Thursday, September 27, 2012

NILAI TAKWA DI SEBALIK RAMADHAN



Puasa yang kita sedang kita jalani ketika ini sebagai salah satu Rukun Islam, bertujuan agar kita bertakwa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Muslim, kita wajib menerima dan menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran.

Dalam beberapa hadis ditegaskan bahawa puasa adalah suatu ibadah yang sangat peribadi. Dalam satu hadis kudsi, Nabi s.a.w bersabda: “Daripada Abu Shalih Az-Zayyat, ia mendengar Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, Allah berfirman, “Setiap amal anak Adam bagi dirinya, kecuali puasa; puasa itu untuk-Ku dan Akulah yang menanggung pahalanya.” (Riwayat Bukhari)

Jadi, semua perbuatan umat manusia itu untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Ini kerana puasa merupakan ibadah yang sangat peribadi dan tidak ada yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak kecuali kita sendiri dan Allah s.w.t. Kalau orang solat, maka perbuatan itu dapat diketahui orang. Begitu juga dengan zakat dan haji.

Justeru, ketika kita berpuasa kemudian kita merasa sangat haus dan dahaga dan tiba-tiba tersedia pula dihadapan kita segala jenis minuman atau makanan, tetapi kita dapat menahannya. Ini merupakan satu latihan untuk menyedari tentang kehadiran Allah s.w.t dalam kehidupan kita. Kita tidak akan minum padahal kita sendirian, kerana kita meyakini bahawa Allah s.w.t mengawasi dan menuntut pertanggungjawaban kita.

Puasa dengan ajaran takwanya sesungguhnya melatih kita untuk jujur kepada diri sendiri. Jujur kepada Allah s.w.t bererti jujur kepada diri sendiri. Jika kita menyedari adanya Tuhan, dan menyedari hadirnya Tuhan dalam hidup, maka akan menimbulkan sikap jujur kepada diri sendiri, selanjutnya kepada orang lain. Bersikap suci kepada diri sendiri akan berimplikasi pada bersikap suci kepada orang lain. Manusia itu suci, kerana itu, harus bersikap suci kepada manusia yang lain.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)

Dalam pengertian yang mudah, dikatakan kalau kita tidak bertakwa, maka seluruh ibadah puasa yang kita lakukan selama sebulan sebenarnya adalah sia-sia sahaja.

Dalam mengerjakan ibadah puasa, umat Islam harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat ketakwaan. Takwa merupakan satu cara atau pola dalam menempuh kehidupan menerusi tingkah laku yang berasaskan kesedaran bahawa Allah itu sentiasa hadir di sisi kita. Ibadah puasa bukan setakat menahan makan dan minumsahaja, tetapi pemahaman tentang apa yang harus kita tahan itu lebih daripada sekadar berpuasa secara fizikal bahkan juga menahan nafsu (batiniah) itu lebih utama serta berupaya meningkatkan lagi tahap puasa seseorang itu.

Dalam masa sebulan berpuasa ini, kita seharusnya bermujahadah bersungguh-sungguh dengan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara keji seperti mengumpat, buruk sangka, bergaduh, memutuskan hubungan silaturrahim dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain. Jika tidak, puasanya itu akan sia-sia belaka. Sifat prasangka buruk merupakan kategori daripada perbuatan zalim. Selalunya orang yang mempunyai sifat buruk sangka sesama Muslim adalah mereka yang kurang melakukan introspeksi diri, hanya melihat diri sendiri lebih baik daripada orang lain.

Oleh hal yang demikian itu, Nabi s.a.w menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda baginda yang bermaksud; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.

Berhubung aspek sosial, orang lebih senang melakukan penilaian terhadap orang lain daripada melakukan hal yang sama terhadap dirinya. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang itu `ditagih’ untuk bersikap tulus jujur dan rendah hati untuk menilai dan melihat diri sendiri. Disebabkan lemah menilai diri sendiri, maka seseorang itu sering memandang dirinya lebih suci dan bersih daripada orang lain.

Menahan nafsu inilah yang perlu kita pertahankan sehingga sampai kepada sepuluh hari terakhir di mana waktu itu ibadah puasa lebih bersifat rabbani.

Dalam fasa ketiga ini kita akan mengalami puncak pengalaman kita dalam keadaan berpuasa iaitu berusaha memperoleh lailatulqadar. Untuk mencapainya kita harus memulai dari sekarang dengan memahami hal-hal berkaitan amalan berpuasa.

Puasa kemudiannya bukan sahaja menjadi etika individu, tetapi juga menjadi etika sosial dan gerakan moral yang efektif dalam menangani pelbagai masalah sosial seperti kemiskinan, jenayah, rasuah, dan sebagainya.

Sayyid Quthb pernah berkata, “Puasa adalah ladang tempat terciptanya niat kepada Tuhan yang sempurna dan kepasrahan diri.” Sifat perhambaan ini akan membuat manusia menjadi abdi Allah, yang bersedia untuk melakukan apa sahaja yang disenangi Allah s.w.t. Melalui puasa seseorang akan merasakan penderitaan orang yang lapar kerana serba kekurangan sehingga hatinya akan tergerak untuk memberi kelebihan yang dimilikinya kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

Bersyukurlah kerana kita telah dipilih-Nya untuk sama-sama `meraikan’ kehadiran Ramadan yang terkandung rahmat-Nya yang tidak terhitung.

*  Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

DANA WAKAF UNTUK ASRAMA DARUL FUQAHA



DARUL FUQAHA

"Wakaf Fisabilillah"

Dana Wakaf Diperlukan untuk menyiapkan asrama Darul Fuqaha

AKAUN BIMB : 12029010045684


Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus dengan :

Ustaz Dr. Khairuddin At Takiri : 013-3890000
Ustaz Azlan : 019-2677703

Wednesday, September 26, 2012

TABUNG IFTAR RAMADHAN ROHINGYA



Oleh: Mohd Shakir Fahmi bin Fakhrulrazi

Penghapusan kaum yang berlaku di Wilayah Arakan, Myanmar terhadap etnik Rohingya bukan lagi satu perkara yang tersirat dari mata dunia. Pembunuhan, penculikan, kecurian dan pemerkosaan adalah sebahagian daripada bentuk jenayah yang dibiarkan berleluasa oleh pihak berkuasa di sana. Saban hari kita mendengar pelbagai penganiayaan dikenakan terhadap kaum ini. Krisis ini menjadi semakin parah pada hujung minggu lalu apabila etnik minoriti ini diberitakan mengalami kekurangan makanan dan dilanda kebuluran.

Global Peace Mission (GPM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengambil inisiatif untuk menghantar misi bantuan yang pertama malalui Yangon, Myanmar pada 11 Julai 2012. Misi ini bertujuan untuk mendapat gambaran menyeluruh berkenaan kejadian di Arakan dan membina jaringan bagi memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan untuk misi berikutnya.

Hasil perbincangan dengan beberapa NGO di Myanmar, beberapa aspek yang merangkumi sejarah, sosial, perundangan dan juga bukti-bukti kukuh menunjukkan terdapat satu usaha penghapusan kaum di Wilayah Arakan. Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Kerakyatan Myanmar 1982 mengukuhkan lagi kenyataan ini di mana di antara 135 kaum yang diiktiraf pemerintah, etnik Rohingya tidak termasuk di dalamnya.

GPM bekerjasama dengan NGO-NGO tempatan yang diiktiraf oleh kerajaan Myanmar yang telah menghantar dan mengedarkan bantuan kemanusiaan sebanyak 2 kali ke 3 bandar utama kepada mereka yang terkesan daripada tragedi kali ini terutama etnik Rohingya yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Namun begitu, masih terdapat sekurang-kurangnya 100,000 mangsa yang lain yang kini hidup dikawasan hutan tebal dan pergunungan bagi mengelak dari terbunuh.

Bagi memenuhi sasaran, GPM dan ABIM dengan kerjasama Union of NGOs’ of Islamic World (UNIW) yang berpusat di Istanbul, Turki telah melancarkan Kempen RM200 Satu Keluarga terdiri dari lima orang dan mensasarkan sebanyak RM 1 juta bagi mempersiapkan 5 bahan asas keperluan yang terdiri daripada beras, tepung, minyak masak, susu dan kacang dhal yang bakal dimanfaatkan oleh 25,000 mangsa di sana. Selain bantuan kemanusiaan, GPM dan ABIM telah merangka beberapa perancangan strategik termasuk untuk mewujudkan pejabat pengurusan di Yangon bagi melicinkan operasi penyaluran bantuan yang disalurkan oleh mana-mana individu atau pertubuhan di Malaysia.

Melihat pada situasi di Wilayah Arakan yang serius, ditambah dengan hujan yang berpanjangan, pastinya kaum etnik Rohingya yang tertindas terpaksa berdepan dengan keadaan sukar dalam menjalankan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Maka, adalah amat diharapkan agar kita dapat mengumpulkan dana secepat yang mungkin agar dapat membantu meringankan beban yang mereka tanggungi.

Sumbangan boleh disalurkan melalui cek atas nama Global Peace Mission atau melalui ta

Bank Islam Malaysia Berhad : 1402 3010 0292 24
Maybank : 5642 2161 1602.

Sumbangan atas talian juga boleh dibuat melalui link berikut: KLIK SINI

Untuk Maklumat lebih lanjut sila hubungi :

GLOBAL PEACE MISSION
2-2A Jalan GJ 2
Batu 5 1/2 Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel: +60 3 6188 3230
Fax: +60 3 6188 3233
Email: gpmhq@yahoo.com
Website: http://gpm.com.my/

Tuesday, September 25, 2012

SUMBANGAN DERMA DIPERLUKAN UNTUK PEMBINAAN ASRAMA LELAKI PONDOK SUNGAI DURIAN


PEMBINAAN ASRAMA AL-IMAM ASY-SYAFIE PONDOK SUNGAI DURIAN (TIGA TINGKAT)

KOS PEMBINAAN :
RM SATU JUTA (1 KAKI : RM100)

SUMBANGAN ANDA SANGAT DIALU-ALUKAN

DAN BOLEH DISALURKAN MELALUI BANK ISLAM (BIMB)
NO AKAUN : 03-072-01-011983-9
NAMA AKAUN : MadrasahbMuhammadiah

Sebarang maklumat: Sila Hubungi 
Dr, Hj, Abdul Basit Hj. Abdul Rahman
HP : 019-9441881
Ofis : 09-9664161

Monday, September 24, 2012

KETURUNAN BUKAN PENJAMIN SYURGA..



Tangisan lelaki itu meruntun jiwa sesiapa yang mendengarnya. Sedu sedannya berselang seli dengan doa yang tidak putus-putus kepada ALLAH SWT.  Khusyuk sekali lelaki itu merayu-rayu kepada Ya-Rabb sehingga tidak sedar orang yang lalu lalang berhampiran dengannya. Siapakah dia?

Imam Thawus Al-Yamani mengisahkan bicaranya mengenai lelaki ini.

“Ku lihat seorang lelaki sedang khusyuk menunaikan solat. Setelah itu, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh. Ku amati wajahnya dekat-dekat. Ya! Dia tak lain tak bukan Ali Zainal Abidin, putera kepada Hussein bin Abi Thalib. Dialah cicit kepada Rasulullah SAW. Bermakna, dialah penyambung generasi lelaki mulia.

Aneh sekali. Mengapa dia bersusah payah beribadah dan berdoa sehingga wajahnya basah dengan air mata? Bukankah dia boleh mendapatkan syafaat datuknya, Rasulullah di akhirat kelak? Jadi, mengapa gentar….”


Setelah memberi salam, Imam Thawus Al-Yamani bertanya kepada Ali Zainal Abidin, “ Wahai cicit Rasulullah yang mulia, aku lihat kamu dalam keadaan sedih sebegini. Padahal, semua orang tahu kau mendapat tiga kelebihan yang tidak mungkin didapati oleh mana-mana manusia di muka bumi ini selainmu.

Pertama, kau adalah cicit Rasulullah SAW. Kedua, kau boleh mendapatkan syafaat datukmu di akhirat kelak dan ketiga, rahmat ALLAH SWT sentiasa menaungi keluargamu dari dahulu sehingga kini.”


Kemudian, Ali Zainal Abidin menjawab dengan tenang, “ Wahai Thawus, keturunanku dan darjatku sebagai cicit Rasulullah SAW bukanlah penjamin segalanya. Aku  tetap takut dan gentar mendengar peringatan ALLAH SWT  yang bermaksud,

“Apabila sangkakala ditiup, maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu.”


Sedangkan syafaat datukku, itu  masih belum pasti dapat menjadi pelindungku. Aku mendengar firman ALLAH SWT yang bermaksud,

“ Dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang-orang yang diredhai ALLAH.”

Sesungguhnya, ALLAH memberikan rahmatnya kepada kaum muslimin yang berbuat kebajikan. Sedangkan sampai hari ini, aku tidak tahu adakah aku termasuk ke dalam golongan rahmat itu ataupun tidak.”

Buat seketika, Imam Thawus Al- Yamani terdiam. Memang benar kata Ali Zainal Abidin. Tetapi dialah lelaki bertaqwa yang saban hari solat di Masjidil Haram. Sesungguhnya, urusan syurga dan neraka hanyalah di tangan ALLAH SWT.

Justeru, jika cicit Rasulullah sendiri merasa takut dengan nasibnya di akhirat, bagaimana pula dengan kita yang hanya diakui sebagai umat Muhammad?

Friday, September 21, 2012

KEMARAU MADINAH


Ujian ALLAH telah datang. Kali ini kota Madinah benar-benar dilanda kemarau. Sudah beberapa purnama hujan tidak menitis ke bumi. Binatang ternak semakin kurus dan tanam-tanaman pula banyak yang rebah menyembah bumi.

Penduduk Madinah mula merasa kesempitan hidup yang bukan sedikit. Apatah lagi bekalan makanan kian berkurangan. Malah, ada ahli keluarga yang nyaris-nyaris di ambang kebuluran.

Ketika penderitaan tiada lagi tertahan, mereka datang mengadu nasib kepada khalifah kesayangan mereka, Saidina Abu Bakar ra. Sedangkan khalifah ketika itu juga sudah buntu memikirkan nasib yang menimpa kota Madinah.

“Ya Abu Bakar, tidak adakah jalan keluar untuk kita ini? Sudah beberapa lama kemarau menimpa bumi kita. Adakah kau tahu bagaimana ingin mengatasi semua ini? Apakah ada pertolongan yang akan Tuhan berikan kepada kita?” tanya mereka dengan penuh harapan.

“Sabarlah…sabarlah kamu semua dengan ujian ini. Bertenang dan baliklah ke rumah masing-masing. Aku mendapat khabar yang Utsman bin Affan sedang dalam perjalanan ke sini bersama kafilah dagang dari Syam. Esok, dengan izin ALLAH, dia  akan sampai ke Madinah. Berdoalah agar kedatangannya itu membawa berkah kepada kita semua,” ujar Saidina Abu Bakar.

Sesungguhnya, janji Saidina Abu Bakar adalah benar. Esoknya, sebaik matahari menyinar bumi, rombongan kafilah Utsman  sudah tiba dengan seribu unta yang membawa bekalan makanan yang melimpah ruah. Banyak sekali gandum, minyak zaitun, rempah ratus dan sebagainya yang terus dimuatkan di dalam gudang Utsman.

Penduduk yang mendengar khabar itu merasa lega yang amat sangat. Tetapi rupanya khabar itu begitu cepat tersebar. Ramai pula pedagang dan pemborong yang datang terus kepada Utsman. Niat mereka cuma satu, ingin mendapat keuntungan daripada jual beli dengan Utsman.

“Wahai Utsman, banyak sekali bekalan makanan yang kau bawa. Bolehkah kau menjualnya pada kami? Kami ingin menjualnya kepada penduduk yang memerlukan,” tanya salah seorang daripada pedagang itu.

“Benarkah begitu? Dengan senang hati sekali aku terima tawaran itu. Berapakah keuntungan yang boleh kalian berikan padaku?” tanya Utsman menduga.

“Dua atau tiga dirham,” jawab mereka.

 “Tidak cukup,  bolehkah ditambah lagi?” tanya Utsman memancing lagi.

“Bolehkah kalau lima dirham?” ujar mereka.

“Jumlah itu  masih kurang,kamu berani menambah lagi,” usul Utsman pula.

“Cukuplah Utsman. Di sini tidak ada pedagang lain. Tiada siapa yang boleh memberi padamu keuntungan yang lebih tinggi selain dari kami. Adakah kau masih belum puas hati?” tanya mereka yang sudah mula naik angin.

“Beginilah, ALLAH SWT telah memberiku keuntungan  sepuluh dirham untuk setiap satu dirham. Apa kalian berani mempertaruhkan harga sebegitu padaku?” tanya Utsman.

Mereka hanya menggelengkan kepala.

“Jika begitu, saksikanlah dengan nama ALLAH, aku mensedekahkan semua barang dagangan dan makanan yang kubawa dari Syam ini kepada seluruh penduduk Madinah yang memerlukan. Ketahuilah, aku sedekahkan ini kerana ALLAH SWT semata-mata,” akui Utsman tanpa ragu-ragu.

Para pedagang yang berada di hadapannya hanya tertunduk malu. Mereka tidak layak sama sekali berdepan dengan Utsman yang cukup pemurah. Siapa lagi yang sanggup mendermakan hasil dagangan yang dibawa satu ribu unta?

Kemudian, keluarlah penduduk Madinah mengambil bahagian masing-masing. Berakhirlah sudah sengsara mereka sehingga setiap satu keluarga mendapat bekalan makanan yang secukupnya.

Sesungguhnya, apa yang diinfakkan oleh Utsman pada hari itu tercatat di dalam sejarah sebagai pengorbanan yang dikenang oleh seluruh penduduk Islam Madinah.

Thursday, September 20, 2012

SYEIKH UTHMAN JALALUDDIN AL-KALANTANI



Tasawwuf ialah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Ia perlu dipelajari dengan teliti dan berhemah. Memahami ilmu tasawwuf sangat berguna untuk kita mendekatkan diri dengan Allah. Pemahaman terhadapnya adalah penting untuk mengelak dari bersikap melampau mengenai sesuatu perkara.

Syeikh Uthman Jalaluddin al-Kalantani, adalah seorang ulama yang sering kali menegur mereka yang mempelajari ilmu tasawwuf supaya berhati-hati dan tidak bersikap melampau-lampau dalam sesuatu perkara.

Sesetengahnya tanpa ilmu pengetahuan yang cukup menunjukkan sikap yang melampau apabila membincangkan perkara-perkara ghaib berkaitan hubungan manusia dan Tuhan.

Beliau juga mengingatkan umat Islam agar berhati-hati dengan segelintir ajaran tasawwuf dalam bukunya yang berjudul Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan.

Syeikh Uthman Jalaluddin dilahirkan di Kampung Panjang, daerah Sering, Kota Bharu kira-kira tahun 1880 Masihi bersamaan tahun 1297 Hijrah. Syeikh Uthman berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke Mekah.

Bagi membiayaan pembelanjaan ke Mekah, bapanya menjual hasil padi dan beberapa ekor kerbau. Setelah mendapat keizinan daripada gurunya, iaitu Mufti Haji Wan Muhammad, beliau belayar ke Mekah.

Beliau mempelajari ilmu fekah daripada Syeikh Said Yamani (Mufti Mazhab Syafie di Mekah). Kepada Syeikh Mukhtar Atarid al-Jawi, beliau belajar kitab Mahalli. Berkat kesungguhan dan doanya kepada Allah, beliau menjadi seorang ulama yang diberikan tugas mengajar di Masjidil Haram di Qasyasyiah dan Suqullail.

Selain daripada mengajar, Syeikh Uthman juga seorang penulis yang baik. Beliau telah menghasilkan beberapa buku mengenai syariat dan pemikiran Islam. Melalui tulisannya, beliau sering mempertahankan ajaran Islam daripada disaluti oleh perkara khurafat yang menjadi kepercayaan orang Melayu, bukan sahaja pada ketika itu tetapi hingga ke hari ini.

Antara kitab karangan beliau ialah, Mir’at a:Iman wa Mirqat al-Ghilman (Cermin bagi Iman dan Tangga bagi Kanak-Kanak), Misbah al-Hanan wa Miftah al-Jinan (Pelita bagi Hati dan Anak Kunci bagi Syurga), Siraj al-Islam wa Taj al-Ghulam (Pelita bagi Islam dan Mahkota bagi Kanak-Kanak) dan banyak lagi.

Menurut salah seorang muridnya, Haji Yusuf Haji Said, bahawa Syeikh Uthman adalah seorang yang warak dan suka solat berjemaah. Bagaimanapun setiap kali solat berjemaah, beliau sering menyuruh anak muridnya menjadi imam sedangkan beliau sendiri menjadi makmun.

Setiap kali tibanya malam Jumaat, aktivitinya semalaman dipenuhi dengan solat, doa dan zikir. Beliau juga gemar bertahajjud dan mengamalkan solat sunat Duha.

Beliau juga meninggalkan pesan kepada anak muridnya dan umat Islam agar beramal dengan ilmu yang ada kerana dunia semakin hampir kepada kemusnahannya (kiamat).

Beliau berpendapat sikap zuhud itu bukan bermakna meninggalkan dunia secara keseluruhannya dan hidup dalam keadaan fakir dan miskin. Katanya, konsep zuhud itu ialah tidak bergantung hatinya dengan harta biar banyak mana sekalipun harta itu. Tetapi bersikap zuhud itu bukanlah bermakna tidak mempunyai harta, meninggalkan pekerjaan dan perniagaan dan juga lain-lain.

Dalam usia 72 tahun, pada Subuh 30 Zulhijah 1371 bersamaan 9 September 1952, beliau pulang ke rahmatullah ketika berada di tanah suci Mekah. Jenazah Syeikh Uthman dimakamkan di Haudh al-Naqsyabandi, berhampiran dengan makam gurunya, Syeikh Muhammad Mukhtar Atarid.

Susunan WARDAH SURAYA AHMAD
ummatanwasatan.net
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...