Wednesday, March 9, 2011

Jangan pernah puas beramal

 

image

IMAM 'Atha al-Sulami membawa kain tenunannya ke pekan untuk dijual kepada seorang penjual kain. Kain itu satu-satunya hasil tenunannya yang dianggapnya terbaik diantara yang lain, kerana tenunannya telah dikerjakannya dengan tekun dan berhati-hati, dengan sepenuh daya kreativitas. Dia cukup puas hati dengan hasil tenunannya itu.

Penjual kain yang dikunjunginya di pekan itu membolak-balik kainnya itu. "Tuan akan jual kain ini? Berapa harganya?", tanya penjual kain itu.
"Sepatutnya harga kain ini lebih mahal. Tapi aku bersyukur, jika harganya sama dengan harga kain biasa yang pernah engkau beli." jawab 'Atha al-Sulami.

Pekedai kain itu menggeleng-geleng dan tersenyum sumbing.
"Tapi kain ini rendah mutunya. Tenunannya tidak rapi, tidak halus, corak dan warnanya tidak menarik. Ukurannya pun lebih kecil daripada ukuran biasa. Jika tuan tidak percaya ucapan saya, tuan boleh tanya orang lain. Bawalah kain ini kepada penjual kain yang lain."

Imam 'Atha al-Sulami merasa sedih dan kecewa. Dia membisu.
"Bagaimana pun, hamba boleh beli kain ini, tapi dengan harga yang murah sahaja".

Tanpa bertanya tentang harga yang sanggup dibayar oleh penjual itu, pelan-pelan Imam 'Atha al-Sulami melangkah ke luar kedai. Tiba-tiba dia terduduk di warung kaki lima, lalu menangis. Kepalanya yang tertunduk tersengguk-sengguk digoncang oleh sedu-sedan tangisannya itu.

Melihat keadaan itu, tercetus rasa simpati di hati penjual kain, lalu dia segera menghampiri Imam 'Atha al-Sulami.
"Sampai begitu sekali kesedihan tuan? Tadi, hamba berkata benar, mutu kain tuan itu rendah. Rugi hamba kalau membelinya dengan harga biasa. Maafkan hamba".

Imam 'Atha al-Sulami menangis terus, seolah kehadiran penjual itu tidak disadarinya. Penjual kain tertunduk resah.
"Baiklah. Berikan kepadaku kain itu. Aku beli kain itu dengan harga biasa. Aku sanggup membelinya semata-mata kerana aku mahu menyenangkan hati tuan. Aku kasihan melihat keadaan tuan terlalu sedih sampai menangis
begitu rupa. Jika tangisan tuan itu kerana aku, maafkanlah aku..."

"Tidak. Aku sedikit pun tidak merasa kecil hati kepadamu," 'Atha al-Sulami berbicara dengan suara serak. "Malah. Aku bersyukur, kerana tindakaanmu tadi
sungguh-sungguh telah menginsafkan aku".

"Jadi, tuan menangis bukan kerana kecewa kerana menawarkan harga kain itu dengan yang lebih rendah daripada biasa?"

Imam 'Atha al-Sulami mengangguk dalam tangisannya yang berterusan. .
"Kalau begitu, Kenapa tuan menangis?".

"Aku menangis kerana sedih mengingatkan amal ibadatku. Kain hasil tenunanku ini kebetulan ada persamaannya dengan hasil amalan ibadatku selama ini".

"Ajaib. Bertambah ajaib. Bagaimana kain itu ada persamaannya dengan ibadat tuan?"

"Begini. Kain ini aku tenun sebaik-baikya. Seberapa mungkin aku bertekun mengusahakannya supaya mutunya baik. Dan, sebelum ini aku rasa kain ini cukup baik, bahkan lebih baik daripada hasil tenunanku sebelumnya, tidak ada cacat-cederanya. Tetapi sekarang barulah aku sedar, apabila dibawa kepada orang yang pakar dalam hal kain seperti engkau, rupa-rupanya kain ini banyak cacat cederanya, rendah mutunya".

Kepala Imam 'Atha al-Sulami tertunduk kembali, menahan sedu tangisannya. Ternyata, kesan kesedihannya masih ada dikalbunya. Hal ini kentara sekali kepada penjual kain itu.

"Jadi betullah, tuan bersedih dan menangis kerana hamba ...."

"Tidak!". Imam 'Atha al-Sulami cepat memotong cakap penjual kain itu.

"Aku menangis apabila teringat, betapa amal ibadatku dinilai oleh Allah Taala pada hari Kiamat nanti. Selama ini aku berpuas hati dengan amal ibadatku, sebagaimana aku berpuas hati dengan hasil tenunanku ini. Allah Taala yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui, sama ada yang nyata atau yang ghaib, yang lahir atau yang batin; sudah pastilah segala 'ujub atau cacat-cela amal ibadatku kentara kepada-Nya. Bandingannya, cacat-cela kain ini kentara kepadamu yang tahu menilainya"

Dia tertunduk pula. Kesedihan masih tersisa di dalam dadanya. "Kerana kelalaianku, tidak pernah terfikir di benakku tentang ketidak-semprnaan amal ibadatku, kecuali setelah engkau menyatakan ketidak-semprnaan kain ini. Sekarang aku takut amal ibadatku menjadi sia-sia
saja, kerana selama ini rasa ujub, bangga dan rasa puas hati yang telah bersarang di dalam kalbuku terhadap amal ibadatku. Aku bimbang, amal ibadatku rendah mutunya, sama dengan kerendahan mutu kain ini. Itulah yang
menyebabkan aku bersedih dan ...."

Kepalanya tertunduk pula, menahan serangan kesedihan yang kembali memburaikan tangisannya.

~ perjalanan masih jauh, perjuangan belum selesai !

[tweetmeme only_single="false"]