Tuesday, January 10, 2012

SIHAT DARIPADA MAKSIAT



Sejak sekian lama umat Islam telah diperingatkan oleh Allah s.w.t menerusi ayat-Nya bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraikanmu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku.”

Justeru, di dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, manusia ini juga dapat digolongkan kepada dua golongan.

Golongan pertama, mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah s.w.t, dan golongan kedua adalah mereka yang ingkar dangan ketentuan dan ketetapan Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 24 yang bermaksud:

“Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; Adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.”

Orang-orang yang beriman, mereka menyerahkan kehidupannya hanya kepada Allah s.w.t dan bukan kepada selain daripada Allah.

Mereka lebih mementingkan keredaan Allah daripada bermewah-mewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat melakukannya dengan khusyuk, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna, menafkahkan harta mereka ke jalan Allah, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada berbuat kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan mereka juga sentiasa menjaga amanah.

Begitu juga sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai dalam kehidupan mereka.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah ayat 19 yang bermaksud:

“Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”

Musuh Allah s.w.t, iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat, iaitu dengan lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.

Saidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah s.a.w memegang lidahnya sendiri lalu bersabda: “Hendaklah kamu menjaga ini.”

Selanjutnya baginda bersabda: “Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.”

Allah s.w.t telah menyingkap rancangan-rancangan musuh-Nya sebagai jalan atau pintu masuk yang akan merosakkan manusia antara lain adalah: Ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai-nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga, masyarakat hinggalah ke sesuatu bangsa, mencegah daripada mengingati Allah s.w.t sama ada dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t, menanam rasa putus asa, takjub, ego, takbur dengan diri sendiri, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan untuk kepentingan umum.

Hasil daripada Allah s.w.t menyingkap pintu-pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia yang terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri.

Dengan pujuk rayu dan godaannya, maka akhirnya ramailah manusia yang bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini. Dengan demikian, mereka yang di bawah takluk dan lemas dalam godaan maksiat akan jatuh ke dalam lumpur dan lembah kesesatan.

Manusia yang hidup di dalam kemaksiatan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah s.w.t sedikit pun.

Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t. Saidina Ali berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.”

Pelaku maksiat sudah tentu mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati, mereka melupakan Allah s.w.t semasa melakukan maksiat dan dikuasai oleh para syaitan.

Maka ingatlah bahawa musuh Allah ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa maksiat tidak akan dilakukan semasa hati seseorang itu beriman kepada Allah s.w.t.

Rasulullah bersabda dengan maksudnya: “Tidaklah beriman seseorang penzina itu ketika berzina, tidak beriman seorang pencuri itu ketika mencuri, tidak beriman seorang penenguk arak itu ketika ia menenguknya dan tidak beriman orang yang merampas harta yang tinggi nilainya itu ketika merampasnya.” (Riwayat Bukhari)

Susunan ISMAIL DASUKI
ummatanwasatan.net

Monday, January 9, 2012

MULIANYA HATI SI MAJUSI



Tahun itu, ramai sekali umat Islam yang datang menunaikan ibadah haji. Salah seorangnya, lelaki alim dan terkenal dengan sifat waraknya, Abdullah bin Al-Mubarak. Dia tidak pernah ketinggalan bersama jemaah yang lain setiap kali tiba panggilan haji. Selesai bersolat, Abdullah tertidur berdekatan dengan Hijir Ismail.

Dalam tidurnya dia bermimpi bertemu dengan insan mulia, Rasulullah SAW. Baginda datang dengan wajah dan pakaian yang berseri-seri. Dengan senyuman yang ramah, baginda berkata kepada Abdullah.

“Wahai Abdullah, kembali saja engkau ke Baghdad, temuilah olehmu Bahramal Majusi (pemimpin agama Majusi). Sampaikan salamku kepadanya dan katakan Allah SWT telah redha kepadanya.”

Seketika kemudian, Abdullah terjaga. Dia terpinga-pinga dan menganggap mimpi itu datang daripada syaitan. Namun sepanjang mengerjakan haji, mimpi yang sama datang tiga kali berturut-turut. Setelah itu, barulah Abdullah yakin memang mimpi itu benar. Dia juga sedia maklum, syaitan itu tidak dapat menyerupai Rasulullah SAW walau di dalam mimpi.

Selesai mengerjakan haji, Abdullah pun pulang ke negeri asalnya, Baghdad dan terus mencari Bahramal Majusi. Pesan dalam mimpi itu akan disampaikan tetapi dia ingin sekali tahu apakah keistimewaan si Majusi sehingga Rasulullah berkirim salam padanya.

Setelah puas bertanya ke sana ke mari, akhirnya bersualah Abdullah dengan lelaki yang dimaksudkan.

“Wahai Bahramal Majusi, boleh aku tahu apa kebaikan yang pernah engkau lakukan?” tanya Abdullah.

"Baru sebentar tadi aku pinjamkan wang kepada orang dengan faedah yang sedikit."

"Itu haram hukumnya, ada yang lain?"

"Ya, aku ada empat anak lelaki dan empat anak perempuan. Maka aku telah mengahwinkan sesama mereka dan sebagai tanda kesyukuran, aku raikan mereka itu dalam satu majlis yang besar.”

"Itu juga haram, ada yang lain?"

"Ya, aku ada seorang anak perempuan yang cantik dan tiada tandingannya di daerah ini. Itulah sebabnya aku sendiri yang bernikah dengannya dan memberi belanja kahwin yang besar. Lebih seribu orang Majusi menghadirinya."

"Demi Allah,itu juga haram! Apakah ada lagi kebaikan yang pernah kau lakukan wahai Majusi?" tanya Abdullah hampir berputus asa.

"Oh ya, baru aku teringat. Seminggu lepas, sewaktu aku sedang tidur bersama anakku pada waktu malam, datang seorang wanita yang sama agamanya dengan kamu. Dia datang dan pergi beberapa kali. Aku syak dia seorang pencuri. Maka aku cuba mengekorinya dari belakang. Sampai di rumah wanita tersebut, kelihatan empat anak perempuannya yang masih kecil sedang kelaparan. Mereka bertanya," Ibu, adakah makanan untuk kami malam ini?"

Ibunya lalu menjawab, " Aku malu untuk meminta kepada selain Allah. Tambahan pula kepada musuh Allah, orang Majusi itu."

Wanita tersebut sedih hingga mengalirkan air mata. Aku tidak tergamak melihat keadaan mereka. Alangkah malangnya nasib mereka sedangkan aku bersenang lenang dengan kekayaanku. Lantas aku pulang dan membawa makanan yang banyak. Semua makanan itu aku serahkan kepada wanita malang itu. Anak-anaknya makan dengan berselera sekali. Mereka sangat gembira dan aku rasa puas hati," cerita Bahramal Majusi itu.

"Wahai Majusi, tahukah engkau inilah kebaikan yang telah kau lakukan hingga aku bermimpi bertemu Rasulullah. Rasulullah sudah berpesan kepadaku agar menyampaikan salam kepadamu. Dia juga memberitahu bahawa Allah telah redha kepadamu,” beritahu Abdullah. Di dalam hatinya sendiri, dia memuji kebaikan dan kemuliaan hati Majusi. Cuma persoalannya, bolehkah Majusi ini mendapat keredhaan Allah sedangkan dia bukan seorang Islam?

Mendengar itu, si Majusi merasa terkejut yang amat sangat. Baginya, mimpi itu satu kemuliaan kerana Rasulullah, insan yang sangat terkenal, dihormati, dikagumi kawan dan lawan. Dengan izin Allah SWT, ketua pemimpin Majusi itu melafazkan kalimah syahadah di hadapan Abdullah Mubarak. Terbuka hatinya untuk memeluk Islam dan setelah mengucap, Bahramal itu tersungkur dan terus meninggal dunia sebagai muslim yang diredhai.

YANG BIASA DAN LUAR BIASA



1. Sembahyang

Yang biasa
Ramai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih Better late than never menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya tahu dirinya hamba tapi tak rasa hamba.

Luar biasa
Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 15 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa .


2. Sedeqah

Biasa
Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab hanya sedeqah yang ikhlas akan dibalas oleh Tuhan.

Luarbiasa
Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Tuhan.


3. Berjaga malam

Biasa
Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau melayan VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.

Luarbiasa
Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Tuhan, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.


4. Kerja

Biasa
Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan alhamdulillah, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Tuhan punya kuasa.

Luarbiasa
Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Tuhan. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Tuhan. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Tuhan sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Tuhan . Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.

UJIAN MENGESAN JIN DALAM BADAN



Assalamualaikum…

Mungkin kita semua pernah mengalami perasaan ganjil di mana kadang-kadang kita terlihat bayangan orang di tengah malam. Suara ganjil memanggil kita ketika berseorangan. Bunyi-bunyi pelik dan seumpamanya. Hal ini berkemungkinan berlaku kerana kita tinggal bersama makhluk Allah yang lain iaitu Jin.

Tidak mengapa jika tinggal satu bumbung, tetapi bagaimana pula keadaannya jika mereka tinggal di dalam badan kita? Mungkin kita akan mengalami banyak masalah dan penyakit misteri. Oleh itu adalah penting untuk kita mengesan adakah badan kita ditumpang oleh makhluk ini? Mari sama-sama kita mencuba..

Langkah 1

Play RUQYAH SYARIAH di bawah ini dan dengar sehingga tamat (20min) menggunakan headphone dengan volume yang kuat.


Langkah 2

Pejamkan mata dan jangan ikut bacaan ayat-ayat ini baik dimulut atau dihati.

Langkah 3

Perhatikan setelah selesai… Jika anda batuk, berpeluh-peluh, terasa mual, jantung berdegup kencang, terasa berdebar-debar, ada benda bergerak-gerak di bawah kulit, sendawa, mengantuk, pening dan menguap, maka sahlah badan anda dihuni JIN.

Berjumpalah dengan ustaz atau ahli perubatan yang lebih mahir untuk mengesahkannya dan berubatlah secepat mungkin sebelum ia merebak menjadi lebih teruk. Di bawah ini ada sebuah video khas penerangan oleh ustaz Sharhan Shafie tentang cara-cara mengetahui adakah kita mewarisi saka.




SIMPTOM AWAL GANGGUAN JIN

1) Sakit kepala selepas waktu asar ke atas.

2) Badan terasa berat dan malas.

3) Sukar mendapat jodoh.

4) Badan terasa bisa-bisa.

5) Sakit ketika ziarah orang meninggal.

6) Sukar tidur malam.

7) Sakit pinggang tanpa sebab.

8 ) Sakit dada bila waktu asar keatas.

9) Mimpi melihat binatang seperti ular dan sebagainya.

10) Bermimpi bayi atau menyusukan bayi.

11) Bermimpi di tempat tinggi.

12) Bermimpi di tempat yang kotor.

13) Sakit anggota badan tertentu seperti kaki selepas waktu asar.

14) Ada terasa benda bergerak dibawah kulit.

15) Bayi kerap menangis.

16) Bunyi guli jatuh diatas syiling.

17) Suami isteri kerap bertengkar walau perkara kecil.

18) Sayang melampau-lampau pada orang yang baru dikenali.

19) Malas beribadat.

20) Nyanyuk ketika usia lanjut.

21) Panas baran.

22) Sikap berubah secara mendadak.

23) Gelisah dan panas ditengkuk bila dengar al-quran.

24) Suka melakukan tabiat buruk.

25) Kerap sendawa bila mendengar al-quran.

26) Kerap keguguran.

27) Gagal melakukan hubungan kelamin.

28) Mengantuk bila dengar al-quran.

29) Bermimpi seram yang menakutkan.

30) Darah haid turun lebih 15 hari.

31) Batuk yang berpanjangan.

32) Selalu ditindih ketika tidur.

33) Kuat berangan.

34) Terlalu rasa rendah diri dan tidak berkeyakinan.

35) Nafsu seksual yang melampau.

36) Selalu melihat kelibat dirumah.

37) Terasa diri selalu diperhatikan.

38) Mandul.

39) Kerap mendengar sesuatu bisikan.

40) Melihat jin secara terus.

41) Sakit mental atau gila.



Amalkan zikir di atas 100x tiap2 pagi & petang selama sebulan, insyaAllah diri anda akan dipagar dan gangguan jin pun akan beransur hilang.

Sumber : zakizakirin.wordpress.com

Friday, January 6, 2012

RINTIHAN SEORANG IBU



Ibu bapa merupakan insan yang paling mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Marilah kita merenung kembali semasa kita kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu-bapa kita, merekalah yang memberi susu kepada kita, menyuap makanan ke mulut kita, memandikan kita, memakai pakaian kepada kita, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita, menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari.

Mungkin ada antara kita pada ketika ini ibu-bapanya telah pergi buat selama-lamanya, kita mendoakan roh-roh mereka ini ditempatkan di kalangan syuhada dan solihin. Sekiranya ibu bapa kita masih bersama dengan kita di dunia ini, marilah sama-sama kita mengingati mereka, mungkin pada ketika ini ibu-bapa kita berada jauh di kampung sana, di rumah yang usang, ketika hujan mereka kebasahan, ketika kemarau mereka kekeringan, kadang-kala ibu bapa kita berada dalam kelaparan dan keperitan akibat kesempitan hidup, sedangkan kita sebagai anak-anaknya yang berada di kota ini dalam kemewahan dan tidak merasa itu semua. Kasih sayang kepada anak-anak sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Segala kesusahan dan penderitaan tidak pernah dikongsi bersama dengan anak-anak.

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 23-24 yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Tidak dapat dinafikan bahawa kasih sayang seorang ibu mengatasi segalanya, tidak dapat dinilai dengan emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak-anaknya walaupun sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulutnya dan melelapkan matanya kerana teringatkan anak-anaknya ini dan ada ketikanya air mata berlinangan mengalir membasahi di pipinya kerana mengenang dan merindui akan anak-anak. Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka?

Cukupkah dengan sekadar kita mengirim duit sebagai penganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak? Ambillah kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Kebiasaan kita sebagai anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah kita akan luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika kita sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Kalau hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Sehinggakan untuk memasuki gerbang perkahwinan pun, masih mengharapkan bantuan ibu. Oleh itu, wajarlah Allah s.w.t memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.

Firman Allah s.w.t dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu.”

Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan seorang sahabat bersabda:

“Siapakah yang paling berhak saya pergauli dangan baik? Nabi bersabda “Ibumu.” Orang itu bertanya kemudian siapa lagi? Nabi bersabda “Ibumu.” Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda “Ibumu.” Orang itu bertanya kemudian siapa lagi, Nabi bersabda: Ayahmu.” (Riwayat al- Bukhari)

Al-Bazzar meriwayatkan, ada seorang lelaki sedang tawaf dengan mengendong ibunya, maka lelaki itu bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Apakah dengan ini saya telah melaksanakan kewajipan saya kepadanya? Rasulullah s.a.w menjawab “Tidak, tidak sebanding dengan satu kali hembusan nafas ketika ibumu melahirkanmu.”

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a berkata bahawa beliau pernah bertanya Rasulullah s.a.w tentang amalan paling utama. Baginda bersabda: “Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Berdasarkan pemerhatian, ada anak-anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu-bapanya.Mereka ini sanggup meninggalkan ibu bapa mereka di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu bapa yang semakin tua. Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1857 orang ibu bapa di tempatkan di Rumah Seri Kenangan tanpa kasih sayang daripada anak-anak. Mereka ini merintih keseorangan dengan mengharap anak-anak sentiasa mendampingi mereka.

Islam menganjurkan agar setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan tersebut tidak melanggari syariat Islam. Jika anak-anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-’As r.a bertanya Rasulullah s.a.w tentang dosa besar.

Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi s.a.w: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup sahaja tetapi sebenarnya berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Menurut Abu Darda’, Allah s.w.t telah menempatkan roh orang mukmin di sebuah perkampungan di langit ketujuh yang diberi nama Darul Baida’. Dari sana roh orang mukmin sentiasa diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk melihat amalan atau kegiatan manusia yang masih hidup di dunia khususnya anak-anak atau kaum kerabat mereka.

Roh sentiasa bertanya khabar kepada jenazah yang baru tiba di alam arwah terutama tentang kehidupan keluarga mereka di dunia. Setiap hari amalan umat Muhammad diangkat ke langit dan segala amalan tersebut dipertonton kepada roh ibu- bapa kita. Oleh itu, gembirakanlah roh ibu bapa kita dengan amalan soleh semasa kita masih hidup di duna ini. Roh ibu-bapa akan sakit, terseksa dan menderita jika melihat amalan anak-anak mereka terlibat melakukan dosa besar seperti berzina, berjudi, minum arak, rasuah, memfitnah orang, bersubahat melakukan kezaliman, penganiayaan dan perbuataan maksiat lain.

Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran dan bukti adakah kita yang masih hidup ini sebenar-benar menyayangi ibu-bapa kita. Apalah gunanya anak-anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat setiap minggu, setiap tahun sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati; maka kalau amal perbuatan kamu itu baik-mereka gembira mengetahuinya, dan kalau sebaliknya, mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata: ‘Ya Allah Ya Tuhan kami, berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah petunjuk, sebagaimana engkau telah memberi hidayah petunjuk kepada kami (sehingga kami mati dalam iman).” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmidzi)

Marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu-bapa setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Perlu kita insafi bahawa ketidakredaan ibu bapa kepada sikap keji anak-anak ini mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Selama mana kita tidak diredai oleh ibu bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah s.w.t. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi sebelum mereka didatangi ajal. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah s.w.t dalam surah al-Israa ayat 24 yang bermaksud:

“Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Susunan MANAF AHMAD

MENCARI REDHA ATAU GLAMOUR?



Kasihan manusia ini, ramai di antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia. Kerja dunia yang sementara serius mereka mengusahakannya. Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama, hidup sampai ke tua ramai yang mati muda.

Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka-mereka ini ditipu oleh angan-angannya.Mereka burulah nama dan glamour dengan bermacam-macam dan berbagai-bagai cara.Ramai orang kerana hendak nama dan glamor dia memanjat gunung, menyeberang, merenangi lautan, mengembara ke kutub,menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang sungguh mahalnya.

Apakah dapat bersembahyang atau tidak, tidak diambil kira, mereka lakukanlah bersusah payah untuk sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Di waktu hendak nama dan glamor itu melanggar syariat atau as sunnah peduli apa, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa membuat berita,yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.

Begitulah manusia di hari ini kerana nama dan glamor sanggup mati kerananya, kalau kerana Tuhan untuk tidak berbuat bermacam-macam alasan. Susahlah, sibuklah tidak ada masalah kerana itulah solat Subuh sahaja ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat tapi setelah matahari naik.Begitulah orang memperkecilkan Tuhan kerana berbagai-bagai alasan mengapa ditinggalkan kerana nama dan glamor tidak ada yang mustahil, boleh sahaja.

Segala yang diusaha dan diperolehinya ditinggalkan tidak boleh dibawa sedangkan untuk Akhirat yang kekal abadi, selama-lama telah dicuaikannya. Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa apa-apa. Bekal ke sana waktu di dunia telah dilupakannya seperti tidak beribadah atau beribadah membuat sambil lewa, tidak berjiwa asal ada sahaja.Pemurahnya tidak ada, maaf-bermaafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah dilupa.Sabar dan redha tak usah dikata, memang tidak ada mengutamakan orang lain bukan budaya hidupnya. Ziarah-menziarahi bukan budayanya, menghormati hukum-hakam Tuhan di dalam hidupnya bukan disiplin hidupnya,

Islamnya hanya syahadah dan sedikit-sedikit ibadah lainnya itu pun bukan dari jiwa. Bertimbang rasa tidak dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga yang ada dia memikirkan kepentingan dirinya dan keluarga atau kroni-kroninya. Orang miskin, susah, dapat bala peduli apa! Yang dibawanya ke Akhirat ialah sifat sombong, tamak, bakhil, pemarah, zalim, megah, riyak, ujub, di samping lupa Tuhan, tidak takut dan tidak cintakan Tuhan.

Di waktu ketika hendak mati masih di dalam angan-angan lagi ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamor. Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang, masih mengangkat diri, ajal pun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan, dengan kata-kata lain tidak membawa sifat taqwa sebagai bekal.Yang dibawanya hanya sifat-sifat mazmumah yang bernanah di dalam jiwanya. Aduh malang sekali, dia pergi ke Akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke Neraka, barang-barang yang dibawa untuk ke Syurga tidak ada, maka rugilah dia sepanjang masa buat selama-lamanya Waliyazubillah daripada berlakunya seperti yang dikata.

RAHSIA KEHIDUPAN



Banyak perkara yang manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di sebaliknya. Antara perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya ialah:

1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.

2. Jika seorang muslim mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah penghapusan dosanya atau dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.

3. Manusia yang berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan anggotanya sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua yang ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.

4. Sesuatu perkara atau benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir dan mengurusnya. Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.

5. Banyak orang boleh memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya. Lantaran itulah ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang sama dia sedang memakai sifat itu.

6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.

7. Ramai manusia dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal dan tidak bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti profesor pun dirosakkannya.

8. Bangsa yang mempunyai sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia lain. Begitu pun banyak bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.

9. Orang yang memiliki dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang memiliki Allah, jiwanya tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.

10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.

11. Kehidupan manusia di dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu rahsianya. Iaitu dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar, orang berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu. Setiap orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan kasih sayang, anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci manakala terhadap anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan selalu dijadikan kawan berbincang.

12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.

13. Telah menjadi tabiat semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan, kasih sayang, simpati, dibantu, dihormati, dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia itu lupa,bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga turut susah dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung.Bila seseorang itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu keadaan yang menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...