Wednesday, May 25, 2011

Kelebihan Sembahyang Malam

 

image

Apabila seseorang itu jaga dari tidurnya di waktu malam dan membangkitkan isterinya lalu kedua-duanya sama-sama menunaikan dua rakaat sembahyang nescaya mereka ditulis dalam golongan manusia yang banyak menyintai dan menyebuti ALLAH." -Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dari Abi Sa'id.

Tujuannya

Malam dengan ketenangan dan kejernihan suasananya merupakan sebaik-baik waktu untuk beribadat, kerana itu para mukmin digalakkan mengambil kesempatan-kesempatan keemasan itu untuk mengukuhkan hubungan dan kecintaannya kepada ALLAH. Alangkah qudusnya iman seseorang apabila di saat manusia yang lain sedang tidur nyenyak ia bangkit mendirikan sembahyang dan membangunkan isterinya sembahyang bersama-sama untuk mempersembahkan pujian, harapan, permohonan dan permintaan ampun kepada ALLAH ketika dunia diselubungi sepi dan gelita. Alangkah indahnya pandangan dua manusia suami isteri sama berdiri lurus menghadap qiblat dan sama meletakkan dahi mereka ke lantai di tengah-tengah kekelaman malam untuk membuktikan ' ubudiah mereka yang tulus kepada ALLAH, memohon keberkatan hidup dunia dan kebahagiaan hidup di negeri Akhirat.

Di dalam al-Quran dan Hadis terdapat pelbagai sanjungan dan galakan supaya manusia mengejar fadhilat sembahyang malam, firman ALLAH Ta'ala:

" Dan di waktu malam bangkitlah sembahyang tahajjud sebagai sembahyang tambahan bagi ibadatmu semoga ALLAH membangkitkanmu di hari Akhirat dengan kedudukan dan darjat yang terpuji." - Al - Isra' (79).

Di dalam surah az-Zariat ayat (18) ALLAH memberi sanjungan yang tinggi kepada amlan-amalan orang-orang yang bertaqwa yang mendapat balasan syurga, di antara amalan itu ialah mereka yang banyak melakukan ibadat sembahyang di waktu malam dan memohon keampunan di saat-saat dinihari.

Waktu sembahyang itu luas, ia boleh dikerjakan di awal malam, di pertengahan malam dan di akhir malam selama sembahyang itu dilakukan selepas sembahyang Isya'. Menurut al-Hafiz Rasulullah s.a.w. tidak sembahyang malam di satu waktu tertentu, malah ia sembahyang mengikut kesempatan dan keselesaan yang didapatinya tetapi waktu sembahyang yang paling afdhal ialah ditengah malam iaitu masa sepertiga malam yang akhir.

Bilangan rakaat sembahyang malam tidak juga ditentukan, ia boleh terlaksanakan dengan satu rakaat sembahyang yang didirikan selepas sembahyang Isya'. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Hendaklah kamu dirikan sembahyang malam walaupun satu rakaat."

Tetapi yang paling afdhal ialah sebelas rakaat atau tiga belas rakaat seperti kebiasaan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu dengan satu rakaat atau tiga rakaat witir di akhirnya.

Walaupun demikian, seseorang itu tidaklah disuruh mengerjakan sembahyang malam dengan memaksa-maksakan dirinya secara keterlaluan, kerana ibadat yang sempurna pastilah dilakukan dengan selesa dan ikhlas, apabila ia terlalu mengantuk ia boleh tidur dulu untuk beberapa waktu, kemudian barulah bangkit sembahyang. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

" Apabila seseorang dari kamu sembahyang malam, kemudian bacaan al-Qur'an menjadi asing bagi lidahnya kerana mengantuk hingga ia tidak tahu apa yang dibacakannya, maka hendaklah ia tidur dulu."

Dalam satu Hadis lagi Rasulullah s.a.w. bersabda :

" Buatlah amalan-amalan itu sekadar kuasamu kerana ALLAH itu tidak jemu hingga kamu jemu."

Amalan yang sedikit tetapi tekun adalah lebih baik dari amalan yang banyak tetapi jarang-jarang.

Kerana itu persoalan menentukan waktu sembahyang malam dan menentukan banyak mana rakaatnya terserahlah kepada pertimbangan sendiri berdasarkan keikhlasan dan rasa 'ubudiah' yang murni.

Di antara peraturan-peraturan yang disunatkan dalam sembahyang malam ialah :

(1) Apabila ia hendak tidur, ia disunatkan untuk bangkit sembahyang malam supaya keazamannya dapat membangkitkannya di waktu yang tepat.

(2) Sesudah mencuci muka, mengambil wudhuk dan bersugi dia disunatkan membaca doa-doa khas sembahyang malam.

(3) Ia disunatkan memulakan sembahyang malam itu dengan dua rakaat yang pendek dan ringkas, selepas itu boleh ia menyambung sembahyang itu seberapa ia suka.

(4) Menggerakkan isterinya agar ia turut serta bersembahyang malam, dan bagi isteri disunatkan menggerakkan suaminya.

Hadis bab ini telah menyebutkan bahawa orang-orang yang banyak mendirikan sembahyang malam akan ditempatkan sejajar dengan golongan " " iaitu golongan yang amat disanjungi ALLAH, iaitu golongan orang - orang yang tidak sunyi mengingati dan menyebut ALLAH sama ada dengan hati, dengan lidah atau dengan kedua-duanya sekali sama ada dalam bentuk berzikir, membaca al-Qu'ran, memikirkan masalah-masalah ilmu yang ada hubungan dengan ketuhanan atau masalah-masalah pengetahuan yang diredhai ALLAH, kerana mempelajari ilmu itu ialah mempelajari undang-undang ALLAH yang berlaku dalam alam ini.

[tweetmeme only_single="false"]