Thursday, December 23, 2010

Mengapa Mesti Berbohong?

 

Ramai di kalangan kita suka berbicara tentang pembohongan. Ada yang mengkategorikan pembohongan sebagai satu keperluan, lantas menamakannya sebagai
"tipu sunat". Pada mereka, pembohongan ini dibenarkan jika mereka ingin menutup kekurangan atau menyembunyikan rahsia demi menjaga hati insan-insan yang lain. Biar apa pun alasannya, matlamat itu tidak
sesekali menghalalkan cara yang mereka gunakan.

Biarpun kecil, pembohongan tetap satu dosa, tetap bergelar satu pengkhianatan ke atas prinsip kemanusiaan.

Jujurlah biarpun ianya pahit

Penipuan atau pembohongan adalah satu perbuatan untuk mewajarkan tindakan yang tidak direstui. Menutup rahsia dan kekurangan peribadi merupakan alasan yang
paling dominan digunakan untuk tidak berlaku jujur.

Seorang lelaki misalnya, menipu tentang kerjaya dan peribadinya semata-mata untuk memikat seorang gadis. Dan seorang gadis pula menipu untuk menyembunyikan
kekurangan yang ada pada dirinya. Sebuah cerita rekaan dicipta untuk memulakan sebuah penipuan yang kecil hanya dengan tujuan menyembunyikan rahsia dan
kekurangan. Tanpa disedari, satu penipuan itu sentiasa memerlukan penipuan demi penipuan yang lain agar rahsia tidak akan sesekali terbongkar. Dan akhirnya,
hidup mereka ini akan dipenuhi dengan ketidakjujuran semata-mata, hingga akhirnya mereka menipu diri mereka
sendiri.

Pembohongan hanya akan mengotorkan hati. Biarpun dengan niat yang baik, Islam tetap mengharamkannya dalam kehidupan. Malah, hukum menetapkan, menipu sebagai salah satu perbuatan orang-orang yang munafik.
Dalam ajaran Islam, sekali menipu beerti kita menjejakkan selangkah tapak untuk mendekatkan kita dengan neraka. Dan Baginda Rasullullah s.a.w pernah
bersabda, "berbohong akan mengurangkan rezeki".

Tidak akan ada salahnya jika kita berkata benar. Kebenaran adalah asas kepada sebuah kejujuran. Seandainya pembohongan atau penipuan mampu tersimpan selamanya, mungkin kita akan terselamat. Namun,
seandainya penipuan terbongkar, bukankah kredibiliti kita sendiri yang akan dipertikaikan? Kejujuran mampu membuat orang lain meletakkan kepercayaan kepada kita.

Namun apabila sekali kepercayaan itu dikhianati, mampukah kita merebut kepercayaan itu buat kedua kali?
Seandainya mampu sekalipun, pasti kepercayaan kali kedua itu akan disertai dengan syak dan ragu. Mahukah kita hidup dalam syak wasangka sepanjang masa? Mahukah
kita hidup dalam keadaan orang lain sukar mempercayai apa yang kita katakan? Bukankah terbukti di sini, kejujuran adalah asas kebahagiaan dan ketenangan jiwa?

Kejujuran mampu membuat manusia terhindar daripada melakukan kejahatan. Suatu ketika dahulu, ada seorang pemuda yang ingin menghapuskan sikapnya yang suka berjudi dan minum arak. Pemuda tersebut telah datang kepada Rasulullah s.a.w. Baginda kemudiannya hanya meminta pemuda itu berlaku jujur. Setiap Jumaat, pemuda itu menghadap Rasulullah s.a.w untuk melaporkan
apa yang dibuatnya sepanjang minggu tanpa menipu.

Akibat malu menceritakan dengan jujur kepada Rasulullah tentang perbuatannya yang suka berjudi dan minum arak itu, akhirnya pemuda itu berjaya meninggalkan tabiat-tabiat buruk tersebut, lalu
berubah menjadi seorang pemuda yang baik laku hanya kerana ingin berlaku jujur.

Kejujuran benteng kasih sayang

Di mana-mana di dunia ini, kasih sayang adalah nadi kehidupan. Kasih sayang yang teguh adalah kasih sayang yang terbina di atas landasan kejujuran dan keikhlasan. Bahagialah hidup insan yang mampu
mempertahankan kebahagiaan dan kasih sayangnya dengan kejujuran. Ingatlah, penipuan takkan selamanya mampu kita selindungkan. Satu masa, ia akan terbongkar juga.

Dan di saat itu, kasih sayang yang terbina di antara si penipu dengan mangsanya pasti akan berkubur di kaki sejarah. Syak wasangka akan mula sentiasa merajai
hati. Berlaku jujurlah pada semua insan di sekeliling kita. Berlaku jujurlah pada diri sendiri. Semoga kasih sayang dan kebahagiaan yang terbina, kekal menjadi
milik kita hingga ke akhir nanti...

[tweetmeme only_single="false"]