Tuesday, July 5, 2011

Panduan Berinteraksi Dengan Khilaf Ulama

 

image

Sebagai orang awam yang bukan bertaraf mujtahid, kadangkala kita merasa kebingungan apabila berdepan dengan suatu masalah feqah yang ada perselisihan pendapat. Kerana bagi orang awam, apabila berdepan dengan satu masalah feqah yang tidak diketahui hukumnya, dia mesti merujuk kepada para ulama untuk mendapatkan penyelesaian. Inilah yang diarahkan oleh al-Quran dalam ayat yang bermaksud, “Maka bertanyalah kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahui” (Al-Nahl: 43).


Tetapi, bagaimana pula jika antara jawapan para ulama, para mufti, atau para ustaz terdapat percanggahan antara satu sama lain? Yang mana satukah yang paling betul untuk dipegang? Adakah boleh dia memilih mana-mana pendapat mengikut kesesuaian dirinya? Atau dia wajib memilih pendapat yang paling sahih? Jika wajib memilih pendapat paling sahih, bagaimana seorang awam mampu menilainya sebagai sahih?


Penyelesaian kepada persoalan ini ialah perlunya kita mengetahui kaedah berinteraksi dengan khilaf ulama. Kaedah-kaedah ini dibuat supaya orang awam tidak kebingunan dan akhirnya mengambil jalan mudah iaitu pilih mana-mana pendapat yang disukai. Memilih mana-mana pendapat tanpa ada prinsip adalah satu tindakan yang salah. Ia ditegah oleh sekalian ulama.
Ibn as-Solah berkata, “Ketahuilah, sesiapa yang memadai dalam fatwa dan amalannya dengan mengikuti satu-satu pendapat dalam suatu masalah, dan beramal dengan mana-mana pendapat yang disukai, tanpa melihat dan bergantung kepada kajian dalam mentarjihkannya, maka sesungguhnya dia adalah jahil dan melanggar ijmak”.


Manhaj yang perlu dilalui dalam menyaring dan memilih pendapat para ulama, ialah berpandukan kaedah-kaedah di bawah:


PERTAMA:Apabila terserlah bahawa satu-satu pendapat lebih kuat dan rajih berbanding pendapat-pendapat lain, berdasarkan dalil masing-masing, maka hendaklah memilih pendapat yang paling kuat dalilnya.
Bagi orang awam, dua orang mujtahid yang berselisih pendapat diibaratkan sebagai dua dalil yang bercanggahan. Sebagaimana seorang mujtahid wajib membuat pemilihan antara dalil-dalil, begitulah seorang awam mesti membuat pemilihan antara pendapat dua orang mujtahid.


Timbul persoalan, bukankah orang awam tidak mampu untuk mentarjih (memilih pendapat)? Ya, Orang awam tidak dituntut mentarjih seperti kaedah mujtahid mentarjih. Ia cukup rumit. Orang awam hanya mentarjih antara dua pendapat yang muktabar. Lagipun, tidak benar mengatakan orang awam langsung tidak mempunyai kemampuan memilih atau memahami dalil. Walaupun tidak menyamai taraf mufti dan mujtahid, sekurang-kurangnya dengan mendengar hujahan mereka, seorang awam dapat membuat keputusan pendapat mana yang dilihat kuat.
Jika tidak mampu untuk melihat kekuatan pendapat berdasarkan hujahan masing-masing, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.


KEDUA:Mengambil pendapat majoriti ulama, dan ditarjihkan oleh ramai ahli ilmu. Kerana dengan cara memilih pendapat kebanyakan ulama, kemungkinan untuk berlaku kesilapan adalah lebih tipis, berbanding dengan mengambil pendapat yang dipilih oleh segelintir atau beberapa ulama sahaja.
Jika kaedah ini tidak dapat diaplikasi disebabkan bilangan yang sama atau hampir sama, sehingga tidak kelihatan salah satu pendapat mempunyai kelebihan dari sudut bilangan mujtahid yang mendokongnya, maka hendaklah berpindah kepada kaedah yang seterusnya.


KETIGA: Mengambil pendapat ulama yang dilihat lebih tinggi ilmunya dan kelihatan lebih warak dan bertaqwa daripada yang lain. Kerana taqwa kepada Allah adalah salah satu faktor mendapat petunjuk Allah kepada pendapat yang lebih benar.
Ketinggian ilmu dan ketaqwaan seseorang ulama boleh diketahui berdasarkan kemasyhurannya, rujukan penuntut ilmu terhadapnya, atau melalui pengalaman kita mendengar dia menjawab soalan dan menyebut hujahan.
Jika orang awam tidak mengetahui perihal keilmuan dan ketaqwaan antara muft-mufti, dan baginya mereka sama sahaja, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.


KEEMPAT: Mengambil pendapat yang paling berjaga-jaga atau paling selamat (Ihtiyath). Contohnya, mufti A berfatwa hukum sesuatu masalah ialah wajib, dan mufti B berfatwa hukumnya sunat. Berdasarkan kaedah ini, hendaklah memilih pendapat mufti A kerana ia lebih berjaga-jaga. Begitu juga antara fatwa haram dan harus, hendaklah memilih fatwa haram kerana lebih selamat.
Diriwayatkan bahawa Al-Laits bin Saad berkata, “Apabila datang perselisihan, kami mengambil yang paling ihtiyath (berjaga-jaga atau selamat)”.
Jika kaedah mengambil langkah jaga-jaga tidak boleh digunakan kerana tidak jelas, atau mengambil pendapat yang berjaga-jaga membawa masyaqqah, maka bolehlah berpindah kepada kaedah terakhir.


KELIMA: Mengambil pendapat yang paling mudah antara pendapat-pendapat yang muktabar. Kerana dimaklumi bahawa syariat Islam dibina di atas prinsip memudahkan dan tidak memberatkan umat. Banyak ayat-ayat Quran dan hadis yang menjelaskan prinsip ini. Nas-nas itu menjadi saksi bahawa boleh mengambil pendapat yang paling ringan dalam situasi kepayahan.
Tetapi kaedah memilih pendapat paling ringan hanya boleh diaplikasi setelah keempat-empat kaedah sebelum itu tidak dapat digunakan. Jangan terlalu mudah melangkah kaedah-kaedah tersebut untuk mencapai kaedah terakhir ini. Seseorang yang terlalu kerap menggunakan kaedah mengambil pendapat mudah, perlu memperbanyakkan muhasabah adakah dia benar-benar memahami manhaj ini?


PENUTUP:
Demikian manhaj yang perlu dilalui oleh seseorang yang bukan mujtahid dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat di hadapannya. Lima kaedah yang perlu diikuti, supaya pemilihan satu-satu pendapat adalah berdasarkan prinsip dan bukan hawa nafsu semata-mata. Lima kaedah tersebut ialah:


i- Yang disokong oleh dalil.
ii- Yang disokong oleh majoriti.
iii- Yang lebih alim dan bertaqwa.
iv- Yang lebih berjaga-jaga.
v- Yang lebih ringan.
Wallahu A’lam.

Rujukan:
- Ikhtilaf Al-Mufteen, oleh: as-Syeikh as- Syarif Hatim

[tweetmeme only_single="false"]