Friday, August 6, 2010

Manusia tempuh tiga peringkat alam

 

KEHIDUPAN ini ditakdirkan Allah sebagai satu pengembaraan yang jauh iaitu bermula di alam arwah dan akan berakhir di alam akhirat. Oleh itu, Nabi Muhammad saw mengingatkan dengan sabdanya bermaksud: “Jadikanlah dirimu di dunia ini sebagai musafir atau orang yang dalam perjalanan.” (Hadis riwayat Ibn Umar)

Manusia sebenarnya menempuh dua alam, yang kedua-duanya sudah ditinggalkan. Ia adalah alam “arwah” dan “arham” Kita sedang berada di alam ketiga iaitu alam “musyahadat” atau alam dunia.

Pada alam arwah, jasad belum terjadi. Apa yang ada, hanya roh ciptaan oleh Allah. Di sini, roh diberi suntikan akidah keimanan kepada Allah. Ia sebagai bekalan terpenting dalam pengembaraan seterusnya supaya selamat dan berjaya.

Roh kemudian berpindah ke dalam jasad setelah terbentuk dalam rahim ibu. Di alam kedua ini (kandungan ibu), dirasakan amat rileks sekali atau dalam keadaan istirahat, tiada perjuangan dan tiada cabaran.

Kini kita berada di alam dunia. Sesungguhnya kewujudan di alam dunia ini bukan untuk berhibur, tetapi memikul amanah Allah untuk beribadat kepada-Nya. Begitu juga melakukan amal saleh dan kebajikan untuk manfaat diri, keluarga, Islam dan umatnya serta makhluk lain.

Segala kegiatan di dunia ini hendaklah dijiwai nilai akidah dan syariat dengan niat untuk menjunjung perintah Allah. Maka, dengan itu segala-galanya akan menjadi menjadi bekalan untuk dibawa ke akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Berbekallah kamu, maka sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertawakallah kepada-Ku hai orang yang berakal” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Rasulullah bersabda bermaksud: “Dunia ini sebagai ladang untuk bercucuk tanam (tempat melakukan amal ibadat dan amal kebajikan), sedangkan hasilnya bakal dipetik di negeri akhirat nanti.”

Alam dunia yang kita alami kini adalah alam ketiga. Kita dalam perjalanan menuju ke alam keempat iaitu “alam barzakh” atau “alam kubur”. Apabila hari kiamat, kita akan masuk ke alam kelima atau alam yang terakhir iaitu “alam akhirat”.

Sebelum itu, kita dihimpunkan di Padang Mashyar untuk diadili dan dihisab segala amal perbuatan di dunia. Jika baik akan dibalas syurga, dan sebaliknya jika buruk akan dibalas dengan azab api neraka.

Allah mengingatkan untuk menyiapkan diri bagi menghadapi alam akhirat melalui firman-Nya bermaksud :

”Ketahuilah! Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain, melainkan permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bauan hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak (semua itu terhad waktunya), samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur), menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan daripada Allah (disediakan bagi orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain , hanya kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Allah mengingatkan lagi melalui firman-Nya bermaksud:

”Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanya kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Surah Ali Imran, ayat 185)

Firman Allah lagi bermaksud:

”Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu, akan pahala dan kebahagiaan pada hari akhirat; dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah), sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qisaas, ayat 77)

[tweetmeme only_single="false"]