Marilah kita bersama-sama merenungi sepotong ayat yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Nisa iaitu ayat 136 yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan (kepada) kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada Rasulnya (Muhammad) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu.
Dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah dan malaikat-malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasulnya dan hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan sejauh-jauhnya.
Ayat ini menunjukkan bahawa beriman kepada kitab suci Al-Quran dan menjadikan isi kandungannya sebagai pedoman dan panduan hidup kita merupakan suatu kewajipan bagi kita. Tidak ada seorang mukmin pun yang boleh mengatakan bahawa isi dan suruhan di dalam Al-Quran sudah tidak sesuai di zaman moden ini. Bagi mereka yang mengatakan sedemikian dengan bermaksud menghina dan memperkecilkan isi kandungan Al-Quran sesungguhnya ia telah sesat di akhirat kelak, Allah menyediakan untuknya azab.
Marilah kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah usaha kita untuk menambah keimanan dan keyakinan kita dengan menjadikan Al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita sehari-hari dan sejauh manakah usaha kita untuk menghayati isi dan kandungan Al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah untuk umat manusia.
Untuk melihatkan bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan Al-Quran tersebut perlulah ada pada diri kita berapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri yang dimaksudkan itu ialah:
Yang pertama, hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafalnya. Dengan membaca Al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, kaimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dengan membaca Al-Quran itu juga kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud sabda junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.: "Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya".
Ciri yang kedua pula ialah Al-Quran itu hendalah di baca dengan tertil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid. Memperelokkan suara ketika membaca Al-Quran akan menjadikan bacaan tersebut menyusuk ke dalam jiwa lalu menyentuh perasaan pendengarnya. Ciri yang ketiga ialah hendaklah kita sentiasa meneliti makna-makna ayat Al-Quran, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam Al-Quran itu. Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 24:
Yang bermaksud: Maka apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran.
Ciri yang keempat, hendaklah Al-Quran itu diajarkan kepada semua umat Islam iaitu disebarkan Al-Quran dengan seluas-luasnya agar mereka juga akan dapat terus melaksanakan tanggungjawab mengamalkan dan memelihara kitab Allah tersebut dari satu generasi ke satu generasi selanjutnya. Mempelajari dan seterusnya mengajarkan Al-Quran itu merupakan sunah suruhan Rasulullah s.a.w. sebagaimana anjuran baginda dalam sabdanya yang bermaksud: Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.
Seterusnya hendaklah kita berusaha mengamalkan segala isi kandungan Al-Quran tersebut. Inilah munafaat dan faedah yang paling penting dan besar yang dapat kita nikmati dan perolehi daripada Al-Quran setelah kita memahami isi kandungan. Amatlah buruk sekali jika kita hanya mengetahui isi kandungan Al-Quran dan memperkatakannya, tetapi kita gagal atau tidak mahu beramal dengannya. Allah s.w.t. berfirman:
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? amat besar kebenciannya disisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Marilah kita hiasi hidup kita ini dengan memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran. Kita munafaatkan hidup kita dengan membaca, menghafal, mempelajari segala petunjuk yang terkandung di dalamnya, memahaminya serta menghayati dan mengamalkan segala ajaran yang ada di dalamnya. Semoga Allah mencurahkan kepada diri kita, anak-anak kita dan isteri-isteri kita keberkatan dan keredhaannya sepanjang hayat kita di dunia dan kita mendapat kebahagiaan di akhirat nanti.
Kita pada hari ini sewajibnya bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan sifat pemurahnya kita tidak dibiarkan hidup sendirian dan kita tidak dilepas hidup tanpa panduan. Kita dibekalkan oleh Allah dengan kitab suci Al-Quran Al-Karim untuk membimbing dan memandu kita dalam menghadapi hidup dibumi ini. Kita dijadikan dan diwujudkan oleh Allh s.w.t. dimuka bumi ini adalah untuk bekerja dan beramal mengikut panduan dan pengajaran yang diberikan oleh Al-Quran. Dan Allah juga yang memerhati dan menilai segala perbuatan kita itu. Kita sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menilai perbuatan kita dan kita juga tidak diberi kuasa untuk membalas perbuatan kita sendiri.
Marilah sama-sama kita mempelajari Al-Quran, menadah dan membaca makna dan pengajaran Al-Quran dan seterusnya beramal dan bekerja mengikut Al-Quran, kerana Al-Quran adalah panduan hidup kita.
Yang bermaksud: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kejalan yang lebih lurus dan memberikan khabar gembira kepada orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.