Monday, November 1, 2010

MAKANAN PENGARUHI BENTUK & KEPERIBADIAN MANUSIA

 

Umat Islam perlu pastikan rezeki dinikmati daripada sumber halal bagi permudahkan ibadah

APABILA membicarakan isu makanan halal, semua mata akan memandang kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil serta logo halal dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai agensi penguatkuasaan.

Walaupun kerap pengguna diingatkan mengenai tanggungjawab serta kuasa yang ada pada mereka, tidak banyak usaha dilakukan ke arah meningkatkan kesedaran pengguna terutama umat Islam mengenai kepentingan mengetahui sumber makanan yang dimakan. Atau, ada usaha ke arah mengingat serta menyedarkan tetapi sama ada kurang berkesan atau masyarakat hari ini sudah tidak ambil pusing mengenai perkara itu dengan anggapan apa saja dijual di luar sana, halal untuk mereka.

Pendedahan mengenai sikap pengguna terutama umat Islam yang tidak menghiraukan atau mengambil berat apakah makanan dibeli dan dimakan itu benar-benar halal dapat dilihat dalam rancangan Aduan Rakyat terbitan TV3, siaran Rabu lalu.

Dalam kesibukan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap premis makanan menggunakan logo halal palsu dan melakukan kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, pelanggan di medan selera yang dikunjungi menunjukkan sikap tidak ambil peduli.

Tidak ada seorang pun yang dilihat berminat untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dan kehadiran pegawai Jakim serta KPDNKK memeriksa premis sedikitpun tidak mengganggu aktiviti jual-beli di medan selera itu.
Namun, bagi umat Islam, mereka disuruh mencari dan mengambil makanan halal untuk memenuhi keperluan mereka seperti ditegaskan firman Allah yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badli Shah Alauddin, berkata umat Islam perlu berhati-hati kerana Islam tidak berkompromi dalam soal makanan dan sebagai pembeli, hak membuat pilihan terletak seratus peratus pada diri mereka.

Katanya, makanan bukan perkara kecil kerana ia keperluan fizikal manusia dan kesilapan mengambil makanan yang tidak halal kepada umat Islam juga bukan perkara kecil disebabkan perbuatan itu akan berulang selagi tidak timbul kesedaran serta keinsafan.

“Inilah yang perlu kita maklum kepada masyarakat terutama umat Islam mengenai kepentingan menentukan sumber makanan yang menjadi darah daging kita biarlah daripada yang halal, bersih serta selamat kepada kesihatan.

“Ingin diingatkan juga, dosa pertama manusia kepada Allah ialah dosa makan seperti kisah Nabi Adam. Oleh itu, perkara makan bukan main-main tetapi ia perlu diberi perhatian tambahan pula sekarang ini pelbagai pilihan dihidangkan di depan mata,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan masalah sosial membelenggu masyarakat hari ini termasuk hubungan ibu bapa serta anak yang mempunyai kaitan dengan makanan dimakan, sumbernya dan apakah ia datang daripada rezeki diberkati hasil kerja mengikut syariat Islam.

Badli Shah berkata, bagi umat Islam adalah cukup mudah untuk menilai atau mengetahui kesan makanan yang dimakan terhadap pembangunan diri seterusnya melakukan tindakan perlu mengubah keadaan kepada lebih baik.

Sebagai contoh katanya, mereka yang menjaga ibadat serta memastikan rezeki yang dinikmati daripada sumber halal, hatinya akan jinak melaksanakan semua hukum agama sementara yang tidak memberi perhatian kepada perkara berkenaan, akan merasakan tuntutan agama sebagai bebanan.

“Perkara ini kita boleh nilai sendiri. Jika hari ini senang nak bangun solat Subuh, pasti makanan yang kita ambil itu bagus. Pandangan makanan tiada kaitan dengan peribadi tidak benar kerana apa yang kita makan memang mempengaruhi keperibadian,” katanya.

Katanya, sebagai pengguna, umat Islam sebenarnya mempunyai hak mutlak untuk membuat pilihan dan sewajarnya menggunakan kuasa bagi menentukan hanya makanan benar-benar diperakui halal dijual kepada orang Islam, bukan yang diragui statusnya.

Hakikatnya kuasa pengguna boleh menggugat keselesaan peniaga dan jika digunakan sepenuhnya boleh memaksa peniaga memohon sijil halal diiktiraf kerajaan sebagai usaha menarik pelanggan terutama umat Islam yang sepatutnya memastikan makanan dimakan benar-benar halal.

Keperluan membentuk kesedaran pengguna adalah agenda penting demi menjayakan usaha kerajaan mewujudkan Akta Halal dan penggunaan satu sijil halal yang diperakui di negara ini serta mengelak kekeliruan kebanjiran sijil halal swasta.

Jika dulu peniaga tidak bertanggungjawab dan mengejar keuntungan semata-mata boleh meletakkan ayat al-Quran atau perkataan halal sesuka hati di premis dan produk keluaran syarikat mereka, dengan kesedaran serta kuasa pengguna, jenayah penipuan demi menarik pelanggan Islam itu boleh dibanteras.

Sebaliknya, jika pengguna tidak ambil peduli dengan sikap peniaga bukan Islam mempergunakan taktik murahan itu untuk mengaut keuntungan, pengguna juga akan terus ditipu memakan makanan diragui status halalnya.

Perniagaan makanan terus berkembang dengan pembukaan lebih banyak medan selera serta restoran, maka apabila pengguna Islam bertindak menjaga sumber makanan hanya yang halal, ini akan memaksa peniaga memenuhi tuntutan pengguna.

Kesedaran dan keprihatinan perlu datang daripada pengguna sendiri terutama umat Islam untuk mengambil tahu dengan terperinci makanan atau barangan dibeli itu benar-benar halal mengikut syariat Islam.

Ketika membeli-belah, berapa ramai antara kita membelek pek dan tin untuk melihat logo halal dikeluarkan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain)? Ketika makan di restoran diragui, berapa ramai akan bertanya peniaga apakah makanan yang dijual halal? Isu sebegini kepada umat Islam, tepuk dada tanya iman.

sumber: Utusan 9 JULY

[tweetmeme only_single="false"]