Kami menderhaka”. sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di Dalam hati mereka, Dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad):” amatlah jahatnya apa Yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang Yang beriman”.

Ungkapan mereka “Kami dengar, dan Kami menderhaka” menjelaskan kepada kita betapa ungkapan keimanan itu hanya sekadar bermain di bibir namun tidak dibuktikan dengan perbuatan.Penderhakaan itu menjadi satu manifestasi keingkaran dan kedegilan mereka.Ungkapan yang telah dilafazkan kaum Yahudi ini menunjukkan kepada kita betapa dasar penting yang terkandung di dalam ajaran Islam perlu mematuhi dua elemen iaitu, iman dan Islam.Keimanan kepada Allah perlu dibuktikan melalui amal ibadah yang mana ibadah itulah yang menjadi manifestasi kepada keimanan seseorang hamba.Sebagai pelengkap, ia perlu dihadirkan bersama dengan ihsan, yakni sentiasa merasakan diri diawasi oleh Rabb, selaku pencipta.Tiada nilainya kita mengakui beriman kepada Allah dengan sepenuh hati andai dalam masa yang sama tidak diiringi dengan amal soleh, malah lebih teruk dari itu sekiranya lafaz keimanan itu diucap bersama dengan kemaksiatan yang dilakukan.Contoh paling mudah, bagaimana mungkin seorang wanita Islam yang berpakaian mendedahkan aurat mengisytiharkan bahawa dirinya adalah hamba Mukminah kerana memiliki keimanan yang tinggi di dalam hati, walhal tindakan yang dilakukan adalah jauh menyimpang dari ungkapan yang terlafaz di bibir?

Berbalik kepada persoalan angkuh, mari kita renungkan sejenak..Adakah kita layak untuk memiliki sikap angkuh ini?Tidak kira sama ada keangkuhan kita terhadap sesama manusia apatah lagi terhadap Allah?Bagaimana mungkin kita boleh bersikap angkuh sesama makhluk Allah sebagaimana keangkuhan seorang kaya terhadap yang miskin atau keangkuhan seorang yang dikurniakan rupa paras yang cantik terhadap seorang hamba yang cacat dan serba kekurangan?Semua kita adalah sama sahaja di sisi Allah.Allah tidak pernah sesekali memandang kepada rupa paras mahupun harta kekayaan kita namun taqwa sahajalah yang akan menjadi ukuran dan timbangannya. Untuk apa kita angkuh dan bermegah dengan kekayaan yang dimiliki walhal harta itu adalah pinjaman semata.Kita hanyalah sebagai pemegang amanah sahaja dan Allah berkuasa menyempitkan rezeki kita mengikut kemahuan-Nya.Begitu juga dengan rupa paras elok yang dimiliki..kerana Allah dengan kudrat dan iradat-Nya berupaya menarik balik kecantikan tersebut bila-bila masa sahaja dan paling tidak pun, kecantikan tersebut akan tetap pudar dimamah usia.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu” amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa hanya ketaqwaan sahaja yang menjadi ukuran tahap kemuliaan seseorang di sisi Allah, bukan paras rupa mahupun harta.

Bagaimana pula kita boleh angkuh kepada Allah SWT sedangkan kita adalah hamba-Nya.DIA yang menciptakan kita dan hanya DIA yang berkuasa ke atas segalanya.

“Tidakkah Engkau mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi? dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun Yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.”

(Surah Al-Baqarah : ayat 107)


Allah berfirman lagi ;

“Allah jualah Yang menciptakan langit dan bumi (dengan Segala keindahannya); dan apabila ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” lalu menjadilah ia.”

(Surah Al-Baqarah : 117)

 
Andai terasa ingin jua mempamerkan keangkuhan terhadap Allah, perhatikan seketika.Adakah kita mampu untuk hidup di bumi ini tanpa berpijak atas muka bumi milik Allah?Adakah kita mampu terus bernafas tanpa sesaat pun kita menghirup udara milik Allah?Dan apakah kita berkuasa untuk terus bertahan tanpa memakan sesuap pun makanan dari rezeki Allah?

Lantas, tiada satu pun dalil yang mampu membenarkan tindakan kita untuk terus hidup dengan angkuh di atas dunia ini.Segalanya perlu dikembalikan kepada Allah.Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadaNya jua kita kembali :

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan Yang memiliki dan Menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

(Surah Yaasin : ayat 83)


Kita hanyalah hamba yang terlalu kerdil di sisiNya. Tiada daya dan keupayaan kita untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinanNya jua.

Dunia Yang Menipu



Manusia sanggup lakukan apa sahaja demi merebut dunia.Berapa ramai yang sanggup membunuh, berapa ramai yang menjadi mangsa rompakan dan berapa ramai yang sanggup menzalimi orang lain semata-mata mendapatkan nikmat dunia yang membutakan mata kita ini?

Untuk apa memburu dunia? Walhal dunia hanyalah sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.Keindahan dunia acapkali menyilaukan pandangan mata manusia.Usah sesekali terpana dan terpesona dengan kenikmatan dunia yang hakikatnya hanyalah fatamorgana semata.Pandangan mata selalu menipu, pandangan nafsu selalu melulu..pandangan hati yang disuluh iman jualah yang hakiki.

Dunia hanyalah satu pentas permainan dan hiburan.Benarkah? Andai diperhalusi, ia memang benar dan itulah jua yang disebut oleh Allah di dalam firmanNya :


Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak.”
(Surah Al-Hadiid : ayat 20)




Dunia tidak lebih dari sekadar sebuah pentas permainan dan hiburan. Tempat bersukaria dan bergembira bagi hati-hati yang tidak diisi dengan iman dan taqarrub kepada Allah. Pentas hiburan bagi manusia yang lupa matlamat penciptaannya yang sebenar yang sering terleka dengan permainan dan percaturan hidup yang melalaikan mereka daripada mengingati Allah. Membuatkan mereka sering alpa untuk mengisi hati dan segenap nafas mereka dengan ingatan terhadap yang selayaknya iaitu Al-Khaliq, pencipta mereka.

Perjalanan manusia masih jauh. Dunia sekadar satu persinggahan.Bak seorang musafir yang terpaksa singgah di satu persinggahan untuk berehat setelah penat berkelana bagi melepaskan lelah dan untuk mengumpul kembali bekalan dan kekuatan semangat dan fizikal demi meneruskan lagi saki-baki perjalanan yang masih panjang menuju ke destinasi abadi.Begitulah jua hakikat kembara seorang hamba di atas muka bumi ini.Singgah seketika mengumpulkan bekalan iman dan taqwa untuk meneruskan perjalanan menghadap Allah yang Esa.

Mengapa masih berkira-kira dan teragak-agak dalam mengumpulkan amal kebajikan dan pahala sedang diri tidak pernah ralat atau menyesal dalam berbuat maksiat dan menambah beban dosa?Usah kita golongkan diri kita dalam kelompok manusia yang terus membiarkan diri diselebungi dosa tanpa bertaubat :

Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), Dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) Yang mereka kerjakan.
(Surah Al-Muthaffifin : ayat 14)


Ingatlah, dosa hanya menempah tiket untuk kita ke neraka walhal pahala memandu kita ke syurga.Allah tidak pernah sesekali menzalimi hamba-Nya melainkan kita yang menzalimi diri kita sendiri :

Dan tidaklah ada Yang lebih zalim daripada orang Yang diberi ingat Dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa Yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; Sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka Yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). dan jika Engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka Dengan keadaan Yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
(Surah Al-Kahfi : ayat 57)

Allah tidak pernah meminta balasan atas apa yang DIA kurniakan kepada kita.DIA Maha Pengasih dan Penyayang.DIA berkuasa memberikan dan membalas kebaikan kita lebih banyak daripada apa yang kita infaqkan dengan hati yang ikhlas pada jalan-Nya.

Keindahan dunia hanyalah terlalu kecil nilaiannya untuk diburu berbanding kenikmatan akhirat yang sedia menanti buat hamba-hamba-Nya yang sentiasa taat mengerjakan kebaikan dan amal soleh kerana-Nya.Namun, bukanlah ganjaran syurga semata yang ingin ditagih tetapi redha-Nya jualah yang lebih utama untuk kita cuba peroleh.

Semoga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita agar tidak terpesong dari landasanNya dan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang untung di akhirat kelak serta dijauhkan dari seksa nerakaNya kerana hakikat yang harus kita yakini, bahawa akhirat adalah jauh lebih baik dan kekal berbanding dari dunia dan segala isinya :

“Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal”
(Surah Al-A’laa : ayat 17)

Al Ustaz Dato’ Dr Haron Din saran amal Muawizat.





Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.

Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.

Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyebut ayatul Kursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.

Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.

Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku ‘breakdown’ pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.

“Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus,” katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi.

“Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan ‘mereka’ hingga mereka datang ‘membalas’ pula.”

“Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara,” kata pengamal perubatan Islam itu.
‘Pindahkan’ makhluk halus ke kawasan lain

Ini menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan ‘mereka’ atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.

“Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun ‘memindahkan’ makhluk tersebut ke kawasan yang lain,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah

agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.

Doa tersebut katanya berbunyi begini: “Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka.”
 
Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.


Pelbagai kelibat aneh dikatakan dapat dilihat mangsa
Jangan tinggal solat

“Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering

ditakut-takutkan dengan kewujudan ‘penunggu’ di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya mereka percaya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian seperti histeria.

Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.

“Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan syaitan dan iblis,” katanya..

Memutuskan Silaturrahim



Nabi sebut : ” Tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa kepada saudaranya lebih dari tigas hari, maka jika telah berlalu tiga hari itu, hendaklah dia bertemu dengannya dan memberi salam kepadanya. Jika saudaranya menjawabsalamnya, maka kedua-duanya akan sama-sama memperoleh pahala. Jika dia tidak menjawab salamnya, nescaya dia akan menanggung dosanya sedangkan yang memberi salam itu sudah terlepas dari dosa tidak bertegur sapa itu” ( Riwayat Abu Daud , riwayat dari abu daud ini dhoif tetapi terdapat riwayat sohih dari al-bukhari )

Riwayat bukhari : ” tidak halal bagi seorang muslim tidak bertegur sapa (kerana gaduh) lebih dari tiga hari..yang lebih baik antara keduanya adalah yang memulakan salam” ( al-Bukhari)

Nabi juga sebut : ” Silaturahmi itu tergantung di arasy lalu berkata : “Sesiapa yang menyambungku (silaturahmi) maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan ku maka Allah akan memutuskannya” ( Al-Bukhari 4/112 )

Nabi juga sebut : Tidak masuk syurga sesiapa yang memutus silaturrahim ” ( al-Bukhari)

Al-Qaradawi menyebut bahawa tidak bertegur sapa dalam hadith di atas adalah hasil dari pertengkaran dan pergaduhan berkaitan dunia semata-mata, adapun jika bertengkar dan tidak bertegur sapa berkenaan urusan akhirat, maka hukum 3 hari sebagai maksimum adalah dikecualikan berdasarkan kpd beberapa peristiwa 3 org sahabat yg cicir di Tabuk di boikot lebih 40 hari, Nabi dan isteri baginda, dan beberapa org sahabat lagi. (rujuk al-Halal wal haram fil islam)

Ada juga hubungan renggang dan tidak bertegur sapa yang mungkin dibenarkan kerana ditakuti berlaku mudarat yang besar. Selain itu, ada juga yang renggang bukan kerana pengaruh pergaduhan tetapi kerana berpindah dan duduk berjauhan. Ini semua perlu dilihat satu demi satu bagi memberikan hukum yang sewajarnya.

Tidak Bertegur melebihi 3 hari.
 
Apakah hukum orang yang tidak bertegur selama 3 hari walaupun mereka hidup berjemaah bersama-sama?
 
Jawapannya: Nabi s.a.w bersabda maksudnya; “Siapa yang tidak bertegur sapa akan seseorang Muslim selama 3 hari, maka matinya masuk neraka.” (Muslim)

Hubbud Dunya Wa Karahiyatul Maut





CINTAKAN DUNIA DAN TAKUTKAN MATI

Manusia di akhir zaman sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW ibarat buih yang terapung di dalam air.Bilangan yang banyak namun kualitinya amat rendah.Manusia lemah kerana kelemahan jiwa mereka lantaran dibelenggu dua penyakit iaitu hubbud dunya (cintakan dunia) dan karahiyatul maut (bencikan mati).

Apabila rasa cinta terhadap dunia merajai hati, apa jua tindak-tanduk yang dibuat hanya bermatlamatkan keuntungan dunia yang fana semata-mata. Manusia menjadi silau dengan keindahan dan kemewahan dunia yang sementara.Islam diukur berasaskan material. Nilai keikhlasan dan daya juang makin terhakis dalam diri. Segala kerja dakwah yang disumbangkan harus diganjari dengan wang ringgit atau pangkat.

Tiada lagi timbul kesedaran dalam diri bahawa tugas dakwah adalah amanah dan kewajipan yang akan dipersoalkan di hadapan Allah, sama ada ditunaikan atau diabaikan?Sanggupkah kita memberikan jawapan kepada Allah Yang Maha Berkuasa di hari akhirat kelak bahawa kita tidak dapat menunaikan amanah itu kerana tiada balasan wang ringgit? Sanggupkah?

Kerana cintakan dunia juga, manusia meminggirkan hukum.Harta diburu tanpa mengira sama ada halal atau haram.Tidak peduli rezeki berkat atau tidak, yang penting kemahuan dan nafsu dapat dipenuhi.


Bencikan kematian?Mengapa harus kita benci?Ia pasti datang menjemput kita.Usah kita menjadi seperti sebahagian kaum Yahudi yang tidak pernah bercita-cita untuk mati malah memohon supaya dihidupkan lebih lama lagi kerana mereka risau tentang pembalasan Allah terhadap dosa-dosa yang dilakukan :

“Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, Dengan sebab dosa-dosa Yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang Yang zalim itu.”
(Al-Baqarah ; ayat 95)


Untuk apa memohon dipanjangkan usia andai sekadar untuk dipenuhi dengan maksiat dan kejahatan semata yang bakal mengundang kemurkaan Allah? Biarlah usia kita singkat, namun penuh dengan berkat.
Penghujung kepada kehidupan dunia adalah qiamat.Justeru, qiamat perlu diyakini.Terlalu banyak surah-surah di dalam Al-Quran yang menjelaskan persoalan qiamat seperti Surah As-Sa’ah, Al-Qariah, Al-Haqqah, Al-Zalzalah dan sebagainya.Tidak cukup dengan penerangan di dalam Al-Quran, kajian astronomi turut membenarkan kandungan Al-Quran berhubung hakikat kiamat ini melalui teori bahawa semua benda pasti akan binasa.Tiada satu pun yang kekal, segalanya akan rosak dan musnah.Petanda alam juga cukup untuk menguatkan keyakinan tentang adanya qiamat.Peristiwa tsunami, gempa bumi, banjir, tragedi tanah runtuh dan sebagainya menjadi sebahagian alamat untuk kita fikirkan tentang qiamat PASTI berlaku.

Usah bertangguh.Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan serahkan segalanya kepada Allah :

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan ” taubat Nasuha”, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
(Surah At-Tahriim : ayat 8 )


Tingkatkan pelaburan amalan kita untuk dituai di alam akhirat.Kuatkan mujahadah menepis segala godaan dan bisikan syaitan yang cuba menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.

Saturday, August 27, 2011

Qisas mampu cegah pertumpahan darah

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Albakri

Syeikh Sya’rawi berkata: Sesungguhnya Allah yang Haq mengangkat hukuman dan azab daripada pembunuh apabila diterima qisas dan dilaksanakannya atau apabila dimaafkan dengan membayar diyat (denda).

Akan tetapi Allah tidak menerima selain daripada penggunaan masa-masa yang diberikannya atau peluang bagi makhluk untuk mengangkat dalam perhubungan mereka. Dengan kata lain, Allah tidak menerima untuk dilindungi pembunuh yang telah diberikan kemaafan dan dibayar diyat. Kerana ini merupakan sia-sia yang tidak dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Allah berfirman, Di dalam (undang- undang) qisas kamu mendapat jaminan hidup wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 179)

Firman Allah s.w.t: Di dalam (undang-undang) qisas kamu mendapat jaminan hidup. Syeikh Sya’rawi berkata: Di sini kita dapati bentuk ayat yang datang dengan firmannya: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas. Sedangkan di sini didatangkan dalam bentuk al-Quran: Bagi kamu pada qisas.

Ini menunjukkan betapa mendalam dan kukuhnya syariat yang datang dengan kewajipan dan hak-hak. Maka tiada wajib tanpa hak dan tiada hak tanpa wajib. Hingga kita mengetahui betapa tingginya syariat yang dituntut dari setiap orang yang beriman untuk melihat apa yang wajib daripada taklif dan disertakannya dengan hak. Supaya orang yang beriman dapat memahami cahaya manhaj Allah bagi mendapat keadilan yang mutlak.

Al-Syahid Syed Qutub berkata: Hukuman qisas itu bukannya bertujuan membalas dendam dan memuaskan perasaan dendam kesumat, malah ia mempunyai tujuan yang lebih mulia dan tinggi dari itu lagi, iaitu untuk membela hidup dan untuk kepentingan hidup, malah qisas itu sendiri merupakan hidup. Selain itu, ia bertujuan supaya manusia berfikir tentang hikmat undang-undang qisas itu dan supaya menggerakkan dan merangsangkan hati mereka ke arah takwa kepada Allah.

Hidup yang wujud dalam undang- undang qisas itu adalah terbit dari tindakan mencegah penjenayah-penjenayah dari awal-awal lagi dari melakukan pencerobohan, kerana orang yang yakin bahawa dia pasti membayar dengan nyawanya apabila dia membunuh orang tentulah dia akan berfikir panjang dan tentulah dia akan teragak-agak (untuk melakukan pencerobohan).

Ia juga terbit dari kepuasan hati wali-wali darah ketika berlakunya pembunuhan qisas itu kerana ia tidak lagi menaruh perasaan dendam kesumat dan keinginan menuntut bela, iaitu satu keinginan yang tidak mengenal batas di dalam kalangan suku-suku Arab sehingga terus menerus menimbulkan peperangan-peperangan yang terputus-putus selama 40 tahun sebagaimana yang berlaku di dalam peperangan al-Basus yang terkenal di sisi mereka.

Ia sebagaimana kita dapat lihat dalam kehidupan kita (orang-orang Arab) pada hari ini sehingga darah hidup itu mengalir di dalam pembunuhan-pembunuhan membalas dendam di antara keluarga generasi demi generasi dengan tidak berhenti-henti.

Di dalam undang-undang qisas terdapat jaminan hidup dalam ertikatanya yang syumul. Ini kerana pencerobohan di atas semua nyawa dan semua manusia yang hidup yang mempunyai sifat hidup yang sama dengan si mati yang dibunuh.

Apabila undang-undang qisas dapat mencegah penjenayah dari mencabut satu nyawa, maka bererti ia dapat mencegah penjenayah itu dari menceroboh seluruh nyawa yang lain. Pencegahan itu memberi jaminan hidup yang mutlak, iaitu ia bukan hanya memberi jaminan hidup kepada satu individu, kepada satu keluarga, kepada satu kelompok, malah memberi jaminan kepada hidup seluruhnya.

Kemudian ayat ini merangsangkan kesedaran supaya memikirkan hikmat kebijaksanaan Allah dan supaya bertaqwa kepada Allah yang menjadi faktor terpenting dan pengaruh utama untuk memelihara keselamatan nyawa.

Firman Allah: Wahai orang-orang yang berakal. Maksud Ulul al-Bab atau yang berakal ialah merangkumi dua perkataan: Ulu yang bermaksud tuan, empunya atau pemilik manakala al-Albab pula membawa maksud hati. Dalam Lisan al-Arab 8/16, oleh Ibn Manzur menyebut definisi al-Albab:

Ibn al-A’rabi berkata: “Albab ialah albal yang bermaksud akal.”

Dengan maksud beradab.

Dengan maksud keluasan.

Dengan maksud kesuburan.

Dengan maksud keamanan.

Dengan maksud di hadapan.

Al-Ahmar berkata, Lub ialah tapisan seperti tanah atau pasir yang halus.

Dengan maksud tempat sembelihan daripada sesuatu. Sebahagian pendapat di atas disebut dalam al-Mua’jam al-‘Arabi al-Asasi, halaman 1068.

Para Ulu al-Albab berfikir dan merenungi kejadian langit dan bumi dan kejadian pertukaran malam dan siang, kemudian menerima ilham-ilham dari kitab alam buana yang terbuka itu, di mana fitrah mereka menyambut saranan kebenaran yang tersembunyi di dalam kejadian alam-alam buana itu lalu mereka bertawajuh kepada Allah mengangkat doa yang khusyuk menggeletar, panjang dan mendalam kemudian menerima sambutan daripada Allah yang Pemurah dan Maha Pengasih yang memperkenankan doa mereka yang ikhlas dan mesra itu. Apakah hakikat penerimaan itu?

Firman Allah: Supaya kamu bertakwa. Ibn al-Jauzi menyebut dua pandangan berkenaan dengan maksud takwa di sini:

Pertama: Supaya kamu bertakwa daripada menumpahkan darah seperti kata Ibn ‘Abbas.

Kedua: Mudah-mudahan kamu bertakwa daripada membunuh dan kamu tidak dibunuh dengan sebabnya seperti kata Ibn Zaid.

Takwalah satu-satunya tali yang mengikat hati manusia dari melakukan pencerobohan, iaitu pencerobohan memulakan pembunuhan dan pencerobohan membalas bela. Takwa ialah kepekaan hati dan perasaannya yang sentiasa takut kepada Allah, sentiasa segan mendapat kemurkaan-Nya dan sentiasa menurut keredaan-Nya.

Tanpa ikatan takwa, syariat tidak mungkin tegak, undang-undang tidak akan berjaya dan tiada seorang pun yang merasa malu-malu dan segan. Peraturan-peraturan yang kosong dari roh, dari kepekaan, dari ketakutan dan dari keinginan mendapat keredaan dari satu kekuatan yang lebih besar dari kekuatan manusia adalah tidak cukup (untuk mencegah manusia).

Abi al-Hasan Ali al-Nadwi berkata: Sehingga apabila nafsu kebinatangan manusia menjadi liar di suatu ketika dan terjatuh dalam suatu kesalahan. Iaitu semasa ia tidak dilihat oleh orang lain dan tidak dapat ditangkap oleh undang-undang.

Maka keimanan akan berubah menjadi jiwa yang memberi kecaman dan kritikan yang tajam yang mencubit hati nurani, menimbulkan khayalan yang menakutkan dan menyebabkan tuannya tidak dapat mencapai ketenangan sehingga ia mengakui kesalahannya di hadapan undang-undang. Ia juga menyerahkan dirinya kepada hukuman yang berat dan bersedia menanggungnya dengan hati yang tenang dan rela untuk menjauhkan dirinya dari kemurkaan Allah dan balasan akhirat.

Iktibar dan pengajaran ayat:

lKeadilan tasyrik Ilahi kerana penciptanya adalah Allah s.w.t yang bersifat dengan sifat kesempurnaan.

lPelaksanaan qisas merupakan jalan penyelesaian yang paling baik dengan syarat-syarat dan dowabit yang tertentu.

Syeikh al-Maghari berkata: Apabila qisas merupakan kehidupan yang dilaksanakan sudah tentu kamu akan selamat dari sebarang pertumpahan darah. Justeru orang yang berakal amat berkeinginan untuk hidup dan menjaga dirinya dari terbabit dengan hukuman qisas.

Wajib berwasiat apabila didatangi tanda kematian


Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syeikh al-Maghari berkata: Kalam pada ayat yang terdahulu berkenaan dengan qisas terhadap pembunuhan yang merupakan satu daripada jenis-jenis kematian. Maka amat munasabah disebut apa yang ditentu bagi siapa yang hampir mati untuk berwasiat.

Ucapan ini adalah umum kepada seluruh manusia supaya berwasiat dengan sesuatu yang baik. Lebih-lebih lagi ketika keadaan hampirnya sebab-sebab kematian dan zahirnya alamat tersebut supaya jadilah penutup amalan mereka dengan kebaikan dan telah terdahulu bahawa kita menyebut berkenaan dengan ummah atau bangsa yang saling bantu membantu secara takaful.

Ia ditujukan kepada orang ramai sebagaimana ditujukan pada orang perseorangan. Melaksanakan hak-hak syariah bagi orang perseorangan tidaklah sempurna kecuali dengan sikap tolong menolong dan bantu-membantu dengan segala arahan-Nya dan larangan-Nya. Apabila sebahagian tidak dapat melaksanakannya maka yang lain juga perlu melaksanakannya sebagai kewajipan bersama.

Allah berfirman, Diwajibkan ke atas kamu apabila seseorang kamu didatangi (gejala-gejala) mati, jika ia meninggalkan harta yang banyak hendaklah ia berwasiat untuk ibu bapa dan kerabat-kerabatnya dengan suatu habuan kebaikan sebagai kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa.

Kemudian barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah didengarnya, maka dosanya (dibebankan) ke atas orang-orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha mendengar dan Maha Melihat.

(Akan tetapi) barang siapa yang merasa bimbang terhadap pembuat wasiat itu melakukan sesuatu yang tidak adil atau membuat sesuatu dosa dalam wasiatnya lalu ia bertindak mendamaikan antara pewaris-pewaris, maka tidaklah berdosa kepadanya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih. (Al-Baqarah: 180-182)

Firman Allah s.w.t: Diwajibkan ke atas kamu apabila seseorang kamu didatangi (gejala-gejala) mati, jika ia meninggalkan harta yang banyak hendaklah ia berwasiat.

Ibnu al-Jauzi berkata: Terdapat enam pendapat berkenaan berlakunya wasiat pada kadar harta:

Pertama: 1,000 dirham ke atas, mengikut riwayat Ali dan Qatadah.

Kedua: 700 dirham ke atas, seperti Towus daripada Ibnu Abbas.

Ketiga: 40 dinar ke atas, seperti riwayat ‘Ikrimah daripada Ibnu Abbas.

Keempat: Harta yang banyak melebihi nafkah keluarga.

Kelima: Daripada 1,000 dirham hingga ke 500 dirham seperti kata Ibrahim al-Nakha’ie.

Keenam: Harta sama ada sedikit atau banyak, seperti riwayat Ma’mar daripada Zuhri.

Seterusnya, apakah hukum wasiat? Terdapat dua pandangan mengenai hal ini. Pertama; hukumnya sunat. Kedua; hukumnya wajib dan ia lebih sahih berdasarkan maksud ayat dengan kalimah kutiba.

Walaupun begitu Ibnu Umar berkata: Ayat ini dinasakhkan dengan ayat pewarisan.

Firman Allah s.w.t: Untuk ibu bapa dan kerabat-kerabatnya dengan suatu habuan kebaikan sebagai kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa.

Wasiat untuk kedua ibu bapa dan kaum kerabat merupakan satu kefarduan jika seseorang itu akan meninggalkan harta kekayaan. Kata-kata khair di dalam ayat ini ditafsirkan dengan erti kekayaan. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kadar harta kekayaan yang diwajibkan wasiat itu.

Pendapat yang rajih ialah penentuan ini merupakan satu persoalan pertimbangan mengikut adat. Sesetengah ulama berpendapat seseorang itu tidak dikatakan meninggalkan harta kekayaan jika ia tinggalkan harta kurang daripada 60 dinar.

Menurut satu pendapat yang lain, 80 dinar dan satu pendapat lagi 400 dinar dan satu pendapat yang lain pula 1,000 dinar.

Tidak syak lagi bahawa kadar peninggalan yang dikira sebagai satu kekayaan yang memerlukan wasiat itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman dan dari satu masyarakat ke satu masyarakat.

Ayat-ayat mengenai hukum pusaka diturunkan selepas ayat-ayat wasiat ini. Ia menentukan bahagian-bahagian kepada pewaris-pewaris dan menjadikan ibu bapa sebagai pewaris dalam segala keadaan. Oleh sebab itulah kedua-duanya tidak mendapat habuan wasiat kerana tidak ada habuan bagi pewaris berdasarkan sabda Rasulullah.

Firman Allah s.w.t: Sesungguhnya Allah telah memberi setiap yang berhak itu haknya masing-masing oleh itu tiada habuan wasiat bagi pewaris. Adapun kaum kerabat maka nas wasiat itu secara umumnya kekal untuk mereka, iaitu sesiapa yang mendapat bahagian pusaka yang ditentukan oleh ayat-ayat pusaka maka ia tidak dapat bahagian wasiat, dan sesiapa yang tidak mendapat bahagian pusaka maka nas wasiat di sini mencakupi mereka.

Inilah pendapat sebahagian sahabat dan tabi’in yang kami pegangi. Tujuan memberi hak wasiat kepada yang lain selain para pewaris dapat dilihat dengan jelas dalam kes-kes yang memerlukan hubungan yang baik dengan sesetengah keluarga apabila mereka tidak mendapat bahagian pusaka mengikut penentuan ayat-ayat pusaka kerana mereka telah dihijab oleh pewaris yang lain.

Ini merupakan satu daripada bentuk-bentuk takaful am kekeluargaan di luar sempadan pusaka. Oleh sebab itulah ayat ini menyebut kata-kata kebaikan dan takwa.

Firman Allah: Dengan (suatu habuan) kebaikan sebagai satu kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa. Yakni dalam wasiat ini seseorang itu janganlah menganiayai para pewaris dan jangan pula mengabaikan kerabat-kerabat yang bukan pewaris, dan hendaklah ia berpandukan taqwa dengan adil dan saksama, dengan membuat kebaktian dan pemberian budi yang baik.

Namun demikian al-Sunah membataskan wasiat itu tidak melebihi kadar 1/3 dan 1/4 itu adalah afdal supaya kepentingan pihak pewaris tidak digugatkan dengan kerabat yang bukan pewaris.

Ini bererti urusan wasiat itu dilaksanakan mengikut dasar undang-undang dan semangat takwa dan itulah sifat-sifat, peraturan-peraturan kemasyarakatan yang diwujudkan oleh Islam dengan penuh keselarasan dan aman damai.

Oleh itu sesiapa yang mendengar wasiat maka ia akan menanggung dosa jika ia mengubahkan wasiat itu selepas kematian si mati yang diwarisi (pemberi wasiat), dan si mati ini tidak berdosa dengan pengubahan itu.

Firman Allah:
Kemudian barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah didengarnya, maka dosanya (dibebankan) ke atas orang-orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha mendengar dan Maha Melihat. Kata Sayid Qutub, Allah menjadi saksi atas apa yang didengar dan diketahui olehnya. Dialah saksi si mati yang diwarisi, dan Dia tidak akan mempersalahkan perbuatan pengubahan wasiat yang dilakukan selepas kematiannya, dan Dialah saksi terhadap orang yang mengubah wasiat itu dan mengenakan dosa perbuatan ke atasnya.

Hanya terdapat satu kes sahaja, di mana penerima wasiat boleh mengubah wasiat pemberi wasiat, iaitu apabila dia mengetahui bahawa pemberi wasiat itu bertujuan memilih kasih atau menzalimi pihak pewaris dengan wasiat itu.

Dalam kes yang seperti ini tidak menjadi kesalahan bagi pihak yang mengendalikan pelaksanaan wasiat itu bertindak dan dapat memulangkan perkara itu kepada keadilan dan kesaksamaan.

Firman Allah: (Akan tetapi) barang siapa yang merasa bimbang terhadap pembuat wasiat itu melakukan sesuatu yang tidak adil atau membuat sesuatu dosa dalam wasiatnya lalu ia bertindak mendamaikan antara pewaris-pewaris, maka tidaklah berdosa kepadanya. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha pengasih. Sayid Qutub berkata: Perkara ini terserah kepada keampunan dan rahmat Allah terhadap kedua-dua pihak itu dan dan terikat kepada pemeliharaan Allah dalam semua keadaan. Itulah jaminan terakhir bagi keadilan dan kesaksamaan.

Demikianlah kita dapati urusan wasiat itu diikatkan dengan ikatan yang sama dengan ikatan yang mengikat urusan qisas sebelum ini. Ikatan inilah juga yang mengikat segala perkara di dalam urusan kefahaman dan pemikiran Islam dan urusan masyarakat Islam.

Iktibar dan pengajaran ayat:

* Wasiat amat penting dalam kehidupan manusia.

* Takwa merupakan kemuncak perhambaan kepada tuhannya.

* Mewasiatkan dengan kebaikan kepada waris berhubung dengan isu harta amat penting supaya tidak berlaku persengketaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...