Tuesday, December 21, 2010

kesabaran Siti Hajar

 

Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering
kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar.
Walaupun perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan
kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk
meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia
yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah
di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan,
tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di
tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s. turun dari untanya dan
mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi
kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya,
bagaimanakah cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT
itu. Sepanjang perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk
berkata-kata.

Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim a.s.
bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan
suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya
sambil merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan
bersama anakmu di sini?" Tanpa memandang wajah isterinya yang
dicintainya, Nabi Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan
kepala. ""Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak
begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan di tengah-
tengah padang pasir yang kering kontang ini." ""Tidak wahai isteriku,
bukan kerana dosamu..." ""Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan
anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau
meninggalkannya?" Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan
pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu.

Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya
untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi
sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT,
masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia
sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah
SWT. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik
perintah Allah SWT itu? Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak,
dengan rahmat Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu
masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh
manusia dari serata pelusuk dunia, yang berduyun-duyun datang untuk
membesarkan Allah SWT.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan
menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan... Lalu dengan hati yang
berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada
uaminya : "Jika benar ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah
kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap sambil
mengesat air matanya yang berlinangan. Ditabahkan hatinya dengan
berkata : "Tentang keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada
Allah SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami
yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta
redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Cuma...,"
katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada
kami." Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya Siti
Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk
berdoa : "Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang
pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami,
teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati
manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka dari
buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."

Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang
dicintai.Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di
padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat
tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji Allah SWT,
ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko yang bakal
dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri
dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan
menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT.

Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam
pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan
syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan
berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan
makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama
sekali. Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir
buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang
kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada
air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang
dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa.
Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya
diletakkan memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah
anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana.
Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua
bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari
sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan
anak yang telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-
hentakkan kakinya ke bumi.

Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air,
terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s.
Waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun
mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.."
yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata
kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan berhenti
untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah
Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak
Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam
gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk berdatangan.

Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan isteri Nabi yang
dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua peristiwa itu,
hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.

[tweetmeme only_single="false"]