Wednesday, June 1, 2011

MUKJIZAT NABI S.A.W.

 

SETIAP umat Islam sangat beruntung kerana memiliki mukjizat. Mukjizat yang dimaksudkan ialah kitab suci al-Quran.

Ayat-ayat Al-Quran yang kita hafal dan baca setiap kali mengerjakan solat, setiap kali melakukan sesuatu termasuk ketika hendak tidur, semuanya adalah sebahagian dari mukjizat.

Bermakna kita sangat beruntung jika dibandingkan dengan umat nabi-nabi yang lain. Sungguh pun nabi-nabi terdahulu mempunyai mukjizat tetapi tidak dimiliki secara perseorangan seperti kita umat Islam. Inilah istimewanya kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi tidak ada maknanya kalau kita sekadar berbangga memiliki kitab suci Al-Quran tetapi hanya untuk diletakkan di dalam almari atau di atas rak-rak sahaja.

Apa gunanya kita berbangga memiliki mukjizat begitu kalau Al-Quran itu tidak pernah kita sentuh dengan maksud dibacanya?

Sangat beruntung bagi mereka yang membaca ayat-ayat Al-Quran dan lebih beruntung lagi bagi mereka yang hafiz.

Selain daripada kitab suci Al-Quran, mukjizat-mukjizat lain yang dimiliki oleh baginda antarannya:

1. Ketika masih mengandungkan baginda, pada suatu malam, ibunya Siti Aminah telah bermimpi melihat cahaya yang datang dari arah perutnya. Cahaya itu begitu gilang-gemilang menyinari alam semesta.

Dan ketika cahaya itu menyorot sesuatu, dia sempat melihat bangunan-bangunan di negeri Syam (Syria). Siti Aminah mendengar bisikan yang memberitahunya bahawa dia sedang mengandungkan seorang pemimpin umat manusia.

2. Keluarga yang memelihara Nabi Muhammad s.a.w. ketika masih bayi mendapat keberkahan hidup yang bukan kepalang.

Halimah yang menjaga bayi bakal nabi itu adalah tergolong orang yang miskin. Tetapi sejak beliau menjaga bayi itu yang tidak diketahui akan kenabiannya, beliau mampu menyusui bayi itu.

Ini semua tidak lain adalah kerana kelebihan yang ada pada bayi seorang bakal nabi.

3. Ketika Nabi s.a.w. masih kanak-kanak lagi, beliau mengembala kambing. Ketika itulah beliau pernah didatangi oleh orang yang tak dikenali.

Orang itu berpakaian bersih serba putih. Kedua-dua orang tersebut pun merebahkan Nabi s.a.w. lalu menjalankan suatu pembedahan di bahagian dada Nabi s.a.w.

Dari bahagian yang dibedah itu, orang itu mengambil darah hitam legam sambil berkata, "Ini merupakan sarang syaitan."

Hati dan perut Nabi s.a.w. telah dibersihkan dengan air yang mereka bawa. Setelah selesai, keduanya menghilang. Kedua orang yang dimaksudkan itu adalah dua malaikat.

4. Nabi s.a.w. diajak oleh pamannya, Abu Thalib, mengembara hingga ke Syam (negeri yang pernah dimimpikan oleh ibunya).

Dalam perjalanan itu, awan sentiasa menaungi perjalanan mereka. Peristiwa pelik itu disaksikan oleh seorang pendeta Yahudi.

Dia mengetahui bahawa anak lelaki yang dibawa oleh Abu Thalib itu bakal menjadi orang besar.

"Berhati-hatilah dengan orang Yahudi." pesannya.

Ketika Nabi berusia 25 tahun dan berdagang bersama Khadijah, awan sentiasa menaungi ke mana sahaja mereka berada.

5. Orang-orang kafir di Mekah pernah meminta Nabi s.a.w. membuktikan akan kebenaran kata-katannya sebagai utusan Allah dan agama Islam sebagai agama langit.

Kaum kafir di Mekah kehairanan apabila mereka melihat bulan terbelah dua. Namun begitu, mereka tidak menyaksikan sangat bukti kebenaran itu.

Itulah antara mukjizat Nabi s.a.w. yang diingkari oleh kaum kafir.

6. Seperti kes melihat bulan terbelah dua, orang-orang kafir juga tidak percaya dengan dakwaan bahawa Nabi s.a.w. melakukan Israk dan Mikraj hingga sampai ke Baitul Maqdis.

Untuk menguji apakah memang Nabi s.a.w. telah sampai ke situ atau hanya khayalan belaka, mereka bertanya berapa jumlah jendela dan tiang-tiang di Baitul Maqdis.

Ujian kaum kafir itu dapat dijawab oleh Nabi s.a.w. sebaik-baik Allah mendatangkan gambaran Baitul Maqdis di hadapannya.

7. Ketika Nabi s.a.w. menjadi buruan dengan tujuan hendak dibunuh, Allah sentiasa melindunginya.

Usaha orang-orang Abu Jahal hendak membunuh Nabi s.a.w. di sebuah rumah pada suatu malam berjaya digagalkan dengan helah supaya Ali bin Abi Thalib tidur di tempat Nabi s.a.w. selalu tidur.

Rumah telah dikepung tetapi dalam waktu yang sama, Nabi s.a.w. telah berada di luar rumah bersama Abu Bakar menuju ke Gua Tsur.

Mulut gua itu ditutup oleh sarang labah-labah dengan kehendak Allah s.w.t.

Ketika orang kafir membuat sayembara untuk membunuh Nabi s.a.w. dengan hadiah 100 ekor unta, ramai yang berkehendakkan unta sebanyak itu termasuk Suraqah bin Malik.

Tetapi ketika dia berjaya melihat Nabi s.a.w. berada di depannya pada suatu hari, Abu Bakar lantas berteriak memberitahu Nabi s.a.w. bahawa musuh berada dibelakangnya.

Dengan kuasa Allah, tanah padang pasir di depan Suraqah terbelah lalu kudanya tersungkur di dalam rekahan tanah itu. Inilah mukjizat namanya.

8. Ketika pasukan Islam menghadapi pasukan kafir, mereka telah menggali parit di kota Madinah untuk menghalang kedatangan orang-orang kafir.

Usaha menggali terhenti kerana ada batu besar yang tak dapat dialihkan atau dipecahkan oleh Salman al-Farisi.

Dengan bantuan Nabi s.a.w., baginda mampu memecahkan batu besar itu dengan izin Allah. Begitu jugalah apabila Nabi s.a.w. dicabar oleh seorang samseng berbadan kekar bernama Rukanah bin Abu Yazid.

"Kalau aku mampu mengalahkan kamu, apakah kamu mengakui apa yang aku katakan selama ini adalah benar?" tanya Nabi.

Rukanah menganggukkan kepalanya. Sebaik saja pertarungan bermula, Nabi s.a.w. dengan sekali tampar saja ke muka Rukanah, pemuda samseng itu lantas jatuh tersungkur hingga tertiarap di atas tanah.

Dia bangun semula untuk mencuba buat kali kedua, tetapi sekali ditolak saja oleh Nabi, beliau jatuh ke tanah hinggalah dia mengaku kalah lalu masuk Islam.

9. Ketika menggali parit sebagai salah satu usaha membendung kedatangan musuh, para sahabat dan Nabi sendiri berada dalam keadaan lapar.

Baginda terpaksa mengikat pinggangnya dengan tiga ketul batu untuk menahan lapar. Jabir, salah seorang sahabat, balik ke rumah lalu menyembelih seekor biri-biri bersaiz kecil.

Dia juga masak gandum. Setelah siap, Nabi s.a.w. diajaknya makan bersama. Begitu juga dengan para penggali parit yang lain.

Sebelanga makanan saja tentu tidak mencukupi untuk beratus-ratus penggali parit. Tetapi dengan mukjizat Nabi s.a.w. makanan yang sedikit menjadi cukup malah masih ada bakinya di dalam belanga.

Sebenarnya, banyak lagi kisah-kisah aneh yang setanding dengan kisah-kisah karomah para wali sebagaimana yang kerap kita sajikan di dalam majalah ini.

Bagi para wali, ianya dianggap karomah manakala bagi diri Nabi s.a.w, ia adalah mukjizat.

Ketika Nabi bersama Abu Bakar berada di dalam Gua Tsur, Abu Bakar telah dipatuk oleh seekor ular gua.

Sakit yang bukan kepalang itu menyebabkan Nabi s.a.w. berikhtiar menyembuhkan bisa ular itu. Nabi s.a.w. hanya menggunakan ludahnya di bahagian yang di patuk ular itu.

Sewaktu Nabi s.a.w. berada di Madinah, Ali bin Abi Thalib telah menghidap sakit mata. Baginda mengubatinya dengan cara yang mudah.

Dengan mengusap kedua belah mata Ali, penyakit itu sembuh dengan serta-merta.

Peristiwa perubatan cara Nabi s.a.w. ini kemudiannya menjadi teladan kepada perubatan secara tradisional yang kita kenali hari ini.

Ketika Perang Uhud, keadaan pasukan Islam sangat kucar-kacir sehingga Nabi s.a.w. sendiri hampir terbunuh jika tidak dilindungi oleh para sahabatnya.

Salah seorang sahabat ialah Qatadah yang matanya terkena anak panah hingga bola matanya terkeluar. Nabi s.a.w. datang membantu Qatadah.

Setelah anak panah dicabut, mata Qatadah yang terkeluar itu dimasukkan oleh Nabi s.a.w.

Dengan izin Allah, usaha Nabi s.a.w. berjaya. Nabi s.a.w. berdoa ketika mengubati Qatadah, "Ya Allah, jagalah Qatadah sebagaimana dia menjaga Nabi-Mu dan jadikanlah matanya lebih elok dan lebih tajam penglihatannya."

Alhamdulillah, usaha Nabi telah berjaya menyembuhkan mata Qatadah. Kalau bukan kerana mukjizat Nabi s.a.w, sudah tentu mata Qatadah jadi buta. Begitulah hebatnya seorang Nabi utusan Allah.

Banyak lagi kisah-kisah aneh dan pelik yang terjadi di sepanjang riwayat Nabi s.a.w. Hadis-hadis banyak menceritakan kelebihan itu. Di antaranya termasuklah boleh memerintahkan pokok kurma agar berkumpul dan berpisah semula, boleh mendengar pokok berkata-kata, menyembuhkan unta tunggangan yang sakit, boleh menjinakkan unta yang liar dan juga pokok yang datang ke arah Nabi s.a.w. untuk menaunginya.

[tweetmeme only_single="false"]