Thursday, August 25, 2011

Harus berniaga pada musim haji


Syeikh al-Maghari berkata: “Tempat yang satu menunjukkan kebersamaan, meninggalkan unsur takbur, inilah hakikat maksud agama. Justeru hendaklah kamu meminta ampun dan beristighfar kepada Allah daripada perbuatan mengubah acara ibadat haji selepas Nabi Ibrahim dan memasukkan unsur-unsur syirik dalam amalan haji.

Sesungguhnya Allah Maha Luas Pengampunan dan rahmat-Nya.”

Kemudian ayat-ayat berikut menjelaskan hukum-hukum haji dan peraturan-peraturannya. Di sini ia menjelaskan hukum hukum menjalankan perniagaan atau mengambil upah atau memberi sewa kenderaan oleh orang yang mengerjakan haji dan hukum ifadhah (bertolak dari Arafah) dan tempatnya, serta zikir-zikir dan istighfar yang seharusnya dibaca selepas ifadhah itu.

Firman Allah: Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haram (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani. (Al-Baqarah: 198-199)

Firman Allah: Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Dalam satu riwayat lain dari Abu Saleh Maula Umar (diriwayatkan oleh Ibn Jabir) katanya: Aku berkata (kepada Umar): Wahai Amirul Mukminin! Adakah anda sekalian berniaga di musim haji? Jawab Umar: Bukankah mereka tidak mencari kehidupan mereka melainkan di dalam musim haji?

Perasaan segan dan rasa bersalah berniaga (di musim haji) yang disebut oleh dua riwayat yang pertama dan merasa bersalah memberi sewa dan mengambil upah dalam musim haji yang disebut di dalam riwayat yang ketiga adalah sebahagian dari rasa segan dan bersalah yang ditanam oleh Islam di dalam hati mereka terhadap setiap perkara yang lumrah di masa jahiliah.

Mereka akan menunggu pendapat Islam sebelum melakukannya. Inilah keadaan yang telah kami jelaskan di awal juzuk ini ketika memperkatakan tentang perasaan segan mereka hendak bertawaf di Bukit Safa dan Marwah.

Al-Sonhadji berkata: “Pada zaman Islam, ramai enggan berniaga sebagaimana kebiasaan mereka. Malah ada setengah orang yang kerjanya mengambil upah untuk sara hidupnya, telah digelarkan oleh kawan-kawannya bahawa haji tidak sah. Setelah orang itu mengadu kepada kepada Rasulullah s.a.w mengenai tuduhan itu, maka Rasulullah diam seketika, lalu turunlah ayat ini.”

Sesetengah ulama berkata, perniagaan ini jika dilakukan sehingga mengurangkan pekerjaan hajinya adalah tidak dibenarkan. Tetapi jika tidak mengurangkan, adalah dibenarkan (harus hukumnya). Namun demikian, yang lebih utama hendaklah ibadat haji itu dipisahkan dari kerja lain, kerana yang demikian adalah afdal dan lebih sempurna.

Firman Allah s.w.t: Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Mengikut al-Dohak, setelah Nabi Adam dan Siti Hawa (a.s) terkeluar dari syurga, kedua-duanya dipisahkan oleh Allah. Nabi Adam diturunkan di India dan Siti Hawa diturunkan di Jeddah. Kedua-duanya saling mencari. Akhirnya berjumpa di sebuah padang, lalu mengenali antara satu sama lain. Semenjak itulah tempat tersebut digelarkan Padang Arafah.

Hari itu pun digelarkan hari Arafah dan peristiwa perkenalan itu pun digelarkan peristiwa Arafah. Lalu menjadi satu tradisi dan amalan zaman berzaman, hingga ke zaman kedatangan Islam - yang dijadikannya pula rukun Islam kelima.

Di sanalah seluruh kaum Muslimin dari pelosok dunia ini menghantar perwakilannya untuk berhimpun dan berkenal-kenalan, di samping menyahut (menunaikan) seruan Nabi Ibrahim (a.s) untuk mengerjakan haji.

Arafah adalah tempat wukuf, yakni tempat semua jemaah haji berhenti. Waktunya dari tergelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar sadik pada malam Hari Raya Korban. Wukuf itu menjadi salah satu rukun haji. Siapa yang luput dari masanya, tidak sah hajinya.

Setelah wukuf pada masa tersebut - walaupun hanya sebentar - bolehlah beredar untuk menyempurnakan pekerjaan haji yang lain, dan bila sampai di al-Masy’aril Haram (Muzdalifah), serulah Allah dengan berdoa dan bertalbiah, tasbih dan puji-pujian untuk-Nya.

Sebutlah nama Allah dengan mentauhidkan-Nya dan mengagungkan-Nya, sebagaimana kamu telah ditunjuki-Nya dengan hidayat-Nya, kerana kamu sudah pun sesat sebelum ditunjuki-Nya.

Wukuf di Arafah merupakan tiang seri amalan-amalan haji. Waktunya mulai dari gelincir matahari (Zuhur) hari Arafah -iaitu hari yang kesembilan Zulhijjah - sehingga naik fajar hari korban. Di sana ada satu pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad, iaitu waktu wukuf itu mulai dari awal hari Arafah.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan para Ashab al-Sunan dan disahihkan oleh al-Tarmizi.

Dari al-Sya’bi dari ‘Urwah Ibn Mudharris Ibn Harithah Ibn Lam al-Ta’i katanya: Aku datang menemui Rasulullah s.a.w di Muzdalifah ketika beliau keluar solat lalu aku bertanya kepadanya: Wahai Rasulullah, saya datang dari dari Jabal Tay’i, saya telah mengalungkan kenderaan saya dan memenatkan diri saya. Demi Allah tiada bukti melainkan kami berhenti padanya. Adakah saya mendapat haji? Jawab Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang mengikuti solat kami ini dan wukuf bersama kami hingga kami bertolak dan sebelum ini dia telah wuquf di Arafah sama ada di waktu malam atau di waktu siang, maka sempurnalah hajinya dan habislah kekotorannya.

Al-Masy’aril Haram ialah Muzdalifah. Di sini al-Quran menyuruh berzikir di Masy’aril Haram selepas bertolak dari Arafah. Kemudian ia mengingatkan kaum muslimin bahawa berzikir adalah dari hidayat Allah kepada mereka dan ia merupakan pernyataan bersyukur di atas hidayat ini.

Ia juga mengingatkan tentang keadaan mereka sebelum Allah memberi hidayat kepada mereka.

Firman Allah: Dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

Oleh itu, tidak syak lagi khayalan, ingatan dan perasaan mereka perlahan-lahan dipenuhi oleh gambaran-gambaran hidup mereka yang sesat, hina dan mundur yang mencorakkan seluruh sejarah silam mereka.

Kemudian apabila mereka menoleh semula kepada diri mereka untuk melihat kedudukan mereka yang baru yang diangkatkan oleh Islam, iaitu kedudukan di mana Allah telah membimbingkan mereka kepadanya dengan perantaraan agama Islam ini.

Maka sudah tentu mereka akan menginsafi betapa dalam dan kuatnya hakikat ini bertapak dalam seluruh kewujudan atau kehidupan mereka tanpa dapat dipertikaikan lagi.

Firman Allah: Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.

Mengikut riwayat al-Bukhari dan Muslim, orang-orang Quraisy dan yang menganut agama mereka daripada Qabilah Kinanah, Judailah dan Qais yang dikenali dengan ketebalan anutan sentiasa berwukuf pada zaman jahiliah di Muzdalifah kerana merasa mulia daripada berwukuf seperti orang lain di Arafah.

Ini kerana Arafah tanah halal sedangkan Muzdalifah tanah haram. Lantas Allah perintahkan untuk berwukuf seperti orang lain untuk membatalkan adat tradisi mereka.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Kelebihan zikrullah di tempat-tempat yang mulia seperti Masy’aril Haram dan juga pada waktu-waktu yang mulia seperti selepas haji atau solat.

*Petunjuk yang sebenarnya daripada Allah, justeru sewajarnya kita memohon dengan Allah.

*Sifat Allah yang maha pengampun dan penyayang. Oleh itu sewajarnya kita beristighfar dan memohon keampunan darinya.

Larangan bermegah dengan keturunan



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD

Syeikh al-Maghari berkata: Nabi Muhammad s.a.w pernah berkhutbah ketika hajjatul wada’, pada hari kedua dari hari Tasyrik dan menunjukkan kepada umatnya supaya meninggalkan sifat bermegah-megahan dengan keturunan.

Sabda Rasulullah, seraya bersabda: “Hai manusia, ketahuilah Tuhan kamu adalah satu dan ayah kamu adalah satu. Ketahuilah, tiada kelebihan bangsa arab terhadap ‘ajam, begitu ‘ajam terhadap bangsa arab. Tiada kelebihan bagi yang berkulit merah atas yang berkulit hitam dan begitulah bagi yang berkulit hitam atas yang berkulit merah kecuali dengan takwa. Tidakkah aku sampaikan? Mereka menjawab: Rasulullah telah menyampaikan.”

Allah berfirman, Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya. (al-Baqarah: 200 hingga 202)

Firman Allah s.w.t: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

Ibn al-Jauzi berkata: Sebab turun ayat ini dengan tiga pendapat:

i. Ahli jahiliah mereka berkumpul pada musim haji lantas menyebut tentang kehebatan nenek moyang mereka dan juga sejarah mereka dengan berbangga diri. Inilah pendapat yang diriwayatkan daripada al-Hasan, ‘Ata’ dan Mujahid.

ii. Orang arab apabila bercakap biasa menyebut: Dan demi ayahmu sesungguhnya mereka telah melakukan yang begini-begini. Inilah yang diriwayatkan oleh al-Hasan.

iii. Bahawa mereka apabila selesai melaksanakan ibadat haji lantas seorang bangunan di Mina seraya berkata: Ya Allah! Sesungguhnya ayahku seorang yang hebat, banyak harta. Justeru berilah aku sepertinya. Sedangkan tidak menyebut Allah sebaliknya menyebut ayahnya. Inilah pendapat al-Suddi.

Maksud ibadat di sini ialah:

i. Segala perbuatan haji seperti kata al-Hasan.

ii. Menumpahkan darah dengan sembelihan seperti kata Mujahid.

Sedangkan maksud menyebut ayah- ayah mereka dengan empat pendapat:

i. Mereka mengikrarkan dengan ayah mereka.

ii. Mereka bersumpah dengan ayah mereka.

iii. Mereka menyebut ihsan ayah mereka terhadap mereka sedangkan lupa ihsan Allah.

iv. Bahawa kanak-kanak menyebut ayah kerana permulaan percakapan mereka dengan menyebut ayah.

Firman Allah s.w.t: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Maksud kebaikan di dunia di sini dengan tujuh pendapat ulama:

i. Isteri solehah seperti kata Ali.

ii. Ibadat seperti yang diriwayatkan oleh Sufyan bin Husein daripada al-Hsan.

iii. Ilmu dan ibadat seperti riwayat Hisyam daripada al-Hasan.

iv. Harta seperti yang diriwayatkan oleh Abu Wail, al-Suddi dan Ibn Zaid.

v. Kesihatan seperti kata Qatadah.

vi. Rezeki yang luas seperti pendapat Muqatil.

vii. Nikmat seperti kenyataan Ibn Qutaibah.

Kebaikan akhirat pula dengan tiga pendapat:

i. Bidadari seperti kata Ali.

ii. Syurga seperti pendapat al-Hasan, al-Suddi dan Muqatil.

iii. Keampunan seperti diriwayatkan daripada al-Hasan dan al-Thauri.

Sayid Qutub berkata: Di sana ada dua golongan manusia. Satu golongan hanya berminat kepada kesenangan dunia.

Dahulu ada kaum Arab Badwi datang ke tempat wukuf di musim haji dan berdoa: Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah tahun ini tahun hujan, tahun subur dan tahun beranak yang baik. Mereka tidak sedikitpun menyebut perkara akhirat.

Mengikut riwayat daripada Ibn Abbas r.a ayat ini diturunkan mengenai golongan manusia ini, namun begitu tujuannya lebih luas dan lebih kekal dari itu. Golongan manusia seperti ini merupakan contoh manusia yang berulang-ulang di setiap zaman dan tempat.

Mereka adalah golongan manusia yang hanya berminat kepada kesenangan hidup dunia sahaja. Kesenangan ini sahaja yang diingati mereka walaupun ketika mereka bertawajjuh kepada Allah.

Kesenangan inilah yang memenuhi kekosongan jiwa mereka, melingkungi alam hidup mereka dan mengongkong mereka.

Golongan ini mungkin dikurniakan Allah habuan kesenangan mereka di dunia, tetapi di akhirat mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan.

Firman Allah s.w.t: Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan.

Al-Zajjaj berkata: Doa mereka dimustajabkan kerana usaha mereka disini ialah dengan doa dan ayat ini mempunyai kaitan dengan yang sebelumnya kecuali diriwayatkan bahawa ia diturunkan atas sebab yang menyalahi sebab saudaranya yang lain.

Al-Dahhaq meriwayatkan daripada Ibn Abbas, seorang lelaki bertanya: Hai Rasulullah! Ayahku sudah meninggal dan belum melaksanakan ibadat haji. Adakah aku boleh menunaikan haji untuknya?

Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Jika sekiranya ayahmu mempunyai hutang adakah memadai daripadanya jika dibayar? Jawabnya: Ya. Sabda Rasulullah: Maka hutang Allah lebih berhak dibayar.

Firman Allah s.w.t: Dan Allah amat cepat hitungan-Nya. Terdapat lima pandangan ulama:

i. Bahawa ia sedikitnya seperti kata Ibn Abbas.

ii. Bahawa ia amat dekat kedatangannya seperti kata Muqatil.

iii. Bahawa tatkala mengetahui apa yang akan dihisab dan sebelum hisabnya nescaya cepatlah perhitungannya seperti pendapat al-Zajjaj.

iv. Allah amat cepat membalasnya seperti pendapat al-Zajjaj.

v. Dia tidak memerlukan kepada sebarang fikiran seperti kata Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

Iktibar dan pengajaran ayat

* Zikrullah digalakkan selepas selesai ibadat seperti selepas solat atau haji berdasarkan nas-nas yang sahih.

* Prof. Mahmud Yunus berkata: “Bahawa orang yang meminta keselamatan untuk di dunia sahaja, ia tidak akan berbahagia pada hari yang kemudian, kerana memang ia tidak peduli mengerjakan yang halal atau haram. Asal ia beroleh kesenangan di dunia ini.”

* Perkara yang baik ialah orang yang meminta berbahagia di dunia dan akhirat. Permintaannya itu akan diterima oleh Allah, tetapi hendaklah disertakan dengan usaha dan kerja. Adapun semata-mata doa maka tidaklah mendapat kebahagiaan itu.

Solat tanda bersyukur



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


SURAH ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah, sebagaimana pendapat Ibn Abbas dan jumhur ulama. Sedangkan pendapat al-Hasan, Ikrimah dan Qatadah pula bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyyah. Ia mengandungi tiga ayat dan diturunkan selepas surah al-'Adiyat.

Hubungan dengan surah al-Ma'un

Dalam surah al-Ma'un disebutkan golongan yang mendustakan agama dengan empat sifat iaitu kikir, tidak mengerjakan sembahyang, riak dan menolak memberi pertolongan.

Dalam surah ini Allah SWT menyebut anugerah kepada Rasulullah SAW dalam bentuk kebajikan dan keberkatan. Kemudian dinyatakan bahawa Dia menganugerahkan al-Kauthar kepada Nabi yang bererti kebajikan yang banyak, memelihara sembahyang, sentiasa mengerjakannya secara ikhlas dan bersedekah kepada orang fakir.

Sebab turunnya surah ini

Orang musyrik Mekah dan orang munafik Madinah mencela dan mengejek Nabi perkara berikut:

l Hanya golongan yang lemah sahaja menjadi pengikut baginda dan tidak terdapat pun para pemimpin serta pembesar yang mengikut baginda.

Jika agama yang dibawa itu benar pasti para pembelanya terdiri daripada golongan fakir yang mempunyai kedudukan mulia dalam masyarakatnya. Ucapan mereka itu bukanlah perkara baru kerana hal ini juga berlaku ke atas kaum Nabi Nuh a.s yang berkata kepadanya (lihat surah Hud ayat 27).

Sudah menjadi sunnah Allah kepada makhluk-Nya, pada kebiasaannya mereka mudah menerima ajakan rasul kerana mereka tidak memiliki harta yang dibimbangkan musnah untuk kepentingan ajakan yang baru, tidak memiliki kedudukan dan kekuasaan yang dikhuatiri dimiliki oleh pembawa ajakan baru itu.

Para pemimpin dan pembesar kebiasaannya tidak mahu menerima ajakan itu, sehingga mereka masuk ke dalam agama Allah dalam keadaan yang tidak suka.

Oleh yang demikian, terjadilah perdebatan antara para pemimpin itu dengan Rasulullah. Kemudian mereka mulai lemah kerana dikalahkan dakwaan mereka itu satu demi satu dan Allah menolong para rasul-Nya dengan meneguhkan kedudukan mereka.

Begitulah penduduk Mekah menghadapi Rasulullah. Oleh sebab itu, para pemimpin dan pembesar Mekah pada umumnya tidak menerima orang yang menganut Islam lantaran kedengkian kepada Nabi Muhammad dan golongan yang lemah lagi hina.

l Apabila mereka mendapati putera-putera Nabi Muhammad meninggal dunia lantas mereka berkata: "Nama Muhammad telah berakhir, kini keturunan Muhammad sudah terputus." Mereka memandang perkara itu sebagai celaan dan cemuhan serta menjauhkan manusia daripada mengikut Baginda.

l Apabila mereka melihat bencana yang menimpa kaum muslimin, maka mereka bergembira, menunggu-nunggu agar kecelakaan itu menimpa kaum muslimin dan kekuasaan mereka hilang sehingga kedudukan mereka yang diporakperandakan oleh agama baru itu tegak kembali.

Oleh sebab itu, surah ini diturunkan untuk menguatkan hati Rasul-Nya bahawa kegoncangan yang ditimbulkan oleh kaum musyrikin itu adalah suatu dugaan dan ujian untuk membersihkan jiwa orang yang masih belum kuat hatinya.

Ini untuk menolak tipu daya kaum musyrikin di hadapan mereka serta memberitahu kepada mereka bahawa rasul itu pasti memperolehi pertolongan dan para pengikut baginda termasuk dalam golongan orang yang mendapat kejayaan.

Firman Allah: Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata al-Kauthar diambil dari kata kathir."

Ia digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang banyak bilangannya atau tinggi mutunya. Bahkan seorang manusia merupakan tokoh yang banyak berjasa dinamakan Kauthar.

Ulama berbeza pendapat tentang makna tersebut. Pendapat yang popular adalah sungai di syurga. Ia dikemukakan oleh ulama berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Muslim dari sahabat Nabi Anas bin Malik.

Pendapat ini ditolak oleh Sheikh Muhammad Abduh sambil menulis dalam tafsirnya pendapat yang menyatakan al-Kauthar bermaksud sungai di syurga baru diterima sebagai keyakinan apabila riwayatnya mutawatir.

Namun demikian, Sheikh Muhammad Abduh meragukan mutawatir hadis tersebut kerana tulisannya lebih jauh. Kemutawatiran satu riwayat tidak sah kalau hanya pendapat sekelompok orang atau sebahagian ulama.

Kemutawatiran riwayat seperti apa yang anda lihat pada keadaan al-Quran. Ia dikenali dan diakui oleh thabaqat (kelompok atau generasi demi generasi) dan diriwayatkan oleh sejumlah orang yang dipercayai dan mustahil untuk berbohong, seterusnya riwayat itu sampai kepada anda dan tidak ditolak oleh kaum muslimin. Ia dinamakan mutawatir yang dapat menghasilkan keyakinan.

Pendapat kedua tentang al-kauthar banyak disebut ulama tafsir keturunan Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan antara lain oleh Abu Hayyan, al-Alusi sambil menyatakan mereka itu telah memenuhi seluruh penjuru.

Demikian juga Muhammad Abduh, al-Qasimi yang mengambil pendapat Ibn Jinni sambil menyatakan pendapat ini indah dengan sebab nuzul surah ini. Dan maksud keturunannya ialah anak cucu Sayyidah Fatimah puteri Rasulullah.

Dinyatakan di sini beberapa pendapat yang lain sebagaimana dinukilkan daripada kitab Zad al-Masir:

l Kebaikan yang banyak yang dikurniakan kepada Nabi. Inilah pendapat Ibn Abbas.

l Ilmu dan quran sebagaimana pendapat al-Hasan.

l Kenabian seperti pendapat Ikrimah.

l Kolam Nabi di mana manusia berhimpun padanya pada hari Akhirat. Inilah pendapat Ata'.

l Ramainya pengikut Nabi dan umatnya, seperti pendapat Abu Bakar bin 'Iyash.

Firman Allah SWT: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.

Berkenaan dengan solat di sini ada tiga pendapat:

i. Solat hari raya haji, seperti pendapat Qatadah.

ii. Solat Subuh di Muzdalifah, sebagaimana pendapat Mujahid.

iii. Solat lima waktu. Inilah pendapat Muqatil.

Berkenaan dengan perintah korban pula ada lima pendapat:

i. Sembelihlah pada hari raya seperti riwayat Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas. Inilah pendapat Ata', Mujahid dan jumhur.

ii. Diletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat seperti riwayat Abu al-Jauza'.

iii. Mengangkat kedua tangan dengan bertakbir hingga ke leher seperti pendapat Abu Ja'far Muhammad bin Ali.

iv. Dengan makna solatlah kerana Allah dan korbanlah kerana Allah seperti pendapat al-Qurazi.

v. Hendaklah menghadap kiblat ketika korban sebagaimana dihikayatkan oleh al-Farra'.

Sayid Qutub berkata: "Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin."

Firman Allah: Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.

Ulama khilaf siapakah yang dimaksudkan dalam ayat ini kepada lima pendapat:

i. Al-'As bin Wa'il al-Sahmi, seperti pendapat Ibn Abbas. Ini juga pendapat Said bin Jubair, Mujahid dan Qatadah.

ii. Abu Jahal, sebagaimana pendapat Ibn Abbas.

iii. Abu Lahab, seperti pendapat Ata'.

iv. Uqbah bin Abi Mu'it, sebagaimana pendapat Syamar bin 'Atiah.

v. Himpunan di kalangan orang Quraisy, seperti pendapat Ikrimah.

Al-Maraghi berkata: "Orang yang membenci kamu dalam apa jua keadaan adalah orang yang terputus penyebutannya untuk memperoleh kebaikan dunia dan akhirat."

Sebab utama mereka membenci petunjuk dan hikmah yang diajarkan baginda menampakkan kejahilan fikiran mereka, mencela sembahan mereka, menyeru ajaran yang berbeza dari apa yang telah mereka biasa ikuti.

Al-Hassan berkata: "Orang musyrik menyatakan keadaan Nabi Muhammad SAW itu terputus, maksudnya baginda telah menerima kegagalan, sebelum tujuan baginda tercapai. Akan tetapi Allah SWT menjelaskan bahawa musuh baginda itulah yang mengalami keadaan yang sedemikian."

Khutbah Jumaat: Lailatul qadar titik tingkat takwa, ibadat



HARI berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah berada pada hari ke-19 Ramadan. Maka 10 terakhir Ramadan ini adalah masa berharga yang perlu direbut semua insan beriman kepada Allah SWT.

Masa terakhir inilah akan menentukan sama ada puasa kita mendapat keberkatan, menjadi penebus segala kesalahan dan dosa dilakukan selama ini. Masanya Allah SWT janjikan kepada kita semua jika kita benar-benar beriman kepada-Nya.
Ramadan mempunyai satu malam dinamakan lailatul qadar dan pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala besar itu sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzaah al-Quran beransur-ansur diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril.
Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir
Jelaslah lailatul qadar mempunyai kelebihan besar, maka seharusnya kita tidak mensia-siakan peluang malam dijanjikan itu. Bagi orang beriman mereka berazam mencari peluang disediakan dengan berlumba-lumba bangun di malam hening dan mengharapkan pahala Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir.

Rasulullah SAW juga melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum Maghrib, solat berjemaah di samping membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.
Pada waktu beriktikaf, Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi bermunajat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.

Memasuki fasa ketiga bulan penuh keberkatan ini mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang berharga ini menambah bekalan akhirat lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir yang banyak kelebihannya.

Lailatul qadar adalah malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku satu malam saja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa memperolehnya dan rugilah siapa melepaskannya.

Dalam fasa ketiga ini kita dituntut mempertingkatkan amal salih dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyak zikir, solat sunat dan sedekah selain dituntut memperbanyakkan doa khusus untuk lailatul qadar.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa patut saya doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Namun terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian sebaliknya lalai dengan kesibukan urusan lain seperti membuat persediaan menyambut hari raya. Kebiasaannya pada malam 10 terakhir, masjid lengang dan sepi, jemaah tarawih semakin berkurangan.

Sebaliknya, pasar raya menjadi tumpuan, suri rumah sibuk membuat persiapan raya sehinggakan ada yang berpuasa kerana keletihan. Bahkan peniaga bazar Ramadan ghairah meraih keuntungan pada saat akhir.

Mimbar ingin menyatakan, suasana begini tidak sepatutnya berlaku di saat kita sepatutnya melipatgandakan ibadat, kerana kita belum pasti lagi sama ada berpeluang untuk menikmati Ramadan akan datang.

Ramadan kita tempuhi tahun ini sepatutnya menjadi titik perubahan dalam diri untuk menjadi insan bertakwa dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat.

Hayati firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)


Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Mencari keberkatan masa



Sementara perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan di persada masa.

Ya, hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia tetap menjelang.

Demikian juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.

Maka, entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan pengemis yang merintih simpati.

Demikian juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek. Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.

Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita.

Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya.

harta

Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.

Mungkin belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak; dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi pahala dan keberkatan.

Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.

Untuk itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan siapa yang rugi.

Firman Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).

Demikian Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Ertinya, hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.

Jika sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang insan dengan seorang yang lain berbeza.

Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.

Dalam Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96). Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi Isa: (maksudnya) Allah menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).

Apakah itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani (meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam).

Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.

Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti yang dirancangkan.

rancangan

Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil. Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah manusia yang lain.

Saya yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering menjadi teman di sepanjang waktu.

Di setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh memohon kepada Allah agar masa kita diberkati.

Wednesday, August 24, 2011

Riba Dalam Bentuk Semasa Di Bank Konvensional



Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Umum telah mengetahui bahawa antara perbezaan utama di antara Bank Islam dan Bank Konvensional adalah keterlibatan dengan Riba. Justeru bahagian ini akan mendedahkan secara ringkas dan padat berkenaan Riba dalam konteks semasa.


Antara soalan yang kerap kali kita dengari berkaitan Riba adalah : 
 
Apakah gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank Konvensional hari ini dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?
 
Apakah pula yang di maksudkan bahawa riba adalah suatu penindasan dan menekan? Siapa yang ditindas sebenarnya? 
 
Bagaimana mungkin sebuah Bank boleh meraih keuntungan tanpa mengenakan Riba?.


Penulisan ini akan cuba mengupas ringkas semua persoalan yang dinyatakan tadi.


1) Apakah gambaran jelas bagi riba yang berlaku di dalam pengamalan Bank Konvensional hari dan mengapa ianya di haramkan oleh Islam?


Sebenarnya bukan hanya Islam yang mengharamkan dan mengutuk amalan Riba, malah ia juga di haramkan di kalangan orang Yahudi. Larangan ini termakstub di dalam kitab mereka sama ada di dalam kitab undang-undang Talmud ataupun Ibrani. (Rujuk bab Exodus ayat-ayat 22:35-37 menyebut : Janganlah engkau mengambil bunga wang atau riba daripadanya...)



Selain itu Riba juga dicela oleh ajaran Kristian sebagaimana yang terdapat di dalam bab Luke 6:34-35. [1]


Riba dalam bentuk hari ini boleh berlaku dalam keadaan berikut :-




1) RIBA DALAM PINJAMAN.


Apabila seorang pelanggan datang ke sebuah Bank Konvensional atau sebarang Institusi Kewangan yang tidak menawarkan produk Islam; lalu ingin membuat pinjaman untuk :-

a- Membeli kereta ( Car Loan )
b- Membeli rumah ( Home Loan )
c- Mendapatkan modal syarikat (Term Loan atau Overdraft )
d- Membeli mesin dan alatan untuk syarikat ( Hire Purchase Loan )
e- Membuat pinjaman peribadi ( Personal Loan )



Dalam proses pinjam meminjam di atas, proses pinjam meminjam antara kedua-dua pihak akan dibuat. Sebagai contoh di Bank Konvensional hari ini : atas permintaan si pelanggan B untuk membeli kereta, rumah, mendapatkan modal syarikat atau peribadi, Bank A memberi pinjaman RM 100,000 kepada pelanggan B, bagaimanapun sebagai imbalan balik kepada pihak Bank, mereka akan menetapkan bunga, faedah atau interest sebanyak 8 % (sebagai contoh) daripada jumlah pinjaman itu (RM 8,000) di bawah nama ‘interest' bagi membolehkan pelanggan mendapat wang yang diperlukan. 8 % ITULAH YANG DINAMAKAN RIBA AD-DUYUN JENIS AL-QARD. Sila lihat takrifan jenis riba ini sebelum ini. Semua jenis pulangan seperti ini adalah Riba secara sepakat ulama. [2]


Jumlah faedah yang dicampur dengan jumlah pokok pinjaman akan dibahagikan pula mengikut bulan. Menurut hukum Islam, jumlah RM 8,000 yang diperolehi ini adalah merupakan hasil bank yang haram secara pasti. Pelanggan yang memberi RM 8,000 tadi juga dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan Riba. Nabi SAW menyebut


الآخذ والمعطي سوآء

Ertinya : " Si pemberi (riba) dan si pengambil Riba adalah sama" ( Riwayat Muslim )


Persoalannya : Mengapa pula ia di haramkan ? apa salahnya peminjam dikenakan Riba (interest) ?


Sebagai jawapan, ia diharamkan kerana :-

Eksploitasi kesusahan pelanggan : Hasil RM 8,000 itu sebenarnya diterima hasil daripada mengeksploitasikan kesusahan pelanggan. Iaitu, hanya pelanggan yang mempunyai keperluan kewangan mendesak terpaksa pergi ke Bank bagi mendapatkan pinjaman untuk merawati masalah kewangannya, tetapi dalam keadaan kewangannya mendesak, pihak Bank pula mengenakan bayaran tambahan (interest) atas pinjaman yang diberikan. Inilah yang dinamakan riba itu menekan dan menindas, di tambah pula apabila si pelanggan gagal membayar bayaran bulanan yang telah ditetapkan oleh pihak Bank. ketika itu, peminjam dikehendaki membayar penalti pula, penalti ini juga bersifat "compounding" (iaitu akan dimasukkan di dalam modal pinjaman dan akan berganda interestnya), ia adalah Riba yang menekan lagi menindas yang kelihatannya sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.


Perbezaan di Bank-bank Islam : Adapun, di dalam pengamalan perbankan Islam yang mengenakan sejumlah wang sebagai denda atau bayaran kos rugi (ta'widh atau ‘compensation') yang dihadapi oleh Bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang ditetapkan, pembaca perlu membezakan bayaran denda yang dikenakan oleh Bank-bank Islam dengan penalti oleh Bank Konvensional.


Denda lambat bayar yang di kenakan oleh Bank Islam adalah berdasarkan proses jual beli secara bayaran ansuran manakala penalti Bank Konvensional adalah hasil dari kontrak pinjaman, maka apabila bayaran ansuran tidak dilangsaikan pada waktunya, ta'widh akan dikenakan. Ta'widh yang dikenakan oleh Bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan Bank Islam, malah mestilah di agihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan faqir sahaja. Inilah yang dilakukan oleh kebanyakkan Bank-bank Islam di Malaysia seperti Asian Finance Bank Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan RHB Islamic Bank Berhad.

Meruntuh Moral dan Akhlak : Faedah (interest) atau Riba yang dikenakan juga akan menyebabkan pudarnya akhlak mulia bantu membantu di dalam masyarakat, ia mengundang sikap orang yang berduit untuk menekan individu atau pihak yang memerlukan bantuan kewangan. Ini bakal menghancurkan sifat tolong menolong di antara manusia. Selain itu, ia bakal melahirkan masyarakat yang marah dan tertekan antara satu sama lain. [3]
 
Menyubur Sikap Si Kaya Malas Bekerja & Kurang Dinamik: Ia juga bakal melahirkan orang kaya atau Bank yang malas untuk bekerja keras bagi mencari keuntungan secara jual beli dan mengambil risiko, mereka akan mula berfikir mencari untung secara mudah, iaitu dengan memberi pinjam serta mengenakan interest. Lalu dengan cara ini mereka boleh mendapatkan untung dengan mudah sahaja. Islam tidak menerima konsep untung tanpa bekerja keras, dan Islam juga hanya menerima konsep :


الغرم بالغنم


Ertinya : " Ganjaran keuntungan adalah dengan menghadapi risiko" [4]


Dan juga hadith :


أن الخراج بالضمان

Ertinya : "(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (dan jaminan barang yang dijual adalah selamat - bermakna tiada untung tetap dijanjikan)" (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud : no 3508 ; As-Suyuti & Albani : Hasan)

Menurut Dr Muhammad Az-Zuhayli menjelaskan lagi ertinya dengan katanya

"sesungguhnya siapa yang yang menanggung kos dan risiko kerugian, maka merekalah yang layak mendapat manfaat atau keuntungan jika ada". [5] 
 
Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi. Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram.

Lihatlah bagaimana displin Islam dalam memastikan setiap individu menyumbang sesuatu kerja yang baik dan meningkatkan kualiti ekonomi. Dengan wujudnya usaha-usaha sebegini bertambahlah peluang kerja, semakin meriahlah suasana ekonomi dan berkurangan jumlah pengangguran.


Pinjaman Dalam Islam ?


Perlu diketahui bahawa, disiplin Islam dalam perihal pinjam meminjam yang dibenarkan hanyalah pinjaman tanpa sebarang faedah. Sebagaimana di sebutkan dalam kaedah :

كل قرض جرّ نفعاً فهو الربا

Ertinya : "Setiap pinjaman yang membawa kepada sesuatu manfaat buat pemberi pinjam maka ia adalah Riba" [6]


Imam Ibn Quddamah pula berkata :

كل قرض شرط فيه أن يزيده فهو حرام بغير خلاف

Ertinya : "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya untuk diberikan tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang khilaf" [7]


Justeru, tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang ‘interest' dikenakan kepada si peminjam).


Islam amat menggalakkan pinjaman tanpa faedah ini sebagaimana disebut oleh Baginda SAW :


" Pada malam aku dibawa ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku telah melihat tertulis di dalam pintu Syurga " Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali.."( Riwayat Ibn Majah)


Justeru, tiada sebarang keuntungan boleh dihasilkan untuk pemberi pinjam dari peminjam dari aktiviti ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu membantu. Ia disebut di dalam Islam sebagai Qardh Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).



2. RIBA DALAM AKAUN SIMPANAN DAN PELABURAN.


Bagi menjelaskan bentuk kedua bagaimana riba berlaku, contohnya adalah seperti berikut :-


Ia berlaku apabila pelanggan meletakkan wangnya di dalam akaun :-
Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).
Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).


Penjelasannya adalah seperti berikut :-

Akaun Pelaburan Dengan Pulangan Tetap (Fixed Deposit account).



Dalam akaun jenis pertama ini, Individu A meletakkan wangnya di dalam "conventional fixed deposit account". Menurut kontrak dan perjanjian yang di tandatangani, pihak pengendali/Bank akan mengumpulkan wang individu A tadi bersama dengan wang depositor atau pelabur lain. Kemudian, kumpulan wang itu akan digunakan samada bagi pelaburan wang terus ke dalam mana-mana syarikat yang kukuh bagi mendapatkan pulangan yang baik ataupun digunakan untuk memberikan pinjaman secara riba kepada syarikat-syarikat yang datang kepada Bank untuk tujuan perniagaan mereka, samada perniagaan itu halal mahupun haram.


Sebagai imbalan kepada para pelabur atau penyimpan, pihak bank akan menetapkan kadar faedah tertentu (‘fixed interest' atau ‘fixed return') sebagai contoh 3 % untuk diberikan kepada penyimpan @ pelabur (tambahan ke atas wang modalnya) bagi suatu tempoh selama matang antara 1 - 11 bulan, kadar faedah adalah menurut budibicara pihak pengurusan bank. Pada kebiasaannya Bank telah pun membuat kira-kira bagi menentukan kadar interest yang ingin diberinya.


Ingin ditegaskan di sini bahawa, menurut Islam, kadar 3 % dari "fixed deposit account" tadi adalah Riba ‘Ad-Duyun' dari jenis ‘Al-Qard'. Ini adalah kerana, sebagaimana yang telah ditegaskan sebelum ini, disiplin pelaburan Islam (iaitu Mudarabah atau Musyarakah) tidak boleh menentukan pulangan keuntungan di awal kontrak sama sekali. Hanya nisbah pembahagian keuntungan yang dibenarkan. Seperti 70 : 30 ( Bank : pelanggan).

Akaun Simpanan Biasa (Ordinary Saving account).


Manakala dalam Akaun Simpanan Konvensional (Ordinary Savings Account) pula. Sekali lagi terdapat Riba secara pasti. Ini kerana bank akan memberikan kadar faedah tetap sekitar 0.1-0.2 %. Dalam keadaan ini, Bank pula dikira meminjam wang dari pelanggan untuk digunakan bagi tujuan pelaburan kecil-kecilan, dan si pelanggan di anggap seolah-olah telah menawarkan pulangan tetap atas pinjaman (simpanan) yang diberikan oleh pelanggan kepada Bank itu, hasilnya; Bank mesti membuat pembayaran tambahan (faedah) menurut kadar yang telah di tetapkan tadi walau dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Bank mendapat untung yang amat lumayan hasil penggunaan wang simpanan tadi, bank tetap hanya perlu membayar kadar kecil tadi, maka pelanggan pastinya dikira rugi. Sebaliknya, sekiranya bank menghadapi kerugian, Bank tetap perlu membayar kadar interest itu tanpa mengira sama ada ia akan menambah beban kerugiannya atau tidak. Maka, kerugian Bank pasti bertambah dan membebankan.


Justeru, penindasan berlaku dalam kedua-dua bentuk simpanan dan pelaburan konvensional di atas, sama ada kepada bank (apabila rugi tapi perlu membayar faedah Riba) atau pelanggan (apabila untung tapi hanya mendapat nisbah kecil).


Akaun di Perbankan Islam


Dalam pengurusan akaun secara Islam, suasananya adalah berbeza sama sekali, dimana semua pelanggan yang menyimpan wang di Islamic Akaun Islam ini boleh memilih sama ada ingin menggunakan:-

a) Akaun Simpanan atas asas Wadi'ah (simpanan biasa tanpa menggunakan konsep mudharabah);


Dalam kontrak ini, pihak bank akan memastikan semua jumlah wang simpanan pelanggan adalah sentiasa selamat dan boleh di keluarkan pada bila-bila masa oleh pelanggan. Bagi memanfaatkan dan menanggung kos pengurusan simpanan ini, pihak pengurusan Bank-bank Islam biasanya akan menggunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan yang halal sahaja, tetapi pihak Bank akan menjamin pelanggan boleh mengeluarkan wangnya pada bila-bila masa serta akan menanggung segala kerugian jika berlaku. Sebagai menghargai pelanggan yang menyimpan wang ini sehingga membolehkan pihak Bank menjalankan operasi ekonomi dan perniagaan Islam, maka jika terdapat untung, pihak Bank akan memberikan hibah (hadiah sejumlah wang) kepada penyimpan sebagai tanda penghargaan.


Bagaimanapun jumlah dan kadar pulangan dalam bentuk ‘hibah' atau hadiah adalah terpulang kepada budibicara bank sepenuhnya, malah mungkin tiada sebarang hibah dalam keadaan tertentu. Jika ada pulangan, ia akan berubah-ubah menurut prestasi pernigaan yang dibuat oleh Bank Islam itu. Sekiranya hasil pelaburan menggalakkan, maka kebiasaannya penyimpan akan di beri "hibah" yang agak baik sebagai galakkan dan ucapan terima kasih kepada pelanggannya. Walaubagaimanapun hibah itu sama sekali tidak boleh dijanjikan oleh Bank dan tidak boleh pula dituntut oleh si pelanggan. [8] Oleh kerana itu, jika pelaburan mengalami kerugian, pihak penyimpan mungkin tidak akan diberi sebarang hibah, wang simpanan mereka juga tidak akan berkurangan. Ini lebih adil kerana :-

Pelanggan berpeluang mendapat hibah dalam keadaan wang simpanannya terjamin/tanpa risiko hasil pelaburan. Jumlah dan kadar hibah adalah sepenuhnya terpulang kepada budibicara bank. Bagaimanapun, biasanya pihak bank akan memberikan kadar hibah yang tinggi sedikit jika keuntungan diperolehi, demi menggalakkan minat pelanggan.

Bank juga tidak terpaksa membayar apa-apa kepada pelanggan jika tiada keuntungan. Justeru bank tidak teraniaya sama sekali berbanding Bank Konvensional.

Tiada sebarang Riba terbabit di dalam akaun ini dan semua pelaburan yang dibuat adalah setelah dipastikan memenuhi kehendak Shariah.

b) Akaun Simpanan atas asas Mudarabah (perkongsian untung)


Satu lagi produk di dalam pengamalan kewangan Islam di Bank-bank Islam adalah akaun pelaburan yang menggunakan konsep ‘Mudharabah'. Ia bermaksud pihak pelanggan ingin menyimpan wangnya sambil membuat pelaburan secara khusus. Nama produk-produk untuk akaun ini seperti " Akaun Pelaburan Umum Mudarabah" atau "Akaun Pelaburan Istimewa Mudarabah" atau " Akaun Semasa Mudarabah".


Menurut konsep ini pelanggan bersedia menerima risiko lebih bagi membuka ruangnya bagi mendapat peratusan keuntungan yang lebih besar sekiranya pihak Bank berjaya melaburkan wang dengan pulangan lumayan. Kadar peratusan akan di tetapkan di peringkat awal seperti 70 % untuk pelanggan dan 30 % bank, 80/20, 60/40 dan sebagainya.


Satu perkara yang juga amat penting dalam akaun Islam ini adalah, deposit yang terkumpul hanya akan digunakan untuk :-
 
a) Dilaburkan untuk kegunaan perniagaan bank Islam yang telah dipastikan halal 
 
b) Dilabur kepada pihak ketiga yang juga dipastikan perniagaannya halal untuk membiayai perniagaan mereka, semua perniagaan ini telah di tapis oleh Majlis Penasihat Shariah dan pengurusan bank. Justeru semua "Shariah-Approved companies" ini telah di pastikan dengan teliti ketepatannya dari sudut Shariah, justeru semua keuntungan yang bakal di perolehi adalah harta yang bersih.


Urusan tapisan dibuat secara terperinci, dan perlaksanaannya dibuat dalam suasana "client-friendly", iaitu dengan perbincangan yang cukup telus atau "transparent" dengan "client".

Ia mungkin akan membuat penilaian dari sudut "asset" mahupun "lialibilities" sesebuah syarikat, tanpa mengira ianya adalah sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham atau tidak. Secara umum penapisan "filter" Shariah berikut biasanya digunakan antaranya :-
 
i- Industry filtering (membuang syarikat-syarikat yang perniagaan induknya berkaitan produk-produk haram)

ii- Primary Financial Filters (mengeluarkan syarikat-syarikat yang tahap hutangnya tidak boleh ditoleransi lagi atau mempunyai "impure interest income" berdasarkan panduan Majlis Penasihat Shariah )


Adapun di Bank Konvensional, proses pengendalian akaun simpanan dan pelaburannya adalah amat berbeza, pertamanya ia tidak terikat dengan displin Shariah, akibatnya mereka pasti akan menumpukan pelaburan di dalam syarikat yang boleh memberi pulangan besar tanpa meninjau aspek pematuhan Shariah atau tidak.


Selain itu, pembaca mestilah tidak terkeliru dengan kadar peratusan yang di paparkan oleh sesetengah akauan Islam mudarabah di sesetengah Bank Islam. Ia hanyalah kadar pulangan purata menurut prestasi lepas, ia di gelar "indicavtive Rates" atau "kadar andaian dan ramalan" dan bukannya kadar yang tepat dan dijanjikan oleh pihak bank, ia di paparkan demi mencapai keyakinan pelanggan terhadap prestasi pengurusan dan pelaburan Bank.  



Cara kiraannya yang telah dipermudahkan adalah seperti berikut :-
Cara Kiraan :-


Untung Sebenar = Kadar Pulangan (ROR) x Kadar Keuntungan (PSR) = Keuntungan setahun

                                                         100




Katakanlah kadar keuntungan bank adalah 3, justeru "indicative" atau andaiannya seperti berikut :-

                                                           3 X 70 (pelanggan) = 2.10

                                                                              100



Maka, jumlah 2.10 % inilah yang akan di paprkan oleh Bank bagi memaparkan prestasi akan datang Bank. Ia hanyalah andaian dan tidak menjadi kewajiban bagi Bank memberikan pulangan dengan kadar di atas.

Perlulah sedari, seseorang yang menyimpan atau melabur wangnya di dalam akaun di bank konvensional pastinya akan mendapat saham keburukan hasil sokongan langsungnya dari wang depositnya itu, sama ada mereka menyedarinya atau tidak.


Sekian


Ust Zaharuddin



[1] Tahrim ar-Riba wa Tanzim Iqtisadi oleh Syeikh Muhd Abu Zahrah


[2] Fawaid Al-Bunuk Hiya Ar-Riba Al-Haram, Al-Qaradawi, Muassasah Ar-Risalah, hlm44,

[3] Tahrim ar-Riba, Syeikh Muhammad Abu Zahrah, hlm 55 ; Ar-Riba wal Mua'malat al-Masrafiah, ibid, hlm 167 ; Hikmatu at-Tasyri' al-Islami fi Tahrim ar-Riba, Dar as-Sahwah, cet 2, 1407 H, hlm 63 ( dengan pindaan dan tambahan) )


[4] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, An-Nadawi, Dar al-Qalam, hlm 343

[5] Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Az-Zuhayli, hlm 494

[6] Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232 ; Nasb ar-Rayah, az-Zayla'ie, 4/60 ; Ramai yang menyebut ia adalah hadith Nabi, tetapi setelah dianalisa, terdapat perawinya bernama Sawwar Bin Mus'ab yang lemah dan di anggap "matruk". Bagaimanapun makna yang terkandung di dalamnya disepakati penerimaannya di kalangan ulama kerana disokong oleh pelbagai dalil lain


[7] Al-Mughni, 4/318

[8] Al-Ma'ayir As-Shar'iyyah, AAOIFI, hlm 350
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...