Monday, April 4, 2011

Di mana ALLAH

 

image

Sesekali kita perlu merenung jauh ungkapan “ di mana Allah dalam hati kita,” agar kita dibayangi kasih saying Allah dengan apa yang kita lakukan, dalam kehidupan harian yang banyak menjurus kepada habuan duniawi lebih daripada mengingati Allah.

Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan untuk dijawab, di mana ia boleh membantu meningkatkan iman,hubungan serta keupayaan untuk majudalam pelaksanaan ibadat yang sangat-sangat dituntut oleh Islam.
Persoalan seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah dalam perkara yang patut diagungkan? Bagaimana pula keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam sanubari kita?

Sehubungan ini, Saidina Ali bin Abi Talib ada mengungkapkan kata-kata masyhurnya yang memuji golongan solihin, antara lain beliau menyebut: sesungguhnya keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang mereka lihat selainNya adalah kecil belaka.

Cuba perhati serta renung secara mendalam kehidupan golongan solihin, yang penuh dengan pujian terhadap Allah atas segala keagungan ciptaanNya.

Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat dalam bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian Islam dengan kata-kata atau perbuatan. Mereka hanya takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi derhaka kepadaNya.

Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah, tidak memohon sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka hanya berpaut hanya untukNya, semua yang ada di muka bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah sahajalah yang kekal tanpa kesudahan.

Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah? Bagaimana hubungan kita denganNya? Adakah kita benar-benar memelihara kebenaran konsep cinta hanya kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita untuknya? Adakah kita telah melakukan apa yang dikehandakiNya dalam proses kita meletakkan cinta hanya kepadaNya?

Perhatikan firman Allah kepada nabi Daud : “Wahai Daud! Sesungguhnya engkau menghendaki sesuatu daripadaKu, ana pun menghendaki sesuatu daripadamu. Jika engkau benar-benar taat kepadaKu pada apa yang ana mahu, maka ana akan permudahkan apa yang engkau mahu. Jika engkau menentangKu pada apa yang ana mahu, maka ana akan menyusahkan engkau, maka berusahalah pada apa yang ana mahu.

Dalam suasana yang lain pula, Allah ada menyatakan dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud : “jika mana-mana hambaKu mentaatiKu, maka ana redha (rela) kepadanya, bila ana redha kepadanya maka akan ana berkati seluruh hidupnya, sesungguhnya keberkatan ana tidak ada penghujungnya, dan jika hambaKu melakukan maksiat kepadaKu, ana marah kepadanya, bila ana marah kepadanya maknanya ana melaknatnya.

Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka berada, dalam apa jua jawatan yang disandangnya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada hambaNya yang memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia, hingga tiada ruang Allah di dalam hatinya.

Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika Allah Maha Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya, anak yang disayangi dijadikan korban tanpa berbelah bagi, itulah terjadi yang kepada Nabi Ibrahim yang menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.

Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak banyak bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah Allah untuk menghalakan kiblat ke Baitullah (Kaabah). Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka.
Hidup dan mati mereka hanya untuk Allah dan bukan yang lain, kerana yang lain selain Allah akan mati dan memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak sempurna.

             Waktu sesuai untuk mendampingi Allah

Sekali lagi kita tanya diri sendiri “Di mana Allah dalam hati kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat kepadaNya?

Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut : “ana bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana ana”

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah kepada kita yang mampu bangun di tengah malam-Allah menyebut: “adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana ana menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka ana ampunkan segala dosa-dosanya dan memohon sesuatu maka ana berikan kepadanya”

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati kita ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNya untuk meninggikan syiar agamaNya walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.

Berapa banyak ruang yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dianugerahkan Allah ke atas kita, terus bersyukur kepadaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa, isteri atau suami kepada kita.

Atau kita hanya sekadar menerima nikmat tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah.

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara saudari seagama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan, tapi apa yang penting, di mana Allah dalam hati kita?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri di mana Allah dalam hati kita? Allah kah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan ana ketika hendak bertemu dengan Allah (mati) sedangkan ana melakukan maksiat kepadaNya?

Apabila kita ingat Allah pada waktu susah, pasti Allah akan ingat kita pada waktu kita senang dan lapang.

Demikianlah peringatan yang perlu kita sama-sama ingatkan antara satu sama lain, agar Allah ada dalam hati kita sama ada pada perkara sekecil-kecilnya atau yang sebesar-besarnya, Tanya diri – di mana Allah dalam hati kita?

[tweetmeme only_single="false"]