Saturday, April 14, 2012

Prof. Dr. Tejatat Tejasen Mengenal Islam Dari Kulit

Prof. Dr. Tejatat Tejasen

Profesor Tejatat Tejasen mengucapkan kalimat syahadat di Persidangan Perubatan ke-5 yang diadakan di Riyadh, Saudi Arabia. Beliau adalah Ketua Jurusan Anatomi di Universiti Chiang Mai, Thailand. Sebelumnya memegang jawatan Dekan Fakulti Perubatan di Universiti yang sama.

Setelah ditunjukkan beberapa ayat al-Quran dan hadis Nabi kepada Profesor Tejasen yang sesuai dengan kepakarannya di dalam bidang anatomi. beliau memberi alasan bahawa mereka juga mempunyai kitab dalam agama Buddha yang menerangkan gambaran fasa perkembangan embrio yang sangat tepat. 

Setahun kemudian, Profesor Tejasen datang ke Universiti King Abdul Aziz sebagai penguji dari luar. Pada persidangan di sana, Prof Tejasen diingatkan tentang kenyataan yang dibuatnya setahun yang lalu. Prof Tejasen telah meminta maaf dan mengatakan bahawa pada ketika dia membuat kenyataan itu tanpa memahami apa yang dibincangkan ketika itu. Ketika beliau memeriksa kitab Tripitaka, beliau tidak dapat mencari jawapan ke atas persoalan yang dikemukakan kepadanya. Atas dasar ini, Prof Tejasen diberikan buku yang ditulis oleh Profesor Keith Moore tentang persamaan antara embriologi moden dibandingkan dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan Sunnah. 

Kitab Tripitaka Yang dirujuk oleh Prof Tejasen. Malangnya beliau tidak menjumpai jawapannya

Profesor Moore merupakan tokoh yang diminati oleh Prof Tejasen disebabkan Profesor Moore adalah salah satu ilmuwan dunia yang terkenal dalam bidangnya.

Ketika Profesor Tejasen membaca, memahami dan mengkaji buku tulisan Prof Moore ini, beliau berasa hairan apabila membaca tentang penemuan terbaru dalam haldermatologi tentang sifat-sifat kulit sebagai salah satu alat deria.

Dinyatakan kepada Profesor Tejasen, "anda akan tertarik untuk mengetahui isi kitab ini iaitu kitab al-Quran, sebagai rujukan pada 1400 tahun yang lalu yang menyentuh tentang persoalan hukuman bagi orang yang tidak beriman atau kafir, iaitu mereka akan masuk ke dalam neraka yang dipenuhi api. Dinyatakan juga bahawa ketika kulit mereka mengalami kerosakan dijilat api, Allah akan membuat kulit yang baru untuk mereka sehingga mereka terus merasakan hukuman sebagai balasan di dalam neraka itu. 

'Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kulit mereka hangus, Kami ganti mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'

(QS. an-Nisaa: ​​56)

Sekumpulan muslim bertanyakan kepada Prof Tejasen di dalam persidangan itu, "Jadi anda bersetuju bahawa kandungan kitab 1400 tahun yang lalu ini mengatakan kepentingan urat saraf dalam merasai kesakitan?"

Profesor Tejasen menjawab, "Ya, saya setuju."

Pengetahuan tentang sifat kulit ini telah diketahui lama sebelumnya berdasarkan ayat di dalam al-quran yang menerangkan jika seseorang berbuat salah, kemudian dia akan dihukum dengan membakar kulitnya dan kemudian Allah akan menggantikannya dengan kulit baru yang menutupi mereka agar tahu bahawa dia diseksa kembali. Kulit mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap luka bakar. Oleh kerana itu, jika kulit terbakar oleh api seluruhannya, badan akan kehilangan kepekaan terhadap kesan sakit terbakar. Berdasar alasan inilah maka Allah akan menghukum orang-orang kafir di hari kiamat dengan mengembalikan kulit mereka kepada normal secara berulang-ulang, sebagaimana Allah Yang Maha Mulia berfirman dalam al-Qur'an surat an-Nisaa ayat 56.

Kami menanyakan kepada Profesor Tejasen, "Adakah ayat-ayat al-Quran ini datang dari Nabi Muhammad atau dari sumber manusia?"

Profesor Tejasen mengakui bahawa ayat-ayat al-Quran tidak mungkin dari manusia. Tetapi Profesor Tejasen masih bertanya tentang sumber dari manakah Nabi Muhammad menerima ayat-ayat itu.

Kami menjawab, "Dari Allah, Yang Maha Agung dan Maha Mulia."

Kemudian dia bertanya, "Siapakah Allah itu?"

Kami menjawab, "Dia adalah pencipta kepada semua yang wujud di alam semesta ini baik yang hidup ataupun tidak hidup. Dialah pencipta alam semesta, satu satunya Yang Maha Mengetahui. Jika kamu mendapati kesempurnaan ciptaanNya, inilah bukti bahawa Dialah Yang Maha Sempurna."

Profesor Tejasen bersetuju dengan apa yang mereka terangkan kepadanya. Selepas pertemuan dan perbincangan itu, beliau kembali ke negaranya di mana dia telah menyampaikan tentang penemuan baru di seminar-seminar tempatan mahupun antarabangsa.

Ketika Persidangan Perubatan ke-5 yang diadakan di Riyadh, Profesor Tejasen mengikuti siri seminar tentang tanda-tanda perubatan dalam al-Quran dan Sunnah. Profesor Tejasen menghabiskan masa selama empat hari bersama muslim dan bukan Islam di dalam seminar, membingcangkan tentang kandungan al-Quran dan Sunnah.

Pada sesi terakhir seminar antarabangsa yang dihadiri oleh tokoh-tokoh perubatan termuka, Profesor Tejasen berdiri dan berkata, "Sejak akhir-akhir ini, saya tertarik untuk mempelajari dan memahami al-Quran yang telah diberikan oleh Syeikh Abdul Majid az-Zindani. Tahun lalu, saya mengkaji tulisan Profesor Keith Moore dan terkini dari tulisan Syeikh. Dia meminta saya menterjemahkan ke dalam bahasa Thai dan memberikan sedikit kuliah kepada muslim di Thailand. Saya telah memenuhi permintaannya. Anda boleh melihatnya sendiri di dalam pita video yang saya berikan kepada Syeikh sebagai sebuah hadiah.

Dari penelitian saya dan apa yang saya pelajari secara keseluruhan dalam persidangan ini, saya percaya bahawa semuanya yang telah tertulis di dalam al-Quran pasti sebuah kebenaran, yang dapat dibuktikan dengan peralatan ilmiah. Sejak Nabi Muhammad yang tidak boleh membaca mahupun menulis, Muhammad pasti seorang utusan yang menyebarkan kebenaran yang diturunkan kepadanya sebagai seorang yang dipilih oleh Sang Pencipta. Pencipta ini pasti Allah atau Tuhan. Oleh kerana itu, saya berfikir inilah masanya untuk saya mengucapkan kalimat laa illaha illallah. Saya tidak hanya belajar dari pengetahuan ilmiah selama persidangan itu berlangsung, tetapi ini juga memebri kesempatan yang bagus kepada saya untuk bertemu dengan beberapa ilmuwan baru. Saat yang paling berharga sepanjang persidangan ini adalah ketika saya mengucapkan kalimat syahadat.


"Dan, orang-orang yang diberi ilmu berpendapat bahawa wahyu yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itulah yang benar dan menyuruh kepada jalan Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji." 
(QS. Saba: 6)

Friday, April 13, 2012

SEBESAR ZARAH SAHAJA



Lihatlah api itu, panas membara. Barang terkena sedikitpun, kita pasti merintih pedih. Menyakitkan.

Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa asalnya kejadian api di dunia ini. Setelah Nabi Adam dihantar ke dunia kerana kesalahannya memakan buah larangan maka Allah SWT telah memerintahkan Malaikat Jibril as supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan Nabi Adam as.

Maka Jibril pun pergi menemui malaikat penjaga neraka yang bernama Zabaniah.

Jibril : Wahai Zabaniah, aku diperintah untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia. Api itu untuk kegunaan Adam di dunia.

 Zabaniah : Sebanyak mana sedikit itu?

Jibril : Sebesar kurma.

Zabaniah : Jika sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa, nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasannya.

Jibril : Jika begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma.

Zabaniah : Jika sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakkan di dunia nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti..


Memandangkan keadaan yang rumit itu, maka Jibril as pun menghadap Allah SWT untuk mendapatkan saiz yang perlu dihantar ke dunia.

Allah SWT pun memerintahkan supaya Jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka untuk dibawa ke dunia. Maka Jibril as  mengambil api neraka sebesar zarah dari Zabaniah. Tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan, api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukkan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali ke dalam sungai di syurga dan sebanyak 70 buah sungai di dunia.

Selepas itu Jibril a.s pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakkan di atas sebuah bukit yang tinggi. Sejurus setelah diletakkan api tersebut, tiba-tiba bukit itu terus meleleh dan cair. Maka cepat-cepat malaikat Jibril mengambil semula api tersebut dan menghantar semula ke neraka. Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yang sering kita gunakan untuk pelbagai keperluan termasuk api gunung berapi dan sebagainya.

Maka, bayangkanlah kepanasan api neraka yang sebesar zarah yang terpaksa disejukkan dalam 70 buah sungai syurga dan sungai dunia itu pun kita tidak termampu menahan kepanasannya, bagaimana dengan api neraka yang sebenar di akhirat nanti?

PERIHAL WANITA SOLEHAH DAN LELAKI SOLEH


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Hai nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan dia Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan ingatlah ketika nabi membicarakan secara rahasia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu? Nabi menjawab: Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan) dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik, dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Jika nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.”

Al-Maghari berkata: Surah ini termasuk dalam kategori Surah Madaniyyah dan mengandungi 12 ayat. Ia diturunkan selepas Surah al-Hujurat. Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya:
  • Surah al-Talaq menceritakan tentang pergaulan yang baik dengan para isteri dan memenuhkan hak-hak mereka, manakala dalam surah ini pula menceritakan apa yang terjadi di antara mereka dengan Nabi s.a.w sebagai pengajaran kepada umatnya agar berhati-hati dalam urusan wanita, melayan mereka dengan lemah lembut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan memberi nasihat dengan cara yang berkesan.
  • Kedua-dua surah ini dimulakan dengan seruan kepada Nabi s.a.w.
  • Surah yang terdahulu berkenaan dengan persengketaan para isteri, manakala surah ini pula membincangkan berkenaan dengan persengketaan isteri-isteri Nabi s.a.w. Disebutkan isteri Baginda secara khusus untuk menghormati kedudukan mereka.

Kesimpulan: Wahai isteri-isteri nabi! Jauhilah olehmu daripada menyakiti Rasulullah s.a.w dan berkomplot untuk menentang dan berbuat buruk terhadap Baginda. Ini kerana perbuatan ini boleh membangkitkan dadanya, sehingga ia akan menceraikan kamu semua dan Allah akan memberikan pengganti untuknya yang lebih baik daripada kamu dalam perkara agama, amalan soleh, ketakwaan dan mengatur urusan rumahtangga. Dia memberikan kepadanya sesetengah daripada isteri-isterinya itu yang masih lagi perawan dan sesetengahnya yang janda.

Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi seorang wanita selain daripada talaq (perceraian), terutama apabila isteri penggantinya lebih baik daripada sebelumnya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, yang berkata: Umar berkata, isteri-isteri Nabi s.a.w bersepakat untuk mogok terhadap Baginda. Lalu aku berkata: Mudah-mudahan jika Baginda telah menceraikan kamu, Allah akan memberi ganti untuk Baginda isteri yang lebih baik daripada kamu semua. Lalu turunlah ayat ini.

Sebenarnya keindahan merupakan target utama manusia dan fitrah kepada sesiapa pun sukakan indah dan keindahan. Ini menyebabkan mereka begitu terpesona apabila mendapat apa-apa yang indah seperti barangan, kenderaan, harta benda, lebih-lebih lagi suami dan isteri yang ada nilai kecantikan dan ketampanan.
Indah Yang Hakiki

Sebenarnya keindahan bukan semata-mata dilihat dari segi lahiriah dan zahir semata-mata  tetapi lebih daripada itu memerlukan keindahan dalaman yang mewakili hati dan akhlak serta budi yang luhur apatah lagi dipasakkan dengan keimanan sejati. Inilah yang hakiki patut didambakan oleh kita semua kerana ia sudah pasti menatijahkan kebahagiaan hidup di dunia seterusnya berlangsungan hingga ke akhirat.


Indah Dalam Berumah Tangga

Sengaja penulis membuat fokus kepada rumah tangga agar realiti kehidupan sebenarnya yang ingin digapai oleh setiap pasangan bagi mendapatkan kebahagiaan dapat diraih.

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyatu al-Aulad menyebut berkenaan dengan perkahwinan contoh dan hubungannya dengan pendidikan. Antara lain katanya: Perkahwinan terdiri dari tiga sudut, iaitu:
  • Perkahwinan adalah fitrah manusia.
  • Perkahwinan boleh membawa kebaikan kepada masyarakat.
  • Perkahwinan merupakan penelitian dan pemilihan.

Ketiga-tiga perkara di atas akan menjelaskan sejauh mana hubungan pendidikan dengan sifat tanggungjawab kelahiran zuriat. Begitu juga hubungan darah keturunan dengan anak serta memelihara keselamatan tubuh dan kelakuannya, perasaan kasih sayang kedua ibu bapa terhadapnya, kerjasama yang erat antara kedua-dua ibu bapanya dalam usaha mendidiknya, membetulkan segala penyelewengan dan membentuknya sebagai insan yang soleh untuk menghadapi kehidupan.


Keutamaan Wanita Solehah

Dinyatakan di sini beberapa nas daripada hadis berkenaan dengan kelebihan dan faedah bagi individu yang berkahwin dan mendapat isteri mahupun suami yang bersifat soleh dan solehah, antaranya:

Daripada Abdullah bin Amr r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dunia merupakan keseronokan yang bersifat sementara dan keseronokan yang paling baik di dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang jika dikurniakan kepada seorang bererti, ia telah dikurniakan kebajikan di dunia dan akhirat: Hati yang bersyukur, lidah yang berzikir, badan yang sabar menerima cubaan dan isteri yang tidak ingin berbuat derhaka terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya.” (Riwayat at-Tabrani)

Daripada Abu Amamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seseorang lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas takwanya kepada Allah s.w.t lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, ia taat, jika suaminya melihat kepadanya, ia menyenangkannya, jika bersumpah, nescaya ia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya, ia menjaga diri dan menjaga hartanya.” (Riwayat Ibn Majah)

Daripada Abu Hatim al-Muzani r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu didatangi oleh seseorang yang kamu berkenan dengan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, akan berlaku fitnah dan kerosakan di muka bumi ini.” (Riwayat Tirmidzi) 


Sepuluh Wasiat Untuk Puteri Umamah

Umamah telah mewasiatkan kepada puterinya yang akan berkahwin dengan al-Harith bin Amru. Katanya: Wahai puteriku! Ada sepuluh perkara yang inginku berikan pedoman kepadamu dan sebagai panduan untukmu dalam kehidupan berumahtangga:
  • Jalinkan hubungan dengan suami dengan penuh ketaatan. Perhatikan kesukaannya dan jangan sampai dia melihat sesuatu yang buruk daripadamu atau tercium sesuatu yang tidak enak daripadamu.
  • Sentiasalah membanggakan suamimu kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu.
  • Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya (selagi tidak bertentangan dengan syariat) nescaya, dia akan bersikap lembut terhadapmu.
  • Uruskan rumah tangga dengan baik dan sempurna.
  • Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.
  • Simpanlah segala rahsianya dengan baik. Jangan sesekali kamu membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.
  • Jagalah waktu makan dan waktu istirehatnya kerana perut yang lapar akan membuatkan darah cepat naik. Tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan.
  • Jika dia sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan. Kamu mesti pandai mengikut suasana hatinya.
  • Hiasilah dirimu selalu agar dia gembira apabila memandangmu.
  • Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong pula kepadamu.”

Ciri-ciri Suami Soleh

Seorang pakar sakit jiwa mengatakan: “Menghormati isteri termasuk di dalam soal yang amat penting kerana seorang isteri merasa dirinya lemah atau dipandang lemah. Pada umumnya, kaum wanita mengamalkan pelajaran yang buruk hingga melekat pada sifat-sifatnya, seperti suka berdusta, tidak boleh dipercayai, nifaq (lain di mulut, lain di hati) dan sebagainya. Apabila kita tanamkan rasa menghargai diri di dalam jiwanya, kita menghormati keperibadiannya dan kita jaga kehormatannya. Kita dapat memperkuat keperibadiannya dan membuatnya sanggup menghadapi gelombang dahsyat yang mungkin akan dihadapi selama perjalanan hidupnya. Dengan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri dan dengan penghargaan yang kita berikan itu, ia akan dapat mengatasi kelemahan jiwanya sehingga ia tidak mudah diperdaya dan tidak mudah tergelincir ke dalam perbuatan yang rendah dan sia-sia.”
  • Mentaati Allah dan Rasul dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.
  • Mendirikan rumah tangga semata-mata kerana Allah dan demi memenuhi tuntutan agama.
  • Melayani dan menasihati isteri dengan cara yang baik.
  • Menjaga hati dan perasaan isteri.
  • Sentiasa bertolak ansur dan selalu membantu isteri.
  • Tidak menyuruh sesuatu di luar kemampuan isteri.
  • Kuat kesabaran dan menghindari daripada menyakiti isteri, seperti memukul atau dengan perkara yang memudaratkan, yang tidak dibenarkan syariat.
  • Tidak mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri.
  • Menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.
  • Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi sebagai ketua keluarga.
  • Memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan sedaya kemampuan.
  • Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.
  • Bertanggungjawab mendidik akhlak ahli keluarganya.
  • Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.
  • Memberikan kasih sayang dan berkorban demi kebahagian bersama.

Seorang lelaki datang menemui al-Hasan bin Ali r.a meminta nasihat dan bertanyakan tentang lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puterinya.

Ia berkata: “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki, dengan siapakah yang sebaiknya aku mengahwinkannya?” al-Hasan menjawab: “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, sebab kalau ia mencintai isterinya ia pasti menghormatinya, tetapi kalau tidak menyukainya ia pasti tidak akan berlaku zalim terhadapnya.”


Ciri-ciri Isteri Solehah

Banyak ciri yang perlu disemai dalam diri seorang isteri yang solehah, antaranya:

Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah s.a.w bersabda, yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
  • Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • Tidak bermasam muka terhadap suami.
  • Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
  • Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
  • Keluar rumah hanya dengan izin suami.
  • Berhias hanya untuk suami.
  • Menghargai pengorbanan suami.
  • Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
  • Menerima tunjuk ajar daripada suami.
  • Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
  • Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
  • Menjadi penenang dan penyeri rumah tangga.

Dinyatakan di sini beberapa tips untuk mendidik isteri, antaranya:
  • Allah membekalkan kepada lelaki kekuatan akal, rasional, tidak mudah didorong oleh perasaan. Wanita pula berjiwa sensitif dan mudah tersinggung. Justeru, kekuatan akal jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah kekuatan fizikal, suami boleh menjadi pendidik yang kreatif.
  • Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Justeru, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir dan strategi.
  • Kaum wanita dibekalkan dengan sembilan nafsu dan satu akal berbanding dengan lelaki yang diciptakan dengan hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukan nafsu seks semata-mata, tetapi nafsu tidak penyabar, mudah prasangka, cemburu, cepat merajuk dan sebagainya. Dari dorongan nafsu itulah, lahirnya pelbagai perasaan pada wanita.
  • Dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh sahaja pertimbangan akal. Sebab itulah wanita mesti dibimbing lelaki agar tindak tanduknya tidak mengikut perasaan semata-mata.
  • Tahu sedikit sebanyak ilmu psikologi wanita. Ini dapat dimanfaatkan suami dalam mendidik isteri.

Kebijaksanaan perlu disertai dengan kesabaran. Kesabaran tanpa kebijaksanaan membawa kepada suami menurut semahu-mahunya kemahuan isteri. Tanpa kesabaran, boleh hilang pertimbangan akal dan tidak bertindak secara rasional.

Akhirnya, penulis menutup perbincangan ini dengan memohon doa daripada Allah s.w.t, seperti yang diajar dalam al-Quran yang bermaksud: 

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (al-Furqan: 74)

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...