Friday, April 29, 2011

Mesti khusyuk beramal tanpa ragu

 

image

KISAH ini berlaku pada zaman Bani Israil mengenai seorang ahli ibadat dan penderhaka. Tiba-tiba ahli ibadat itu meninggal dunia dan Nabi Musa mendapat tahu ahli ibadat itu, termasuk dalam senarai ahli neraka.

Selepas itu, penderhaka berkenaan mati pula. Nabi Musa kemudian mendapat tahu bahawa si penderhaka adalah ahli syurga.

Apabila Nabi Musa mendapat tahu hal itu, maka baginda ke rumah ahli ibadat itu. Baginda bertanya kepada isterinya: "Apakah amal yang sentiasa dibuat oleh suamimu?" Maka isteri ahli ibadat itu berkata: "Suamiku itu sangat rajin melakukan amal ibadat dan kamu juga mengetahuinya."

Nabi Musa bertanya lagi: "Kemudian apa lagi yang dibuat oleh suamimu?" Lalu isteri ahli ibadat itu berkata: "Setiap malam apabila suamiku hendak tidur, dia berkata: “Alangkah beruntungnya kami, kalau apa yang diajar oleh Nabi Musa itu benar."

Selepas Nabi Musa mendengar penjelasan daripada isteri ahli ibadat itu, maka dia pun ke rumah penderhaka itu.

Setiba di rumah orang itu, maka Nabi Musa pun bertanya kepada isterinya: "Apakah amal yang dilakukan oleh suamimu?" Isteri penderhaka itu berkata: Engkau pun tahu suamiku itu ialah penderhaka, dia sangat suka membuat kejahatan semata-mata,"

Nabi Musa bertanya lagi: "Katakan padaku, apakah amal yang dia pernah lakukan selain daripada itu." Maka isteri penderhaka itu berkata: "Setiap malam sebelum tidur suamiku selalu membaca Lailahaillallah walhamdu lillah atas apa yang diajarkan oleh Nabi Musa."

Dalam kisah ini, kita dapat bayangkan ahli ibadat itu tidak yakin 100 peratus dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Allah Musa. Maka, Allah masukkan dia ke dalam senarai ahli neraka.

Oleh itu, hendaklah kita melakukan amal ibadat dengan penuh khusyuk dan dengan harapan kita pasti akan bertemu dengan Allah, dan jangan ragu-ragu mengenainya.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mengucap Lailahaillallah, yakin dengan iman yang teguh, maka sesungguhnya akan keluar dari mulutnya seekor burung berwarna hijau dengan dua sayap putih bertaburan mutiara yaqud, dan ia terbang ke langit hingga terdengar dengungannya di bawah Arasy, bagaikan dengung lebah hingga disuruh: "Tenanglah, diamlah." Maka burung itu berkata: "Tidak, sebelum Engkau (Allah) mengampuni orang yang membacanya."

Maka Allah pun mengampunkan orang yang mengucapkan kalimah itu, lalu burung itu diberi 70 lidah untuk membaca istighfar bagi orang yang membaca Lailahaillallah itu hingga hari Kiamat.

Apabila tiba hari Kiamat, maka ia akan menyambut orang yang membaca kalimah itu dan menontonnya masuk ke syurga.

Dikisahkan pula ketika Allah menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Nabi Musa, maka pada waktu itu Nabi Musa berdoa: "Ya Allah ya Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku amal perbuatan untuk mensyukuri nikmat-Mu dan kurnia-Mu ini."

Kemudian Allah berfirman: "Wahai Musa, bacalah Lailahaillallah." Lalu Nabi Musa bertanya lagi: 'Ya Allah ya Tuhanku, tambahkanlah lagi untukku."

Maka Allah berfirman: "Wahai Musa, sekiranya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi diletakkan di sebelah kiri neraca timbangan dan diletakkan kalimah Lailahaillallah di sebelah kanan neraca timbangan, nescaya akan lebih berat bahagian Lailahaillallah itu."

Abu Lait berkata: "Sesiapa yang dapat menjaga dan mengingati kalimah ini, maka dia dimuliakan di sisi Allah dan malaikat serta diampunkan dosanya walaupun dosanya itu sebanyak buih di laut. Dan akan merasakan kemanisan taat dan hidup atau mati kedua-duanya baik baginya."

Apabila hendak membuat sesuatu maka mulakanlah dengan ‘Bismillah’.

Apabila selesai mengerjakan sesuatu yang baik hendaklah membaca ‘Alhamdulillah’.

Kalau terlanjur mengatakan sesuatu yang tidak baik, maka hendaklah segera menyatakan ‘astaghfirullah’.

Kalau hendak melakukan sesuatu esok hari hendaklah berkata ‘insya-Allah’.

Kalau menghadapi kesukaran hendaklah selalu membaca ‘lah haulawalla quwata illa billahil aliyyil aziim’.

Apabila kita ditimpa bala musibah hendaklah kita membaca ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'uun’.

Setiap siang dan malam hendaklah membaca Lailahaillallah.

[tweetmeme only_single="false"]