Tuesday, October 9, 2012

DARI PUNK METAL KEPADA ISLAM



Beliau adalah seorang yang terpelajar, graduan Universiti, tetapi banyak perasaan marah terhadap kerajaan England, marah terhadap orang sekeliling dan disebabkan perasaan marah tu, beliau menjadi pemuzik ‘Punk Rock’ dan beliau sendiri mengaku beliau semasa zaman jahilnya, adalah seperti Iblis, begitu hina beliau rasa semasa beliau jahil kerana cara kehidupan beliau. Rakaman ini, sebenarnya membuatkan kita rasa sangat malu dengan diri sendiri. Malu dengan brother Abdul Malik (walaupun tak pernah berjumpa).

Kenapa kita patut malu? Sebab kita dilahirkan Islam, dilahirkan di dalam keluarga Islam; agama yang SEBENAR-BENAR AGAMA. Akan tetapi apabila nak belajar tentang bab ilmu agama, kita ambil sambil lewa. Bukan tidak dihantar belajar agama, akan tetapi, tidak ada rasa ‘nikmat’ dan ‘manis’ dalam agama sendiri. Masa kecik, kita solat sebab takut dipukul, mengaji sebab mak/ayah paksa kita mengaji. Seolah-olah tidak diberi penerangan KENAPA kita mesti mengaji, KENAPA manisnya beribadah, KENAPA kita patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Islam. Bila diberi penerangan tentang dosa dan pahala, tidak dapat digambarkan ngerinya neraka dan indahnya syurga.

Brother Abdul Malik kata di dalam rakaman di atas, “There’s only ‘revert’ in Islam, there’s no room for convert”.

Kenapa beliau berkata bergitu? Revert bermaksud berbalik. Convert bermaksud mengubah. Jadi pada beliau, oleh kerana Islam adalah agama yang sebenar, semua yang bukan beragama Islam sepatutnya BERBALIK kepada Islam.

Kalau yang diluar agama dia berkata supaya BERBALIK, apa lagi kita yang memang sudah Islam? Bila masa kita nak ‘berbalik’ ke Al-Quran dan Sunnah?


Sumber : harian-metro-online.com

Monday, October 8, 2012

PROFESOR BIDANG TEOLOGI TEMUI HIDAYAH


Khadijah 'Sue' Watson


 APA sudah jadi pada awak? Itulah reaksi awal yang diutarakan kepada Khadijah 'Sue' Watson sebaik mereka mengetahui beliau memeluk Islam. Apa tidaknya, seorang yang sebelum ini disegani sebagai seorang pastor, pengurus gereja, mubaligh dan memiliki ijazah sarjana dalam bidang teologi kira-kira lima bulan lalu sanggup berpaling tadah kepada agama yang sememangnya dibenci oleh mereka yang mengagungkan Nabi Isa itu.

Akui Khadijah lagi dalam laman web Islamonline.net kesemuanya berubah sebaik perkenalan beliau dengan seorang wanita yang pernah bekerja di Arab Saudi dan kemudiannya mengucap dua kalimah syahadah.

"Sudah tentulah bertemu dengan wanita Muslim, soalan yang membuak-buak hendak ditanyakan ialah bagaimanakah layanan Islam terhadap kaum wanita. Saya tidak menyangka dengan jawapan yang diberikan. Malah soalan pertama itu menguja saya untuk terus mengutarakan soalan-soalan berkaitan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW".

Teman baru Khadijah berjanji untuk membawa beliau ke pusat Islam, di mana di situlah segala persoalan yang menyentak mindanya boleh diperoleh dengan lebih jelas dan sempurna. Pun begitu, Khadijah sentiasa berdoa agar kunjungan beliau itu sentiasa dilindungi Nabi Isa, apa lagi beliau difahamkan bahawa agama Islam adalah agama yang jahat dan agama daripada syaitan.

"Sebaik berada di sana, apa yang saya sangka dan anggapan buruk tentang Islam jauh meleset. Sepanjang berada di situ, langsung tidak berlaku pendekatan yang menakut-nakutkan, tiada paksaan, tiada manupulasi psikologi dan tidak juga pengaruh bawah sedar. Malah tambah mengejutkan, mereka mengajak saya mempelajari al-Quran di rumah, bertentangan dengan pengajian kitab Injil.

"Ia sesuatu yang sukar dipercayai dan pelik! Pada pertemuan itu juga mereka memberi saya beberapa buah buku dan mereka mengalu-alukan sebarang soalan. Pada malam itu, saya mentelaah semua buku-buku pemberian beberapa kenalan di pusat Islam itu. Hakikatnya, itulah kali pertama saya membaca buku berkaitan Islam yang ditulis oleh orang Islam itu sendiri. Ini kerana sebelum ini buku-buku berkaitan Islam yang menjadi bahan rujukan dan kajian kami adalah tulisan orang Kristian.

"Keesokan harinya, saya menghabiskan tiga jam di pejabat pusat Islam bertanyakan pelbagai soalan. Situasi ini berlarutan hampir setiap hari selama seminggu. Ketika itu saya sudah membaca hampir 12 buah buku dan barulah saya sedar mengapa umat Islam adalah penganut yang paling sukar untuk dimurtadkan.

Kenapa?

Ini kerana tidak ada apa yang boleh ditawarkan kepada mereka. Di dalam Islam, hubungan yang terjalin di antara hamba dan Penciptanya adalah terus, malah mereka tidak memerlukan orang tengah atau perantara untuk memohon keampunan-Nya serta jaminan keselamatan di akhirat kelak waima, apa hajat jua sekalipun.

Pada saat itu satu sahaja pokok persoalan yang berkecamuk di minda Khadijah. Siapa itu Allah yang disembah oleh orang Islam. Kami diajar di dalam agama Kristian bahawa tuhan umat Islam itu adalah tuhan yang lain ataupun tuhan palsu.

Sedangkan hakikatnya, Allah yang disembah orang Islam itulah Dialah Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Seperkara yang cuba dijelaskan oleh Khadijah ialah bahawasanya perkataan Trinity sebenarnya tidak ditemui sama ada di dalam kitab Injil atau daripada mana-mana kitab terjemahan malah juga daripada kitab asli bahasa Greek atau Ibrani (Hebrew). Sekali lagi persoalan saya tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW.

Siapa gerangannya si penama Muhammad ini? Khadijah difahamkan bahawa orang Islam tidak menyembah Muhammad sebagaimana yang dilakukan orang Kristian terhadap Nabi Isa.

Muhammad juga bukan perantara malah adalah perbuatan menyembah Muhammad itu adalah ditegah. Sebenarnya, Muhammad itu ialah Nabi dan Rasul serta penutup segala nabi. Malah sehingga kini selepas 1418 tahun, tidak ada lagi nabi selepas Baginda Rasulullah SAW.

Sementara itu, sebagai seorang pengikut Kristian, Khadijah akui pelaksanaan menyembah Tuhan Isa mempunyai hubungan rapat dan aspek penting sebagai tanda kesetiaan bergelar seorang pengikut.

Lantaran itu, apabila mengetahui bahawa ibadat solat yang wajib dilaksanakan ke atas setiap yang mengakui Muslim, ia telah menimbulkan semacam keterujaan dalam diri Khadijah untuk mengetahui apa yang disembah oleh mereka sehingga solat dianggap sebagai tiang agama. Apatah lagi mereka (orang Islam) itu tidak menyembah kepada mana-mana objek seperti agamanya menyembah kepada patung Nabi Isa.

Selama ini, pemahaman Khadijah, orang Islam tunduk dan sujud kepada Kaabah di mana di situlah dipercayai tempat tuhan palsu mereka. Hakikatnya, segala pergerakan di dalam ibadat solat itu adalah daripada Allah. Malahan apa yang dibacakan semuanya adalah memuji-Nya.

Lebih mengejutkan Khadijah, untuk melaksanakannya juga diwajibkan untuk mengambil wuduk yang bukannya ciptaan manusia tetapi langsung daripada Allah.

Akhirnya, Khadijah mengakui kebenaran Islam. Malah pengajiannya dalam bidang teologi selama lapan tahun tidak dapat menyangkal bukti-bukti kekuasaan kuasa hebat Allah Yang Esa.

Pun begitu, Khadijah tidak serta merta memeluk agama Islam dengan alasan hatinya masih belum terbuka walaupun akal logiknya beranggapan sebaliknya. Walau bagaimanapun, Khadijah tetap terus berdoa, membaca kitab Injil serta pada masa sama menghadiri kelas-kelas kuliah ilmu di pusat Islam.

"Saya benar-benar mengharapkan petunjuk Allah. Bukannya mudah untuk bertukar agama. Sudah pastinya saya tidak mahu terlepas peluang untuk diselamatkan atau adakah benar menerusi agama Kristian saya akan terselamat? Sesungguhnya, sepanjang pencarian kebenaran itu, saya sentiasa diketemukan dengan pelbagai keajaiban Islam yang tidak pernah saya fikirkan.

Dua bulan kemudian, selepas sekali lagi berdoa memohon petunjuk Ilahi, saya dapat rasakan sesuatu kelainan yang menerpa dalam hati ini. Saya bingkas bangun dan pertama kali dalam hidup ini terpacul kata-kata, "Sesungguhnya aku mengakui tiada tuhan yang disembah melainkan Allah."

"Ada semacam ketenangan terasa seperti menyelinap dalam setiap inci pembuluh darah dan sejak itu sehinggalah sekarang aku tidak pernah menyesal dengan pilihan bergelar Muslim. Semua keputusan ini tidak datang tanpa ujian.

"Saya dipecat daripada mengajar di kolej pengajian kitab Injil, dipulau oleh bekas teman-teman sekuliah, profesor dan pastor, dipinggirkan oleh keluarga sebelah suami, disalah anggap oleh anak-anak yang sudah dewasa."

Khadijah akui, tanpa kepercayaan teguh dengan janji Allah, pastinya beliau sudah kecundang. Namun Khadijah begitu bersyukur kerana dengan berpegang kepada tali Islam dan sentiasa percaya semoga hidup dan matinya adalah kerana Allah.

Firman Allah yang bermaksud: 
Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-nya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah). (al-An'aam: 162-163)

Sumber : Utusan Malaysia & islamfortoday.com/

Friday, October 5, 2012

KOLEKSI CERAMAH & KULIAH USTAZ KAZIM ELIAS



Koleksi ini sekadar untuk perkongsian ilmu dan akan diupdate dari masa-kesemasa. Sebelum anda memuat turun, sila dapatkan keizinan dari Ustaz Kazim Elias (UKE) @ Aliassalam Enterprise. Semoga ilmu yang disampaikan menjadi berkat, dapatkan VCD / CD yang original @ www.kuliyah.ws

Untuk pengetahuan, sebahagian dari hasil jualan CD VCD ini disalurkan ke DANA PUSAT PENDIDIKAN AL BARAKAH. Sedikit sebanyak dapatlah membantu menampung biaya operasi pusat pendidikan tersebut. Elakkanlah dari membeli cd/vcd cetak rompak kerana meskipun harganya lebih murah, tetapi tidak membantu kepada pusat pendidikan ini.

SAHABAT SEMUA BOLEH SAMA2 MENDERMA/MENYUMBANG UNTUK DANA PUSAT PENDIDIKAN AL BARAKAH MELAYARI WEBSITE BERIKUT :  http://www.albarakah.org/

Thursday, October 4, 2012

RINDU BERJUMPA DENGAN ALLAH...



Ketika cinta kepada Allah SWT telah bertakhta dalam hati hamba, maka dengan sendirinya ia akan selalu berusaha keras mengambil kesempatan yang ia miliki untuk berkhalwat dengan Allah, berzikir dan bermunajat kepadaNYA. Berusaha menyatukan hatinya bersama ALLAH swt. Setahap demi setahap akan lahirlah kerinduan yang terpendam kepada Allah swt yang bersemayam dalam hati dan mendorongnya untuk dapat melihatNya. Ketika diberitahu kepadanya bahawa Allah swt tidak dapat dilihat dan ditemui di dunia tetapi setelah mati, maka bertambahlah kerinduannya untuk bertemu dengan Allah swt.

Pertemuan dengan kekasih Yang Maha Agung, Zat Yang selama bertahun-tahun ia selalu bermunajat kepadaNya dan menmpahkan air mata dalam mihrabNya.

Pertemuan dengan Zat yang telah ia seru diwaktu-wktu genting, ia selalu mendapatiNya dekat dengannya dan mengabulkan doanya.

Pertemuan dengan Zat yang mencukupi, mengawasi dan menolongnya dari diriny dan musuhnya. 

Pertemuan dengan Zat yang member, memuliakan, menjaga dan memeliharanya dari setiap bencana dengan sebaik-baiknya.

 
Hasan al-Basri berkata,

”Sesungguhnya, para pencinta Allah swt adalah orang-orang mewarisi kehidupan yang baik, merasakan kenikmatan ketika dapat bermunajat dengan kekasih mereka, dan mendapatkan kemanisan dalam hati mereka. Lebih-lebih lagi jika sudah terdetik dalam hati mereka, nescaya mereka akan mengingati kebesaranNya. Tersingkaplah tirai yang menutupi (pandangan)nya di tempat yang aman dan menggembirakan. Diperlihatkan kepada mereka keagunganNya dan diperdengarkan kepada mereka kelazatan perkataanNya serta disampaikan kepada mereka jawapan atas apa yang mereka munajatkan setiap hari dalam kehidupan mereka. Dengan demikian, kerinduan kepada Allah swt adalah buah dari bertakhtanya cinta dalam hati seorng hamba. Ibnu Rajab menegaskan hal ini dalam perkataannya, “Kerinduan pada Allah swt merupakan darjat inggi yang dibangunkan dari kekuatan cinta kepada Allah swt. Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w pernah meminta darjat ini kepada Allah swt.”

Disebutkan dalam doa Rasulullah S.A.W :
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu keredhaan terhadap ketentuanMu, ketenangan hidup sesudah kematian, kelazatan melihat wajahMu, dan kerinduan untuk berjumpa denganMu tanpa adaya halangan yang menyukarkan dan tanpa adanya ujian yang menyesatkan.”

Rasulullah s.a.w meminta kepada TuhanNya kerinduan untuk berjumpa denganNYA tanpa adanya hal-hal yang menyukarkannya. Baginda berdoa dengan sabda, 
“Kesempitan dunia dan takdir yang menyakitkan, atau fitnah dalam agama yang menyesatkan atau kalimah lain yang bermakna menjadikan kerinduan pada Allah itu lahir dari dorongan rasa cinta.”
Disebutkan dalam sebuah atsar bahawa Allah SWT berfirman, 

“Ingatlah, sesungguhnya orang-orang yang soleh telah lama rindu untuk bertemu denganKU. Padahal AKU jauh lebih rindu kepada mereka. Tidaklah para perindu itu rindu kepadaku kecuali kerana kurnia kerinduanKU kepada mereka. Ingatlah, barang siapa mencariKU, nescaya ia akan mendapatkanKU. Barangsiapa mencari selainKU, nescaya ia tidak akan pernah mendapatkanKU. Adakah orang yang menghadap kepadaKU, kemudian AKU tidak menyambtnya? Adakah orang yang berdoa kepadaKU, lalu AKU tidak makbulkan doanya? Dan adakah orang yang meminta kepadaKU, lalu AKU tidak member kepadanya?”….

(Sumber : Buku Mencintai Dan Dicintai Allah, Oleh Dr Majdi Al-Hilali)

Wednesday, October 3, 2012

CINTA SEJATI SELEPAS PERKAHWINAN



CINTA adalah sebahagian daripada fitrah manusia. Cinta memang sudah ada dalam diri kita. Bersyukurlah orang yang diberi cinta dan mampu menyingkap rasa cinta dengan tepat dan menurut syariah.

Bercinta tidak salah jika diniatkan untuk menuju alam perkahwinan yang diredai Allah. Nabi Muhammad SAW meninggalkan resipi cinta yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud: 

“Wahai generasi muda, barang siapa di antara kalian mampu serta berkeinginan untuk bernikah. Kerana sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan barang siapa di antara kalian belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi penghalang untuk melawan gejolak nafsu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, dan Tirmidzi)

Apabila kita sudah membetulkan niat, maka kita mesti menjadikan diri kita ‘salihah’ supaya orang yang salih akan datang menemui kita atau ditemukan Allah. Kita wajib ingat bahawa jodoh adalah ketentuan Allah, manusia hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan. Kita cuma dapat berusaha mencari jodoh yang baik menurut Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik.” (Surah al-Imran, ayat 14)

Cinta paling tinggi martabatnya adalah cinta kerana Allah, kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Pakar psikologi, Prof Madya Dr Mat Saat Baki, pernah menulis: “Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu mitos. Sebenarnya perasaan cinta itu berkembang dari semasa ke semasa. Lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta. Namun, menurut beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan tetapi boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan.”

Tetapi jika tidak berhati-hati, cinta boleh membutakan mata hati kita. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Hendaklah kita benar-benar memejamkan mata dan memelihara kemaluan, atau nanti Allah benar-benar akan menutup rapat matamu.” (Hadis riwayat Tabrani)

Cinta yang selalu menjadi dugaan dan membawa padah ialah cinta yang cenderung kepada maksiat. Cinta yang semakin menggelorakan hawa nafsu, makin berkurang rasa malu dan akhirnya terlanjur. Inilah paling merbahaya. Dari sinilah bermulanya fenomena cinta terlarang, seks tanpa nikah yang merosakkan generasi dan mencemar keturunan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al Isra', ayat 32)

Islam tidak melarang atau mengekang manusia daripada rasa cinta tetapi mengarahkan cinta berjalan di atas landasan yang menjaga martabat kehormatan, baik wanita mahupun lelaki. Jika kita jatuh cinta, perlu berhati-hati kerana seperti minum air laut, semakin diminum semakin haus. Cinta yang sejati adalah cinta yang tumbuh selepas akad nikah.

Cara untuk mengendalikan rasa cinta adalah dengan menjaga pandangan, tidak berkhalwat atau berdua-duaan dalam bentuk apapun dan tidak saling bersentuhan apatah lagi bercium dan berpelukan, memang jelas haramnya.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki dan wanita berkhalwat (berduaan di tempat sepi), sebab syaitan menemaninya, janganlah salah seorang daripada kalian berkhalwat dengan wanita, kecuali disertai dengan mahramnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika bimbang keterlanjuran cinta, alihkan rasa cinta itu kepada Allah dengan membanyakkan selawat, zikir, istighfar dan solat sehingga kita tidak diperdayakan oleh nafsu. Jika kita tewas, nafsu yang akan memperdayakan kita.

Tuesday, October 2, 2012

MAKSIAT DAN CARA-CARA MENINGGALKANYA



"Sampaikan dariku walau pun satu ayat" - (Bukhari dan Tarmizi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Segala pujian bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W., keluarganya, para sahabat serta tabiin sekalian. Meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat (yang diperintah oleh Allah dan Rasul Nya), kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan syahwat(maksiat) hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar).

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Orang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah orang yang berhijrah dari kejahatan. Dan mujahid yang sebenarnya ialah orang yang memerangi hawa nafsunya."

Apabila seseorang melakukan sesuatu maksiat, maka sebenarnya dia melakukan maksiat itu dengan menggunakan anggota badannya, bermakna ianya telah menyalahgunakan nikmat anggota yang dianugerahkan dan mengkhianati terhadap amanah yang telah diberikan kepada nya.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Maka kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanyai akan kepimpinannya". Riwayat Bukhairi dan Muslim dari Ibnu Umar R.A. Semua anggota akan menjadi saksi diatas segala perbuatan di Padang Mahsyar.

Firman Allah S.W.T : "Dihari itu (Kiamat) akan bersaksilah keatas kamu oleh segala lidah mu, tangan mu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di Dunia dahulu)." - Surah An Nur : Ayat 24.

"Pada hari ini (Kiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi dihadapan Kami, kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah lakukan (di Dunia dahulu)." Surah Yassin : ayat 65.
1)Menjaga Mata; Peliharalah mata daripada perkara-perkara seperti melihat perempuan yang bukan mahram, melihat gambar-gambar lucah, melihat orang lain dengan pandangan penghinaan dan melihat keaiban orang lain.

2)Menjaga Telinga; Menjaga telinga daripada mendengar perkara bida'ah, perkataan-perkataan yang jahat, perkataan yang sia-sia atau menyebut keaiban / kejahatan orang lain.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya orang yang mendengar (seseorang yang mengumpat orang lain) adalah bersekutu (didalam dosa)dengan orang yang berkata itu. Dan dia juga dikira salah seorang daripada dua orang yang mengumpat."

3)Menjaga lidah; Lidah adalah anggota yang paling berkesan keatas diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Berapa ramai nanti manusia yang akan dihumban kedalam api neraka dengan sebab jenayah lidah mereka.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya seseorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dari sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataannya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan kedalam api neraka selama tujuh puluh tahun." - Riwayat At Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A.

Jagalah lidah mu dari perkara-perkara seperti bercakap bohong, mungkir janji, mengumpat, bertengkar / berdebat / membantah perkataan orang lain, memuji diri sendiri, melaknat makhluk Allah, mendoakan celaka bagi orang lain dan bergurau / memperolok atau mengejek orang lain.

4)Menjaga perut; Memelihara perut daripada memakan makanan yang haram atau yang syubahat ATAU berlebihan dalam memakan yang halal.

5)Menjaga Kemaluan; Menjaga kemaluan daripada apa-apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. :"Dan mereka yang selalu menjaga kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa-apa yang mereka miliki (daripada hamba jariah) maka mereka tidak tercela." Surah Al Mukminun : Ayat 5-6.

6)Menjaga Dua Tangan; Menjaga kedua tangan daripada memukul seseorang muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluk Allah atau menulis sesuatu yang diharamkan atau menyakiti perasaan orang lain.

7)Menjaga Dua Kaki; Memelihara kedua kaki dari berjalan ketempat yang diharamkan atau berjalan menuju kepada pemerintah yang zalim tanpa ada darurat atau paksaan kerana dianggap menghormati diatas kezaliman mereka, sedangkan Allah menyuruh kita berpaling daripada orang yang zalim.

Firman Allah S.W.T. : "Dan jangan kamu cenderung hati kepada orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka." - Surah Hud : ayat 113.

Kesimpulannya : Apabila kamu menggunakan anggota tubuh kamu bagi tujuan yang lain daripada yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. bermakna kamu tidak bersyukur(kufur) terhadap nikmat yang diberikan Nya kepada kamu.

Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh)ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T. (berangan untuk mendapatkan kebaikan diakhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat).” - Riwayat At Tirmizi.

Petikan dari Bidayatul Hidayah (Imam Al Ghazali) - Jazakumullahu khairan

Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah dan sebarang salah dan khilaf, disengaja atau tidak adalah daripada saya sendiri... Mudah-mudahan ianya dapat dijadikan panduan dalam mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. WabiLlahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh.. - -

"Aku tinggalkan dikalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua nya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W." - (Imam Malik)

Monday, October 1, 2012

HINDARI PENYAKIT DENGAN BERSEDEKAH



 IBNU al-Qayyim berkata bahawa sesungguhnya Allah s.w.t menghindarkan seseorang daripada bermacam-macam bala dengan sebab bersedekah.

Kata Ibnu al-Qayyim lagi: "Perkara semacam ini sudah diketahui oleh ramai orang, sama ada orang awam atau pun orang alim. Semua manusia yang ada di bumi ini mengakui kebenarannya kerana mereka sudah pernah mencuba cara berkenaan." Selama ini mungkin kita mengetahui ada penyakit boleh sembuh dengan sedekah. Bunyinya macam aneh, tetapi dengan izin Allah semua boleh berlaku. Tidak ada yang mustahil atas dunia ini. Tiap penyakit ada ubatnya. Manusia berubat dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyembuhkan penyakitnya. Satu kaedah berubat itu ialah dengan sedekah.

Sedekah sesungguhnya memiliki rahsia yang mengagumkan dalam mengubati pelbagai jenis penyakit. Apa yang jelas, di samping mendapat pahala dengan sebab bersedekah Allah menyelamatkan diri kita (orang yang bersedekah) daripada musibah atau kejadian yang mengerikan.

Sebagai bukti kita boleh catatkan semula kisah yang disampaikan Ustaz Sayid Juail. Kisah ini diambil dari buku Al-Tadawi bi al-Shadaqah tulisan Hasan bin Ahmad Hasan Humam yang diterjemah ke bahasa Melayu oleh Ummi Hakimah.

Seorang ayah tiba-tiba mengalami sakit luar biasa. Dia tidak tahu punca sakit itu. Melihat keadaan ayah yang amat sakit itu anak lelakinya segera membawa ke hospital dan dimasukkan ke bilik kecemasan. Tidak lama kemudian doktor datang memeriksa. Hasilnya, doktor mengatakan bahawa ayah budak lelaki itu menderita penyakit batu ginjal di saluran kencingnya. Jalan terbaik ialah pembedahan.

Mendengar keputusan doktor, si ayah dan anak lelaki menerimanya dengan pasrah. Tapi sebelum dilakukan pembedahan, mereka mohon penangguhan beberapa hari untuk menyiapkan biaya pembedahan.

Hari berikutnya anak lelakinya kembali melakukan tugasnya di sebuah syarikat. Kebetulan hari itu dia dapat gaji. Hatinya sangat senang dan bahagia. Ketika dalam perjalanan pulang dari pejabatnya, dia melihat seorang lelaki tua miskin sedang mengumpulkan barang bekas dengan keadaan sangat penat dan letih.

Melihat orang tua itu, si anak lelaki itu pun berfikir: andai kata dia seperti lelaki tua itu, tentu sangatlah penat dan letih. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk memberikan seluruh gajinya itu kepada orang tua itu dengan niat semoga Allah akan menyembuhkan penyakit yang dideritai ayahnya.

Sesampai saja di rumah, dia mendapati wajah ayahnya cukup ceria dan bahagia. Ayahnya berkata: "Wahai anakku, Alhamdulillah, tidak berapa lama sebelum kau tiba, ayah merasa sangat sakit di bahagian perut. Kemudian ayah segera menuju ke tandas untuk membuang air besar. Tidak ayah sangka, akhirnya batu ginjal keluar dengan sendirinya. Dan sekarang ayah merasa sangat nyaman dan selesa saat ini." Mendengar perkataan si ayah, anak lelakinya itu menitiskan air mata kerana terharu dan rasa syukur kepada Allah.

Maka benar Allah dalam sabda Nabi-Nya yang bermaksud: "Ubatilah sakit kamu dengan cara bersedekah, peliharalah harta kamu dengan cara berzakat dan hindarilah bala dengan cara berdoa." Sebenarnya segala aturan kehidupan semua makhluk di dunia ini ditetapkan Allah. Justeru, setiap orang yang beriman sudah sepatutnya untuk tetap melakukan dan berusaha dengan berpegang teguh kepada Allah.

Dan satu perantara yang boleh menjadi sebab bagi kesembuhan dengan izin Allah ialah istighfar dan bersedekah.

Mengenai pasangan yang tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga, Abu Hanifah meriwayatkan di dalam Musnadnya dari Jabir bin Abdullah r.a. bahawa seorang lelaki pernah datang kepada Nabi s.a.w bertanya: "Ya Rasulullah! Sudah lama saya menikah, tapi belum dianugerahi seorang anak pun." Nabi SAW pun menjawab dengan sabdanya: "Di mana (keadaan) engkau dengan banyak istighfar dan banyak bersedekah" Kerana dua hal ini boleh menganugerahi buah hati (anak)." Manusia hanya sekadar berusaha, tapi yang menentukan berjaya atau tidak ialah Allah. Sesungguhnya satu daripada kewajipan akidah seorang Muslim ialah terus berusaha dan berserah diri kepada Allah serta selalu berbaik sangka kepada-Nya. Yakinlah, Allah tidak akan pernah menciptakan satu penyakit yang tidak ada ubatnya.

Dalam surah al-Syura ayat 49-50, Allah berfirman yang maksudnya: "Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya: Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak lelaki dan perempuan - dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa." 

Bersedekahlah mengikut kemampuan masing-masing. Tidak akan jatuh miskin kita kerana bersedekah, sebaliknya kita memperoleh pahala dan ganjaran yang baik dan Allah. Tapi kalau kita bakhil, tunggulah bala dan musibah dari Allah.

Abu Hatim al-Sibiti dalam kitabnya Raudah al-Uqala wa Nuzhah al-Fudhala mencatat begini: "Sifat bakhil adalah pokok yang ada di neraka yang dahan berserta cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke neraka" Demikian pula kemurahan hati adalah pokok yang ada di dalam syurga yang dahan dan cabangnya menjulur sampai ke dunia. Sesiapa yang bergantung dengan salah satu dahannya, maka dia akan ditarik ke dalam syurga, kerana syurga adalah rumah bagi para pemurah."

Artikel Harian Metro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...