Tuesday, September 7, 2010

Ini Sejarah Kita

 

image

Fahamkah anda akan graf di tersebut? Graf tersebut adalah berkenaan dengan tempoh masa dari penyebaran Islam di Tanah Arab sehinggalah pada masa kini. Cuba anda lihat, di manakah tahap kita berada sekarang? Di manakah zaman yang sedang kita berbahagia berada? Ya Allah… terlalu sukar untuk kita bayangkan. Adakah zaman kita sekarang setaraf dengan zaman Jahiliyah dahulu kala? Wallahualam. Kepada mereka yang belum memahami setiap butiran yang berada pada graf tersebut bolehlah membaca sedikit penerangan di bawah ini.

Sebelum kedatangan Islam di Tanah Arab, era ini dinamakan sebagai zaman gelap masyarakat Arab. Masyarakat ini asalnya mengikut ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. tetapi telah terpesong kepada penyembahan berhala dan nenek moyang. Mereka mempunyai semangat assobiyah yang sangat tinggi dan ketika ini sangat berleluasa berlakunya perlakuan zina, judi, pembunuhan anak perempuan dan juga penindasan terhadapan golongan miskin dan anak yatim.

Selepas penurunan wahyu pertama, era ini kemudian dinamakan sebagai era Mekah. Era ini berlansung selama 13 tahun (610 – 623M). Selama berlangsungnya era ini, Rasulullah s.a.w. beserta para sahabat terbabit dalam pendakwahan di mana ianya bermula dengan mereka yang terdekat dan dipercayai serta seterusnya kepada seruan terbuka. Dakwah Islamiyyah ini tetap diteruskan walaupun mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi seperti penentangan oleh kaum Quraisy dan juga Bani Tha’if. Selama 13 tahun baginda s.a.w. melakukan dakwah, hanya 300 orang sahaja yang menerima Islam (anggaran).

Dengan perintah Allah, Rasulullah s.aw. berhijrah ke Madinah. Kaum muslimin terpaksa meninggalkan kampung halaman, harta dan ladang-ladang mereka. Negara Islam Madinah telah dibina dengan mengangkat Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin. Era ini berlangsung selama 10 tahun (623 – 633M). Dengan adanya kuasa, pelbagai syariat telah diturunkan dan dilaksanakan dalam sistem negara. Manusia dapat melihat Islam daripada sudut aqidah, sosial, ekonomi dan perundangan. Dalam suasana ini, Allah s.w.t. telah mensyariatkan pelbagai hukum kepada ummat Islam. Setelah 10 tahun di Madinah, seramai 124 000 orang (atau 144 000 orang) telah menerima Islam (dianggar berdasarkan Haji Wada’ pada tahun 10 Hijrah).

Era Khulafa’ Ar- Rashidin bermula pada 633 sehingga 661 masihi sejurus selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Ianya bermula dengan pemerintahan Abu Bakar As-Siddiq, diikuti Umar Al-Khattab, Uthman Al-Affan dan Ali Abi Talib. Sepanjang era Khulafa’ Ar-Rashidin, berlaku pengukuhan dan perluasan Daulah Islamiyyah.

Era umayyah pula bermula pada 661 hingga 750 masihi. Khalifah pertama adalah Muawwiyah bin Abi Sufyan menandakan di mana bermulanya era pemerintahan berbentuk dinasti. Kerajaan Bani Umayyah berpusat di Damsyik, Syam dan antara tokoh pemerintah yang terkenal dalam era ini adalah Umar bin Abdul Aziz. Dalam era ini, berlaku perluasan kuasa Islam secara besar-besaran.

Era Abasiyyah pula bermula pada 750 hingga 1265 masihi. Dibahagikan kepada 2 zaman iaitu Zaman Keemasan dan Zaman Kejatuhan. Kerajaan Abassiyyah diasaskan oleh Abu Al-Abbas Abdulllah dan berpusat di Kota Baghdad (Iraq). Zaman keemasan kerajaan Abassiyyah berlangsung ketika pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid yang menandatangani perjanjian dengan Empayar Tang China dan Khalifah Al-Makmun yang terkenal dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Ketika era ini, pelbagai tokoh Islam yang dikagumi seperti Ibn Battutah dan Ibnu Nadhir yang terlibat secara tidak langsung dalam Baitul Hikmah, tokoh-tokoh ilmu fiqh seperti Imam Syafie dan Imam Malik serta tokoh-tokoh ilmu hadis seperti Imam Bukhari dan Imam Muslim. Tatkala Kerajaan Abbasiyyah berada di kemuncak kegemilangan, serangan monggol berlaku pada 656 Hijrah (1258 M).

Dengan kejatuhan era Abasiyyah, Kerajaan Turki Uthmaniyah mulai naik. Kerajaan ini diasaskan oleh ‘Uthman Gazi. Kerajaan ini bermula pada 1265 hingga 1924 M dan pernah menguasai sehingga Austria, Hungary, Romania, Bulgaria, Czech, Yugoslavia dan Albania. Antara pemerintah yang terkenal adalah Sultan Muhammad II Al-Fateh di mana beliau berjaya membuka Kota Constantinople pada 857 H (1453 M). Beliau juga menguasai Selatan Greek, Albania dan Ukraine. Beliau mengarahkan misi ke Rom dan tentera Islam berjaya menawan Otranto. Tetapi misi ini terbantut dengan kematiannya pada 886 H (1481 M).

Era kejatuhan khalifah berlaku sejurus Kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam peperangan Perang Dunia I. Sultan Abdul Hamid II17 (1876 – 1909 M) merupakan sultan kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah yang terakhir yang betul-betul mengamalkan sistem khilafah. Kejatuhan ini dibantu oleh kemunculan Mustafa Kamal Attartuk, seorang jeneral tentera, yang ditonjolkan oleh British sebagai tokoh kepimpinan yang hebat. Selepas itu, Umat Islam kehilangan sistem khilafah yang menaungi umat Islam secara global dan segala usaha untuk menghidupkan kembali pemerintahan khilafah belum mendatangkan hasil.

Amat malang sekali, kejatuhan ini tidak begitu diketahui oleh umat Islam secara umum. Kenapa ini boleh berlaku? Tanah umat Islam di timur tengah dipecah-pecah mengikut citarasa penjajah. Wilayah Islam dipecah-pecahkan mengikut geografi. dan mengikut kawasan seperti Palestin, Mesir, Algeria, Maghribi, Tunisia, Syria dan negara-negara Islam yang lain. Dengan wujudnya wilayah-wilayah yang berasingan ini menjadikan setiap negara hanya mempertahankan negara sendiri sahaja tanpa mempedulikan negara Islam lain yang diserang. Tidak hairanlah ketika Palestin diserang, apakah yang dilakukan oleh negara-negara Islam yang lain? Wallahualam

[tweetmeme only_single="false"]