Monday, September 10, 2012

AKU BERJALAN BERSENDIRIAN, MENINGGAL SENDIRI DAN DIBANGKITKAN JUGA SENDIRIAN



Pepatah ada berkata, cinta itu terasa keindahannya tatkala ia bermuara di jiwa. Cinta itu tidak boleh difahami kerana bercinta bukan untuk dipelajari. Cinta itu ibarat bibit yang tiba-tiba jatuh dari langit. Kerana cinta, manusia seringkali berdepan kesengsaraan, dan tidak dinafikan juga cinta melahirkan kebahagiaan. Cinta adalah berkorban untuk dicintai.

Di sebuah permukiman Shufah, masyarakat Madinah amat mengenali Abu Zar Al-Ghifari. Dia termasuk di kalangan sahabat Rasulullah yang dihormati, disegani malah amat disayangi baginda. Abu Zar memiliki lebih dari segalanya jika dia mahu. Tetapi jalan yang dipilih lelaki ini amat menghairankan. Ketika Abu Zar berkesempatan menikmati kehidupan sebagai pembesar negara, dia lebih rela melalui cara hidup yang zuhud, serba sederhana dan jauh dari impian semua orang. Dia tidak pernah menikmati kenyang lebih dari sekali dalam sehari. Lalu apakah yang membuat Abu Zar tegar menjadikan dirinya seorang ahli sufi yang zuhud pada dunia?

Keikhlasan dan sifat tenang Abu Zar jelas terpancar di wajahnya sentiasa. Abu Zar sentiasa redha dengan apa jua yang akan berlaku pada dirinya. Pernah Rasulullah SAW bersabda,

“Sahabatku, engkau bakal ditimpa suatu bencana di belakang hari.”
Abu Zar menjawab dengan tenang, “Akan ku terima bencana itu dengan kegembiraan, ya Rasulullah.”

Satu ketika dalam Perang Tabuk, Rasulullah SAW sedang gelisah menanti Abu Zar yang belum muncul. Ke mana Abu Zar? Mengapa ia masih belum sampai? Sedangkan tadi mereka berangkat bersama-sama dan beriringan dari Madinah.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang lelaki tua sedang berjalan termengah-mengah. Rasulullah SAW yang melihat dari kejauhan merasa sangat gembira sebaik melihat ketibaan Abu Zar. Lelaki bijak itu melangkah bersendirian bersama bekalan dan kelengkapan perangnya yang berat. Siapa tahu betapa payahnya dia meneruskan perjalanan tadi, sendirian mengharungi padang pasir yang sunyi dan terbakar dek panas mentari. Keldainya pula jatuh sakit dan Abu Zar memilih untuk berjalan sendiri sehingga sempat sampai menyertai rombongan Rasulullah SAW semula.

Rasulullah bersabda, “Akhirnya, engkau datang jua sahabatku.” Melihat kesungguhan Abu Zar ingin berperang, Rasulullah menambah “ Tuhan akan memberi ganjaran pada Abu Zar yang hari ini berjalan kaki sendirian. Kelak ia akan meninggal sendirian dan dibangkitkan Allah di hari pembalasan, jua sendirian.”

Abu Zar akan menerima penghormatan yang mulia sebagai imbalan dari cintanya yang murni kepada Allah dan Rasul-Nya.

Ketika pemerintahan Khalifah Usman bin Affan, Abu Zar berangkat menuju Rabzah bersama isteri dan salah seorang khadamnya. Ketika di pertengahan jalan, Abu Zar jatuh sakit. Isterinya yang melihat suaminya sedang kesakitan, hanya mampu menangis kesedihan. Terasa hiba di hatinya kerana sakit Abu Zar kali ini amat berbeza. Seolah-olah sudah tiba masanya mereka berpisah.

“Mengapa engkau menangis?” tanya Abu Zar tenang dengan nafas tersekat-sekat.

“Engkau sedang sakit tenat, tetapi aku tidak mempunyai kain pun untuk menyelimuti tubuhmu," jawab isterinya tersedu-sedu.

“Isteriku, jangan kau tangisi kematianku kelak. Ini adalah saat yang sangat kunantikan. Sesudah aku pergi, janganlah kau bersusah hati. Sesudah jenazahku dimandikan, bungkuslah dengan kain kafan seadanya. Selesai mengurus segalanya, golekkan jenazahku di tepi jalan. Kepada orang yang mula-mula kalian temui, katakan kepadanya, inilah jenazah Abu Zar Al-Ghifari, sahabat Rasulullah.”

Tidak lama kemudian, memang benar Abu Zar meninggal dunia. Isteri dan khadamnya melaksanakan wasiat Abu Zar. Setelah dimandi dan dikafan, jenazah Abu Zar diletakkan di pinggir jalan.

Seorang musafir melewati tempat itu dan kehairanan melihat ada jenazah yang tergolek di tepi jalan. Isteri Abu Zar yang melihatnya lantas menerangkan, “Maaf tuan, orang yang wafat ini adalah Abu Zar al-Ghifari, sahabat Rasulullah.”

Musafir itu sebenarnya Ibnu Mas’ud, juga salah seorang sahabat Rasulullah. Dengan linangan air mata, Ibnu Mas’ud berkata “Ya Allah, semua yang dikatakan oleh Rasulullah berlaku benar ke atas dirimu. Engkau berjalan sendiri, meninggal sendiri dan pasti dibangkitkan kelak juga sendiri.”

Friday, September 7, 2012

MASJIDIL HARAM


Masjidil Haram merupakan masjid tertua di dunia. Dalam bahasa Arab, Masjidil Haram bererti masjid yang dihormati atau dimuliakan. Masjidil Haram terletak di tengah-tengah kota Mekah. Sejak tahun ke-8 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, baginda menjadikan Masjidil Haram sebagai tempat ibadah umat Islam. Oleh hal yang demikian itu, masjid ini menjadi tumpuan umat Islam dari berbagai-bagai penjuru dunia untuk melakukan ibadah haji, umrah, solat dan menuntut ilmu. Mereka datang daripada pelbagai mazhab.

Di tengah-tengah Masjidil Haram terletaknya Kaabah. Bangunan terpenting dalam Masjidil Haram adalah Kaabah, yang berbentuk kiub dan disebut juga Baitullah (Rumah Allah), Baitulatiq (Rumah Kuno), dan Baitulharam (Rumah Suci). Di dalam masjid ini juga terdapat makam Ibrahim (bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s pada batu ketika membina atau mendirikan Kaabah), Hajar Aswad (batu hitam), dan telaga zamzam.

Masjidil Haram – sebuah kompleks bangunan yang berbentuk empat persegi yang mengelilingi Kaabah. Masjid ini terletak di atas tanah empat segi di tengah-tengah kota Mekah. Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi s.a.w dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas sekarang. Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah. Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil. Kerana tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam, Masjidil Haram hingga kini terus menerus diperluas dan diperindah oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi.

Di sekeliling masjid ini terdapat tujuh buah menara yang menjulang tinggi. Ketujuh-tujuh menara itu masing-masing mempunyai nama trendier iaitu: Bab al-Umrah, Bab al-Hazurah, Bab as-Salam, Bab az-Ziadah, Bab al-Ali, Sulaimaniah, dan Kait Bai. Menara-menara ini turut menjadi model masjid di seluruh dunia.

Masjidil Haram memiliki keutamaan yang tersendiri bagi umat Islam. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Janganlah memberatkan untuk mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid: Masjidil Haram, masjidku (Masjid Nabawi di Madinah), dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama daripada seratus ribu kali solat di masjid lain kecuali di Masjidil Aqsa.” (Riwayat ad-Darimi, an-Nasai’ dan Ahmad)

Telaga zamzam terletak di bahagian tenggara Kaabah dengan kedalaman 140 kaki. Telaga ini juga disebut Telaga Ismail. Pada masa Abdul Mutalib sebagai pembesar Mekah, telaga ini tertutup tanah. Beliau melakukan penggalian dan seterusnya telaga ini berada di bawah pengawasannya.

Masjid ini ditutupi dengan atap dan dilengkapi dengan menara, tiang-tiang kecil tempat lampu penerang, dan kubah-kubah kecil (152 buah). Tiang setinggi 20 kaki (sekitar 6m) dan berdiameter 1.5 kaki (sekitar 0.5m) berjumlah 589 buah. Setiap tiga tiang diselangi dengan satu tiang besar dengan ketebalan sekitar 4 kaki (sekitar 1.2m). Di bahagian utara pula terdapat satu tiang merah dan satu tiang abu-abu kemerah-merahan, manakala di bahagian timur  terdapat dua tiang abu-abu. Di bahagian loteng atau lelangit terdapat ukiran kaligrafi ayat-ayat al-Quran dan perhiasan. Pada bahagian tembok pula terdapat batu inskripsi yang bertuliskan Muhammad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, serta Asma ul Husna.

Masjidil Haram memiliki 19 pintu gerbang yang sering terbuka dan juga mempunyai nama-nama, antara lain: (1) Bab as-Salam (pintu salam), disunnahkan masuk ke masjid menerusi pintu ini bagi orang yang pertama kali memasukinya dan akan melakukan tawaf; (2) Bab as-Safaa (pintu Safaa), pintu keluar menuju bukit Safaa untuk melakukan sa’i; (3) Bab as-Su’ud (pintu su’ud); (4) Bab al-Umrah (pintu umrah), biasanya dimasuki oleh orang yang mengerjakan umrah ketika melakukan tawaf; dan (5) Bab Bani Syaibah (pintu Syaibah), sekarang pintu itu tidak wujud lagi kerana termasuk dalam pelan perluasan kawasan kompleks masjid itu untuk jemaah haji melakukan tawaf.

Susunan UMMU AIMAN
www.ummatanwasatan.com

Thursday, September 6, 2012

PROFESOR MASUK ISLAM KERANA MENGKAJI AL-QURAN



INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.

Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.

Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.

Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.

Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.

“Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.

“Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.

“Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya,” akui Dr. Miller.

Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.

Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.

“Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.

“Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.

“Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.

“Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa’ ayat 82, saya tambah terkejut,” katanya.

Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.

Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.

“Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.

“Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.

“Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya’ ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.

“Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet,” katanya.

Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).

Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.

Susunan ZUARIDA MOHYIN

Wallahu’alam….

Wednesday, September 5, 2012

HUKUM SOLAT JUMAAT BAGI ORANG YANG BERMUSAFIR



Soalan :

Hukum solat Jumaat bagi orang yang bermusafir.



Jawapan :

Di dalam kitab Majmuk Syarah Mazhab Imam Nawawi telah menjelaskan : “bahawa para sahabat Syafie berpendapat, seseorang yang mempunyai keuzuran yang membolehkan dia meninggalkan Jumaat,harus dia memulakan perjalanan musafirnya samada sebelum tergelincir matahari atau selepasnya.Keadaan musafir ini tertakluk seperti berikut:

Pertama, seseorang diharuskan meninggalkan Jumaat sekiranya dia bermusafir bermula sebelum subuh, pendapat ini adalah tanpa khilaf.(tanpa perselisihan pendapat mengenai hukum masalah ini.)

Kedua,seseorang yang memulakan perjalanan musafirnya selepas tergelincir matahari harus meninggslksn Jumaat.Sekiranya dia mengetahui yang dia sempat untuk mendirikan Jumaat didalam perjalanannya hendaklah dia mendirikan solat Jumaat di tempat itu,keadaan musafir seperti ini diharuskan tanpa khilaf.Ataupun sekiranya dia bermusafir dan tidak ada tempat/masjid untuk dia mendirikan solat Jumaat,dalam perjalanannya maka tidak harus baginya meninggalkan solat Jumaat.


Akan tetapi sekiranya dia tidak boleh menangguhkan perjalanan musafirnya kerana dia terpaksa mengikuti rombongannya dan menyebabkan dia bermasalah jika tidak mengikut mereka.Maka keadaan musafir seperti ini adalah diharuskan meninggalkan Jumaat.

Sumber : Jabatan Mufti Pahang

Tuesday, September 4, 2012

KU BERIKAN MAHAR UNTUK BIDADARI SYURGA



Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat Arab, mereka akan melaungkan kata-kata semangat untuk mengajak pemuda-pemuda berjuang dan menyertai jihad. Pada satu ketika di Bashrah, berkumpullah orang-orang untuk mendengar senandung dari Abdul Wahid bin Zaid al-Bashri yang sedang berkhutbah. Kali ini bicaranya tentang bidadari. Bidadari itulah ganjaran buat penghuni syurga dan semestinya buat mereka yang mati dalam jihad. Senandung Abdul Wahid,

Gadis yang berjalan tenang dan berwibawa

Orang yang menyifatkan memperoleh apa yang diungkapkannya

Dia diciptakan dari segala sesuatu yang baik nan harum

Segala sifat jahat telah dijauhkan

Allah menghiasinya dengan wajah

Yang berhimpun padanya sifat-sifat kecantikan yang luar biasa

Matanya bercelak demikian menggoda

Pipinya mengeluarkan aroma kasturi

Lemah gemalai berjalan di atas jalannya

Seindah-indah yang dimiliki dan kegembiraan yang berbinar-binar

Apakah kau melihat peminangnya mendengarkannya

Ketika mengelilingkan hantaran dan bejana

Di taman yang elok kita dengar suaranya

Setiap kali angin menerpa tangan itu, bau harumnya menyebar

Dia memanggilnya dengan cinta yang jujur

Hatinya terisi dengannya hingga melimpah

Wahai kekasih aku menginginkan selainnya

Dengan cincin tunangan sebagai pembukanya

Janganlah kau seperti orang yang bersungguh-sungguh ke puncak hajatnya

Kemudian setelah itu ia meninggalkannya

Mendengar tentang keindahan bidadari seperti yang dibayangkan, orang semakin ramai mengerumuni Abdul Wahid. Sangat tertarik hati mereka, apatah lagi jika benar bidadari seperti yang digambarkan. Siapa yang tidak mahu? Tetapi dengan syarat mereka mesti sanggup mengorbankan nyawa ke jalan jihad.

Kebetulan, seorang ibu yang beriman ada di situ. Dialah Ummu Ibrahim. Katanya,

“Wahai Abu Ubaid, bukankah engkau tahu anakku Ibrahim. Para pemuka Bashrah meminangnya untuk puteri-puteri mereka, tetapi aku memukulnya di hadapan mereka. Demi Allah, gadis(bidadari) ini mengagumkanku dan aku meredhainya menjadi pengantin untuk puteraku. Ulangi lagi apa yang engkau sebutkan tentang kecantikannya.”Abdul Wahid menyambung,

Wajahnya mengeluarkan cahaya

Senda guraunya seharum wangian dari wangian nan murni

Jika menginjakkan sandalnya di atas pasir yang sangat gersang

Nescaya seluruh penjuru menjadi hijau, tanpa hujan

Tali yang mengikat pinggangnya

Seperti ranting pohon Raihan yang berdaun hijau

Orang menjadi semakin ramai. Ummu Ibrahim terus ke depan dan berkata,

“Demi Allah, apakah engkau sudi menikahkan puteraku dengan gadis tersebut saat ini juga? Ambillah maharnya dariku sebanyak 10,000 dinar. Bawalah puteraku keluar bersamamu menuju peperangan itu. Mudah-mudahan Allah mengurniakan syahadah (mati syahid) kepadanya. Sehingga dia akan memberi syafaat kepadaku dan ayahnya pada hari kiamat.”

 Saat itu, Abdul Wahid menjawab, “Jika engkau redha melakukannya, pasti engkau dan anakmu akan mendapat keuntungan yang besar.”

Dengan hati tidak berbelah bagi, Ummu Ibrahim memanggil puteranya. Bergegaslah Ibrahim ke depan menemui ibunya.

Dipandangnya wajah Ibrahim dan ibu itu bertanya, “ Wahai putera yang kukasihi, apakah engkau redha dengan bidadari ini sebagai isteri. Tapi dengan syarat, engkau mengorbankan dirimu di jalan Allah dan tidak kembali dalam dosa-dosa?”

Pemuda itu menjawab, “Ya, Demi Allah wahai ibu, aku sangat redha.”
Ummu Ibrahim tersenyum dan mengusap kepala anaknya. Dia menyambung, “Ya Allah, aku menjadikan-Mu sebagai saksi bahawa aku telah menikahkan anakku dengan gadis ini dengan pengorbanannya di jalan-Mu dan tidak kembali ke dalam dosa. Maka terimalah dariku, wahai sebaik-sebaik Penyayang.”

Kemudian ibu itu pergi dan datang semula dengan sejumlah wang di tangannya. “Wahai Abu Ubaid, ini adalah mahar gadis itu. Bersiaplah dengan mahar ini.”

Abdul Wahid pun menyiapkan segala kelengkapan perang dan para pejuangnya.

Ibu itu membelikan kuda dan senjata yang baik untuk puteranya, Ibrahim.

Tibalah saat perpisahan. Ibu itu menyerahkan kain kafan dan wangi-wangian kepada Ibrahim.

“Wahai anakku, jika engkau hendak bertemu dengan musuh, pakailah kain kafan ini dan gunakanlah wangi-wangian ini. Janganlah Allah melihatmu nanti dalam keadaan lemah di jalan-Nya,” ujar Ummu Ibrahim sambil memeluk puteranya erat. Itulah saat terakhir dia melihat anak kesayangan dan itulah detik terakhir mereka bersama. Diciumnya kening Ibrahim sambil berkata, “ Wahai anakku, Allah tidak akan mempertemukan kita kembali kecuali di hadapan-Nya pada hari kiamat.”

Tidak lama kemudian, berangkatlah pasukan Islam  ke medan perang bersama-sama Ibrahim.

Di perbatasan, saat trompet ditiup, perang pun bermula. Ibrahim berjuang di barisan hadapan. Musuh yang terkena pedangnya ramai gugur dan anak muda itu begitu gagah. Sehinggalah tenaganya hampir-hampir hilang, dia dikepung musuh yang ramai. Kemudian, dengan kuasa Allah SWT, Ibrahim terbunuh dan menemui syahid.

Selesai perang, tentera Islam pulang ke Bashrah. Mereka disambut sanak saudara dan masyarakat yang tinggal. Ummu Ibrahim turut serta dan terus mencari kelibat puteranya. Dicarinya ke sana ke mari, tetapi Ibrahim tidak kelihatan. Ditanya kepada Abdul Wahid, “Abu Ubaid, apakah hadiah dariku diterima atau sebaliknya?”

Abdul Wahid menjawab dengan hiba,  “Hadiahmu telah diterima. Sesungguhnya Ibrahim telah syahid dan sedang berada di tempat yang diredhai.”

Alangkah bersyukurnya Ummu Ibrahim. Terlaksana sudah impiannya untuk menghantar putera kesayangan ke syurga abadi dan membawa mahar untuk sang bidadari. Tidak ada keluh kesah dalam dirinya sekalipun anaknya telah mati dan tidak mungkin hidup kembali.

Malamnya, Ummu Ibrahim bermimpi melihat anaknya di sebuah taman yang indah. Di situ terbina sebuah kubah hijau dan singgahsana yang dibuat dari mutiara. Ibrahim memakai mahkota yang gemerlapan cahayanya. Hilang rasa rindu ibu itu melihat anak dikasihi di depan mata.

Dalam mimpi itu, Ibrahim berkata, “ Wahai ibu, bergembiralah. Mahar ibu telah diterima dan aku telah bersanding dengan seorang pengantin wanita, seorang bidadari syurga.”

Monday, September 3, 2012

HUKUM MEMBERI SALAM KEPADA WANITA





Salam merupakan lambang kedamaian dan kesejahteraan dalam Islam. Ianya sangatlah digalakkan. Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w yang mengajurkan supaya salam disebarkan, antara lain sabda baginda yang bermaksud : “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang sesama kamu. Tidakkah Aku tunjukkan sesuatu yang mana bila kamu melakukannya pasti kamu akan berkasih saying, iaitu sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Riwayat Muslim)

Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud: “Bila kamu diucapkan salam maka hendaklah kamu jawab dengan lebih baik atau sama sepertinya.” Apa yang dapat difahamkan bahawa arahan ini adalah umum untuk seluruh umat Islam sama ada lelaki atau wanita selama tidak ada dalil lain yang mengkhususkan maksud tadi. Malah terdapat banyak hadith membuktikan bahawa harus dan digalakkan lelaki memberi kepada wanita dan sebaliknya.

Sebagaimana Ummu Hani binti Abi Talib, katanya: “Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w pada tahun pembukaan Mekah dan aku lihat Baginda sedang mandi dan aku memberi salam kepadanya , katanya siapa itu, jawabku:  Saya Ummu Hani binti Abu Talib.  Katanya, selamat datang wahai Ummu Hani.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah keadaan dan amalan yang berlaku semasa Rasulullah dan para sahabata mengenai salam antara lelaki terhadap wanita atau sebaliknya. Masing- masing memberi salam antara satu sama lain. Walau bagaimana ia perlu diikuti adab dan peraturannya.Salam itu harus apabila tidak terdapat sebarang fitnah.

Sekiranya ia boleh menimbulkan fitnah maka ianya tidak lagi dibenarkan seperti seorang lelaki yang menemui seorang wanita yang bukan mahramnya di tepi jalan sedang wanita itu gadis remaja pula maka ianya patutlah ditinggalkan melainkan antara kedua sudah ada hubungan yang erat melalui keturunan keluarga dan sebagainya. Lainlah kalau gadis tadi  berada dalam kumpulan wanita yang ramai maka adalah tidak dilarang.

Demikian juga salam guru kepada muridnya dalam bilik darjah / kuliah tidaklah dilarang malah digalakkan sekiranya ianya dapat melahirkan suasana kemesraan antara guru dengan muridnya. Perbuatan itu tidak langsung mendatangkan sebarang fitnah, apalagi  kalau di kalangan murid itu terdapat wanita yang sudah berumur.

Sekiranya ada ditimbulkan persoalan, suara wanita itu sendiri adalah aurat bukan untuk didengari oleh kaum lelaki; ini juga pendapat kumpulan ekstrim yang menganggap suara wanita itu aurat. Pada hal jelas suara tidak ada yang dikira aurat melainkan jika dilunakan untuk menimbulkan keberahian kaum lelaki yang mendengarkan sepertimana firman-Nya bermaksud: “Janganlah mengiurkan (memanjakan) percakapan kamu,nanti akan tertarik hati mereka yang hatinya ada penyakit dan ucaplah perkataan makruf (baik) yang tidak mempesonakan yang mendengarkannya.” (al-Ahzab: 32)
Pada akhir ayat tersebut, membenarkan wanita untuk bercakap dengan baik kepada sesiapa sahaja dan untuk sesiapa sahaja.

Daripada penjelasan di atas dapatlah difahami  bahawa salam adalah harus dan digalakkan selagi tidak mendatangkan fitnah, sedangkan fitnah itu sendiri adalah berdasar dhamir dan suasana setempat.

Susunan ABDUL HADI YAHYA
ummatanwasatan.net

Saturday, September 1, 2012

PILIHLAH WANITA KERANA AGAMANYA...



Perkahwinan dalam Islam menawarkan ketenangan jiwa dan kedamaian fikiran, baik lelaki mahupun perempuan dapat hidup bersama dalam suasana cinta, kasih sayang, harmonis, kerjasama, saling menasihati dan bersikap toleransi. Ia telah meletakkan asas atau tapak yang kukuh dan mengangkat keluarga Islam dalam suatu persekitaran yang lestari dan sihat.

Al-Quran mengungkapkan dalam istilah yang sangat mengharukan dan mengesankan bahawa hubungan yang abadi dan alamiah antara lelaki dan perempuan, dipenuhi dengan ketenangan, rasa aman, saling cinta mencintai. Saling memahami dan kelembutan. Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah bahawa Ia menciptakan untukmu pasangan dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya, dan diciptakan-Nya di antaramu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.” (ar-Rum: 21)

Perkahwinan adalah penyatuan jiwa dalam perasaan yang paling dalam. Allah mempertemukan dua jiwa ini untuk bersatu sehingga mereka dapat memperolehi ketenangan dan kedamaian dalam rumah tangga yang dipenuhi dengan cinta yang tulus dan kasih sayang yang berkah.

Dalam Islam, perempuan yang berbudi dan baik dilihat sebagai salah satu rahmat dalam kehidupan ini, dan kurniaan yang agung bagi seorang lelaki, kerana dia dapat pulang bertemu dengannya menghadapi perjuangan hidup, dan menemukan bersama kedamaian,dan kenikmatan yang tidak terkira. Nabi s.a.w  bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Islam meletakkan perkahwinan pada darjat yang sangat tinggi, dan memandang kewanitaan sebagai sesuatu yang sangat bernilai dan berharga.

Atas dasar pandangan tentang perkahwinan dan perempuan di atas, seorang Muslim tidak dikendalikan oleh sikap yang tanpa arah (the empty headed attitude) sebagaimana diperlihatkan oleh banyak perempuan akhir-akhir ini. Tetapi, dia dikendalikan oleh keperibadian seorang Muslim yang sihat, dan dia menggunakan waktunya untuk memilih teman hidupnya, mencari  yang memiliki watak Islam yang benar dan yang akan menciptakan kehidupan rumah tangga yang damai dan bahagia. Oleh kerana itu, dia tidak tertarik kepada kecantikan, gaya dan kecantikan fizikal yang dibuat-buat yang diingini oleh kaum muda yang tanpa arah. Dengan tidak mengabaikan hal-hal yang bersifat lahiriah, seorang Muslim juga harus melihat isterinya dari segi kekuatan iman dan amalan agamanya, perilakunya yang baik, sebagaimana nasihat Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Perempuan dinikahi kerana empat hal: hartanya, keturunannya, kecantikanya dan agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya,maka kamu akan selamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Meskipun Nabi s.a.w menasihati golongan muda Muslim untuk memilih isteri yang kuat agamanya tetapi ini bukan bererti bahawa dia mengabaikan pertimbangkan dari segi kecantikannya. Nabi s.a.w menyuruh kita untuk melihat perempuan sebelum mengakhiri dengan perkahwinan, sehingga seorang Muslim tidak merasa dirinya terperangkap dalam perkahwinan dengan seorang perempuan yang tidak menarik dan cantik.

Al-Mughirah ibn Sya’bah berkata:

Aku meminang seorang perempuan pada masa Nabi. Baginda bertanya kepada saya, “Apakah kamu melihatnya?” Aku menjawab, “Belum.”  Nabi mengatakan: “Pergi dan lihatlah dia, kerana (dengan cara melihat) akan ada keserasian sehingga cinta dan kesesuaian akan tercipta di antara kamu.”

Seseorang yang telah meminang perempuan Ansar datang kepada Nabi s.a.w. Nabi bertanya, “Apakah kamu sudah melihatnya?” Dia menjawab, ”Belum.” 
Maka Nabi menyuruhnya untuk melihatnya.

Nabi s.a.w menekankan, dalam lebih daripada satu hadis, bahawa kecantikan merupakan salah satu perwatakan asas sehingga seorang lelaki seharusnya mencari seorang perempuan yang di samping moral, juga yang memiliki perwatakan yang baik. Sesungguhnya dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Sebagai contoh, Nabi s.a.w bersabda kepada Ibnu Abbas, yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu hal yang paling mulia jika dimiliki oleh lelaki? Ialah isteri yang solehah: ketika dia memandangnya dia senang, ketika dia menginginkannya melakukan sesuatu dia pun memenuhinya, dan ketika dia pergi dia dapat dipercayai dan setia kepadanya.

Abu Hurairah berkata:

Nabi saw ditanya: ”Perempuan mana yang terbaik?” Baginda menjawab: “Perempuan yang menyenangkannya ketika dia memandangnya, yang mentaatinya ketika dia memintanya untuk melakukan sesuatu, dan yang tidak melakukan sesuatu yang tidak disukainya berkenaan dengan dirinya dan harta suaminya.”

Inilah bimbingan yang diberikan oleh Nabi s.a.w berkaitan dengan keperibadian seorang perempuan yang berupaya membawa kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian bagi lelaki dan yang bisa mendatangkan bahagia, kesenangan dan keamanan di rumah tangga, yang akan melahirkan anak-anak yang cerdas, berjaya dan beriman.

Nabi s.a.w menegaskan bahawa perkahwinan harus dibangun di atas dasar atau tapak yang kukuh, yang ada keseimbangan antara keperluan fizikal, mental, spiritual dan emosional.

Oleh sebab itu, seorang Muslim sejati yang dibimbing oleh syariah dalam segala aspek, tidak akan terperangkap oleh tipu muslihat ”hadhra-ad diman” perempuan yang cantik secara fizikal namun buruk perwatakan dan peribadinya.

Susunan MAIZURAH HASSAN
ummatanwasatan.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...