Menurut Dr. Harlina Haliza Siraj, terdapat 20 hingga 30 peratus wanita dalam JIM adalah wanita muda yang belum berumah tangga. Kehadiran wanita semakin ramai mendominasi kehidupan, baik di kampus, bisnes, persatuan kemasyarakatan atau di sektor perkilangan telah membuktikan ramainya jumlah wanita dalam masyarakat di negara ini. Dalam sebuah hadis daripada Anas dan diriwayatkan oleh Bukhari, seorang lelaki mengurusi sebanyak 50 orang perempuan pada akhir zaman. Jumlah ini tidak harus dimusykilkan bahkan jangan cuba melawan dengan mengadakan usaha meramaikan kaum adam kerana fenomena ini disengajakan oleh Allah sebagai dugaan dan tanda akhir zaman.
Keramaian kaum hawa telah mengubah persekitaran dunia moden. Perubahan ini bukan sahaja dampak daripada jumlah kehadiran mereka tetapi perubahan sosial setelah peningkatan taraf pendidikan, perindustirian dan pemodenan yang dialami telah menyebabkan kaum hawa bangkit melepasi tembok tradisi mereka yang diletakkan sebagai pembantu suami di rumah. Maka berkokoklah sesetengah gerakan feminis yang cuba memartabatkan status wanita. Mereka mahu membebas daripada cengkaman dan ketuanan lelaki yang selama ini menyelubungi mereka. Feminis menginjak-injak tafsiran agama secara tradisi sebagai regalia bagi lelaki memperhambakan mereka. Mereka menghina poligami dan pembahagian harta pusaka yang dianggap menjatuhkan martabat mereka. Kaum feminis ini telah terpengaruh dengan faham wanita yang terlampau dengan menyembah ajaran feminisme Barat.
Feminis menaja ‘kuasa wanita’ cuba memecah taboo pemikiran beragama di kalangan kaum hawa. Feminisme sekali imbas tampak menarik dan berkesan tetapi fahaman ini hanya bersifat khayali untuk orang bermimpi sahaja. Kewujudan fahaman ini ekoran pengaruh Barat yang dicumbui oleh mereka dan ketidakfahaman mereka tentang ajaran Islam yang syumul dan sahih. Kebanyakan feminis mendapat pendidikan dari Barat dan diajar oleh orang non-muslim menyebabkan akal-pengertian tentang ajaran Islam terus tersimpul. Feminis adalah kaum sesat di siang hari dimana pencerahan hidayah di sekelilingi mereka cuba dipadam oleh nafsu mereka sendiri. Mereka tidak menghiraukan saranan ulama kerana mereka bongkak dan degil dengan keunggulan kefahaman ilmu agama mereka yang cetek dan sesat itu.
Antara impak senario feminisme adalah kelambatan wanita berpendidikan tinggi berkahwin. Ada beberapa faktor yang menelurkan fenomena andartu seperti sejarah hidup semasa lampau melalui ibubapa, perkahwinan sesuatu yang membebankan, malu memulakan langkah pertama. Perempuan yang melepasi umur tertentu masih belum berkahwin akan merasai perkahwinan tidak menjadi perkara yang penting bagi mereka kerana mereka stabil dari segi kerjaya dan pendapatan. Kekuatan wang juga digunakan oleh wanita andartu untuk membeli gigolo, mandi buih bersama rakan-rakan, pengamalan seks di luar tabii manusia dan berpeleseran di kelab hiburan. Sebenarnya kita menyukarkan yang mudah dengan melibatkan emosi dan ingin memuaskan nafsu keunggulan wanita sahaja. Kita tertipu dengan keindahan slogan yang dilaungkan oleh feminis.
Syeikh Ali Thantawi telah mengemukakan senjata ampuh untuk menyelesaikan masalah wanita iaitu berkahwin. Sebenarnya, berkahwin telah menyelesaikan separuh daripada masalah yang dihadapi oleh wanita. Perkahwinan adalah perkongsian jiwa yang merungkai simpulan, menyejukkan yang panas dan menguatkan yang rapuh. Kebanyakan feminis yang berjuang itu sendiri belum berkahwin, tidak mempunyai anak dan mereka bukan juga pengamal Islam yang syumul. Mereka ini membasuh najis dengan air kencing. Inilah kebebalan mereka. Mahu menghapuskan AIDS dengan menghalalkan kondom. Halal kondom bermakna menghalalkan zina dan seks bebas. Mahu menghapuskan perogolan dengan menghalalkan pembukaan aurat. Inilah tanda kedangkalan ilmu, faham dan iman mereka. Mereka ini hanya mahu mengemankan kelazatan kaum hawa yang lain.
Disinilah perlunya peranan mahasiswi Islam di kampus-kampus. Mahasiswi Islam perlu menyedarkan para mahasiswi tentang bahayanya wabak feminisme yang cuba mengherotkan pandangan Islami. Pendekatan seminar, risalah dan dakwah bilik ke bilik boleh dijalankan untuk menerangkan tentang impak negatif feminisme. Selain itu, institusi lagenda seperti Baitul Muslim perlu diberikan suntikan idea baru. Institusi ini boleh dijadikan wadah perkenalan sihat bagi para mahasiswa. Sebenarnya, keaktifan mahasiswi dalam persatuan adalah satu kaedah halus menpromosi diri mahasiswi Islam. Gerak kerja bersama membolehkan kita melihat akal-budi seseorang. Perkara ini terbukti sehingga terdapat ahli usrah berkahwin sesama mereka. Bagi penulis ini adalah perkara yang positif walaupun orang mungkin mempersoalkan tujuan atau niat seseorang itu berpersatuan. Ya, benar tujuan berpersatuan perlu diutamakan tetapi faedah-faedah sampingan berpersatuan perlulah dihargai dan tidak harus ditolak.
Penulis percaya mahasiswi Islam terutamanya ‘mawar-mawar’ gerakan mahasiswa Islam adalah gadis yang mulia dan terhormat perlulah memerangi musibah dan wabak yang dicetuskan oleh para durjana berkiblat Barat ini. Kukuhkanlah Persatuan Mahasiswa Islam dikampus untuk mengembali kebenaran Islam di kalangan mahasiswi Islam. Ancam mereka dengan firman Allah dan contoh logik seperti penyakit daripada seks bebas kepada mereka yang melakukan maksiat. Dan terakhir diri mahasiswi Islam sendiri cuba memudahkan urusan perkahwinan terutamanya berkaitan mas kahwin dan pilihan kerjaya seseorang lelaki.
Marilah bersama-sama memeriahkan dunia perkahwinan Islami kerana dengan perkahwinan kita dapat menambahkan pahala ibadat dan menceriakan kehidupan berkeluarga yang sememangnya menjadi fitrah bagi setiap manusia. Semoga perkahwinan secara memahami Islam yang syumul dan sahih dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah sosial masyarakat.