Wednesday, December 19, 2012

KEAJAIBAN SOLAT RAWATIB



UMAT Islam diwajibkan mendirikan solat sebanyak lima kali sehari semalam. Selain solat wajib lima waktu, sebagai hamba Allah kita dituntut memperbanyakkan amalan solat sunat khususnya solat rawatib.

Solat rawatib adalah solat sunat sebelum atau selepas solat wajib. Kita diperintahkan mengamalkan solat rawatib atau tathawwu, iaitu solat sunat yang menyertai solat wajib dengan tujuan melengkapkan segala kekurangan yang mungkin terjadi semasa mendirikan solat fardu.

Selain itu, solat sunat itu tersingkap banyak keutamaan yang tidak terdapat pada ibadat yang lain. Kita dapat analoginya seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.

Abu Hurairah ada menyertakan sebuah hadis yang bermaksud,  
‘Sesungguhnya pertama sekali yang akan dihitung dari amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat kelak adalah solat.

Allah S.W.T akan berfirman kepada Malaikat-Nya, 
“Wahai Malaikat-Ku, periksalah solat hamba-Ku, sudahkah sempurna solatnya atau masih kurang? Apabila didapati sudah cukup sempurna, akan dicatat sempurna. Akan tetapi, apabila didapati kurang sempurna, Allah berfirman, ‘Periksa kembali, apakah hamba-Ku itu memiliki amalan solat sunat (tathawwu)? Apabila didapati bahawa dia memiliki amalan sunat tathawwu (solat sunat), Allah akan berfirman; ‘Cukupkan dan sempurnakan solat fardu hambu-Ku itu oleh solat sunatnya.’ Kemudian, amal perbuatan hamba itu dikira menurut cara seperti ini.’ (Hadis riwayat Abu Daud).

Jelas bahawa mendirikan solat sunat rawatib itu satu amalan sunat penting dan tidak seharusnya diremehkan. Ini tidak, kita hanya tekun melaksanakan solat fardu wajib lima waktu tetapi begitu liat mendirikan solat sunat.

Melaksanakan solat sunat itu digalakkan dilakukan di rumah berbanding di masjid. Menurut Imam An-Nawawi dianjurkan solat sunat di rumah supaya lebih tersembunyi daripada pandangan umum sekali gus dapat mengelakkan timbul rasa riak yang akan membatalkan kebaikan amalan itu.

Hal itu juga adalah untuk menimbulkan cahaya rahmat Allah ke atas ahli keluarga di dalam rumah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 
“Apabila salah seorang di antara kalian sentiasa mengerjakan solat fardu di masjid, hendaklah ia memberikan bahagian di rumahnya dari solatnya, supaya Allah melimpahkan pula kebaikan atas rumah itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

Demikian juga Rasulullah s.a.w berpesan, 
“Jadikanlah sebahagian solat kamu dapat dikerjakan di rumah dan jangan kamu menjadikannya seakan kubur sebagai tempat tidur belaka.’ (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).

Justeru, melalui dua hadis itu, jelas amalan solat sunat begitu ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam kesibukan macam mana sekalipun, berusahalah melakukan sunnah Baginda itu.

Pentingnya solat sunat sehingga Rasulullah s.a.w ada meninggalkan wasiatnya; 
“Jangan engkau tinggalkan kedua-dua rakaat sunat subuh itu, meskipun engkau dikejar oleh tentera berkuda.’ (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi).

Namun, melihatkan keadaan dunia sekarang seakan manusia tidak pernah cukup waktu untuk mendirikan solat sunat yang hanya sekitar tiga hingga lima minit sahaja! Mengapakah perkara itu terjadi?

Ini kerana jiwa terlalu terpaut dengan tuntutan duniawi sehingga ukhrawi tidak dimantapkan. Satu lagi peringatan Rasulullah terhadap solat sunat khususnya solat sunat subuh.

Aisyah pernah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
‘Kedua-dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis direkodkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmidzi dan An-Nasai).

Maksud pesanan Nabi s.a.w lebih baik daripada dunia dan segala isinya itu ialah keberkatan dan ganjaran pahalanya buat pengamal solat sunat subuh itu.

Inilah keajaiban solat sunat dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya. Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu.

Imam Ahmad dan Muslim ada meriwayatkan daripada Aisyah yang mengatakan, ‘ 
Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w begitu rajin dan cepatnya mengerjakan sesuatu kebaikan, sebagaimana rajin dan cepatnya Baginda melakukan dua rakaat sunat sebelum subuh.’

Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai solat sunat.

Tuesday, December 18, 2012

5 GOLONGAN YANG DITOLAK DOANYA



SEBAGAI manusia ada saja perkara yang diperlukan, tetapi setiap yang diperlukan itu tidak mungkin boleh didapati dengan mudah. Pada saat dan ketika itulah manusia akan berharap dan mula mengadu nasib.

Bagi mereka yang mengakui dirinya makhluk (yang dicipta) pasti mengadu pada Penciptanya iaitu Allah Yang Maha Berkuasa.

Mereka yang beriman tidak jemu berharap dan berdoa walaupun permintaannya belum berhasil. Doa bagi golongan ini adalah senjata dalam menghadapi sebarang situasi, membuatkan mereka tidak pernah putus harapan.

Sementara golongan yang lemah iman akan patah semangat untuk berdoa. Dalam benaknya, kenapa Allah tidak memakbulkan doanya?

Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.

Andai kita bekerja di sebuah perusahaan, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua perusahaan itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?

Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.

Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.

Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa.

Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah s.w.t. iaitu:
Dosa kerana mengingkari pemimpin.Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah s.w.t. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.

Dosa kerana tidak taat guru.Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.

Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa.Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita.

Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.

Dosa kerana derhaka kepada suami.Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya.

Rasulullah bersabda, maksudnya: 
“Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.”

Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.

Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang.Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.

Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.

Monday, December 17, 2012

BOLEHKAH MURTAD KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM



Isu murtad merupakan sebahagian isu yang sentiasa hangat dan belum selesai diperbincangkan oleh banyak pihak dalam masyarakat, terutama ahli-ahli agama dan Institusi-institusi agama dan masjid-masjid di negara ini.

Murtad yang diertikan dengan menukar agama  Islam kepada bukan Islam,  atau menyimpang dari akidah Islam  kepada akidah kufur. Murtad adalah suatu dosa yang sangat besar, bahkan paling besar antara dosa-dosa besar, namun jika seseorang murtad dengan rela hati ingin kembali semula kepada Islam, maka pintu taubat sentiasa terbuka.  Dalam sebuah hadis Qudsi, yang diriwayat Muslim, bilangan 2760 menyatakan:
“Sesungguhnya Allah melebarkan tangan-Nya pada waktu malam, supaya pelaku-pelaku dosa pada siang hari bertaubat pada waktu malam, Dia melebarkan tangan-Nya pada waktu siang, supaya pelaku-pelaku dosa pada waktu malam bertaubat pada waktu siang.”

Antara pelaku dosa itu, termasuklah dosa murtad yang belum dihukum ke atasnya menurut undang-undang Islam. Jika telah dihukum, maka hukuman itu sendiri bertindak sebagai pembersih dosanya di Akhirat.  Mustahak juga diketahui, murtad adalah penyakit spiritual, ia mempunyai beberapa persamaan dengan penyakit fizikal.   Jika penyakit fizikal ada yang masih boleh diubati, dan ada yang terpaksa dipotong anggota, maka penyakit murtad juga begitu, ada yang masih boleh dipulihkan dengan taubat, dan ada yang terpaksa dihukum bunuh.

Sesetengah ulama Islam berpendapat, dosa murtad tidak diampun Allah, kerana menurut mereka, jika dosa syirik tidak diampuni, maka dosa murtad lebih keji daripada syirik.  Pendapat ini diperkukuhkan dengan bewberapa firman Allah, antaranya ayat al-Nisa`: [4:48] yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa mempersekutuka-Nya, dan Dia bersedia mengampunkan dosa-dosa yang lain dari itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

Mengenai murtad pula Allah berfirman dalam surah Muhammad [47: 25] yang membawa terjemahan:
“Sesungguhnya orang-orang murtad sesudah terang kepada mereka pertunjuk, syaitanlah yang memperdayakan mereka.”

Menurut tafsiran ulama dua ayat ini merupakan amaran keras terhadap mereka yang memeluk Islam, kemudian meninggalkanya.  Soal sama ada dosa murtad mereka boleh bertaubat atau tidak.  Ulama berpendapat, jika pihak-pihak berkenaan ingin bertaubat dengan suci hati serta menyesali kesalahannya yang lalu, serta berjanji untuk tidak mengulangi lagi perbuatan serupa, nescaya diterima taubatnya, Allah akan meredai kesalahannya yang terdahulu.

Ulama juga membincang, sama ada amal kebajikan yang dikerjakan sebelum murtad, masih kekal atau rosak binasa.  Sebilangan ulama, termasuk imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat rosak atau terhapus, berdasarkan firman Allah dalam surah al-Baqarah [2: 217] yang bermaksud:
“… dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, lalu dia mati dalam keadaan kafir kafir, maka merekalah orang yang sia-sia amal kebajikannya di dunia dan di akhirat.”

Namun begitu, segolongan ulama, termasuk Imam Syafie berpendapat: Ayat ini difahamkan keperitan azab  yang dijanjikan terhadap orang murtad itu, bergantug kepada syarat khas, iaitu jika dia terus menerus murtad dan mati dalam kemurtadannya, tetapi jika dia bertaubat dengan taubat yang sempurna sebelum meninggal dunia, serta ikhlas dengan taubatnya, maka dia terselamat daripada azab yang pedih itu. [Tafsir al-Qurtubi, 3/48]

Justeru murtad boleh bertaubat, para ulama Fiqh menyatakan jika terdapat seseorang yang murtad, hendaklah  diminta supaya bertaubat segera,  kerana dibimbangi ada kuman-kuman jahatnya akan menjangkiti orang lain yang masih sihat.

Sebagai kesimpulan, murtad boleh bertaubat dan akan diterima taubatnya jika cukup syarat-syarat yang dikehendaki.  Sebaik-baiknya, perbaikilah segala kerosakan yang dilakukan semasa murtad, sebagai bukti dia dengan sesungguhnya telah menyesal atas ketelanjurannya pada masa-masa silam.

ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

(Petikan daripada majalah Dakwah, terbitan YADIM, Mac-April 2012)

Saturday, December 15, 2012

DOA MALAIKAT & PAHALA BESAR MENGIRINGI MEREKA YANG BERADA DI SAF HADAPAN



KITA biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: 
“Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). 

Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.

Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.

Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.
 
Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: 
“Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:
“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). 

Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: 
“Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.

Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah

Friday, December 14, 2012

PADERI KATOLIK CEMAS RAMAINYA PENGANUT ISLAM DI EROPAH

Ketua Paderi Peter Turkson
Seorang ketua paderi Katolik Rom telah mencetuskan rasa cemas di Vatikan ekoran satu klip video di You Tube yang menjangkakan pertumbuhan penganut Islam yang kian meningkat di Eropah.

Klip video yang mengambil masa tayangan selama tujuh minit itu bertajuk “Muslim Demographics” dibincangkan sebagai salah satu agenda dalam perhimpunan antarabangsa pada hari Isnin lalu (15/10/2012), iaitu selepas dua hari Ketua Paderi Peter Turkson menayangkannya dalam satu acara perbincangan bebas.

Turkson merupakan warganegara Ghana yang menetap di Vatikan dan dilantik sebagai Presiden Dewan Keadilan dan Keamanan merasa cemas dengan perkembangan tersebut dan mahukan perasaan yang sama dikongsikan dengan lebih ramai para paderi.

“Ketika kami tiba pagi ini, saya disoal beberapa kali, siapakah yang merancangkannya? Siapakah di belakang semua itu?” Terang Pasto Thomas Rosica dalam taklimatnya kepada para wartawan yang tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang perbincangan para paderi.

Menurutnya, klip video tersebut telah mencetuskan perbincangan hangat dalam persidangan yang berlangsung selama tiga minggu dan seorang uskup bercadang untuk membantah tindakan Turkson dengan mengemukakan satu laporan khas mengenainya.

Klip video tersebut membangkitkan perbincangan yang besar dan panjang dalam acara yang dihadiri oleh seramai 262 uskup seluruh dunia, kerana para uskup tetap memberikan perhatian yang serius mengtenai kebimbangannya bahawa jumlah penganut Islam pada suatu hari nanti menjadi penduduk majoriti di beberapa buah negara Erropah.

Klip video tersebut telah mula disiarkan oleh seseorang yang menggunakan “anonym” pada tahun 2009 telah ditonton lebih 13 juta kali.

Klip itu menggunakan skor muzik yang cemas manakala paparan mesejnya adalah perangkaan populasi penduduk Islam yang didakwa kian bertambah di beberapa buah negara Eropah dan dalam 39 tahun lagi, Perancis bakal menjadi sebuah Republik Islam.

Berdasarkan data kadar kesuburan di Perancis, secara puratanya wanita Perancis memiliki 1.8 orang anak berbanding wanita Islam Perancis dengan purata 8.1 anak.

Bagaimanapun, data tersebut merupakan unjuran dan ramalan beberapa pihak yang berusaha menimbulkan rasa cemas dalam kalangan masyarakat pelbagai agama di Perancis memandangkan negara itu berusaha tegas untuk melenyapkan beberapa ikon yang boleh dikaitkan dengan Islam.

Perancis sebenarnya tidak mengumpullkan statistik kadar kesuburuan berdasarkan agama.

Thursday, December 13, 2012

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN HIDUP MENJADI MUDAH DAN BERUNTUNG




Apabila kita memperhatikan keadaan kehidupan manusia dalam  mengharungi samudera kehidupan, ada di antaranya yang hidup dengan diselimuti kemudahan dan keberuntungan, namun ada juga yang sering dikelilingi kesulitan, seakan-akan bintang kehidupan mereka sedang redup tertutup kabus. Bagi kelompok pertama, kelihatan begitu mudah dan lancar saja dalam menapaki jalan hidupnya. Setiap usaha yang dilakukan selalu menuai kejayaan atau sekurang-kurangnya tidak mengalami kesukaran seolah-olah setiap langkahnya selalu tepat pada jalan menuju keberuntungan. Ketika berniaga selalu untung, jika menanam tanaman, tanamannya tumbuh subur dan apa sahaja yang diusahakan selalu menghasilkan pulangan yang memberangsangkan.

Sedangkan kelompok kedua, hampir sering menemukan kesukaran dalam hidup. Usaha yang dilakukan seolah-olah selalu mengalami kegagalan. Apa yang diusahakan selalu tidak tepat, kesukaran demi kesukaran selalu menghadang jalan hidupnya. Ketika berniaga selalu merugi, bahkan modalnya pun habis dan jatuh bankrap. Ketika menanam tanaman, tanamannya tidak tumbuh subur sebagaimana sepatutnya atau jika tumbuh pun tanamannay itu diserang serangga atau haiwan perosak.

Mengapa hal itu terjadi? Dan apa pula penyebabnya? Untuk mendapatkan jawapan akan sebab-sebabnya memang tidak mudah, kerana faktor penyebabnya begitu kompleks. Bagaimanapun, setidak-tidaknyanya kita dapat merenungi firman Allah s.w.t yang sudah pasti akan kebenarannya. Dalam kaitannya dengan persoalan tersebut, marilah kita teliti firman Allah s.wt yang bermaksud:
“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (a-Lail: 5-7)

Ada tiga hal yang dapat kita perhatikan yang merupakan faktor penyebab timbulnya kemudahan-kemudahan, iaitu:

Pertama: A’thaa, suka memberikan hartanya di jalan Allah. Orang yang murah hati dan suka memberi. Sebuah sikap hidup yang dermawan, suka memberikan sebahagian harta bendanya kepada orang-orang yang memerlukan dan kesulitan dalam usahanya mencari penghidupan, seperti orang-orang miskin, anak yatim, para ibu tunggal yang miskin, orangkurang upaya yang tidak memiliki kemampuan untuk berusaha memenuhi kebutuhan hidupnya dan lain sebagainya. Juga untuk mendirikan masjid-masjid, madrasah dan sebagainya.

Perumpamaan pelipat gandaan balasan pahala bagi orang yang membelanjakan harta bendanya di jalan Allah, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat berikut ini yang bermaksud:
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai seratus biji, Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Diakehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 261)

Rasulullah s.a.w menerangkan tentang pahala dan keberuntungan orang yang suka memberi (dermawan) dan akibat yang bakal tertimpa ke atas orang yang bersifat bakhil atau kikir. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Orang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat pada syurga, dekat dengan manusia dan jauh daripada neraka. Sedang orang bakhil itu jauh daripada Allah, jauh daripada syurga, jauh daripada manusia, namun dekat dengan neraka. Sungguh orang bodoh yang suka memberi itu lebih baik pada pandangan Allah daripada orang alim yang bakhil.” (Riwayat Tirmidzi)

Sikap hidup yang dermawan itu tidak hanya mendekatkan kepada Allah s.w.t dan pada syurga, tetapi juga kepada sesama manusia. Hubungan yang harmoni dengan manusia itu akan menciptakan ketenangan dan membuka jalan yang penuh harapan untuk meraih kejayaan dalam hidup.

Kedua: Bertakwa. Takwa dalam istilah yang paling popular ialah menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi semua larangan-Nya. Sebahagian ulama merumuskan bahawa takwa adalah menjaga diri daripada segala perkara yang akan mendatangkan murka dan azab Allah s.w.t. Dalam pengertian yang lain, takwa ialah menghindarkan diri dari segala sesuatu yang menjauhkan diri dari Allah.

Bagi orang bertakwa, Allah s.w.t berjanji akan memberikan kemudahan dan rezeki dari arah mana pun yang tidak terhingga dan tidak terduga.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya.” (al-Talaq: 2-3)

Ketiga: Menyakini akan adanya balasan pahala yang terbaik, setiap kesalehan dan kebaikan itu akan mendapatkan imbalan balasan atau pahala. Jika kita perhatikan sesungguhnya dalam kehidupan di dunia ini, ada dua unsur yang sangat menentukan dan mewarnai kehidupan manusia, iaitu nilai-nilai kebaikan yang akan mengantarkan manusia pada terciptanya kehidupan yang damai, mendapatkan kebahagiaan dan kenikmatan hidup. Dan kejahatan yang tentunya akan membawa manusia kepada kerosakan, kehancuran, kesengsaraan dan kebinasaan.

Perhatikan firman Allah s.w.t pada ayat selanjutnya yang bermaksud:
“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.” (al-Lail: 8-10)

Dapat difahami daripada yat tersebut bahawa ada tiga perkara yang membawa seseorang kepada kesulitan dan kesukaran-kesukaran dalam kehidupannya, terutama kelak di akhirat, iaitu bakhil; merasa cukup dan mendustakan pahala yang terbaik. Bakhil dan kikir sesungguhnya sangat merugikan dan membuat seseorang menderita kesengsaraan dan kesulitan dalam hidupnya, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Sekali-kali janganlah  orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sesungguhnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.” (Ali Imran: 180)

Oleh sebab itu, mari kita buang sifat kikir dan bakhil dari dalam diri kita. Kita biasakan diri menjadi orang yang suka memberi. Abu Hanifah berkata, “Aku tidak pernah melihat keadilan dapat tegak di tangan orang yang bakhil kerana kebakhilan akan mendorong seseorang untuk mengikis habis, mengeksploitasi dan mengambil melebihi haknya kerana ia sangat takut akan rugi dan ketinggalan untuk mendapatkan apa yang diinginkan, sesuai dengan kerakusannya. Orang yang demikian itu, tidak dapat dipercaya untuk memegang amanah atau tanggungjawab.”

Diceritakan bahawa Nabi Yahya a.s pernah bertemu dengan iblis, lalu ia bertanya, “Hai iblis, beritahu aku tentang manusia yang paling kamu sukai, dan manusia yang paling kamu benci.” Iblis berkata, “Orang yang paling aku benci ialah orang fasik yang dermawan.” Nabi Yahya bertanya kepadanya, “Mengapa demikian?” Iblis menjawab, “Kerana kebakhilan orang yang bakhil itu telah cukup bagiku. Sementara orang fasik yang dermawan, membuat aku khuatir, kalau-kalau Allah melihat kedermawannya, lalu Ia menerimanya.” Lalu iblis pergi sambil berkata, “Seandainya kamu bukan Nabi Yahya, tentu aku tidak akan memberitahu kepadamu akan hal itu.”

Ketika Hasan Basri ditanya tentang bakhil, ia menjawab: “Kebakhilan itu, jika seseorang melihat harta yang diinfaqkan sebagai sesuatu kemusnahan dan apa yang ditahannya sebagai kemuliaan.” Sumber kebakhilan adalah cinta harta dan panjang angan-angan, ketakutan akan fakir dan kecintaan pada anak serta keluarga.

Akhirnya, dapatlah disimpulkan bahawa sikap dermawan, takwa, dan menyakini adanya balasan terbaik merupakan tiga tunggak utama yang akan membuka jalan keluar, menyebabkan kemudahan dan keberuntungan. Sedang kebakhilan; merasa cukup; dan pembenaran akan nilai-nilai kejahatan merupakan tiga tiang utama yang menyebabkan kesulitan, kehancuran dan kebinasaan. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang beruntung, bahagia di dunia, juga di akhirat. Amin.

MUHAMMAD HATIM
Ummatanwasatan.net

Wednesday, December 12, 2012

MENJALIN CINTA ABADI DALAM RUMAH TANGGA



Sesungguhnya semua insan perlukan kasih sayang untuk bahagia. Anak perlukan kasih ibu, ibu dan bapa juga perlukan kasihsayang anak-anaknya. Suami ingin dikasihi, isteri ingin dibelai dengan kasih mesra. Masyarakat yang penyayang sesama anggotanya akan melahirkan suasana aman dan harmoni. Ia bermula dan lahir dari rumah tangga bahagia yang dinaungi kasih dan cinta. Justeru, kita semua perlu menyayangi dan disayangi untuk menjamin kebahagiaan hidup.

Cinta yang murni hanya lahir dari naluri yang suci dan dipandu dengan syariat Islam. Cinta adalah fitrah semulajadi manusia. Islam juga adalah agama fitrah yang sentiasa menyediakan panduan dan saluran untuk manusia memenuhi tuntutan fitrahnya. Firman Allah s.w.t dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud:
”Maka hadapkanlah wajahmu (mengikhlaskan dirimu) ke arah agama Allah- fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Justeru, untuk memastikan jalinan cinta kasih kekal abadi di dalam rumah tangga kita perlu merujuk kepada panduan Islam. Kita perlu saling kenal mengenali, memahami antara sesama pasangan suami isteri berdasarkan syariat Islam.

Firman Allah s.w.t di dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud:
”Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam),dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa) dan juga membiakkan daripada kedua-duanya-zuriat keturunan- lelaki dan perempuan yang ramai; dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahmi) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.”

Ayat ini menjelaskan bahawa wanita adalah sebahagian daripada lelaki dan menjadi pelengkap kepada golongan lelaki. Lalu dengan penyatuan kedua-duanya lahirlah keturunan mereka. Ingatlah bahawa kita saling memerlukan. Lelaki tak mungkin hidup sempurna tanpa wanita, begitu juga sebaliknya. Maka bersikap baiklah terhadap sesama pasangan kita dan perlulah saling menghargai. Allah juga menuntut agar kita

memelihara hubungan silaturrahmi kerana ia adalah salah satu jaminan kebahagiaan hidup kita. Manusia perlu hidup secara berjemaah untuk menyempurnakan keperluan hidup mereka.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan bahawa wanita perlu dididik dengan penuh sabar dan secara berterusan. Pimpin dan bimbinglah isteri untuk menjadi pasangan terbaik kita. Wanita memang tabiat asalnya bersifat lemah lembut. Kekerasan tidak akan membuahkan sebarang perubahan yang baik malah akan memusnahkan segala kebaikan yang sedia ada. Hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
”Berpesan-pesanlah kepada kaum wanita, kerana sesungguhnya wanita dicipta dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang bahagian yang paling atasnya. Jika kamu cuba meluruskannya kamu akan mematahkannya namun jika kamu membiarkannya dia akan kekal bengkok. Maka teruslah berpesan-pesan kepada kaum wanita.” (Riwayat al-Bukhari)

Sentiasa bersikap tenang, sabar, bergaul baik dan sering membantu isteri adalah Sunnah Rasulullah s.a.w yang wajar kita contohi. Baginda menegaskan bahawa lelaki yang melayani isterinya dengan baik dan penuh kasihsayang adalah sebaik-baik insan. Hadis daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik dari kalangan kamu dengan ahli keluargaku.” (Riwayat at-Tirmizi)

Dengan layanan dan bimbingan baik yang berterusan pasti kasih dan cinta akan berbunga dan mekar di dalam jiwa. Wanita yang tabiatnya lemah lembut perlu dilayan dan dididik secara tenang dan berwibawa untuk memupuk keyakinan dan cintanya kepada suaminya. Kewibawaan dan ketenangan suami akan membuat isteri tenang dan mencintai suaminya kerana kasih dan keyakinannya kepada keampuhan naungan tempat dia berteduh. Inilah rahsia kerukunan dan kebahagiaan rumahtangga. Seperkara lagi yang perlu dipandang serius adalah keupayaan  suami selaku ketua keluarga dalam menyediakan keperluan nafkah anak isteri dengan sempurna. Pengabaian terhadap tanggungjawab ini adalah petanda keruntuhan nilai cinta kasih dalam rumahtangga. Mana mungkin cinta dapat dipertahankan jika hak asas di dalam keluarga diabaikan. Renungilah firman Allah di dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan)mengatasi kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah menafkahkan (membelanjakan) sebahagian daripada harta mereka.”

Di samping itu, untuk menjamin cinta dan kasih berpanjangan setiap suami perlu membahagiakan keluarganya dengan menyediakan kesempurnaan kehidupan. Suami yang dicintai oleh isteri dan anak anaknyaadalah suami dan ayah yang berusaha gigih mendidikmembangunkan ekonomi dan menyediakan kehidupan yang selesa untuk keluarganya. Sebaliknya, suami yang gagal menyempurnakan tanggungjawab ini akan gagal meraih kasih dan cinta anak isterinya. Kita harus akur dengan hakikat ini kerana ia sebenarnya telah dinyatakan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Hadis daripada Nafi’ bin Abdul Harith bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
”Di antara tanda kebahagiaan seseorang itu adalah memiliki jiran yang baik, kenderaan yang elok dan tempat tinggal yang luas selesa.” (Riwayat Ahmad)

Pertama : Sesungguhnya jalinan kasih dan cinta dalam rumah tangga dapat dipupuk dengan sikap saling mengenali, memahami dan menghargai di antara pasangan suamib isteri.

Kedua: Sesungguhnya wanita perlukan bimbingan bersulam kasih sayang untuk gagah membangunkan sesebuah rumahtangga yang bahagia bersama suaminya.

Ketiga: Sesungguhnya suami selaku ketua keluarga sewajarnya berusaha gigih menyediakan keperluan dan keselesaan hidup keluarganya agar kasihsayang terpahat kukuh di hati ahli keluarga terhadapnya.

Allah s.w.t berfriman yang bermaksud:
“Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya), bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.” (ar-Rum: 21)

Susunan IDRUS HASHIM
ummatanwasatan.net


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...