Wednesday, May 4, 2011

Al-Quran kalamullah

 

image

Sebenarnya al-Quran itu sungguh-sungguh kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia. (At-Takwir: 19)

Huraian:
Kitab al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan Malaikat Jibril dalam tempoh 23 tahun.

Ia dikira sebagai satu ibadat apabila membacanya. Al-Quran merupakan perlembagaan hidup umat Islam yang terkandung di dalamnya semua panduan aspek kehidupan, sama ada berbentuk syariat, akidah, sosial dan akhlak.

Sistem kehidupan yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran adalah lengkap kerana Dialah Maha Mengetahui segala keperluan makhluk-Nya.

Oleh itu, setelah wafatnya Nabi Muhammad, tiada lagi syariat baru diturunkan kerana Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:

Pada hari ini. Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Namun begitu, ketika Rasulullah s.a.w. masih hidup hinggalah hari ini, masih ada orang yang meragui kesahihan al-Quran.

Allah s.w.t. telah mencabar orang-orang kafir Quraisy untuk mendatangkan satu surah setaraf dengan gaya bahasa al-Quran jika mereka mampu menandingi kehebatan al-Quran tetapi mereka gagal berbuat demikian. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud:

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Manusia dengan sifat kekurangan dan kelemahannya, sepatutnya akur dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Al-Quran adalah kalamullah, bukan bait-bait syair, gurindam atau pantun seloka. Ia adalah mukjizat yang paling agung kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada umat Islam.

Kesimpulan:
Orang yang beriman mesti meyakini bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang datangnya daripada Allah s.w.t. Meragui isi kandungan al-Quran boleh tergelincir dari landasan akidah Islam.

-- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

[tweetmeme only_single="false"]