Tuesday, October 16, 2012

GARIS PANDUAN PENGURUSAN SAUDARA BARU ( MUALLAF) - JAKIM



LATAR BELAKANG

1. Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada pihak Berkuasa Agama Islam Negeri-negeri, Saudara Baru, ahli keluarganya atau mana-mana pihak yang berkenaan. 

2. Penyebaran dakwah Islamiah di Malaysia telah memberikan kesan yang positif di mana ramai di kalangan masyarakat yang bukan Islam telah mula mengenal, memahami dan mengkaji tentang Islam dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam. 

3. Bermula dengan pengislaman salah seorang dari ahli keluarga atau lebih, kadangkala membawa kepada terpisahnya hubungan di antara mereka dengan keluarga asalnya yang masih belum memeluk Islam. Apabila ini berlaku, golongan Saudara Baru akan merasa tersisih dan menganggap bahawa segala keperluan dan kebajikannya mula terabai. 

4. Islam sebagai agama yang prihatin, awal-awal lagi telah memberi jaminan kepada Saudara Baru dan ahli keluarganya yang turut memeluk Islam, bahawa nasib mereka akan dibela sehinggalah mereka boleh berdikari. Oleh sebab itu Islam telah menyenaraikan mereka di kalangan lapan asnaf yang layak menerima zakat. 

5. Adalah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk memberi sokongan dan kekuatan kepada Saudara Baru terutama dalam bentuk bantuan kebajikan, moral, kewangan dan pembelajaran. Ianya hendaklah bermula dari seawal proses pengislamannya sehinggalah kepada pengurusan kematiannya. Ini semua merupakan satu tuntutan dalam Islam.


Kaedah Masuk Islam

6. Tatacara dan kaedah pengurusan masuk Islam yang dinyatakan dalam garis panduan ini adalah bagi memudahkan pengurusan secara sistematik berpandukan kepada kaedah dan peraturan memeluk Islam yang digubal di setiap negeri.


Penerangan Masuk Islam

7. Mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang yang ingin masuk Islam bertanggungjawab untuk memberi penerangan mengenai Islam, pengertian Dua Kalimah Syahadah, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam.


Majlis Pengislaman

8. (a) Seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah di hadapan Pendaftar Muallaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru dengan disaksikan oleh seorang saksi lelaki.

(b) Bagi seseorang yang tidak dapat bercakap, bantuan Juru Bahasa Isyarat bolehlah diperoleh bagi membantu Pendaftar Muallaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru untuk memahami bahasa isyarat yang digunakan. 

(c) Jika majlis pengislaman dibuat di hadapan seseorang yang selain daripada Pendaftar Muallaf, orang itu hendaklah bertanggungjawab membawa Saudara Baru tersebut kepada Pendaftar Muallaf bagi tujuan urusan pendaftaran.


Kelayakan Saksi

9. Seseorang yang menjadi saksi dalam majlis pengislaman hendaklah:

(a) Beragama Islam; 

(b) Sempurna akal; dan 

(c) Berumur tidak kurang daripada lapan belas tahun. 
 

Maklumat Masuk Islam


10. Seseorang yang telah masuk Islam atau orang yang menguruskan pengislaman seseorang hendaklah:

(a)Mengisi borang yang disediakan oleh Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri ; 

(b)Membuat suatu catatan yang mengandungi butir-butir berikut : 
(i) nama Saudara Baru; 
(ii) agama asal ; 
(iii) nama setelah masuk Islam ; 
(iv) nombor kad pengenalan ; 
(v) tanggungan ; 
(vi) nama orang yang menguruskan pengislaman; 
(vii) nama saksi; 
(viii) tarikh, masa dan tempat pengislaman; dan 
(ix) kenyataan kerelaan hatinya untuk masuk Islam dan tandatangannya. 
(x) status perkahwinan. 

(c) Seseorang yang menguruskan pengislaman Saudara Baru hendaklah mendaftarkan pengislaman tersebut di mana-mana Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri-negeri. 



Tempat Pengislaman

11. (a) Pengislaman di Pejabat Agama Islam Seseorang yang masuk Islam di Pejabat Agama akan terus didaftarkan secara rasmi mengikut peruntukan undang-undang.

(b) Pengislaman Selain di Pejabat Agama Islam Seseorang yang menguruskan pengislaman Saudara Baru di luar Pejabat Agama hendaklah segera membawa bersama Saudara Baru ke Pejabat Agama untuk didaftarkan pengislamannya secara rasmi mengikut peruntukan undang-undang. 

(c) Pengislaman di Luar Negara Seseorang yang memeluk Islam di luar negara juga perlulah mendaftar pengislamannya di Malaysia setelah kembali ke Malaysia.


Pendaftaran Masuk Islam

12. Pendaftar Muallaf bertanggungjawab untuk mendaftarkan permohonan pendaftaran oleh seseorang Saudara Baru dalam Daftar Muallaf dengan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang.

13. Pendaftaran Saudara Baru 


(a) Pendaftar yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baru perlulah berpuas hati dengan proses seperti di bawah sebelum pendaftaran saudara baru dilakukan : 
  • (i) Mengucap dua Kalimah Syahadah di dalam Bahasa Arab,
  • (ii) Memahami maksud daripada kedua-dua Kalimah Syahadah yang dilafazkan,
  • (iii) Pengucapan dua Kalimah Syahadah dibuat dengan kerelaan hati dan,
  • (iv) Menyatakan maksud Kalimah Syahadahnya dengan menggunakan bahasa isyarat yang boleh difahami tentang pengislamannya jika tidak dapat melafazkan.

(b) Saudara Baru yang telah disahkan pengislamannya melalui perkara-perkara di atas boleh didaftarkan sebagai Saudara Baru di mana-mana Pejabat Agama Islam. 

(c) Seorang Pendaftar Muallaf hendaklah dilantik oleh pihak Majlis / Jabatan Agama Islam yang bertanggungjawab menyelenggarakan suatu daftar Saudara Baru bagi tujuan pendaftaran. 

(d) Daftar sementara boleh diwujudkan dengan mengambil maklumat-maklumat peribadi dan maklumat berkaitan proses pengislaman seseorang saudara sekiranya saudara baru belum bersedia untuk mendaftarkan pengislamannya. 

Tatacara Pendaftaran Masuk Islam

14. Dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan melaksanakan program kepada Saudara Baru, satu senarai semak tatacara pendaftaran diguna pakai oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. Senarai semak tersebut mengandungi butir-butir seperti berikut:

(a)Bagi Individu yang datang sendiri untuk Masuk Islam perlu :
  • (i) Membawa kad pengenalan atau pasport (jika bukan warganegara );
  • (ii) Membawa bersama seorang saksi;
  • (iii) Membawa empat keping gambar berukuran pasport;
  • (iv) Mengisi borang pengisytiharan masuk Islam.

(b) Seterusnya menghadiri kursus dan kelas pengajian 
  • (i) Kelas asas fardhu ain secara mingguan dan bulanan;
  • (ii) Kursus intensif.

(c) Perakuan masuk Islam 

Kad / sijil / surat perakuan memeluk Islam akan dikeluarkan serta merta kepada yang berkenaan dan individu tersebut kemudiannya diminta membuat pindaan butiran di dalam kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara. Antara dokumen-dokumen yang diperlukan ialah: 
  • (i) Kad / sijil / surat perakuan masuk Islam,
  • (ii) Surat perakuan sumpah,
  • (iii) Kad pengenalan atau MyKad,
  • (iv) Sijil kelahiran

(d) Permohonan Pendaftaran Saudara Baru 
  • (i) Seseorang Saudara Baru boleh membuat pendaftaran masuk Islam di Jabatan Agama Islam dengan menggunakan borang tertentu yang telah disediakan.
  • (ii) Apabila Pendaftar Muallaf berpuas hati dengan pengesahan pengislaman seseorang Saudara Baru, Pendaftar bolehlah mendaftarkannya di dalam daftar Saudara Baru berserta butiran-butiran lain yang berkaitan dengannya.
  • (iii) Pendaftar juga perlu mencatatkan nama Saudara Baru, tarikh masuk Islam di dalam buku daftar tersebut.
  • (iv) Pendaftar boleh melakukan apa-apa siasatan untuk memastikan tarikh sebenar kemasukan Saudara Baru ke dalam Islam jika difikirkan perlu.
  • (v) Sekiranya Pendaftar tidak berpuas hati dengan pengesahan pengislaman yang terdahulu, dia boleh membuat pengislaman semula di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya seperti yang dikehendaki pada perenggan 14 (a) (i) (ii) (iii) (iv).

(e)Daftar Saudara Baru 

Suatu Daftar Saudara Baru hendaklah mengandungi butir-butir seperti berikut : 

  • (i) bilangan daftar;
  • (ii) tarikh daftar;
  • (iii) nombor siri perakuan masuk Islam;
  • (iv) nama penuh asal;
  • (v) nama penuh Islam ( jika ada );
  • (vi) agama, atau kepercayaan asal;
  • (vii) bangsa;
  • (viii) nombor kad pengenalan, nombor tentera atau nombor polis atau nombor pasport;
  • (ix) kerakyatan asal atau warganegara sesebuah negara;
  • (x) tarikh lahir dan tempat lahir;
  • (xi) jantina;
  • (xii) alamat surat menyurat dan alamat tempat tinggal;
  • (xiii) tarikh, tempat dan masa masuk Islam;
  • (xiv) status perkahwinan;
  • (xv) bilangan tanggungan dan bilangan anak;
  • (xvi) pekerjaan orang yang masuk Islam;
  • (xvii) orang yang menguruskan pengislaman;
  • (xviii) nama penuh saksi dan alamat;
  • (xix) nombor kad pengenalan saksi;
  • (xx) maklumat keluarga terdekat Saudara Baru;
  • (xxi) nama dan tandatangan Pendaftar serta meterai pada setiap pendaftaran;
  • (xxii) gambar berukuran pasport;
  • (xxiii) tarikh kad masuk Islam dikeluarkan; dan
  • (xxiv) apa-apa butiran yang difikirkan perlu oleh Pendaftar Muallaf untuk direkodkan.


(f) Perakuan Masuk Islam 

Seseorang yang telah didaftarkan sebagai seorang Saudara Baru hendaklah diberi suatu Perakuan Masuk Islam dengan menggunakan borang yang telah disediakan. Ianya bagi mengelakkan masalah-masalah yang mungkin berbangkit pada masa-masa akan datang. Seseorang Saudara Baru boleh mendapatkan suatu salinan Perakuan Masuk Islam dengan membuat permohonan dalam borang tertentu sekiranya berlaku kehilangan. Pendaftar Muallaf selepas berpuas hati, hendaklah mengeluarkan satu salinan Perakuan Masuk Islam kepada pemohon dengan serta merta.

(g) Permohonan Pindaan Butiran 

  • (i) Seseorang Saudara Baru boleh memohon untuk meminda atau membetulkan apa-apa butiran berkenaan dengan dirinya dalam Perakuan Masuk Islam dengan menggunakan borang tertentu dan mengemukakan kepada Pendaftar Muallaf.
  • (ii) Pendaftar Muallaf, selepas berpuas hati, boleh membuat pindaan atau pembetulan ke atas butiran dalam Daftar Saudara Baru dan mengeluarkan suatu Perakuan Masuk Islam dengan butiran yang baru.


Kebajikan

15.Adalah menjadi tanggungjawab Majlis atau Jabatan Agama Islam untuk menyediakan peruntukan bantuan dan kebajikan kepada Saudara Baru mengikut peruntukan di bawah Asnaf Muallaf. 

16.Seseorang Saudara Baru yang didaftarkan adalah layak untuk menerima bantuan sagu hati yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam seperti berikut : 

(a)Sagu hati memeluk Islam 

(b)Berkhatan 

(c)Kelengkapan Ibadah 

(d)Urusan pengebumian 


17.Namun Saudara Baru juga boleh memohon untuk mendapatkan bantuan yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam seperti : 

(a)Bantuan sara hidup 

(b)Bantuan tempat tinggal 

(c)Bantuan perubatan 

(d)Bantuan perkahwinan 

(e)Bantuan bagi apa-apa pendidikan atau pengajian yang difikirkan perlu oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam termasuklah pengajian Islam, akademik dan kemahiran

(f)Bantuan guaman. 


18. Majlis atau Jabatan Agama Islam boleh menurut budi bicaranya memberikan apa-apa bantuan lain yang difikirkan perlu. 


Pengajaran, Bimbingan Dan Kursus

19. Kursus dan kelas pengajian Islam 

Majlis atau Jabatan Agama Islam hendaklah mengadakan apa-apa kursus dan kelas pengajian yang sesuai untuk memberi pengetahuan dan meningkatkan kefahaman Islam kepada Saudara Baru. Seseorang Saudara Baru yang telah didaftarkan, hendaklah menghadiri kursus yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam. 

20.Pusat Bimbingan Islam 

(a) Majlis atau Jabatan Agama Islam hendaklah menyediakan suatu pusat bimbingan Islam bagi tujuan pengajaran dan pemantauan aqidah seseorang Muallaf. 

(b) Majlis atau Jabatan Agama Islam boleh melantik mana-mana orang yang berkelayakan untuk menjadi tenaga pengajar bagi mengendalikan kursus dan bimbingan kepada Saudara Baru. 


Kesan Masuk Islam Bagi Saudara Baru

21.Seseorang Saudara Baru tidak akan terputus hubungan kekeluargaan dengan keluarga asal. Mereka boleh bergaul seperti biasa, cuma perlu menjaga perkara yang ada hubung kait dengan hukum-hakam yang telah ditetapkan dalam Islam. 

22.Kesan kemasukan Islam oleh seseorang bukan Islam adalah seperti berikut: 

(a)Status Perkahwinan 

Apabila salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga ianya disahkan sedemikian oleh Mahkamah Sivil

(b)Hak Jagaan Anak (Hadhanah) 

  • (i) Mana-mana ibu atau bapa atau penjaga yang masuk Islam dan mempunyai anak atau kanak-kanak dalam jagaannya yang belum mencapai umur lapan belas tahun, boleh membuat permohonan untuk mendaftarkan anak itu sebagai seorang Saudara Baru
  • (ii) Bagi maksud kaedah ini, “kanak-kanak dalam jagaan” ertinya kanak-kanak yang berumur bawah lapan belas tahun yang dijaga oleh seseorang selain daripada ibu atau bapanya.
  • (iii) Seseorang yang berumur di bawah lapan belas tahun yang mana ibu, bapa atau penjaganya bukan beragama Islam, setelah mendapat keizinan salah seorang dari mereka, hendaklah membuat permohonan masuk Islam dengan menggunakan borang tertentu.


Kematian

23.Urusan Pengebumian. 

(a)Adalah menjadi fardhu kifayah kepada setiap orang Islam untuk menyempurnakan empat perkara ke atas jenazah orang Islam kecuali mati syahid iaitu; 

  • (i) Memandikannya.
  • (ii) Mengkafankannya.
  • (iii) Menyembahyangkannya.
  • (iv) Mengebumikannya.


24. Hak Keluarga Asal 

(a) Keluarga asal Saudara Baru yang bukan Islam adalah berhak ke atas jenazah Saudara Baru dalam memberikan penghormatan kepada jenazah dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan. Mereka boleh melakukan semua perkara yang membawa kebaikan kecuali jika perkara itu bertentangan dengan hukum syarak yang telah ditetapkan di dalam Islam. 

(b) Keluarga asal Saudara Baru yang bukan Islam dibenarkan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Saudara Baru seperti mencium jenazah bagi ayah, ibu, datuk, nenek, adik-beradik, menziarahinya ataupun melakukan apa-apa bentuk penghormatan dengan menjaga adab-adab berikut; 

  • (i) Tidak melakukan upacara keagamaan lain seperti membakar colok dan memukul gendang.
  • (ii) Tidak berlebih-lebihan dalam kesedihan dengan meratap.
  • (iii) Tidak memburuk-burukkan jenazah di hadapan orang ramai.
  • (iv) Tidak menampar-nampar pipi dan memukul badan.
  • (v) Tidak mengoyakkan baju.
  • (vi) Tidak membuat bising dan mengganggu pengurusan jenazah.
  • (vii) Tidak memakai pakaian yang menjolok mata.
  • (viii) Tidak melakukan apa-apa perkara yang bertentangan dengan Ajaran Islam.

25.Sembahyang Jenazah 

Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam dilarang melakukan sembahyang mengikut upacara agama dan adat mereka di hadapan jenazah, akan tetapi mereka dibenarkan melihat jenazah disembahyangkan sekiranya tidak dibuat di dalam masjid. Jika diadakan solat jenazah di dalam masjid, mereka hanya dibenarkan melihat dari luar masjid sahaja.


26.Pengurusan Jenazah 

(a)Tiada halangan bagi keluarga terdekat Saudara Baru yang bukan Islam untuk melihat jenazah Saudara Baru dimandikan dan dikafankan. 

(b)Bagi jenazah saudara baru yang tidak mempunyai waris/tidak dituntut atau tidak mampu untuk diuruskan kerana sebab-sebab tertentu maka pihak Majlis atau Jabatan Agama Islam hendaklah menguruskan jenazah tersebut. 

(c)Sekiranya berlaku pertikaian atau perebutan ter-hadap jenazah, Mahkamah Tinggi Syariah berhak memutuskan status jenazah Saudara Baru yang menjadi rebutan di antara Keluarga Asal yang bukan Islam dengan pihak Berkuasa Agama Islam Negeri. Pengurusan jenazah hendaklah disempurnakan mengikut keputusan yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Tinggi Syariah.


27.Menziarahi Kubur 

(a)Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam dibenarkan mengiringi jenazah Saudara Baru sehingga ke tanah perkuburan. 

(b)Mereka juga dibenarkan melihat jenazah dikebumi-kan dan menziarahi kubur selepas kematiannya. 

(c)Kedua-dua kebenaran itu adalah tertakluk kepada adab-adab seperti yang dinyatakan pada butiran 8.2 ( b ) mengenai penghormatan kepada jenazah Saudara Baru, di samping menjaga adab-adab ketika berada di tanah perkuburan Islam iaitu; 

  • (i)    Menjaga kesopanan dengan tidak melangkah ke atas kubur yang sedia ada
  • (ii)   Tidak duduk di atas kubur orang lain
  • (iii)   Sentiasa menjaga kebersihan di kawasan perkuburan
  • (iv)  Tidak mengadakan upacara keagamaan masing-masing
  • (v)   Mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri

28. Tempat Pengebumian 

Cadangan Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam boleh diambil kira dalam menentukan tempat pengebumian Saudara Baru dengan syarat mesti ditempatkan di kawasan perkuburan orang Islam.

29. Mengadakan Kenduri 

Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam boleh mengadakan kenduri atau jamuan untuk orang Islam yang menguruskan jenazah Saudara Baru dengan syarat tidak bertujuan untuk upacara keagamaan ataupun lambang bagi agama dan dipastikan makanan dan minuman yang disediakan adalah halal. 

30.Harta Pusaka 

Keluarga Asal Saudara Baru yang bukan Islam tidak boleh diberikan sebarang harta pusaka yang ditinggalkan oleh Saudara Baru yang meninggal dunia.


31.Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (K.W.S.P.) 

Wang peninggalan K.W.S.P. si mati (Saudara Baru) mestilah dibahagikan mengikut bahagian harta pusaka. Ahli keluarga si mati yang bukan Islam adalah tidak layak mendapat bahagian harta tersebut. Ini berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang telah bersidang pada 10 September 2000.


32.Harta Sepencarian / Saham / Hutang 

Harta sepencarian tidak termasuk dalam pembahagian harta pusaka, oleh itu harta tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang Islam ataupun tidak, berbeza dengan saham yang termasuk di dalam harta pusaka. Manakala hutangnya pula perlu ditolak daripada hartanya sebelum dibuat pembahagian harta pusaka. 


34.Wang Ganjaran dan Pencen 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 12 September 1998 telah memutuskan bahawa wang ganjaran dan pencen tidak tergolong dalam pembahagian harta pusaka. Oleh itu wang tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang beragama Islam atau tidak.


35.Wang Insurans, SOCSO dan PERKESO 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 19 September 2000 telah memutuskan bahawa wang insurans, SOCSO dan PERKESO bukan termasuk dalam pembahagian harta pusaka. Oleh itu wang tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang beragama Islam atau tidak.

36.Tuntutan Wang Ganjaran dan Pencen 

Pemberian Wang Ganjaran Dan Pencen adalah terpulang kepada pihak Kerajaan atau Syarikat Swasta di mana Saudara Baru berkhidmat atau mencarum ketika hayatnya untuk diberikan kepada sesiapa waris yang berhak. Oleh itu wang tersebut boleh dibahagikan kepada keluarganya sama ada yang beragama Islam atau tidak. 



PENUTUP

37.    Dengan mengikuti Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf) ini diharapkan hak-hak dan kebajikan Saudara Baru dan juga ahli keluarganya akan terus terbela, di samping mengekalkan keharmonian agama serta kaum lain di Malaysia dan mengelakkan sebarang keresahan yang mungkin berlaku di negara ini. 

Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 20.2.2009

Monday, October 15, 2012

2 ANCAMAN SUKA LENGAH BERTAUBAT



MANUSIA dilahirkan dalam keadaan fitrah tetapi kerana perbuatannya sendiri yang berlawanan dengan acuan ajaran Islam atau perintah Allah, maka terpalit dosa.

Kita sebagai manusia biasa harus menerima hakikat kita tidak pernah terlepas daripada kesalahan serta kekhilafan yang dipengaruhi oleh suasana lingkungan, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Disebabkan itu, apabila melakukan kesalahan, kita perlu segera bertaubat.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Setiap Bani Adam itu bersalah dan berdosa, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah mereka yang bertaubat.”

Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan berada dalam dosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada cahaya hidayah.

Bertaubat adalah suruhan Allah dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib dilaksanakan segera tanpa berlengah. Malangnya suruhan ini dipandang sepi dengan alasan ‘masa masih panjang lagi.’

Alasan itu sangat dangkal dan jahil kerana taubat bukan khusus untuk golongan tua kerana kematian tidak mengira usia. Persoalannya apakah kita boleh hidup sampai tua? Kita sedia maklum orang yang sengaja melambat-lambatkan memohon ampun dan bertaubat akan berdepan dua bahaya besar.

Pertama, hatinya penuh dengan karat akibat perbuatan maksiat atau keingkaran dilakukan tanpa henti kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.

Kedua, maut atau penyakit datang sebelum sempat ia membersihkan karat di hati, ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh kekotoran dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup tidak selamat di akhirat nanti.

Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah minta ampun daripada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat atas dasar kerelaan, keinsafan, ikhlas hati dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, memilih jalan lurus, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” (Surah AI-Maidah, ayat 39)

Ni’mat Shidqi dalam bukunya Pembalasan: Syurga atau Neraka berkata, ayat 82 surah Toha meletakkan syarat mengenai taubat iaitu memilih jalan yang benar, mengerjakan amalan soleh untuk menebus kesalahan lalu, meninggalkan kejahatan dan menukar sikap dari buruk kepada baik.

Sebelum penyesalan menjadi tidak berguna dan tangisan menjadi sia-sia, kita hendaklah bersikap positif iaitu segera bertaubat dan terus giat melakukan kebaikan secara berterusan.

Mohd Adid Ab Rahman
www.al-bakriah.com.my

Friday, October 12, 2012

WANITA MEMPUNYAI HAK MENENTUKAN CALON SUAMI



ISLAM sangat memandang berat aspek pemilihan jodoh sehingga banyak keterangan Rasulullah SAW yang memperkatakan isu ini. Kesejahteraan dalam rumah tangga akan terpancar melalui kerukunan hidup bersama sepasang suami isteri apatah lagi apabila dikurniakan anak-anak.

Atas faktor itulah maka sejak dulu lagi, ibu bapa begitu berhati-hati dalam usaha mencari jodoh untuk anak gadis dengan seseorang lelaki. Walaupun begitu, Islam mempersiapkan garis panduan jelas dalam aspek perkahwinan buat anak-anak.

Tambahan pula dalam dunia moden hari ini, anak-anak termasuklah anak gadis kita mempunyai pilihan mereka sendiri dan mereka mempunyai cita rasa yang mungkin tidak disenangi ibu bapa. Maka tidak sunyi kita mendengar peristiwa anak-anak gadis lari dari rumah mengikut lelaki pilihan hatinya lantaran pinangan ditolak oleh ibu bapa.

Kita harus melihat aspek ini dari sudut yang tepat sebagaimana ditetapkan agama. Jangan bertindak terburu-buru dan di luar batasan yang dibenarkan. Sesungguhnya Islam menetapkan hak seorang wanita dalam perkara memilih calon suami.

Ini jelas sepertimana ingatan Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Seorang janda lebih berhak terhadap dirinya dari walinya. Seorang gadis harus diminta izinnya oleh ayahnya mengenai dirinya. Adapun izin gadis itu diketahui menerusi sikap diamnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama bersependapat dalam masalah hak wanita dalam aspek pemilihan calon suami. Ini diakui sendiri oleh Imam Syafie, Ibnu Lailah, Imam Ahmad, Ishak dan ramai lagi yang mengatakan bahawa meminta izin daripada seorang gadis untuk mengahwinkannya adalah satu perintah agama.

Imam Abu Hanifah pula mengatakan, “Si wali diwajibkan meminta izin terlebih dulu daripada si gadis yang mencapai usia baligh. Adapun sabda Baginda SAW, “Adapun tanda izinnya adalah diamnya.”

Menurut pandangan umum memang karakter lumrah seorang gadis akan diam jika dia bersetuju akan dikahwinkan dengan lelaki yang ditawarkan kepadanya, akan tetapi kalau dia tidak setuju, maka dia akan menyatakan tidak bersetuju.

Banyak kes lari dari rumah akibat peminangan ditolak berlaku kerana ibu bapa terlalu memaksa anak gadisnya menyetujui pilihan mereka sedangkan dalam masa yang sama anak gadisnya sudah mempunyai pilihan hati sendiri.

Maka timbullah konflik jiwa mendalam terhadap anak gadis sehingga mengambil tindakan nekad melarikan diri untuk mengikuti lelaki pilihannya.

Jika situasi ini berlaku, maka sudah pasti ibu bapa juga akan menerima padah dan menanggung malu atas perbuatan anak gadisnya. Malah, tidak kurang juga terjadi insiden yang lebih parah apabila anak gadisnya melakukan perbuatan zina. Justeru, ibu bapa juga yang akan terpalit dosa.

Ibu bapa sebaiknya harus berunding dengan penuh hemah apabila hendak menetapkan sesuatu perkahwinan terhadap anak gadisnya. Berilah nasihat berguna kepada mereka agar memilih calon suami yang terbaik.

Anak-anak yang didedahkan dengan panduan memilih jodoh yang terbaik pasti tidak akan tersasar jauh dari memilih calon suami yang mempunyai kriteria dikehendaki agama.

Sebagai ibu bapa pula, mereka seharusnya mengikut petunjuk diajar Rasulullah SAW agar anak kita dapat mengharungi alam rumah tangga dalam keadaan rukun dan damai sekali gus mengangkat mereka menjadi seorang isteri solehah dan diredai Allah.

Mohd Rizal Azman Rifin

Thursday, October 11, 2012

AGENDA ISRAEL DAN AMERIKA SYARIKAT LUMPUHKAN KEKUATAN ISLAM



Setelah kejatuhan Muammar Gadafi hampir setahun lalu, kemenangan Ikhwanul Muslimin dalam pilihan raya Presiden Mesir, serangan berterusan ke atas Iran atas dakwaan membangunkan teknologi senjata nuklear, melebarkan permusuhan dengan Pakistan atas alasan menyembunyikan persembunyian Osama Ben Laden, mengukuhkan kedudukan di Afghanistan dan seterusnya cuba memaksa Rusia untuk menyelesaikan kemelut politik di Syria semakin menampakkan sikap sebenar hasrat Israel untuk menjayakan misinya, mengawal dan menguasai seluruh negara-negara Islam yang mempunyai nilai strategic dan kekayaan sumber minyak.

Penglibatan Amerika Syarikat dalam campur tangan dan serangan di hampir seluruh dunia mempunyai kaitan dengan agenda ekonominya yang ingin terus kekal sebagai hegemoni yang dikawal sepenuhnya oleh para peniaga Yahudi yang kaya raya. Hampir semua bidang perniagaan dan syarikat besar yang dikenali sebagai multinasional ataupun transnational dikuasai oleh kaum kapitalis yang dibentuk atas asas spekulasi dan kuasa pasaran. Mereka menguasai bidang kewangan, perdagangan, pengangkutan dan media sehingga menjadikan suara negara-negara kecil atau di luar lingkungan hegemoni tersebut hampir tidak kedengaran dan terpaksa bertindak secara bersendirian.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Turki di mana pada awal perbincangan membentuk Kesatuan Ekonomi Eropah (EU), pendokong Yahudi memberikan syarat perlu memenuhi beberapa kriteria termasuk meliberalisasikan semua peraturan yang ada dan membuka pasaran seluas-luasnya. Pengalaman menjadikan Turki sebagai sebuah negara sekular oleh Mustapha Kemal Atartuk menerusi tipu muslihat dan bantuan barat misalnya, telah berjaya menamatkan kedudukan Dinasti Uthmaniyyah pada tahun 1950-an dan menyingkirkan asas pentadbiran Islam.

Berkat usaha dan pembaharuan tersebut Turki telah mencapai tahap perkembangan ekonomi yang pesat sehinggalah muncul sebagai ekonomi yang kedua pesat pertumbuhannya selepas Jerman tetapi akhirnya tidak diterima menganggotai EU. Penolakan tersebut ada hubungkaitnya dengan kedudukan masyarakat Turki yang mana 99 peratus adalah beragama Islam dan kebangkitan faham keislaman yang semakin kuat. Kebangkitan tersebut dilihat sebagai cabaran terbesar untuk membangunkan Turki dalam kerangka ekonomi kapitalisme sepenuhnya apatah setelah kumpulan pergerakan politik Islam semakin mendapat perhatian masyarakat setelah kemenangan Tayyib Erdogan pada tahun 2003.

Sebagai Perdana Menteri, Tayyib Erdogan melaksanakan beberapa persetujuan yang terkandung dalam perjanjian pembentukan Kesatuan Eropah yang telah ditandatangani sejak tahun 1958. As prime minister, Erdoğan implemented numerous reforms. Tayyib Erdogan berusaha keras untuk melengkapkan prasyarat tersebut dan melakukan beberapa rundingan, namun terus mengalami kegagalan. Bagaimanapun, Tayyib yang memimpin Justice and Developmant Party (AK Party) tidak berputus asa dan kegagalan tersebut sebenarnya member rahmat besar kepada Turki.

Tayyib terus kekal menang pilihan raya 2007 dan pada tahun 2011, AK Party diberikan kepercayaan menerajui negara itu untuk penggal ketiga. Kegagalan diterima dalam EU tidak menyebabkan Tayyib kecewa, sebaliknya dasar pembangunan ekonominya yang pragmatik kegagalan kredit adalah rendah iaitu pada tahap 1.17 peratus, lebih rendah daripada sembilan buah negara dalam EU dan Rusia pada tahun 2010, manakala kadar pengangguran telah turun dari 10.3 peratus kepada 9.7 peratus. Ketika dunia mengalami krisis ekonomi pada tahun 2008, kadar pengangguran telah meningkat kepada 16.1 peratus antara Januari hingga Mac 2009, tetapi menurun kepada 11.0 peratus pada bulan April hingga Jun 2010. Kadar pengangguran bagi EU ialah 10 peratus.

Pada tahun 2002, Bank Pusat Turki mempunyai jumlah simpanan rezab berjumlah USD $ 26.5 dan telah meningkat kepada USD$ 92.2 billion pada tahun 2011. Kadar inflasi juga telah menurun dengan drastiknya, iaitu dari 34.9 peratus pada tahun 2002 kepada 5.7 peratus pada tahun 2011. Ianya merupakan kejayaan besar dalam tempoh 39 tahun. Kadar hutang dalam negeri berdasarkan keluaran dalam negara kasar juga telah berkurangan dari 74 peratus (2002) kepada 39 peratus pada tahun 2009. Bank Dunia menilai Tayyib Erdogan sebagai pembaharu dan penstabil ekonomi yang cemerlang untuk Turki. Bagaimanapun, Turki juga kini sedang berada dalam intipan Mossad kerana kejayaan tersebut dan kegagalan menyertai EU turut dikaitkan dengan keengganan pelobi Yahudi yang turut menguasai banyak sektor ekonomi di Eropah.

Rancangan Amerika Syarikat untuk menyerang Iran terpaksa ditangguhkan sementara waktu kerana Presiden Barrack Obama bimbang dengan tindakannya itu bakal menyebabkan peluangnya untuk menerajui Rumah Putih sepenggal lagi tidak kesampaian. Buat masa ini, Barrack Obama terpaksa mengehadkan rancangannya dengan melakukan desakan negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Iran untuk menyertai sekatan ekonominya, di samping menggunakan kemungkinan menjamin kedudukan Selat Hormuz yang menjadi laluan lebih sepertiga kapal-kapal tangki dipasang dengan periuk api sebagai reaksi balas Iran mengenai sekatan ekonomi yang lebih keras.

Iran sudahpun memberikan amaran akan menutup laluan di Selat Hormuz sekiranya Amerika Syarikat terus mendesak dan memberikan tekanan ekonomi meskipun tindakan tersebut tidak disenangi oleh Rusia dan China. Atas muslihat tertentu, Amerika Syarikat mengalihkan kemarahan negara-negara Islam dengan melibatkan diri dalam mencaturkan keadaan politik di Syria dengan membantu dan menyokong kumpulan pemberontak yang marahkan kepimpinan Bashar al-Assad.

Hubungan Israel-Turki sudahpun terjejas apabila komando laut Israel menyerang hendap misi kemanusiaan ke Gaza pada pagi 31 Mei 2010 yang menyebabkan tujuh sukarelawannya terbunuh. Detik hitam itu tidak pun menjadi ancaman kepada Israel sebaliknya Tel Aviv terus memperkuatkan kedudukan sebagai helah untuk mengganas dengan lebih besar lagi setelah campur tangan dalam membiayai kumpulan pemberontak untuk membunuh Muammar Gadafi pada bulan Ogos 2011 dan seterusnya mengancam Iran. Kesemuanya itu tidak mendapat bantahan Amerika Syarikat malah Washington hampir menggunakan semua maklumat risikan Mossad untuk melobi anggota Pakatan Atlantik Utara (NATO) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mendesak agar resolusi dikeluarkan untuk “menyekat Iran” yang turut bersimpati dengan kedudukan Muammar Gadafi dan seterusnya menyokong tindakan Bashar al-Assad.

Buat masa ini, propaganda yang dilancarkan oleh pelobi Yahudi adalah jelas membawa mesej bahawa rusuhan di Syria berlaku kerana konflik mazhab, iaitu antara Sunni dan Syiah. Setengahnya memberikan komentar bahawa kerana konflik antara mazhab itulah menyebabkan penganut Kristian berada dalam kesukaran dan terancam. Pendekatan Bashar yang tidak dilihat sebagai mematuhi kayu ukur barat sebagai demokratik terus dipertajamkan oleh agensi-agensi berita asing dengan melaporkan pihak tentera yang menyokong Bashar terus menggempur kawasan yang dihuni oleh rakyat biasa sehingga lebih 11,000 orang terbunuh sejak lapan bulan lalu.

Media dan agensi berita barat yang dikawal oleh kapitalis Yahudi itu sengaja nak membentuk persepsi masyarakat dunia bahawa Bashar segera perlu ditundukkan menerusi campur tangan masyarakat antarabangsa. Kewajaran yang sama juga digunakan oleh Amerika Syarikat apabila melakukan campur tangan di Libya, tetapi kali ini Washington mengambil langkah yang lebih lambat dan memerlukan perancangan yang lebih besar. Washington mengeluarkan kenyataan-kenyataan berdasarkan maklumat pihak pemberontak, yang sebahagian besar adalah berdasarkan pembentukan teori pertentangan yang jelas, yakni teori kontradiksi.

Teori kontrakdiksi bermula dengan kewujudan pertentangan pendapat antara pihak yang memerintah dengan segelintir kumpulan yang tidak sehaluan ideologi politiknya. Kumpulan ini sama ada telah lahir semasa kempen pilihan raya ataupun sebelumnya tetap beranggapan selagi kemenangan tidak menyebelahi mereka, mereka perlu melakukan kontradiksi sehingga boleh menyumbang kepada kekeliruan persepsi. Ini juga perkara yang dilaksanakan oleh pakatan pembangkang di Malaysia apabila menilai semua yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kebajikan rakyat sebagai helah atau gimik politik dan mendakwa semua dasar serta peraturan yang ada sebagai zalim dan tidak adil, termasuk bersifat perkauman.

Seperti rumusan penganalisis sejarah, kontradiksi bukanlah sesuatu ganjil dan ianya telah berlaku sejak awal manusia wujud lagi, bahkan Adam a.s. telah memperlihatkan penentangannya terhadap perintah Allah SWT ketika disyurga, akibatnya, Adam a.s. dicampakkan ke dunia untuk meneruskan kehidupan dengan pelbagai cabaran berbanding kesenangan yang dinikmati ketika di syurga. Tatkala lahirnya anak-anak Adam, kontradiksi juga berlaku sehingga menyebabkan tragedy berdarah antara Habil dan Qabil dalam merebut pasangan, salah seorangnya ditebalkan dengan sikap dengki, tamak dan mementingkan kesempurnaan fizikal (cantik, berharta dan daya tarikan tertentu). Bagaimanapun sebahagiannya tidak dipaparkan dengan jelas, adakalanya ia berselindung di sebalik insiden tertentu agar tidak menampakkan hasad dengki dan sikap tamak.

Begitulah situasi dan faktor ini terus berjalan sering dengan cita-cita besar untuk menguasai semua sumber kekayaan walaupun secara melanggar kedaulatan sesebuah negara. Politik penguasaan, yang ada hubungkait untuk menjamin Israel sebagai kuasa tunggal yang terkuat di Timur Tengah ialah dengan mencari helah menguasai telaga minyak, dan kerana itulah Amerika Syarikat tidak pernah mendesak Israel untuk menghentikan projek nuklear dan senjata kimia berbanding mendesak Pakistan dan Iran untuk menghentikan penguasaan teknologi tersebut.

Dalam politik Syria, kontradiksi bermula dengan kebangkitan kumpulan yang menyanjung gagasan demokrasi bangun mendesak agar sistem tersebut diperluaskan, kerana mereka memahami ideologi itulah yang terbaik bagi seluruh manusia dan telah diterima oleh hampir sebahagian besar negara-negara moden. China juga sedang mengalami perubahan tersebut apabila para pelajar melancarkan pemberontakan di Dataran Tiannamen sehingga menyebabkan kerajaan komunis dituduh kejam apabila menggunakan kuasa tentera untuk menghalangnya.

Gerakan demokrasi yang didalangi oleh Amerika Syarikat itu cuba menggunakan sebahagian kumpulan yang anti Bashar dengan memasuki teras perjuangan puak Sunni, mencari lebih banyak perbezaan dengan kelompok Alawite, yang merupakan satu cabang dalam mazhab Syiah di mana diyakini oleh keluarga Bashar. Kemudiannya, pergeseran itu dijadikan sebagai platform konflik yang lebih besar dengan menuduh Bashar telah melakukan penzaliman dan kekejaman terhadap mereka yang berfahaman Sunni. Dalam tempoh yang lebih panjang, propaganda itu telah melahirkan persepsi bahawa Bashar adalah pemimpin yang anti-Sunni, yang merupakan kumpulan puak Islam majoriti Syria.

Dalam sistem kapitalis, selepas dasar penguasaan secara fizikal menerusi penjajahan dan penaklukan berakhir, konsep tersebut dikembangkan menerusi pendekatan yang lebih bersifat penguasaan ke atas sumber-sumber ekonomi dan politik menerusi penguasaan minda dan kaedah memerintah (termasuk undang-undang yang membiarkan kesemuanya ditentukan oleh kuasa rakyat atau kuasa pasaran). Kuasa pasaran pula dimonopoli oleh kapitalis yang kaya raya dan boleh bertindak dalam pelbagai strategi termasuk mengamalkan dasar monopoli bagi menjamin keuntungan yang maksima walaupun terpaksa menindas.

Dasar anti perlindungan misalnya tidak membenarkan pengusaha-pengusaha baru merebut pasaran dan pengusaha-pengusaha yang lebih besar akan mencari jalan bagaimana untuk “menelan kemunculan entity baharu” menerusi konsep penggabungan ataupun pemilikan saham.
Imperialisme merupakan kemuncak dalam sistem kapitalis. Kerana itulah imperialism akan melakukan tindakan untuk menguasai pelbagai sumber daripada sumber manusia hinggalah kepada penciptaan teknologi, manakala negara-negara yang bergantung dengan teknologi itu pula dibebani dengan masalah alat ganti yang dikawal. Lingkaran atau pusingan pergantungan teknologi itulah sebenarnya menyebabkan negara-negara yang menggunakannya terus terbeban dengan hutang yang besar bahkan sebahagian besar hasil negara digunakan untuk membayar hutang. Hutang menjadi semakin besar termasuk perkiraan faedah yang tinggi dan khidmat rundingan.

Dalam sistem kapitalis, akibat penemuan yang menakjubkan dalam bidang teknologi dan kejenteraan, pergantungan kepada bahan bakar dilihat sebagai nadi pertumbuhan. Tanpa bahan bakar, misalnya minyak, negara yang berusaha untuk membentuk sistem ekonominya akan berhadapan dengan masalah besar, maka kapitalisma terus mencari jalan bagaimana memonopolikan industri minyak. Negara-negara Islam mempunyai jumlah simpanan minyak yang besar, maka mahu tidak mahu kapitalisma akan terus meneroka politik penguasaannya.

Apabila China bangkit sebagai ekonomi kedua terbesar selepas Amerika Syarikat dan dalam tempoh kurang daripada dua puluh tahun bakal mengambil alih kedudukan sebagai yang pertama, Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan strategic. Maka, dalam dekad masih menjadi hegemoni, Amerika Syarikat terpaksa melakukan apa sahaja tekanan termasuk menyerang negara-negara Islam. Dengan menguasai politik negara-negara tersebut, akan turut mengubah dasar penjualan minyak kepada negara-negara yang sedang mencabar kedudukan ekonomi dunia, iaitu Rusia dan China.

China yang mempunyai kelebihan daripada sistem upahnya yang jauh lebih murah boleh menghasilkan produk yang sama dengan apa yang dihasilkan oleh negara-negara barat dalam kos yang berlipat kali lebih murah. Desakan Washington agar China menyemak semula nilai wangnya tidak diendahkan kerana semakan tersebut akan menyebabkan kos akan meningkat. Bila kos meningkat, akan memberikan kelebihan kepada negara lain yang mengeluarkan produk yang sama yang disokong oleh sistem kapitalisme Barat.

Keadaan yang hampir sama telah berjaya dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dengan mendesak Jepun mengkaji semula nilai matawangnya pada tahun 1980-an sehingga menyebabkan barangan keluaran Jepun lebih mahal daripada produk buatan Eropah dan Amerika Syarikat. Keadaan ini seterus memberikan pilihan kepada negara-negara yang terpaksa mengimport teknologi dan produk tertentu sehingga pilihan pernah ditujukan kepada produk yang dikeluarkan oleh negara-negara di Afrika Selatan pada suatu ketika. Hari ini, Afrika Selatan juga berhadapan dengan kenaikan kos, maka pilihan antarabangsa adalah daripada China.

Kelompok kapitalis telah menggunakan kedudukan China sebagai negara kos buruh yang rendah dengan meningkatkan pelaburan dan memindahkan sebahagian operasi kilangnya, di samping mengharapkan kekuatan ekonomi domestic yang ada pada negara tersebut. Dijangkakan, sekiranya China tidak mempeluaskan eksport, China masih mempunyai kekuatan ekonomi dalaman yang besar dan ini tidak dinikmati oleh Amerika Syarikat.

Pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat menjadi terlalu perlahan disebabkan sikap kapitalisma yang sudah mengeksportkan pelaburannya bagi meningkatkan keuntungan. Itulah sebabnya kita dapati lebih banyak jenama yang berasal dari Amerika Syarikat dan Eropah sudah dikeluarkan secara kontrak di China, bahkan dalam masa yang sama China terus meneroka penciptaan teknologinya sendiri.

Hal inilah yang tidak dapat disekat oleh Eropah dan Amerika Syarikat, sedangkan sebelumnya mereka mampu melaksanakan tindakan ke atas konsep pemindahan teknologi ke atas negara-negara dunia ketiga sehingga negara-negara tersebut tetap kekal dengan kedudukan tersebut walaupun telah berjalan lebih empat dekad. China hanya mengambil masa yang relative singkat, malah lebih cepat daripada apa yang berjaya dilaksanakan oleh dasar ekonomi Jepun dan Korea Selatan.

Dengan memahami pergeseran geopolitik dan politik penguasaan itulah kita boleh memahami dengan lebih baik kenapa Amerika Syarikat dan Israel begitu galak sekali untuk campur tangan dalam kemelut yang hanya pada mulanya adalah kecil berlaku di negara-negara Islam. Kini, krisis tersebut menjadi semakin besar apabila Mossad dengan bijaknya mengekpsploitasi suasana seolah-olah campur tangan itu perlu bagi menyelamatkan rakyat awam dari terus dizalimin oleh pemerintah yang dilihatnya tidak sehaluan dengan kehendak New World Order yang dipiagamkan oleh Pertubuhan Yahudi Antarabangsa dalam misi yang dibangunkan oleh Dr Theodor Herzyl sejak berjaya mengeksploitasikan pembersihan entik dalam tragedy Holocaust oleh tentera Nazi pimpinan Hitler sebelum tercetusnya Perang Duni Kedua.

Israel tidak akan berhenti menghasut dan menggunakan kumpulan-kumpulan tertentu untuk menumbangkan sesiapa sahaja pemimpin yang dilihat boleh menghalang terzahirnya New World Order. Setelah Muammar Gadafi berjaya dilumpuhkan, Iran sedang menanti gilirannya manakala Bashar al-Assad sedang direkayasakan dengan buruknya oleh media kepunyaan Yahudi. Bahkan, media negara-negara Islam terus memetik laporan-laporan tersebut kerana keupayaan media mereka menentukan bentuk aliran berita antarabangsa, di samping melakukan spin memburuk-burukkan imej politik Islam yang dijangka bakal menjadi alternative dalam tempoh terdekat. Kini mereka mula beradaptasi dengan perubahan tersebut, tetapi akhirnya, sistem ekonomi dan pernbankan Islam terus menerima kapitalisme yang diperbaharui, beluam menemukan bentuknya yang jelas dan asli.

Ini akhirnya akan mengalahkan Islam dan pertembungan itu tentunya selaras dengan perancangan mereka untuk terus memberikan tekanan kepada Islam. Kelompok pemimpin Islam sudah mula beradaptasi dengan neokapitalisme itu, akan sedang menyerap masuk lebih banyak produknya dalam kerangka ekonomi sehingga Tun Dr Mahathir pernah mengingatkan bahawa, selagi negara-negara Islam yang mempunyai kekuatan daripada ekonomi minyak tidak menggunakan kekuatan tersebut untuk menjadi masyarakat pencipta teknologi, maka selagi itulah kekayaaan tersebut bukan sepenuhnya boleh dinikmati oleh negara-negara Islam.

Negara-negara Islam terus bergantung kepada teknologi yang dihasilkan oleh negara bukan Islam. Negara bukan Islam sebagai pembekal teknologi akan terus melakukan cengkaman dan memaksa negara Islam berbelanja dengan lebih besar. Ini tidak menguntungkan negara-negara Islam dalam jangka masa panjang, ia menjadikan kekayaan yang ada di negara-negara Islam sebahagian besarnya terpaksa disalurkan keluar ke negara-negara bukan Islam. Inilah tembok yang harus dipecahkan oleh negara-negara Islam jika mereka tidak mahu dijulingkan dan dijelekkan oleh permainan geopolitik New World Order.

Kamarun KH
ummatanwasatan.net

Wednesday, October 10, 2012

MENGAPA ARAK DIHARAMKAN DI DUNIA DIHALALKAN DI SYURGA



Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, memuliakan manusia dengan semulia-mulianya, melebihkannya daripada sekalian ciptaan yang lain, mempermudahkan kepada mereka segala benda di bumi dan di langit  (taskhir) dan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi.

Al-`Izz bin Abd al-Salam berkata: 

“Ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mensyariatkan satu hukumpun melainkan untuk maslahah dunia, maslahah akhirat atau untuk maslahah dunia dan maslahah akhirat sekaligus sebagai limpahan kurniaan-Nya kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat”. ( Syajarah al-Ma’arif Wa al-Ahwal, hal. 401)

Syariat dibina di atas prinsip menjaga lima kepentingan dharuri iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Imam al-Ghazzali berkata: Ada lima maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah. (Al-Mustasfa, jil 1 hal. 289)

Merujuk kepada arak dan pergaulan bebas, tidak dinafikan bahawa sememangnya manusia mahu hidup dalam kenikmatan dan keseronokan. Bagi seorang mukmin, alam dunia dan alam syurga amat jauh perbezaannya. Sifat hidup di dunia adalah terbatas, terikat dengan hukum syarak, penuh dengan ujian. Kenikmatan yang dikecapi tidak diperolehi dengan senang tetapi memerlukan pengorbanan dan perjuangan.

Arak diharamkan kerana ‘illah atau sifat yang ada padanya iaitu memabukkan. Sifat memabukkan ini relevan dengan penjagaan akal. Mengambil arak bererti menutup kewarasan akal untuk berfikir sehingga diri sendiri dan masyarakat terdedah kepada bahaya dan mudarat. Objektif pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak akan menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati. Selain itu, arak menyebabkan ketagihan sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Arak yang ada di akhirat lain pula sifatnya yakni tiada sifat memabukkan. Oleh kerana sifatnya yang berbeza di dua alam itu, maka dibenarkan arak di syurga sebagai suatu nikmat bukan minuman yang menyakitkan.

Sementara zina pula, persetubuhan yang tidak berdasarkan kepada aqad perkahwinan yang sah tetapi semata-mata memenuhi hawa nafsu. Ia merosakkan akhlak, meruntuhkan maruah (keperibadian) dan sistem kekeluargaan. Ia menjejaskan kesihatan manusia dan mendedahkannya dengan pelbagai penyakit. Keturunan menjadi celaru sehingga tiada diketahui siapa ayahnya yang sebenar sehingga anak mengalami gangguan emosi dan psikologi.

Oleh sebab itu, Islam mensyraiatkan perkahwinan supaya seseorang itu ada jalan untuk memenuhi tuntutan seksualnya dengan cara yang halal, selamat, suci, beradab dan terhormat. Mencari keseronokan di luar perkahwinan akan menafikan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban. Perkahwinan lebih bersifat membina sistem kekeluargaan seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera.

Bidadari di syurga umpama isteri yang menjadi milik mutlak penghuni, tidak berkongsi dengan sesiapa, tiada yang pernah menjeling kepadanya. Hanya menanti kedatangan orang mukmin. Dia tidak melahirkan anak, tidak mengalami haidh dan segala macam yang dialami oleh manusia. Kenikmatan bersamanya tidak mengakibatkan sebarang risiko. Hal ini berbeza sama sekali dengan pergaulan bebas.

Ringkas kata, pengambilan arak dan pergaulan bebas hanya membawa kepada porak peranda, kekacauan dalam kehidupan manusia baik pada tingkat indivdu mahupun masyarakat.

Sewajarnya, manusia itu mengetahui bahawasanya dia diikat dengan hukum supaya mengetahui bahawa ada kehidupan satu lagi yang lebih utama, lebih kekal (Surah al-Dhuha, Surah al-A’la). Jikalau dunia ini berjalan tanpa ada peraturan dan undang-undang bahkan yang ada undang-undang rimba, kelangsungan hanya untuk orang yang kuat maka hancur dan musnah kebahagiaan manusia.

Di syurga tiada lagi keterikatan dengan  hukum kerana, perjalanan hidup di sana atas sifat sejahtera tidak memudaratkan, aman dan penuh kenikmatan.

Allah s.w.t. berfirman:
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا (60) جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا (61) لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (62) تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا (63)

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, - (Iaitu) syurga " ‘Adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; Sesungguhnya Tuhan itu, janjinya tetap berlaku. Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba kami. (Surah Maryam: 60-63)

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, terutamanya yang sering interaksi dengan masyarakat sewajarnya dia mengetahui matlamat pensyariatan hukum atau falsafah di sebalik perintah dan larangan serta hikmat syariah supaya dakwahnya itu lebih berkesan dan menyakinkan.

والله أعلم بالصواب



Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...