Friday, April 8, 2011

Cegahan Daripada Sikap Bakhil

 

image

SEBALIKNYA, orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, serta ia mendustakan perkara yang baik. (Al-Lail : 8-9)

Huraian:

Menjadi lumrah kehidupan manusia mengejar kesenangan dan kemewahan dunia, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi kini di mana perbelanjaan hidup memerlukan kos yang tinggi.

Pangkat dan darjat menjadi rebutan agar dipandang tinggi dalam masyarakat, sehingga mereka alpa akan kebajikan dan kepentingan individu lain dan hanya menurut hawa nafsu semata-mata.

Islam sememangnya menggalakkan umatnya memajukan diri dengan mencari kekayaan dan nikmat dunia tanpa melanggar peraturan- peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya demi menaikkan imej Islam di mata dunia.

Mereka perlu saling membantu terhadap insan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya.

Sesungguhnya dalam harta yang melimpah ruah itu, ada hak orang miskin (zakat yang wajib dibayar).

Walau bagaimanapun, suatu sikap yang sukar dikikis dan dibendung iaitu sifat tamak, bakhil, kedekut dan mementingkan diri sendiri lebih daripada segalanya.

Mereka tidak mahu mengeluarkan sedekah ke jalan kebaikan, sama ada dari segi kewangan, buah fikiran dan amal perbuatan.

Mereka sentiasa mendabik dada dan menganggap ia adalah hasil usahanya semata tanpa bantuan mana-mana pihak.

Islam melarang sikap sebegini kerana boleh membawa kepada kerugian diri dan masyarakat sekiranya tidak dibendung segera.

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah Ali- Imran ayat 180 yang bermaksud:

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka.

Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat kelak.

Kesimpulan:

Islam melarang umatnya bersikap bakhil dan kedekut, mereka digalakkan saling bantu membantu dan mengagihkan harta yang dikurniakan Allah itu dengan saksama.

Dengan ini harta berkenaan akan beredar kepada masyarakat dan dapat dikongsi bersama.

Perlu diingat harta dunia hanya sementara dan boleh ditarik semula pada bila-bila masa apabila dikehendaki oleh-Nya.

Oleh itu, hindarilah sifat tamak, bakhil dan mementingkan diri sendiri yang hanya akan membawa kerugian.

[tweetmeme only_single="false"]