Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Engkau. Maha suci diri-Mu, sesungguhnya aku tergolong dalam golongan orang yang menzalimi diri sendiri.”
Kenapa? Mengapa setelah Allah suruh kita memuji-Nya, diminta kita kutuk diri sendiri? “Aku zalim. Aku zalim…” seolah-olah itu kehendak Allah SWT.
Umumnya manusia merasakan dirinyalah orang paling baik dan betul dalam perjalanannya diatas muka bumi. Sebab itulah walaupun dia berlaku zalim, jarang sekali ia sedar diri dan jauh sekali untuk mengaku telah melakukan kezaliman keatas orang lain. Lebih-lebih lagilah sulit untuk kita temui orang yang sedar ia telah berlaku zalim keatas keatas dirinya sendiri, ditambah pula kerana manusia lebih suka menyalahkan orang lain dan lebih nampak kesalahan orang lain daripada dirinya sendiri.
Manusia dikatakan menzalimi dirinya sendiri apabila sikap dan tindakan yang dilakukannya dalam kesedaran, menempah kehinaan dalam hidup didunia dan azab sengsara diakhirat kelak. Dirinya terzalim kerana terpaksa menanggung akibat buruk akibat tindakan diri-sendiri, bukan dari campur tangan orang lain keatasnya. Jadi dia bukan dizalimi (oleh sesiapa) tetapi menzalimi diri sendiri.
Manusia tergolong dalam golongan mereka yang menzalim diri sendiri kerana melanggar syariat Allah, zahir mahupun batin. Dengan itu menyebabkan dirinya terjebak dengan dosa. Firman Allah:
“ Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah, maka dia adalah dari oaring-orang yang zalim.” - Al Maidah: 15
Bila dirinya terjebak dengan dosa sama ada dosa kepada Allah mahupun dosa sesama makhluk, maka dirinya terzalim kerana telah menempah tiket kehinaan hidup didunia dan azab yang pedih diakhirat. Oleh kerana kejahilan kita dalam hal ini maka memungkinkan mudahnya hati kecil kita mengeluarkan kata-kata, “Tak patut Tuhan, suruh kata aku ni zalim!” Memang begitu sikap orang jahil, ia akan memusuhi apa yang diluar pengetahuaanya.
Sebenarnya tanpa kita sedari, setiap saat dan ketika kita berada sama ada dalam pahala atau dosa. Kedua-duanya sungguh mudah untuk kita perolehi. Sebab dosa ataupun pahala dilakukan anggota lahir dan anggota batin yang sama. Dengan keadilan dan kasih sayang Allah, kita telah dibekalkan dengan akal fikiran untuk meninbang dan memilih serta didatangkan para Nabi dan Rasul untuk memperjelaskan syariat Allah serta memberi peringatan (khabar gembira dan dukacita) kepada manusia yang memang bersifat lupa, leka dan lalai.
Diantara contoh kita menzalimi diri sendiri ialah kerana kufur dengan nikmat Allah yang begitu banyak kita kecapi. Disamping meletakkan diri kita terlibat dengan dosa, kita kita juga menyebabkan Allah tarik balik nikmat kurnia-Nya dan menempah kemurkaan Allah keatas diri kita. Firman Allah
“ jika sekiranya kamu bersyukur nescaya akan aku tambah nikmat untukmu. Dan jika kamu kufur (atas nama-Ku), ingatlah azab dari-Ku amat pedih.”
Sebagai contoh mari kita lihat nikmat yang terdekat pada diri kita iaitu mulut kita. Padanya sahaja setelah Allah sediakan berbagai-bagai nikmat. Ia dihiasi dengan barisan gigi yang indah lagi masing-masing dengan fungsi yang tersendiri. Ada yang bertugas untuk mengunyah, mengerat, mengoyak dan mengisar apa yang kita makan. Begitu juga dikurniakan untuk dapat kita kecapi berbagai nikmat rasa yang lazat dan dibekalkan cecair liur yang tidak pernah kering untuk bertindak sebagai pelincir dan pelembut makanan. Segala-galanya sempurna.
Bila Allah beri rezeki makanan, mulut, akan berperanan melembutkan makanan. Belum sempat kita bersyukur diatas makanan itu, sudah dapat nikmat lazat. Bila makanan lazat sudah tentu rasa puas, belum sempat bersyukur,kita sudah rasa pula nikmat kenyang. Belumpun sempat kita bersyukur atas nikmat kenyang, sudah diberi minuman untuk hilangkan rasa haus dahaga. Seterusnya belum sempat mensykuri nikmat dihilangkan haus telah didatangkan nikmat segar, bertenaga dan berbadan sihat.
Begitulah seterusnya. Kita asyik sahaja belum sempat-sempat bersyukur, tetapi Allas sentiasa meneruskan kurniaan-Nya. Pernahkah kita merasa terkejut dengan kedatangan nikmat Allah yang tidak putus-putus?
“ jikalau kamu hendak menghitung akan nikmat-nikmat Ku maka kamu tidak akan dapat menghitungnya.” – An Nahl: 18
mungkin hati kecil kita masih berat mengakui kelalaian kita dalam mensyukuri nikmat Allah. Cubalah kita membuka jendela rumah kita dan lihat sejauh saujana mata memandang bumi yang terbentang luas. Siapakah agaknya yang merosakkannya? Udaranya dicemarkan, hutan belantara habsi disodok, ditebang dan hiduoan liar dijahanamkan oleh manusia hanya semata-mata untuk diratakan dan didirikan bangunan yang indah lagi mencapai awan.
Sebenarnya Allah SWT jadikan tumbuh-tumbuhan untuk berfungsi membekalkan oksigen untuk kita sedut dan dan kita pula mengeluarkan mengeluarkan karbon dioksida (semasa pernafasan) yang bakal digunakannya tumbuh-tumbuhan untuk membina makanan (kanji) dan mengeluarkan kembali oksigen. Manfaatnya tetap kembali kepada manusia. Begitulah lemah makhluk kerana saling perlu memerlukan satu sama lain.
Jadi kalau kita hapuskan semua pokok-pokok yang menyediakan bekalan pernafasan kita maka memanglah kita zalim. Allah beri rahmat-Nya pada kita tapi kita rosakkan dan Persia-siakan. Oleh itu patut sangatlah dikatakan pada diri kita, “ engakau zalim, engkau zalim…”
Begitu juga, Allah jadikan gunung-ganang yang berfungsi sebagai pasak bumi. Tetapi datang manusia, diruntuhkan bukit-bukau dan disodok-ratakan. Apakaha yang akan terjadi jika pasak tiang sebuah rumah ditanggalkan? Tentulah rumah akan bergoyang dan mudah runtuh walaupun bukannya dilanda ribut kencang. Begitulah juga bumi apabila pasaknya diganggu dan dibuang. Maka akan terjadilah gempa bumi.
Bila bumi ‘bergoyang’ angin dan air pun akan terlibat sama. Paras laut akan berubah, banjir dan angin ribut datang melanda. Semuanya ini menjadi bala bagi semua manusia. Firman Allah:
“ Lahirlah kerosakan dilautan dan daratan, hasil tangan manusia itu sendiri.” - Ar Rom: 40
Segala-galanya ini tiada lain melainkan kerana kelalaian manusia menghormati peraturan Allah sama ada yang berlaku pada alam tabi’ie mahupun yang berlaku atas perbuatan hamba-Nya. Lalai daripada mensyukuri nikmat sebenarnya adalah dosa kerana tidak mengenangkan jasa bakti Allah kepada kita yang telah kita kecapi sewenang-wenangnya. Bila kita sentiasa dalam keadaan berdosa ertinya kita sedang menzalimi diri sendiri kerana dengannya bakal menjerumuskan kita dalam kecelakaan dunia dan akhirat.
Oleh itu mengaku diri sentiasa berdosa ataupun zalim adalah wajar dan elok sekali dilakukan. Kerana pengakuan demikian menunjukkan kita beradab dengan tuhan. Merendahkan diri dengan Allah dan rasa bersalah selalu. Mudah-mudahan nanti ianya akan membuahkan penyesalan dan sifat menginsafi diri yang membuka jalan untuk rujuk kembali kepada Allah SWT. Nescaya dengan itu Allah senang dengan kita, sebab rintihan hamba Allah yang bertaubat itu lebih disukai-Nya daripada gentelan tasbih para wali.
Bandingannya, kalau dalam kita berkawan, tiba-tiba kawan kita selalu berkata, “minta maaf ya, kalau saya ada silap….” Perkataan ini sudah cukup untuk menyejukkan hati kita. Sebab perasaan suka terhadap orang yang meminta maafitu memang fitrah kejadian manusia. Apalagi kalau orang itu memang membuat anaiya pada kita.
Kalaulah kita sebagai manusia terasa senang bila orang meminta maaf dengan penuh rendah hati kepada kita, tentulah Allah SWT lagi senang kalau hamba-hambaNya sentiasa meminta ampun dan mengaku kesalahan diri sendiri. Merintihlah, “ wahai tuhan, tiadalah yang layak ku sembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini telah menzalimi diriku. Aku selalu berdosa, wahai Tuhan. Ampunilah daku…”
Jadi Allah SWT jadikan tiap sesuatu itu ada mempunyai hikmah yang mesti kita ambil pengajaran dan syukuri. Semuanya Allah jadikan untuk keperluan manusia sebagai khlifa-nya di atas mukabumi.
Namun begitu, yang malangnya sangat sedikit manusia yang tahu bersyukur. Firman Allah:
“ Sedikit sekali antara hamba-hamba-ku yang bersyukur.” - sabar’: 13
dan disebabkan terlalu sediktnya manusia yang tergolong dalam golongan yang bersyukur maka berkemungkinan besar kita tergolong dalam kalangan hamba Allah yang tiada pandai bersyukur. Oleh itu mengaku sahajalah pada diri sendiri dengan berkata, “ Maha Suci Engkau Ya Allah, Sesungguhnya Aku Tergolong Dalam Golongan Hamba-hamba Mu Yang Zalim…