Tuesday, September 6, 2011
KISAH RASULULLAH DAN KUCINGNYA
Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza.
Suatu ketika, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Kerana tidak mahu mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya.
Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan tunduk sujud kepada tuannya. Sebagai balasan, nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing baginda itu sebanyak 3 kali.
Dalam peristiwa lain, setiap kali Nabi menerima tetamu di rumahnya, nabi selalu menggendong mueeza dan di taruh di pahanya.
Salah satu sifat Mueeza yang nabi sukai ialah dia selalu mengeow ketika mendengar azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara adzan.
Kepada para sahabatnya, nabi selalu berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan, seperti menyayangi keluarga sendiri.
Hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan manja ini sangatlah berat, dalam sebuah hadis shahih Al Bukhori, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya, dan tidak pula melepas kucingnya untuk mencari makan sendiri.
Nabi SAW pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah siksaan neraka.
Tak hanya nabi, isteri nabi sendiri, Aisyah binti Abu Bakar Ash Shiddiq pun amat menyukai kucing, dan merasa amat kehilangan dikala ditinggal pergi oleh si kucing.
Seorang sahabat yang juga ahli hadis, Abdurrahman bin Sakhr Al Azdi diberi jolokan Abu Hurairah (bapak para kucing jantan), kerana kegemarannya dalam merawat dan memelihara berbagai kucing jantan dirumahnya.
Ada sesetengah dari kita sanggup membiarkan kucing kelaparan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui balasannya.
BEBERAPA PERINTAH DAN LARANGAN ALLAH DI DALAM SURAH AL-MUDASSIR (AYAT 1-7)
Tujuh pedoman yang disebut di dalam ayat tersebut perlu difahami secara sekaligus dalam rangka menunaikan kewajipan terhadap keluarga, bangsa dan agama.
1. Hai orang yang berselimut
Suatu makna yang terkandung dalam ayat ini membawa pengertian bahawa berselimut tidak sekadar terbatas kepada berselimut secara zahir tetapi lebih jauh lagi supaya jangan berselimut dengan fikiran dan khayalan serta lmunan yang menghantui perasaan. Mestikah kita masih berselimut dengan khayalan tentang kejayaan masa lalu yang pernah kita nikmati, tanpa berusaha lagi untuk meningkatkan usaha kita itu?
2. Bangunlah dan berikanlah peringatan
Kita disuruh bangkit dari khayalan, bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk lebih berjaya.Seorang muslim harus sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran dan tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai.
3. Agungkan Tuhanmu
Perintah ini menyeru supaya kita bertauhid kepada Allah.Menjunjung tinggi akan kebesaran dan kekuasaanNya.Melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya serta berusaha mempraktikkan segala ketentuan-ketentuan Allah dalam kehidupan.
4. Bersihkanlah pakaianmu
Bukan hanya baju tetapi otak juga harus diberi pakaian dengan ilmu yang bermanfaat, sikap dan tindak-tanduk kita harus diberi pakaian dalam bentuk akhlak yang mulia.
5. Tinggalkan perbuatan dosa
Perbuatan-perbuatan yang akan menimbulkan dosa hendaklah kita tinggalkan seperti meminum minuman keras, berjudi, mencuri, menganiaya orang lain, berzina dan sebagainya kerana perbuatan dosa tersebut hanya akan membawa kita ke lembah neraka.
6. Jangan memberi kemudian mengharap balasan yang lebih banyak
Bersedekah, memberi dan menolong orang lain itu lebih baik dan mendapat balasan pahala dari Allah daripada menjadi orang yang suka meminta-minta.Jangan pula mengharap upah yang lebih dari ketentuanya, namun mintalah sekadar sesuai dengan tenaga dan usaha yang kita lakukan terhadap sesuatu pekerjaan itu.
7. Bersabarlah kerana Allah
Sentiasa bersabar dan bertawakkal atas segala ujian yang Allah hadapkan kepada kita dan seterusnya sentiasa berusaha mengatasi kesulitan itu.Doa menjadi perisai bagi meukmin dalam menghadapi kesulitan hidup.
Anugerah Kebaikan di Dunia
1. Mendapat taufik dan hidayah Allah s.w.t.
Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang dibantu oleh Allah untuk mengamalkan Islam.
2. Diberi kefahaman dalam agama
Untuk amalkan Islam perlukan kefahaman. Siapa yang diberi kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan di dunia. Orang Islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidupnya tidak akan benar-benar selamat dan tak mampu menyelamatkan orang lain.
3. Dapat berbuat amalan soleh
Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.
4. Mendapat ilmu yang bermanfaat
Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara baik dan selamat.
5. Mendapat isteri yang solehah
Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah.
6. Mendapat zuriat penyejuk hati
Betapa sejuknya hati kalau anak-anak taat, hormat dan tahu berbakti. Tanpa tiga perkara ini, tidak ada erti kepandaian, kedudukan dan jawatan tinggi yang dibangga-banggakan pada anak. Anak yang baik akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita terus mengalir kepada kita dan kita juga menerima kebaikan dari doa mereka.
7. Mendapat kawan-kawan yang solihin
Perkara ini juga disebut dalam hadis sebagai tanda kebahagiaan. Kawan yang baik akan tegur kesalahan kita dan mengajak kita buat baik. Kawan yang soleh atau solehah ini akan bawa kita ke jalan hidup selamat. Mereka tempat berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.
8. Kesihatan dan kesejahteraan
Dengan kesihatan yang baik, banyak perkara dapat dilakukan dalam hidup ini. Orang Mukmin memanfaatkan kesihatan untuk buat sebanyak mungkin kebaikan sebelum datangnya sakit. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup.
9. Panjang umur di dalam ketaatan
Hampir setiap orang mahu hidup lama, kecuali orang yang putus asa dengan hidup. Paling baik kalau dapat panjang umur sambil berbuat ketaatan kepada Allah dan mendapat nikmat ketenangan. Orang Mukmin adalah orang yang hidupnya penuh ketenangan.
13. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah
Hidup tidak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci, keluh-kesah dan lain-lain sifat mazmumah. Tidak hairanlah dikatakan, orang yang bersih hatinya dari sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan di dunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah.
14. Mati di dalam kebaikan (Husnul Khotimah)
Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia bagi orang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat.
Kelebihan Bersedekah
‘Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan.Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya’. (Riwayat Muslim)
Sedekah berasal dari kata sadaqa yang bererti benar. Orang yang suka bersedekah adalah orang yang benar pengakuan imannya. Menurut terminologi syariat, pengertian sedekah sama dengan pengertian infaq iaitu mengeluarkan sebahagian dari harta untuk suatu kepentingan yang diperintahkan Islam.
Namun begitu, sedekah memberi maksud yang lebih luas daripada infaq kerana infaq hanya berkaitan dengan material, manakala sedekah merangkumi material dan non-material.
Walaupun kebanyakan kalimah sedekah yang disebut dalam Al-Quran membawa maksud berzakat, namun perkara yang diperhatikan adalah bahawa, jika seseorang itu telah berzakat tetapi masih mempunyai kelebihan harta, sangat dianjurkan untuk berinfaq dan bersedekah. Selain daripada sedekah wajib, umat Islam digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda kesyukuran akan nikmat yang dikurniakan Allah terutamanya nikmat Islam.
Perbandingan sedekah menurut Al-Quran
“Bandingan pemberian orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”. ( Al-Baqarah : 261 )
Dipanjangkan umur dan mencegah ajal yang buruk
Maksud sabda Rasulullah saw : “Sesungguhnya sedekah seseorang muslim itu memanjangkan umur dan mencegah dari mati dalam keadaan buruk dan Allah Taala pula menghapuskan sikap sombong dan membangga diri si penderma dengan sebab sedekahnya” ( H.R. Tabrani )
Menolak bala bencana
Maksud sabda Nabi saw : “Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah”
( H.R Al-Baihaqi )
Selagi peluang masih ada
Dari Abu Hurairah r.a katanya : Seorang lelaki menghadap Rasulullah saw lalu bertanya : Wahai Rasulullah! Sedekah mana satu yang lebih besar ? Nabi saw menjawab : Engkau bersedekah ketika sihat dan sangat sayangkan hartamu; ketika engkau takutkan kepapaan dan berharap hendakkan kaya-raya. Janganlah engkau bertangguh untuk bersedekah, sehingga apabila nyawa sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata : Aku mahu bersedekah untuk si anu.. sekian untuk si anu dan sekian lagi untuk si anu ( H.R Al-Bukhari )
Tiada Paksaan
“Mai..kenapa pakai seksi-seksi dan dedah aurat macam ni? Sebagai wanita Islam, kita wajib tutup aurat,”lembut nasihat seorang ibu kepada anak gadisnya.“Alah..ibu ni kolot betul. Ni kan fesyen terkini.Lagipun, suka hati Mai la, nak pakai seksi ke nak pakai apa, bukanke tidak ada paksaan dalam agama?” jawab si anak kasar.
Pasti tersentak jantung si ibu mendengar jawapan yang cukup biadab diucapkan oleh anak kesayangan. Di hati kecil, si ibu sedih kerana anak yang diasuh selama ini tega menderhaka dan engkar terhadap hukum Allah atas alasan tidak ada paksaan dalam agama.
Kerapkali mereka yang dangkal pemikirannya dan lemah pula imannya menggunakan dalil Surah Al-Baqarah ayat 256 tersebut sebagai satu hujjah membenarkan kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan.
Ayat di atas perlu difahami dan diperhalusi sebaik mungkin. Hadamkan makna yang terkandung di dalamnya.Konsep tidak ada paksaan dalam agama ini lebih menjurus kepada golongan non-muslim, di mana kita tidak berhak untuk memaksa mereka untuk memilih Islam. Sebagai Muslim, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan adalah dengan sentiasa menyebarkan dakwah melalui pendekatan berhikmah, menunjukkan teladan yang baik dan bersabar dalam usaha tersebut. Tidak perlu mendesak mahupun memaksa.Biar segalanya datang daripada keikhlasan sendiri, dan akhirnya mendorong mereka menganuti Islam yang suci ini.
Hidayah adalah urusan Allah dan DIA berkuasa memberikannya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. DIA juga berupaya menyesatkan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.Rasulullah SAW sendiri amat berdukacita atas ketidakupayaannya mengislamkan bapa saudaranya Abu Talib yang selama ini menjadi pelindung dan tulang belakang perjuangan baginda selama ini.
Bagaimana pula dengan kita yang sudah bergelar Muslim? Adakah konsep tidak ada paksaan ini turut terpakai buat kita? Tatkala kita mengakui Allah itu Tuhan dan Nabi Muhammad SAW itu Rasul Allah maka secara automatiknya kita adalah terikat dengan hukum-hakam ataupun peraturan yang terkandung di dalam Islam merangkumi solat, puasa, menutup aurat, berzakat dan pelbagai lagi kewajipan yang difardhukan ke atas kita.Selagi bernama Muslim, kita diharamkan berzina, minum arak, merogol, mencuri, membunuh dan yang sewaktu dengannya.
Mengapa perlu merasa terkongkong dengan syariat yang ditetapkan Allah ini?Adakah kerana nafsu kita teruja untuk menikmati kehidupan yang bebas tanpa batasan? Tanpa ada larangan untuk meneguk air kencing syaitan, bersekedudukan dengan yang bukan muhrim,meraih rezeki dengan jalan rasuah ataupun tiada halangan untuk menzalimi pihak lain? Yakinkah kita bahawa akan wujud jaminan kebahagiaan dan ketenangan andai itu jalan hidup yang kita pilih? Hakikatnya, Allah tidak akan mencampakkan sakinah atau ketenangan ke dalam hati hamba-hamba yang terpesong dan derhaka kepadaNya.
Adalah lebih baik andai kita dapat bersabar seketika dalam menghadapi penjara dunia (andai merasakan syariat itu sebagai satu sekatan) berbanding kedahsyatan penjara akhirat iaitu azab neraka yang amat pedih.Biar kita terkongkong sebentar daripada diseksa selama-lamanya di akhirat kelak.
Kita tidak akan merasakan hukum Allah sebagai satu kekangan mahupun bebanan andainya kita benar-benar memahami hakikat diri kita sebagai hamba.Menunaikan solat tidak dianggap sebagai melepaskan tanggungjawab semata tetapi dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan tawadhuk atas dasar kita sebagai hamba Allah.Solat ditunaikan untuk mengekspresikan rasa rendah diri, syukur dan berterima kasih atas nikmat dan perlindunganNya selama ini. Jiwa terasa bahagia tatkala mengadapNya, ibarat seorang lelaki yang tidak sabar bertemu insan yang dicintai.
Islam agama yang mudah dan tidak sesekali membebankan penganutnya namun ajarannya tidak boleh sesekali dipandang mudah.Dua perkara yang cukup berbeza untuk diperhalusi oleh kita semua.Allah lebih mengetahui tentang diri kita kerana DIAlah Pencipta kita.Segala apa yang disyariatkanNya bukan bertujuan menyusahkan ataupun membebankan kita melainkan terkandung seribu satu maslahah untuk direnungkan dan difikirkan bersama.
Allah tidak menanggung sebarang kerugian atas penderhakaan kita kerana DIA maha Berkuasa atas segalanya namun kita sebenarnya seakan menzalimi diri sendiri andai perintahNya kita ingkari. Latihan yang konsisten, keazaman yang tinggi dan hati yang ikhlas pasti berupaya memacu kita untuk terus mematuhi syariatNya tanpa ada sekelumit pun rasa terpaksa.
Ikhlaskah Kita??
Ikhlaskah kita dalam melaksanakan perintah Allah, umpamanya solat? Adakah kita melaksanakannya sekadar melepaskan rasa tanggungjawab atau kita mengerjakannya kerana rasa cinta dan rindu yang mendalam untuk bertemu dengan Kekasih kita?
Beratkah hati kita untuk menghulurkan derma sekadar RM 1 kepada anak-anak kecil yang datang meminta sedekah daripada kita? Atau kita bersedia dengan penuh kerelaan menghulurkan wang lebih dari apa yang dijangka? Bagaimana pula dengan pertolongan yang kita berikan ? Adakah kita membantu mereka yang memerlukan atas dasar ukhuwah Islamiyyah dan kasih sesama insan, atau kita membantu supaya kita dikenali dan dikenang sebagai orang yang budiman?
Apa perasaan kita tatkala kita diminta ketua untuk melaksanakan sesuatu tugasan? Kecewakah kita andai pekerjaan yang kita lakukan selama ini tidak dihargai orang? Lantaran kecewa, kita memutuskan untuk tidak lagi memberikan yang terbaik.
Buat sekadarnya kerana beranggapan manusia tidak melihat apa yang kita lakukan. Usaha yang dilakukan dirasakan tidak bererti andai tidak mendapat pujian dan pengiktirafan manusia kerana rasa riak tumbuh subur di hati.
Amat sukar untuk menentukan keikhlasan seseorang. Kita boleh sahaja membohongi manusia lain dengan mengatakan bahawa kita ikhlas untuk melakukan sesuatu perkara.
Namun, hakikat sebenarnya. Allah lebih mengetahui sejauh mana keikhlasan kita. Adakah kita melakukan sesuatu kerana mengharapkan keredhaan Allah semata, mahupun kita melakukannya kerana mengharapkan pujian daripada manusia. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa amat sukar untuk mengetahui keihklasan seseorang. Ia umpama seekor semut hitam di atas batu hitam di malam yang kelam. Segalanya menjadi gelap.
Kita boleh sahaja merujuk Surah Al-Insan bermula ayat 8-9 ini untuk lebih memahami definisi ikhlas :
“ Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,(8) Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih(9)
Antara kupasan ringkas berhubung ikhlas dalam ayat di atas adalah, kita akan dianggap ikhlas sekiranya kita memberikan atau menginfaqkan sebahagian daripada makanan mahupun harta yang kita sayangi kepada orang lain. Bukan menjamu makanan yang sudah tidak elok mahupun lebihan yang ingin dibuang.
Begitu juga dengan harta-harta yang lain. Kita tidak memberikan seuatu yang sudah buruk,rosak mahupun tidak berharga lagi. Ini kerana, golongan miskin dan mereka yang memerlukan juga memiliki maruah dan harga diri yang perlu kita raikan. Kita memberi untuk menggembirakan mereka, bukan untuk menghina mereka.
Sekiranya kita ikhlas dalam pemberian mahupun amalan, ini bermakna bahawa kita sesekali tidak mengharapkan balasan atas apa yang telah diberikan.Kita melakukannya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah jua. Kita beramal ibadah bukan untuk menagih syurgaNya semata-mata, tetapi kita lakukan kerana cinta terhadap DIA. Kita menghulurkan bantuan dan pertolongan kerana hati benar-benar ikhlas membantu. Bukan kerana mengharapkan nama, pujian dan sanjungan daripada manusia.
Kita langsung tidak mengharapkan balasan mahupun ucapan terima kasih. Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ikhlas belum lagi wujud sekiranya di hati kita masih menunggu dan mengharapkan ucapan terima kasih daripada orang yang dibantu.
Allah hanya menerima amalan yang disertai dengan sifat ikhlas. Derma sebanyak satu sen yang diberikan adalah lebih tinggi nilainya di mata Allah jika dibuat dengan ikhlas, berbanding sumbangan jutaan ringgit yang diberikan untuk mendapatkan perhatian dan pujian manusia. Allah tidak melihat kepada natijah atau hasil daripada apa yang kita kerjakan namun DIA menilai kepada kesungguhan dan usaha yang kita lakukan.
Sesuatu amalan yang tidak disertai sifat ikhlas hanya akan mengundang kemurkaan Allah. Selain itu, sesuatu yang dikerjakan tanpa dihadiri perasaan ikhlas juga tidak akan mendapat ganjaran pahala darinya.
“Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.”
(Surah An-Nisa’ : ayat 38 & 142)
Sebagai motivasi buat diri sendiri dan kepada semua, ada baiknya untuk kita merenung dua hadith Nabi SAW berkaitan anjuran supaya ikhlas ini:
“ Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda seseorang, tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)
“ Usaha yang paling baik ialah usaha orang yang bekerja dengan ikhlas”. (Riwayat Ahmad)
Monday, September 5, 2011
Angkuh
Angkuh atau sombong merupakan satu akhlak mazmumah yang wajar dihindari.Kerana keangkuhan jualah, iblis dicampakkan oleh Allah dari syurga.Angkuh dan ingkar dengan perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s kerana merasakan bahawa penciptaannya daripada api jauh lebih mulia berbanding Adam yang diciptakan dari tanah :
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
(Surah Al-Baqarah :ayat 34)
Di dalam Al-Quran, Allah banyak menyebut tentang persoalan angkuh dan sombong ini.Sebagai contoh, terlalu penceritaan di dalam Al-Quran yang membuka pekung keangkuhan kaum Yahudi.Betapa kaum Yahudi merupakan satu kaum yang cukup angkuh dan sering merasakan bahawa mereka adalah satu kaum pilihan Allah berbanding kaum-kaum yang lain.Kaum Yahudi menganggap mereka adalah umat pilihan, yang tidak akan dikenakan azab seksaan oleh Allah :
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari Yang tertentu”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu Yang tidak kamu mengetahuinya?”
(Al-Baqarah :ayat 80)
Atas dasar itu jualah, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa Rasul terakhir yang diutuskan Allah bukanlah daripada kalangan mereka.
Al-Quran mendedahkan bagaimana kaum ini menolak ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dan tidak terkecuali penolakan mereka terhadap nabi-nabi mereka yang terdahulu sehingga mereka pernah melampaui batasan bila mana mereka bertindak membunuh nabi yang diutuskan kepada mereka.
Kaum ini bertuhankan nafsu dan kemahuan mereka sendiri.Sentiasa merasakan bahawa mereka adalah golongan yang terbaik.Mereka dihijab dengan keujuban dan nafsu mereka sendiri.Mereka seringkali mengkhianati janji yang diikat.Kesombongan dan keengkaran kaum ini yang telah Allah dedahkan di dalam Al-Quran dan ini boleh dirujuk di dalam Surah Al-Baqarah ; ayat 90-93.
90. Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri Dengan mengingkari Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki Bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang Yang kafir itu akan beroleh azab sengsara Yang menghinakan.
91. dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa Yang telah diturunkan kepada Kami (Taurat)”. dan mereka ingkarkan (Kitab) Yang lain Yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat Yang ada pada mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa Yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang Yang beriman?”.
92. dan Sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang Yang zalim.
93. dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) Yang Kami berikan kepada kamu itu Dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (Apa Yang diperintahkan kepada kamu Dengan mematuhinya)”. mereka menjawab: “Kami dengar, dan Kami menderhaka”. sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di Dalam hati mereka, Dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (Wahai Muhammad):” amatlah jahatnya apa Yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang Yang beriman”.
Ungkapan mereka “Kami dengar, dan Kami menderhaka” menjelaskan kepada kita betapa ungkapan keimanan itu hanya sekadar bermain di bibir namun tidak dibuktikan dengan perbuatan.Penderhakaan itu menjadi satu manifestasi keingkaran dan kedegilan mereka.Ungkapan yang telah dilafazkan kaum Yahudi ini menunjukkan kepada kita betapa dasar penting yang terkandung di dalam ajaran Islam perlu mematuhi dua elemen iaitu, iman dan Islam.Keimanan kepada Allah perlu dibuktikan melalui amal ibadah yang mana ibadah itulah yang menjadi manifestasi kepada keimanan seseorang hamba.Sebagai pelengkap, ia perlu dihadirkan bersama dengan ihsan, yakni sentiasa merasakan diri diawasi oleh Rabb, selaku pencipta.Tiada nilainya kita mengakui beriman kepada Allah dengan sepenuh hati andai dalam masa yang sama tidak diiringi dengan amal soleh, malah lebih teruk dari itu sekiranya lafaz keimanan itu diucap bersama dengan kemaksiatan yang dilakukan.Contoh paling mudah, bagaimana mungkin seorang wanita Islam yang berpakaian mendedahkan aurat mengisytiharkan bahawa dirinya adalah hamba Mukminah kerana memiliki keimanan yang tinggi di dalam hati, walhal tindakan yang dilakukan adalah jauh menyimpang dari ungkapan yang terlafaz di bibir?
Berbalik kepada persoalan angkuh, mari kita renungkan sejenak..Adakah kita layak untuk memiliki sikap angkuh ini?Tidak kira sama ada keangkuhan kita terhadap sesama manusia apatah lagi terhadap Allah?Bagaimana mungkin kita boleh bersikap angkuh sesama makhluk Allah sebagaimana keangkuhan seorang kaya terhadap yang miskin atau keangkuhan seorang yang dikurniakan rupa paras yang cantik terhadap seorang hamba yang cacat dan serba kekurangan?Semua kita adalah sama sahaja di sisi Allah.Allah tidak pernah sesekali memandang kepada rupa paras mahupun harta kekayaan kita namun taqwa sahajalah yang akan menjadi ukuran dan timbangannya. Untuk apa kita angkuh dan bermegah dengan kekayaan yang dimiliki walhal harta itu adalah pinjaman semata.Kita hanyalah sebagai pemegang amanah sahaja dan Allah berkuasa menyempitkan rezeki kita mengikut kemahuan-Nya.Begitu juga dengan rupa paras elok yang dimiliki..kerana Allah dengan kudrat dan iradat-Nya berupaya menarik balik kecantikan tersebut bila-bila masa sahaja dan paling tidak pun, kecantikan tersebut akan tetap pudar dimamah usia.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu, dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu” amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa hanya ketaqwaan sahaja yang menjadi ukuran tahap kemuliaan seseorang di sisi Allah, bukan paras rupa mahupun harta.
Bagaimana pula kita boleh angkuh kepada Allah SWT sedangkan kita adalah hamba-Nya.DIA yang menciptakan kita dan hanya DIA yang berkuasa ke atas segalanya.
“Tidakkah Engkau mengetahui Bahawa Sesungguhnya Allah Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi? dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun Yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 107)
Allah berfirman lagi ;
“Allah jualah Yang menciptakan langit dan bumi (dengan Segala keindahannya); dan apabila ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” lalu menjadilah ia.”
(Surah Al-Baqarah : 117)
Andai terasa ingin jua mempamerkan keangkuhan terhadap Allah, perhatikan seketika.Adakah kita mampu untuk hidup di bumi ini tanpa berpijak atas muka bumi milik Allah?Adakah kita mampu terus bernafas tanpa sesaat pun kita menghirup udara milik Allah?Dan apakah kita berkuasa untuk terus bertahan tanpa memakan sesuap pun makanan dari rezeki Allah?
Lantas, tiada satu pun dalil yang mampu membenarkan tindakan kita untuk terus hidup dengan angkuh di atas dunia ini.Segalanya perlu dikembalikan kepada Allah.Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadaNya jua kita kembali :
Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan Yang memiliki dan Menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
(Surah Yaasin : ayat 83)
Kita hanyalah hamba yang terlalu kerdil di sisiNya. Tiada daya dan keupayaan kita untuk melakukan sesuatu melainkan dengan keizinanNya jua.
Subscribe to:
Posts (Atom)




