Thursday, November 10, 2011

10 Perkara Tentang Israel Yang Kita Tidak Tahu



Sebenarnya banyak perkara yang yahudi sembunyikan pada pengetahuan umum. Ini adalah 10 daripadanya.



Peratus Pegguna Rokok Di Dunia. Israel Berwarna Hijau

1) Israel merupakan salah satu pembekal rokok terbesar dunia, namun rakyatnya tidak digalakkan menghisap rokok yang mereka cipta kerana mereka tahu akan bahana dalam kandungannya. Kadar pengguna rokok di sana semakin menurun dari masa ke semasa.

2) Israel mempunyai kepakaran dalam mencipta vaksin dan mahir dalam ilmu perubatan. Namun ilmu itu hanya untuk orang luar kerana mereka tahu bahan kimia yang terdapat dalam ubat akan merosakkan dalam tempoh jangka masa yang panjang. Penduduk israel sendiri menggunakan Habbatus Sauda dalam perubatan harian.

3) Taktik kaum ibu di Israel ketika mengandung ialah si ibu/ isteri akan mendengar si suami membaca, menyanyi atau mereka akan menyelesaikan masalah matematik bersama-sama untuk mendapat bayi yang bijak dan petah kerana pada ketika ini fikiran dan perasaan si isteri adalah bersambungan dengan anak dalam kandungan berbanding anda bercakap padanya di perut.



4) McDonald di israel dibuka pada tahun 1993 (lewat berbanding negara-negara lain). Mereka telah membuat pengubahsuaian contohnya dari segi minuman. Mereka menggantikan kopi berkafein kepada teh yang mengandungi polyphenols, iaitu unsur kimia yang berfungsi sebagai antioksidan berkekuatan besar untuk membuang sel rosak dan mencegah kanser. Kita disini masih lagi menggunakan kafein yang berbahaya.

5) Di Israel, mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan makanan utama. Ini kerana hakikatnya dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan akan menyebabkan kita merasa mengantuk, lemah dan sukar untuk memahami pelajaran di sekolah. Sedangkan disini kita dimomokkan dengan memakan buah-buahan sebagai pencuci mulut.



6) Israel terus melakukan berbagai usaha untuk menghancurkan Masjid Al Aqsha dan Qubah Shakhrah sejak 50 tahun yang lalu dengan menggali bawah tanah masjid tersebut agar runtuh dengan sendirinya. Gambar-gambar penggalian boleh di dapati di sini.

7) Majoriti buku sejarah di dunia mengatakan Negara-negara Arab yang menyerang Israel terlebih dahulu pada perang tahun 1967. Padahal faktanya, Israel yang menyerang Negara-negara Arab terlebih dahulu kemudian mereka merebut kota Al Quds dan Tebing Barat. Tetapi mereka mengatakan serangannya itu adalah serangan untuk mempertahankan diri dan antisipasi.

8) Di Palestin, penduduk kristian Palestin dan Palestin Muslim bersatu melawan penjajah yahudi

9) Pelajar-pelajar di sekolah dilatih dengan taktik ketenteraan dalam bersukan seperti menembak dan mamanah bagi melatih otak memfokus sesuatu perkara dan mempersiapkan diri jika perkhidmatan diperlukan dimasa akan datang.

10) Hosni Mubarak merupakan tulang belakang Israel dan Amerika selama 30 tahun.

Wednesday, November 9, 2011

BAGAIMANA CARA BERZIKIR KETIKA SIBUK BEKERJA?






Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.

Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”

Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.

Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya: ”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)
Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya:“Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)

Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar.Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda:“Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”

Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!

SYAHADAH ; "LA ILAHA ILLA'LAH MUHAMMADUR RASULULLAH"



Syahadah yang bererti “Tiada Tuhan Melainkan Allah (dan) Muhammad itu Pesuruh Allah” adalah suatu ucapan yang dibuat oleh seseorang untuk memberitahu tentang hakikat yang tersembunyi di dalam jiwanya, berupa keyakinan tentang wujudnya Zat Allah SWT dan bahawasanya Allah SWT itu Esa, tiada Tuhan yang lain daripadaNya.

Apabila seseorang telah menuturkan ungkapan dua kalimah syahadah itu, kita mesti menganggapnya sebagai seorang Muslim yang beriman disisi Allah SWT dan beroleh ganjaran bahagia dari ucapan lidahnya. Dan berlakulah ke atasnya segala hukum yang berkaitan atas seluruh umat Islam dan haknya sebagai Muslim. Kita tidak perlu menyelidiki benar atau tidak benarnya pengakuan itu kerana hal itu adalah berkaitan dengan perasaan dan keyakinan hatinya. Pengakuan ini adalah sesuatu yang bersangkutan dengan urusan Allah SWT yang Maha Mengetahui segala isi hati. Kita bukan penghukum kepada isi hati orang.

Hadith Rasulullah s.a.w di dalam Kitab Bukhari Juz 1 halaman 17 & 18 yang diriwayatkan oleh Saiyidina Anas bin Malik r.a. menyebut:-

“ Akan keluar dari neraka jahanam itu setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya ada kebaikan hanya sebesar biji gandum. Kemudian akan keluar dari neraka setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya ada kebaikan sebesar melukut. Akhir sekali setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah akan keluar dari neraka walaupun ada di dalam hatinya kebaikan sebesar debu “

Allah Azza wajalla berfirman:-

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua pun) dan akan mengampunkan (dosa) yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya) “ (Surah an-Nisa’: Ayat 116)


Dengan demikian Jumhur Ulama’ secara yakin menyebut bahawa setiap orang yang mengucap La ilaha illal’lah walaupun di dalam hatinya cuma ada kebaikan sebesar debu, ia bukan seorang musyrik, bukan juga seorang kafir. Justeru itu Islam mengharamkan dan berdosa bagi kita untuk memanggil-manggil atau menggelar seorang Muslim lain dengan gelaran musyrik, kafir ataupun lain-lain gelaran yang tidak elok. Gelaran-gelaran sebegini hanya menimbulkan permusuhan dan perkelahian. Kita sendiri tidak suka jika kita, isteri dan anak-anak kita dipanggil dengan gelaran musyrik, kafir, fasiq dan sebagainya. Kita bukanlah manusia maksum yang tidak berdosa. Islam hanya mengharuskan kita membenci perbuatan dosa tersebut bukan orang (sipelaku)nya.

Justeru itu, Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak jemu-jemu menyeru manusia musyrik dan jahilliyyah di zaman mereka kepada kalimah Tayyibah di atas. Ini dilakukan dengan penuh kasih sayang dan pengharapan agar mereka memeluk Islam. Kalaulah Nabi dan para sahabat membenci kaum musyrik , Islam tidak akan berkembang. Islam tidak boleh berkembang dan dikembangkan atas dasar kebencian dan permusuhan. Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak membenci individu. Makhluk yang membenci dan memusuhi manusia hanyalah syaitan dan iblis.

Al-Miqdad bin Amru al-Kindi, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang ikut serta dalam peperangan Badar telah meriwayatkan bahawa beliau telah memberitahu Rasulullah s.a.w.:-

“ Wahai Rasulullah s.a.w.! Hamba telah bertembung dengan seorang kafir lalu hamba pun bertempur. Tiba-tiba dia sempat menetak sebelah tangan hamba lalu putuslah tangan hamba itu. Kemudian sikafir itu menyelamatkan dirinya di sebalik sebatang pokok sambil berkata: Aku masuk Islam kerana Allah SWT. Adakah boleh hamba membunuhnya setelah dia berkata demikian? Maka Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan kamu bunuh dia”. Al-Miqdad pun bertanya lagi: Ya Rasulullah, dia menetak putus sebelah tangan hamba kemudian baru dia mengaku masuk Islam. Bolehkah hamba membunuhnya? Rasulullah s.a.w. pun menjawab: “ Jangan kamu bunuh sebab kalau kamu bunuh dia maka taraf dia sama dengan taraf kamu sebelum kamu cuba membunuhnya tadi dan kamu pula mendapat taraf yang sama dengan dia sebelum dia mengucap dua kalimah syahadah itu “ (Al-Bukhari, Juz IX, halaman 3-4)

Abu Dzar al-Ghifari telah meriwayatkan hadith dari rasulullah s.a.w. dimana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:-

“ Ini dia Jibrail datang menemuiku sambil memberitahu begini: “Sesiapa dari kalangan umatmu (Muhammad) yang mati dalam keadaan tidak melakukan syirik kepada Allah SWT akan dapat masuk syurga”. Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Sekalipun dia telah berzina dan mencuri?”. Jawab Rasulullah s.a.w.: “Ya, sekalipun dia telah berzina dan mencuri!”. (Al-Bukhari Juz VIII, halaman 117-118)


Nas-nas ini yang jelas dan sah datangnya daripada Rasulullah s.a.w. adalah merupakan dalil yang tegas (qat’iy) atas benarnya hukum yang telah disepakati oleh ulama’ muktabar iaitu: Adalah menjadi hukum dan perintah Allah SWT supaya kita memandang dan menganggap setiap orang yang mengucap dua kalimah syahadah itu sebagai seorang beragama Islam (Muslim) dan saudara kita yang sah dan berlaku ke atasnya segala hukum hakam yang berkaitan dengan orang Islam dan hendaklah kita melayaninya dan hak-haknya mengikut lunas-lunas dan garis-garis hukum syari’at Islam. Kita serahkan urusan hakikat hatinya kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui segala rahsia hati manusia.

Tuesday, November 8, 2011

KASIH SAYANG MENURUT ISLAM






Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan. Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.

Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “

Inilah sebabnya baginda Rasulullah s.a.w menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan di kalangan mereka. Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah.

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Maka tepatlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “

Apabila kita meninjau akan kelemahan kita masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita sehari-hari. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri. Ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita. Malah dalam sejarah bangsa Melayu, pernah kita mengajak Inggeris, menyediakan kelengkapan perang untuk menjatuhkan sesama Melayu. Akibatnya negara kita dijajah.

Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.

Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat Tarmidzi)

Malah banyak lagi Hadis yang melarang segala sifat keji ini. Antara punca lahirnya sifat-sifat keji itu ialah:

1. Hilang rasa malu dan rendah diri kita terhadap segala perkataan dan perbuatan kita.

2. Meletakkan nafsu dan dorongan rasa benci terhadap saudara kita.

3. Rasa benci dan ketidakpuasan hati kita yang telah mengawal akal dan hati kita.

Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu. Maka ketika itu mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam seperti di Indonesia, negara-negara Arab dan Afrika yang hanya memikirkan cara untuk menghapuskan saudaranya sahaja, bukan untuk membantu dan meningkatkan maruah serta martabat bangsa mereka sendiri.

Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat kasih sayang yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan. Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu cicit kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun jua.

Rumusan
Kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak anak kita di rumah. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan anak-anak kita.

MANIS TUTUR KATA



Mengenai manis tutur kata pula merupakan satu perkara yang tidak kurang pentingnya, kalaupun tidak lebih penting dari yang lain. Perkataan para pendakwah merupakan alat penghubung antaranya dengan orang ramai, ia juga merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu maksud dan fikrah, oleh itu kiranya para pendakwah dapat memelihara lidahnya, menguasai percakapannya, berupaya untuk memilih perkataan-perkataan yang baik-baik dan susunan kata yang indah, bererti beliau telah mampu menarik hati orang ramai dan sekaligus beliau berjaya menyelam masuk ke dalam hati dan diri mereka.

Tetapi sebaliknya jika beliau tidak mampu berbuat demikian, malah tidak mengambil endah terhadap apa yang keluar dan celah kedua bibirnya, bererti beliau telah membina sendiri benteng yang memisahkannya dengan orang ramai, benteng yang tidak mudah untuk ditembusi, malah dengan itu menjadikannya dicela, dibenci, dijauhi dan tidak dimesrai oleh orang ramai.

Di antara firman Allah yang berhubung dengan permasalahan ini ialah firman-firman Allah berikut:

"Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia." [Al-Isra':53]

"Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia." [Al-Baqarah: 83]

"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima), Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun." [Al-Baqarah: 263]

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar." [Al-Ahzab: 70]

"Dan mereka diberi pertunjuk kepada ucapan-ucapan yang baik dan ditunjukki (pula) kepada jalan (Allah) yang terpuji." [Al-Hajj: 24]

"Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik." [An-Nahl: 125]

"Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." [Thaha: 44]




[Konsep Penguasaan Dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah - Utz. Fathi Yakan]

Friday, November 4, 2011

HADIAH TERBAIK DAN TERBURUK




Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman al-Hakim seraya berpesan: “Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan.” Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.

Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing iru.

Setelah kambing disembelih, Loqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu. “Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?” tanya ibu tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab: “Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya.”

Mendengar jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Loqman, kerana hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS




Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahwa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis. Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah S.W.T telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam A.S kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah S.W.T merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah S.W.T membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah S.W.T melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap emapt, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah S.W.T membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril A.S dan Mikail. Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu." Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku." Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum." Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya." Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah." Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada disebutkan dalamsurah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...