Tuesday, December 11, 2012

KESALAHAN-KESALAHAN SUAMI TERHADAP ISTERI



Keutuhan sesebuah rumahtangga sangat dipengaruhi oleh baiknya kepemimpinan seorang suami (sebagai ketua keluarga) dalam membina keluarganya. Lebih-lebih lagi adalah SIKAP & PERILAKUnya dalam bergaul dengan isterinya. Suami isteri sebagai tunjang UTAMA dalam sesebuah rumahtangga, bila mengalami kerosakan maka bangunan rumahtangga akan runtuh. Disebabkan hubungan ini seharusnya sentiasa di jaga dengan memperhatikan HAK & KEWAJIPAN masing-masing. Bagi suami isteri harus saling menunaikan kewajipanya setelah itu baru boleh mendapatkan apa yang menjadi haknya.

Jika kita melihat kenyataan dalam masyarakat, dua sikap suami yang saling bertentangan dalam menyantuni isteri mereka, sikap inilah yang perlu di ambil perhatian, tak kurang juga sama-sama menimbulkan masalah yang berhujung dengan sebuah perceraian.

Pertama, suami yang meremehkan isterinya, yang mengsia-siakan hak-haknya & melakukan pelbagai kesalahan berkaitan dengan hak isterinya.

Kedua, suami melepaskan kendalinya terhadap isteri & membebaskannya begitu sahaja (dalam ertikata lain, LEPAS TANGAN).

Allah berfirman dalam Al-Quran, Surah An Nisa : 34 yang bermaksud:
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki atas sebahagian yang lain (wanita) & mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yg soleh, ialah yang taat Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita- wanita yg kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka & pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka & pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari–cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar”

Berikut ini adalah 10 (sepuluh) KESALAHAN-KESALAHAN suami yang banyak dilakukan, yang kesemuanya terbahagi kepada dua sikap keliru diatas:

1. Tidak mengajarkan AGAMA dan HUKUM syariat kepada isteri

Banyak kita dapati para isteri tidak mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid & nifas, bertingkahlaku/berperilaku terhadap suami secara tidak syar’ie & tidak mendidik anak-anak secara Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan. Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak & menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dsb. Tidak lain semua kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA, terutama ibadahnya tidak pernah ditanyakan oleh suami.

Padahal Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Hai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu & keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia & batu, penjaganya malaikat – malaikat yang kasar, keras & tidak mendurhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kpd mereka & selalu mengerjakan apa yang diperintakan” {Al-Quran, Surah At-Tahrim:6}

Maka para suami diminta untuk tidak sesekali mengABAIkan hal ini, kerana semuanya akan diminta dipertanggungjawapkan keatasnya. Hendaklah benar-benar mengajarkan agama kepada isterinya, baik dilakukan sendiri atau melalui perantara. Antara lain yang dapat dilakukan; menghadiahkan buku-buku tentang Islam & hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan sebagainya.. (yang paling praktikal.. ajaklah solat berjemaah di rumah atau di surau/masjid misalnya)

2. Suka mencari kekurangan & kesalahan isteri

Dalam suatu hadith riwayat Bukhari & Muslim, Rasulullah s.a.w melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam, kerana dikhuatirkan akan mendapati berbagai kekurangan isteri & cela isterinya. Bahkan suami diminta bersabar & menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan & celaan seperti sabda Rasulullah:

“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” {H.R. Muslim}

3. Memberi hukuman yang tidak sesuai dengan kesalahan isteri


Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, antara lain iaitu:

(a) Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman {sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34}

(b) Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie {sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq : 1}

(c) Memukul wajah, mencela dan menghina.

Dalam as-Sunan dan al-Musnan dari Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa ia berkata: “Ya Rasulullah, apakah HAK isteri atas suaminya? Nabi s.a.w menjawab:

“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam rumah.” {H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani}

4. Culas dalam memberi nafkah kepada isteri

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” {Al-Quran, Surah Al-Baqarah : 233}

Isteri BERHAK mendapatkan nafkah, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh & mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun tanpa sepengetahuan suaminya.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” {Muttafaq ‘alaih}

5. Sikap keras, kasar, tidak lembut terhadap isteri

Rasulullah s.a.w bersabda: 
“Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik–baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” {H.R. at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani}

Maka suami hendaklah berakhlak baik terhadap isterinya dengan bersikap lembut & menjauhi sikap kasar.

6. Kesombongan suami membantu isteri dalam urusan rumahtangga

Ini kesalahan yang paling banyak MENJANGKITI para suami. Padahal lelaki yang paling UTAMA yakni Rasulullah s.a.w tidak segan silu membantu pekerjaan isterinya.

Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w di rumahnya, beliau menjawab:

“Beliau membantu pekerjaan isterinya & jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” {H.R. Bukhari}

7. Menyebarkan rahsia dan aib isterinya

“Sesungguhnya diantara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya & isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia isterinya.” {H.R. Muslim}

Dalam hadith ini diHARAMkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.

8. Sikap terburu-buru dalam menceraikan isteri


Wahai suami yang mulia, sesungguhnya hubungan antara engkau & isterimu adalah hubungan yang kuat lagi suci, oleh keranyalah Islam menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak dsb. Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan/mainan. Kerana Rasulullah s.a.w teleh bersabda:

“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” {H.R. Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan” oleh asy-Syeikh Albani}

Memang perselisihan antara suami isteri sering terjadi kadang sampai mengarah kepada penceraian. Akan tetapi penceraian ini tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan ini. Bahkan harus diusahakan berbagai cara untuk menyelesaikannya, keran kemungkinan besar akan banyak rasa penyesalan yg ditimbulkan dikemudian hari kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” {H.R. Muslim}

9. Berpoligami tanpa memperhatikan ketentuan syari’at

Menikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Akan tetapi yang menjadi catatan di sini bahawa sebahagian orang yang ingin menerapkan syariat ini/telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang tidak memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri pertama & anak-anaknya.

“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.” {Al-Quran, Surah An-Nisa : 3}

Sikap ini merupakan KEADILAN yang diperintahkan Allah s.w.t. Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik & tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjuruskan kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan anak-anak & menambah permasalahan keluarga & juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya & perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum masuk ke’dalam’nya.

10. Lemahnya kecemburuan


Para suami memBIARkan keelokan, keindahan & kecantikan isterinya DINIKMATI & DIPERTONTONkan oleh ramai orang. Dia memBIARkan isterinya menampakkan auratnya ketika keluar rumah, membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki lain. Bahkan sebahagian ada yang BANGGA kerana telah memiliki isteri yang cantik yang boleh dinikmati ‘pandangan’ kebanyakan orang. Padahal wanita dimata Islam adalah makhluk yang SANGAT mulia, sehingga keindahan & keelokannya hanya diperuntukkan atau DIKHUSUSkan buat suaminya sahaja tidak sesekali di’jaja’ kemana-mana pun.

Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap istrinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang BUKAN mahram.

“Ditusukkan kepala seorang lelaki dengan jarum dari besi lebih baik daripada dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya.” {lihat dalam ash-Shahihah : 226}

Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya, dia akan memperhatikan sabda Rasulullah s.a.w:

“Janganlah kalian masuk menemui para wanita.” lalu seorang Ansar berkata, “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan al-hamwu (kerabat suami)?” Beliau mengatakan, “Al- hamwu adalah kematian.” {Muttafaq ‘alaih}

Perhatikan juga ancaman Rasulullah s.a.w terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri):

“Tiga golongan yang Allah s.w.t tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts” {H.R. An-Nasa’i dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat ash-Shahihah : 674}

Dan ad-Dayyuts(dayus) adalah LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.

Semoga bermanfaat buat kita semua.. insyaAllah
syahirul.com

Monday, December 10, 2012

BERHATI-HATI MEMILIH TEMAN



Tidak ada seorang manusia pun di muka bumi  ini yang dapat  hidup tanpa bantuan orang lain. Manusia adalah makhluk sosial yang pasti memerlukan  pergaulan sesama manusia.

Di dalam pergaulan tersebut seseorang akan memiliki teman, baik teman di sekolahnya, di tempat kerjanya ataupun di sekitar tempat tinggalnya.  Teman atau sahabat merupakan eleman penting yang berpengaruh bagi kehidupan seseorang.

Islam sebagai agama yang sempurna dan menyeluruh telah mengatur bagaimana adab dan batasan-batasan di dalam pergaulan. Sebab betapa besar kesan yang akan menimpa seseorang akibat bergaul dengan teman-teman yang jahat, dan sebaliknya betapa besarnya manfaat yang dapat diperoleh oleh seseorang yang bergaul dengan teman yang soleh.

Banyak di antara manusia yang terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan dan kesesatan disebabkan bergaul dengan teman-teman yang jahat dan banyak pula di antara manusia yang mereka mendapat hidayah disebabkan bergaul dengan teman-teman yang soleh.

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menyebut tentang peranan dan kesan seorang teman:
“Perumpamaan teman yang baik dengan teman yang jahat adalah seperti penjual minyak wangi dengan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi tidak melalui kamu, baik engkau akan membelinya atau engkau tidak membelinya, engkau pasti akan mendapat baunya yang harum, sementara si tukang besi ia akan membakar bajumu atau engkau akan mendapat baunya yang tidak enak.”

Berdasarkan hadis tersebut, dapat diambil ikhtibar akan peri pentingnya bergaul dengan teman yang soleh yang mempunyai dua kemungkinan; yang kedua-duanya baik, iaitu:

Kita akan menjadi baik atau kita akan memperoleh kebaikan yang dilakukan oleh teman kita. Sedangkan bergaul dengan teman yang jahat juga mempunyai dua kemungkinan yang kedua-duanya jahat, (buruk) iaitu:

Kita akan menjadi jahat atau kita akan ikut memperoleh kejahatan yang dilakukan teman kita.

Bahkan Rasulullah s.a.w menjadikan seorang teman sebagai contoh terhadap baik dan buruknya agama seseorang. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada kita agar memilih dengan siapa kita bergaul.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Agama seseorang sesuai dengan agama temannya, maka hendaknya seseorang di antara kamu melihat dengan siapa dia bergaul.”

Dan dalam sebuah syair disebutkan yang bermaksud: “Jangan tanya tentang seseorang, tapi tanya tentang temannya, sebab orang itu pasti akan mengikuti kelakukan temannya.”

Demikianlah kerana memang fitrah manusia cenderung ingin selalu meniru tingkah laku dan keadaan temannya.

Sehingga pengaruh kejahatan akan lebih mudah mempengaruhi kita disebabkan lemahnya hati kita.

Berhati-hati memilih teman adalah sikap yang diajarkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, iaitu menjauhi para penyeru bidaah, para pengikut hawa nafsu dan orang-orang fasik yang terang-terangan menampakkan dan menyerukan kefasikannya ini merupakan salah satu tindakan pencegahan terhadap bahaya lingkungan pergaulan dan agar umat terhindar daripada pengaruh kemaksiatan tersebut.

Seorang teman memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan kita, maka janganlah ia menyebabkan kita menyesal pada hari kiamat nanti disebabkan pujuk rayu dan pengaruhnya sehingga kita tergelincir daripada jalan yang hak dan terjeremus dalam kemaksiatan.

Susunan RAHIMAH ADNAN

Friday, December 7, 2012

YAHUDI BEKERJASAMA TENTANG IKLAN ANTI-ISLAM DI AMERIKA SYARIKAT



Yahudi Bekerjasama Tentang Iklan Anti-Islam di Amerika Syarikat.

Beberapa pertubuhan Yahudi di Amerika Syarikat telah bekerjasama membentuk kumpulan pelbagai agama untuk membantah iklan anti-Islam di stesen Metro Washington DC walaupun pengiklan mendakwa bahawa keuntungannya akan disumbangkan kepada badan amal.

“Penampalan iklan menentang kempen anti-Islam di stesen Metro Washington DC itu merupakan peluang yang baik untuk membuktikan hasrat murni kami untuk kebebasan bersuara,” jelas seorang rabi, Batya Steinlauf kepada agensi berita Global News Service.

Batya Steinlauf merupakan pengarah komuniti Yahudi Washington untuk keadilan dan inisiatif antara agama dan presiden Persekutan Antaraagama Metropolitan di Washington.

“Kita merupakan bahagian dari satu komuniti,” katanya

Papan iklan yang sama turut dipasang di stesen keretapi bawah tanah New York bulan lalu oleh seorang aktivis social warga negara Amerika keturunan Mesir, Mona Eltahway.

Menurut Mona, pemasangan iklan anti-Islam itu sebagai sebahagian daripada kebebasan bersuara dan ketika ini iklan tersebut diletakkan di empat buah stesen keretapi bawah tanah di seluruh Washington.

Mesej iklan itu ialah “Dalam Setiap Peperangan Antara Manusia Beradab dan Biadab, maka sokonglah manusia beradab. Sokonglah Israel. Kalahkan Jihad.”

Kerjasama antara agama itu terdiri dari penganut agama Kristian, Yahudi dan Muslim telah menghantar sepucuk surat yang ditandatangani oleh seramai 168 orang ahli mendesak agar iklan anti-Islam tersebut ditanggalkan.

Surat tersebut menyebut, “Iklan yang menyokong stereotaip itu adalah tidak tepat dan jelas menghuna Muslim Amerika. Iklan tersebut turut menyamakan antara perilaku biadab dengan jihad.”

Thursday, December 6, 2012

SENGKETA, KRISIS RUMAHTANGGA PERLU SEGERA DIRUNGKAI AGAR TIDAK MELARAT KEPADA PENCERAIAN



HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya kerana tiada persefahaman, akibat masalah remeh atau tiada masalah langsung tetapi itu yang berlaku bila jodoh tidak berpanjangan.

Ada mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami. Anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Penulis sering menerima e-mel daripada isteri mengadu mengenai masalah rumah tangga. Ironinya, hampir semua kesulitan dialami boleh diselesaikan tetapi titik penyelesaian bukan di pundak salah seorang pasangan tetapi kedua-dua suami isteri.

Malangnya, ramai mengambil mudah dan melepaskan kepada salah satu pihak saja berusaha menyelesaikan kemelut dihadapi. Akibatnya, banyak syurga cinta dibina bertahun lama runtuh begitu saja.

Permulaan membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan ialah menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang dan ketenangan terhasil dari sebuah ikatan yang suci.

Selain memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat dan keturunan sebagai penyambung tugas khalifah Allah di muka bumi di samping mengelak pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing.

Asas sebuah perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur.

Penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita daripada institusi perkahwinan tidak timbul dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan suami, maka isteri berhak menuntut perceraian.

Antara konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Talak perkara paling dibenci Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika masalah mengganggu keharmonian, elok diselesaikan seberapa upaya. Pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelak salah faham berlarutan. Tetapi ini boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, tiada perdamaian ‘hati’ yang boleh diusahakan lagi.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi menidakkan ajaran dan bimbingan dalam keluarga, akhirnya wujud anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina ‘jati diri’ menghadapi kemungkinan di kemudian hari.

Akhirnya rumah tangga yang bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak.

Akhir-akhir ini juga banyak kon flik perkahwinan yang membawa kepada krisis besar sehingga pasangan bertindak tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu tetapi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar.

Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah yang bermaksud: 
"Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 226)

Oleh Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Saleh 

Wednesday, December 5, 2012

PERTUNANGAN ADA IKATAN PERJANJIAN



Tindakan putus hubungan tidak haram tetapi tidak digalakkan

PERTUNANGAN bukan sekadar adat yang boleh diambil ringan kerana pertunangan adalah perjanjian antara pihak lelaki dan perempuan yang bersetuju untuk menempuh alam perkahwinan bersama. Oleh itu, janji hendaklah dikota.

Firman Allah yang bermaksud: 
“Wahai orang beriman, tunaikan serta sempurnakan perjanjian kamu.” (Surah Al-Maidah, ayat 1). 
Oleh itu, sesuatu perjanjian termasuk perjanjian untuk berkahwin yang dibuat ketika bertunang tidak boleh ditamatkan melainkan ada alasan munasabah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: 
“Orang Islam terikat dengan perjanjian mereka dan perkara yang mana mereka sudah bersetuju.” (Sahih Muslim).

Pertunangan biasanya diadakan mengikut adat resam sesebuah masyarakat di mana ia dianggap sebagai langkah permulaan kepada perkahwinan. Adat pertunangan boleh diikuti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam.

Diriwayatkan oleh Iman Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: 
“Sesuatu perkara atau perbuatan yang dianggap sebagai baik oleh masyarakat Islam adalah baik di sisi Allah.”

Pertunangan hanya satu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak mewujudkan perkahwinan itu dengan sendirinya.

Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab yang sah bagi membolehkannya berbuat demikian.

Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, maka kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh memutuskan pertunangan.

Namun begitu, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan mereka demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui apabila berlakunya putus tunang secara tidak munasabah maka mereka berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah. Jika tiada sebab munasabah, perjanjian seperti itu tidak harus dibatalkan.

Mengenai pembatalan perjanjian pertunangan, Seksyen 15 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan ‘jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau bertulis, bersendirian atau melalui seorang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah perlu memulangkan pemberian pertunangan jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan untuk perkahwinan itu dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.’

Peruntukan itu jelas menunjukkan pihak yang memutuskan tali pertunangan bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan serta membayar wang yang dibelanjakan bagi tujuan persediaan perkahwinan kepada tunangnya.

Pihak yang dimungkiri juga boleh memohon tindakan mahkamah bagi meminta pihak yang mungkir janji membayar apa-apa juga wang yang sudah dibelanjakan bagi membuat persediaan perkahwinan.

Dalam kes Aishah lawan Jamaludin (1978) J H 104, defendan mungkir perjanjian untuk berkahwin dengan plaintif. Dengan itu, plaintif menuntut pembayaran mas kahwin sebanyak RM25, belanja kahwin RM800 dan plaintif juga mendakwa bahawa berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah memberi penghakiman kepada plaintif dan menentukan defendan membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan iaitu mas kahwin RM25 dan belanja kahwin RM800. Plaintif juga berhak untuk menyimpan cincin pertunangan.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar plaintif RM25 bagi baju yang sudah disiapkan untuk perkahwinan itu dan RM400 sebagai pembayaran membaiki rumah. Rumah dibaiki sebagai persediaan untuk meraikan perkahwinan itu.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah apakah jenis barang boleh dituntut akibat pembatalan pertunangan? Pihak yang dimungkiri berhak menuntut ganti rugi terhadap apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati bagi membuat persediaan bagi perkahwinan.

Jika pihak yang dimungkiri membelanjakan sejumlah wang bagi persiapan untuk perkahwinan, maka bayaran ini boleh dituntut daripada pihak yang memungkiri sebagai ganti rugi.

Antara persediaan boleh dituntut adalah wang bagi kad jemputan perkahwinan yang ditempah, wang muka bagi jamuan perkahwinan dan apa-apa persediaan perkahwinan seperti tempahan khemah dan sebagainya. Pihak yang dimungkiri berhak membawa tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan ganti rugi berdasarkan kepada peruntukan di atas.

Mengikut peruntukan seksyen itu, pemberian pertunangan merujuk kepada pemberian diberi semasa majlis pertunangan atau pemberian yang boleh ditakrifkan sebagai pemberian persediaan perkahwinan.

Oleh itu, bagi pemberian yang diberikan sebelum pertunangan, pemberian berkenaan bukanlah pemberian pertunangan sebaliknya hadiah atau pemberian sebelum wujudnya pertunangan, justeru ia tidak boleh dituntut di mahkamah.

Pemberian diberikan sebelum pertunangan boleh ditakrifkan sebagai hadiah atau hibah. Menurut pandangan ulama Syafie, hadiah pada hakikatnya adalah pemberian (hibah).

Oleh itu, pihak yang membuat pemberian tidak seharusnya menarik balik apa yang diberikan setelah pihak penerima menerima barang, kecuali bapa yang boleh menarik balik apa yang diberikan kepada anaknya.

Bolehlah dikatakan ia adalah sekadar hadiah semasa proses pikat-memikat dan pemberian itu sebagai satu cara untuk memikat dan menawan hati pihak yang satu lagi dengan membuat pelaburan kebendaan.

Oleh kerana pertunangan bukan perkahwinan, cuma janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan yang bertunang masing-masing boleh membatalkan pertunangan mereka. Ini kerana selagi akad tidak wujud, tanggungjawab dan pertanggungjawaban juga tidak wujud.

Daripada segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali dalam keadaan tidak dapat dielakkan dan mendesak, demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.

Maka tidak seharusnya seseorang lelaki itu mengubah fikiran untuk membatalkan pertunangan, kerana itu dianggap memungkiri janji. Hakikatnya, pembatalan pertunangan bukan haram tetapi tidak digalakkan syariat Islam.

Persoalan lain, adakah pihak dimungkiri boleh menuntut ganti rugi am akibat rasa dirinya dianiaya dan dimalukan oleh tindakan suatu pihak lagi. Peruntukan undang-undang tidak memperuntukkan perenggan berkaitan tuntutan keaiban yang boleh dituntut oleh pihak yang dimungkiri.

Asasnya tuntutan ganti rugi keaiban adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana tuntutan itu tidak diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Tuesday, December 4, 2012

HUKUM AURAT DAN WANITA KELUAR RUMAH



Apakah umat Islam hari ini khususnya di kalangan wanita, mereka boleh dianggap sebagai umat jahiliah yang tidak dapat menyempurnakan suruhan dan larangan Allah? Antara larangan yang berkenaan ialah hadis yang bermaksud Allah telah melaknat kaum wanita yang keluar rumah kediamannya tanpa ditemani oleh lelaki muhrimnya.

Tetapi umat Islam hari ini telah mengizinkan wanita mereka keluar bebas ke sekolah, ke pusat-pusat pengajian tinggi, ke pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan lain-lain kerana menuntut ilmu dan menjalankan tugas dan menyempurnakan kerja menurut keperluan masing-masing.

Bahkan ramai di kalangan mereka telah berani musafir keluar negara secara berseorangan sehingga ke negara-negara bukan Islam sekalipun tanpa muhrim. Hal ini bercanggah dan bertentangan dengan hadis sahih di atas dan sudah tentu dimurkai Allah.

Dakwaan seumpama ini dibuat oleh mereka yang tidak dapat memahami roh syariah Islam dan tidak mengerti tentang tujuan syarak (maqasid syariah), lalu mereka pun mengambil hukum daripadanya secara mendatar dan mudah menyebabkan umat Islam dalam keadaan yang tidak berkemampuan untuk mengikuti dan melaksanakannya.

Sungguh banyak hadis seumpama ini khususnya yang berhubung dengan soal-soal politik, ekonomi dan bidang-bidang sosial. Bahkan ayat-ayat al-Quran juga banyak yang sedemikian, iaitu jika dilihat dari segi terjemahannya secara zahir memang ia berbentuk larangan. Ramai juga kalangan ulama yang memahami dan mentafsirkannya menurut kehendak larangan itu, tetapi ia bercanggah dengan roh syariah dan bertentangan dengan tujuan syarak.

Itulah sebabnya sehingga hari ini soal perhubungan dan percampuran antara lelaki dengan perempuan, hukum-hukum berhubung dengan hiburan, muzik, pakaian dan penutupan aurat, hal-hal berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud, perkara-perkara yang bersangkutan dengan pentadbiran politik dan ekonomi semasa dan sebagainya tidak mendapat kata sepakat di kalangan ulama.

Berlakunya demikian adalah kerana di kalangan ulama tidak bersedia dan tidak cerdas untuk menyesuaikan antara nas dengan tuntutan semasa, tidak mampu menggunakan akal bagi menilai perubahan yang ada dan tidak berani melepaskan diri daripada apa yang diijtihadkan oleh ulama silam.

Sebagai contoh isu pakaian dan aurat wanita hari ini yang sedang hangat diperbincangkan, kerana ada suara-suara yang mempersoalkan pakaian isteri-isteri dan anak gadis ulama kita sebelum ini, termasuk isteri-isteri dan anak-anak gadis para penjawat tertinggi agama. Mereka dikatakan tidak bertudung dan tidak berjubah. Mereka pun dianggap jahil dan berada dalam zaman jahiliah.

Kata-kata seumpama ini amat tidak munasabah dan bersifat keterlaluan, kerana bapa atau suami mereka adalah para mufti, kadi, tok guru, ustaz-ustaz dan kiai. Apakah mereka ini penentang hukum atau mengambil sikap tidak acuh dan tidak bina terhadap hukum Allah?

Ketika Pas mula memenangi pilihan raya umum 1990 dan berjaya menguasai pentadbiran negeri Kelantan, terus saja diharamkannya qariah wanita daripada menyertai musabaqah tilawah al-Quran dengan hujah suara wanita adalah aurat. Kemudian difatwakan bahawa wanita tidak boleh bekerja malam dan wanita-wanita yang bekerja di kompleks-kompleks beli-belah diwajibkan tutup rambut di kepala dan sebagainya.

Tidaklah diketahui sama ada fatwa seumpama ini merupakan fatwa sebenar atau fatwa politik. Tetapi ulama silam, termasuk sahabat-sahabat sendiri, amat menyedari bahawa setiap hukum itu mempunyai hikmah, roh dan tujuannya. Ketika mengeluarkan sesuatu hukum mereka amat teliti dan berhati-hati dengan mengambil kira keadaan persekitaran. Mereka mengkaji maksud dan tujuan yang tersirat di sebalik larangan dan suruhan yang berkenaan.

Bagi maksud tersebut lahirlah kaedah tertentu. Antara lainnya, setiap hukum itu mesti diasaskan kepada illah dan sebab musabab. Ertinya setiap hukum hanya berkuat kuasa setelah ada illah dan sebab- musababnya, iaitu ada mudarat dan manfaatnya, ada keburukan dan kebaikannya.

Ulama fikah telah membuat kajian bahawa hadis yang melarang kaum wanita keluar daripada rumah kediamannya adalah berfaktorkan kepada kekhuatiran berlakunya fitnah. Seandainya fitnah sudah tidak ada lagi dan keselamatan pula sudah terjamin maka hukum yang berkenaan sudah tidak berkuat kuasa lagi.

Kaedah lain yang menjadi pegangan ulama fikah ketika mengeluarkan fatwa yang merujuk kepada kehidupan keduniaan ini ialah hukum itu berubah menurut perubahan masa dan tempat. Kaedah ini menjadi asas pertimbangan dalam menentukan sesuatu hukum kerana al-Quran sendiri memberi pengiktirafan tentang wujudnya bangsa-bangsa di dunia ini yang membawa erti wujudnya budaya dan adat resam bangsa-bangsa yang berbeza.

Kerana itulah adat resam bagi sesuatu kaum yang diistilahkan sebagai uruf juga menjadi punca hukum Islam. Disebabkan uruf itu berbeza antara satu kaum dan tempat dengan kaum dan tempat yang lain maka ulama fikah berselisih pendapat dalam menentukan hukum tertentu, bahkan ada antara ulama yang mempunyai dua pendapat bagi satu perkara apabila dia berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain yang berbeza keadaan persekitaran dan masa.

Dalam negara yang aman damai ini apakah seorang wanita yang keluar sendirian dari rumah kediamannya kerana tujuan-tujuan baik, seperti bagi maksud ke sekolah atau ke pasar atau ke pejabat atau sebagainya ditegah oleh syarak?

Apakah seorang lelaki Melayu yang normal sifatnya apabila melihat rambut wanita maka akan berlaku rangsangan luar biasa dalam dirinya. Hal seumpama ini menjadi pertimbangan ahli fikah dalam menentukan sempadan aurat wanita. Mereka tidak sependapat dalam mentafsirkan maksud wajib tutup melainkan anggota yang zahir. Ada yang berpendapat bahawa anggota zahir itu ialah hujung anggota (atraful-Ajsam), iaitu kaki, tangan dan kepala.

Imam Syafie sendiri yang dianggap amat berhati-hati dengan hukum yang berpendapat bahawa sentuhan lelaki dengan wanita yang telah putus haid tidak membatalkan wuduk. Tetapi sekiranya beliau masih hidup rasanya tentu saja beliau akan melihat semula fatwa tadi, kerana kemajuan ilmu perubatan sekarang ini telah menghasilkan pil-pil tertentu yang dapat mengubah sikap dan perasaan wanita.

Ulama fikah memberi perhatian khusus dalam usaha merealisasikan syariat Islam dalam menghadapi perbezaan tempat dan waktu, kerana perbezaan itu wujud dan nas al-Quran dan hadis yang merujuk kepada kehidupan keduniaan ini ijtihadi sifatnya.

Sebagai contoh dapat dilihat bagaimana aliran fikah mazhab Hanafi yang tumbuh di Iraq tidak sama dengan mazhab Maliki yang lahir di Madinah, kerana adat dan budaya penduduk di kedua tempat yang berkenaan tidak serupa. Penduduk Iraq akibat daripada kesan pemerintahan empayar Parsi dan percampuran antara Arab dengan Ajam maka wujudlah kelas dan darjat dalam kehidupan mereka. Maka fikah mazhab Hanafi telah menentukan syarat perkahwinan itu mesti ada kufu, iaitu persamaan taraf dan status.

Tidak demikian bagi mazhab Maliki di Madinah yang masyarakatnya lebih tertutup. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah tentang persamaan dalam Islam masih sangat menebal bagi mereka dan gaya hidup berkelas dan berdarjat tidak wujud sebagaimana di Iraq. Oleh itu persoalan kufu tidak timbul dalam fikah mazhab Maliki.

Imam Hanafi menentukan syarat yang berkenaan adalah berasaskan kepada maqasid syariah iaitu bagi memastikan bahawa setiap perkahwinan itu berkekalan dan kehidupan rumah tangga terus-menerus dalam keadaan baik dan harmoni. Untuk mencapai maksud yang berkenaan bagi masyarakat Iraq yang sebegitu rupa, maka perkahwinan itu perlulah ditegakkan di atas persamaan taraf dan status antara suami dan isteri, kerana itulah yang dikatakan maslahahnya.

Andai kata peraturan dan hukum yang berhubung dengan kehidupan keduniaan ini tidak selaras dengan keadaan lingkungan yang berbeza dan tidak sesuai dengan maslahah dan keperluan hidup semasa sudah tentu peraturan yang berkenaan menjadi asing daripada manusia.

Kemaslahatan manusia itu melingkupi keselamatan diri, agama, harta, keturunan dan maruah. Dasar mengeluarkan hukum dalam perkara-perkara kehidupan keduniaan ini adalah menurut apa yang diperintahkan oleh Allah apabila tidak jelas illah hukumnya. Tetapi apabila hukum itu mempunyai illah yang jelas dan pasti maka illah itu hendaklah diberi perhitungan dengan erti hukum itu hanya berkuatkuasa selama ada illah. Tetapi apabila illah sudah tidak ada maka hukum itu juga tidak berkuat kuasa lagi.


Dalam al-Quran sendiri ada ayat-ayat yang telah dimansuhkan atau dibatalkan. Berlakunya demikian bukanlah kerana Allah tadinya tidak tahu dan sekarang baru tahu. Fahaman yang sedemikian tidak benar sama sekali. Sebenarnya Allah mensyariatkan suatu hukum tertentu yang selaras dengan keadaan semasa dan ditangguhkan sesuatu hukum yang lain sehingga sampai waktunya. Lalu dibatalkannya hukum yang terdahulu. (al-Baqarah: 106)

Khalifah-khalifah di permulaan Islam telah berjaya mengatasi kesulitan-kesulitan yang mereka hadapi dengan cara menyesuaikan antara nas dengan tuntutan dan maslahah semasa. Saidina Umar adalah khalifah yang paling banyak melakukan penyesuaian itu kerana beliau menemui dalam masa pentadbirannya kejadian-kejadian yang belum pernah ditemui oleh Saidina Abu Bakar dan Nabi s.a.w sendiri.

Beliau berjaya membuktikan bahawa Islam itu benar dan sesuai pada setiap masa dan tempat, boleh mengatasi segala kesulitan dan rintangan pada setiap zaman.

Beliau memberi pertimbangan yang bijaksana kepada suasana dan lingkungan dalam mencipta peraturan dan undang-undang baru selaras dengan negara yang berkembang luas dan rakyat yang bertambah ramai pada zamannya.

DATO’ DUSUKI HJ AHMAD
ummatanwassatan.net




Monday, December 3, 2012

SUBHANALLAH! MELEKAT PADA KAABAH (KISAH BENAR)



Subhanallah! Al-Quran Terbang Di Mekah (Kisah Benar)
Ketika jemaah di Mekah sedang khusyu’ melakukan ibadah, tiba-tiba dikatakan terdapat senaskah Al-Quran terbang di udara kemudian ia terus melekat di Kaabah.

Mekah merupakan tempat destinasi utama bagi umat Islam di dunia ini untuk menunaikan ibadah umrah dan haji. Jadi tidak hairanlah jika Mekah dihadiri oleh jutaan manusia hampir setiap tahun. Suatu ketika ratusan ribu jemaah haji yang sedang melakukan tawaf gempar apabila sebuah Al-Quran melayang dan terus melekat pada pintu kaabah. Peristiwa luar biasa ini membuat ramai jemaah yang menyaksikannya menangis kerana kagum dengan kejadian Allah.

Saksi kejadian berkata pada malam Jumaat sekitar jam 2 pagi, seorang wanita Morocco sedang melakukan tawaf sambil membaca Al-Quran. Sebaik sahaja tiba di pintu depan Kaabah, beliau dilanggar oleh sekumpulan jemaah lain menyebabkan beliau terjatuh dan kitab suci Al-Quran yang dipegang terlepas. Al-Quran tersebut tidak jatuh tetapi melayang dan melekat di pintu Kaabah.

Selepas seorang staff Masjidil Haram mengambil kembali Al-Quran tersebut setelah diturunkan dengan kayu, jemaah-jemaah Haji yang menjadi saksi peristiwa luar biasa itu mencium Al-Quran tersebut. Ternyata baunya sangat wangi seolah-olah dipenuhi berpuluh botol minyak wangi. (Petikan Warta Perdana)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...