Pertama: Mengurus Jenazah Ibubapa.
Apabila salah seorang atau kedua-dua ibubapa meninggal dunia, hendaklah kita sebagai anak memastikan jenazah mereka diuruskan secepat mungkin. Pengurusan jenazah terdiri daripada:
Memandikan jenazah.
Mengkafan jenazah.
Mensolatkan jenazah.
Mengkebumikan jenazah.
Sekalipun proses pengurusan jenazah dilakukan oleh orang-orang yang terlatih dalamnya, adalah utama jika kita dapat turut serta. Jika tidak tahu apa dan bagaimana caranya untuk turut serta, maka sekarang adalah masa yang tepat untuk mula mencari ilmu tentang pengurusan jenazah. Setiap daripada proses pengurusan jenazah memiliki petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sehingga ia memerlukan buku yang berasingan untuk menerangkannya. Saya tidak akan menerangkannya dalam buku ini, sebaliknya mengesyorkan untuk mendapatkan buku Ahkam al-Jana’iz wa Bid’iha oleh Muhammad Nashr al-Din al-Albani rahimahullah.[1]
Kedua: Melunaskan Hutang Ibubapa.
Apabila ibubapa meninggal dunia, hendaklah kita menyemak sama ada mereka memiliki hutang yang belum dilunaskan. Hutang tersebut terbahagi kepada dua jenis:
Hutang Harta Benda:
Hutang seperti ini akan menawan ibubapa yang meninggal dunia sehinggalah ia dilunaskan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal radhiallahu 'anh yang baru kematian saudaranya:
Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya.[2]
Jika kita tidak mampu membayarnya, maka ia menjadi tanggungjawab negara. Jika negara enggan melaksanakan tanggungjawab tersebut, maka hendaklah umat Islam saling membantu untuk melunasinya. Pilihan lain ialah berjumpa dengan pihak yang dihutang dan berbincang dengan mereka, mudah-mudahan mereka memansuhkan hutang tersebut atau memberi jalan lain yang lebih mudah.
Menyentuh tentang hutang dan harta, janganlah kita merasa berat untuk melaksanakannya. Janganlah hal ini dipandang sebagai “membayar hutang orang lain” tetapi pandanglah ia sebagai “membuat pelaburan dengan Allah”.
Hutang Ibadah:
Jika ibubapa memiliki hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, maka kita boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:
Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”
Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi.”[3]
Ketiga: Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibubapa.
Jika ibubapa memiliki rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibubapa dan juga kita. Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh menerangkan:
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkata:
“Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.”
Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam wafat.
Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (radhiallahu 'anh) memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam datanglah kepada kami.”
Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya,
ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.”[4]
Dalam hadis di atas, janji Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar radhiallahu 'anh sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibubapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.
Keempat: Melakukan Kebaikan Yang Disyari‘atkan.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. [al-Najm 53:39]
Seorang anak adalah hasil usaha ibubapanya sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang ialah daripada hasil usahanya sendiri dan anaknya termasuk daripada hasil usahanya.[5]
Justeru apa jua kebaikan yang selari dengan syari‘at yang dilakukan oleh kita sebagai seorang anak, seperti beribadah, bersedekah, amar ma’ruf dan nahi mungkar dan selainnya, maka ibubapa akan memperoleh ganjaran. Ganjaran tersebut akan diperolehi oleh ibubapa sama ada kita meniatkan atau tidak, kebaikan yang dilakukan itu kepada mereka.
Antara contoh kebaikan yang memberi manfaat kepada ibubapa ialah apabila kita “mengambil al-Qur’an” sebagaimana hadis berikut daripada Buraidah radhiallahu 'anh:
Aku duduk di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, lalu aku mendengar baginda bersabda:
“Pelajarilah surah al-Baqarah kerana mengambilnya merupakan keberkatan, meninggalkannya merupakan kerugian dan orang yang suka membuat kebatilan tidak akan mampu mengilmuinya.”
Kemudian baginda diam sesaat, lalu bersabda:
“Pelajarilah surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya adalah al-Zahrawan yang menaungi orang yang memilikinya pada Hari Kiamat, seakan-akan dua gumpalan awan atau dua barisan burung.
Sesungguhnya al-Qur’an akan menemui pemiliknya pada Hari Kiamat ketika dia dibangkitkan daripada kuburnya seperti seseorang yang berkulit kuning, lalu dikatakan kepadanya:
“Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Dikatakan (lagi) kepadanya: ““Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Lalu dikatakan: “Aku adalah sahabat kamu: al-Qur’an,
yang telah membuat kamu kehausan pada siang hari
dan menyebabkan kamu tidak tidur pada malam hari.
Sesungguhnya setiap pedagang berada di belakang barang dagangannya
sedangkan kamu pada hari ini berada di belakang semua barang dagangan.”[6]
Lalu dia diberi kerajaan dari arah kanannya, diberi keabdian dari sebelah kirinya,
diletakkan di atas kepalanya mahkota kebesaran dan ibubapanya dikenakan pakaian yang membuatkan seluruh penduduk dunia berdiri menghormati mereka berdua. Maka mereka berdua bertanya:
“Dengan apakah menyebabkan kami menerima semua ini?”
Dijawab: “Dengan sebab anak kalian berdua yang mengambil al-Qur’an.”
Kemudian dikatakan (kepada anak tersebut):
“Bacalah (al-Qur'an) dan naiklah darjat-darjat syurga dan ruangan-ruangannya.”
Dia terus naik selama membaca al-Qur’an sama ada secara cepat atau perlahan.[7]
Dimaksudkan yang “mengambil al-Qur’an” adalah melaksanakan apa yang dituntut ke atas setiap orang Islam terhadap al-Qur’an, iaitu:
Beriman kepadanya.
Membacanya dengan disiplin tajwid.
Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
Mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan.
Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
Membelanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.
Apabila kita melaksanakan keenam-enam tuntutan di atas sekuat mampu, maka kita dikira telah “mengambil al-Qur’an” dan diberi kedudukan yang mulia di Hari Akhirat kelak. Kemuliaan ini juga kemudiannya dikurniakan kepada ibubapa kita sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas.[8]
Contoh kebaikan lain yang dapat kita lakukan untuk ibubapa ialah bersedekah, seperti mana hadis berikut daripada ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma:
Sesungguhnya datang seorang lelaki dan bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia, apakah bermanfaat untuknya jika aku bersedekah untuknya?” Rasulullah menjawab: “Ya.”
Lelaki itu lantas berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sebuah kebun yang berbuah,
maka saya persaksikan kepada engkau bahawa aku mensedekahkannya untuknya.”[9]
Kelima: Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu,
ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun.
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu
ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka
(para pengamal itu) sedikit pun.[10]
Senafas dengan hadis di atas adalah:
Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak shalih yang mendoakannya.[11]
Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, jika ibubapa pada masa hidup pernah melakukan satu amalan yang disyari‘atkan kepada masyarakat, maka hendaklah kita memastikan amalan tersebut terus dilaksanakan selepas mereka meninggal dunia. Sebagai contoh, jika ayah pernah mensedekahkan sejumlah naskah al-Qur’an kepada surau berhampiran untuk menjalankan kelas pengajian al-Qur’an, pastikan al-Qur’an tersebut dalam keadaan baik dan kelas pengajian diteruskan oleh ahli surau. Jika ibu pernah membuat kelas tuition secara percuma di rumah bagi budak-budak yang tidak berkemampuan, pastikan dicari dan dibayar seorang guru yang baru agar kelas tuition tersebut dapat diteruskan.
Akan tetapi seandainya ibubapa pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syari‘at dan mereka tidak sempat membetulkannya pada masa hidup, hendaklah kita memastikan ia dibetulkan setelah mereka meninggal dunia. Sebagai contoh, seandainya ayah pernah menulis buku yang di dalamnya mengandungi kesalahan dan hal ini dikesan oleh kita, maka dalam cetakan akan datang perbetulkanlah kesalahan tersebut. Jika ibu pernah berselisih pendapat dengan seorang jiran sehingga menyinggung perasaan dia, maka pergilah berjumpa dengan jiran tersebut dan mohonlah maaf bagi pihak ibu.
Keenam: Mendoakan Ibubapa.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak shalih yang mendoakannya.[12]
Dalam sebuah hadis yang lain baginda juga bersabda:
Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang shalih di syurga,
lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”
Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.”[13]
Doa keampunan kepada ibubapa yang boleh diamalkan adalah daripada al-Qur’an seperti mana yang dikemukakan sebelum ini:
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku,
serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman;
dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan;
dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” [Nuh 71:28]
Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang shalih secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibubapa sebagaimana berikut:
“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [al-Isra’ 17:24]
Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Qur’an dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibubapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibubapa.
Ketujuh: Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibubapa.
Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibubapanya yang telah meninggal. Hadisnya adalah seperti berikut:
Dalam satu perjalanan ke Mekah, ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn ‘Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya.
Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn ‘Umar) berkata kepadanya:
“Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui
dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”
Maka Ibn ‘Umar menjawab:
“Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) ‘Umar bin al-Khaththab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah
menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”[14]
Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibubapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibubapa semasa mereka masih hidup.
Demikian tujuh ruang berbuat baik kepada ibubapa yang dibuka oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kita setelah ibubapa meninggal dunia. Laksanakanlah ketujuh-tujuh perkara di atas, nescaya ia memanfaatkan ibubapa. Janganlah ditambah atau dikurangi, melainkan memiliki dalil yang sahih lagi jelas.[15]