Saturday, August 27, 2011

Al-Quran sebagai pembawa hidayat


Syeikh al-Sya’rawi berkata perkataan syahr atau bulan diambil daripada pemberitahuan atau penzahiran. Ia bermaksud bulan yang tertentu sedangkan Ramadan pula menunjukkan kepada kepanasan begitu juga kepanasan dalaman bagi manusia dengan sebab kehausan yang melampau begitu juga maksudnya yang lain iaitu pasir yang panas.

Kata ulama, bahasa tersebut dipindahkan daripada makna hissi kepada makna maknawi di mana orang yang berpuasa akan diampunkan dosa dan disucikannya.

Firman Allah, (Maka puasa itu ialah) bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayat kepada manusia dan sebagai penjelasan-penjelasan yang menerangkan hidayat dan perbezaan antara yang benar dan yang batil. Oleh itu barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu dan barang siapa yang sakit atau di dalam persafiran, maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain.

Allah mahukan kamu mendapat kemudahan dan tidak mahu kamu menanggung kesulitan dan hendaklah kamu mentakbirkan Allah di atas hidayat yang telah dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah: 185)

Firman Allah s.w.t: (Maka puasa itu ialah) bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran. Ibn al-Jauzi berkata: Ada tiga pendapat:

i. Diturunkan sekali gus, iaitu pada malam Qadar ke Bait al-‘Izzah dari langit dunia seperti kata Ibn Abbas.

ii. Diturunkan al-Quran dengan kefarduan puasa seperti riwayat daripada Mujahid dan al-Dahhaq.

iii. Permulaan al-Quran dengan turunnya kepada Nabi Muhammad s.a.w pada bulan Ramadan seperti pendapat Ibn Ishak dan Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

Firman Allah: Sebagai hidayat kepada manusia dan sebagai penjelasan-penjelasan yang menerangkan hidayat dan perbezaan antara yang benar dan yang batil. Al-Mawardi menafsirkan hidayat sebagai petunjuk sedangkan keterangan dengan penjelasan halal dan haram, begitu juga perbezaan antara hak dan batil.

Firman Allah:
Oleh itu barang siapa di antara kamu melihat anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu. Inilah hukum puasa berdasarkan kepada rukyah seperti tafsiran kebanyakan ulama kepada siapa yang cukup syarat-syaratnya.

Firman Allah s.w.t: Dan barang siapa yang sakit atau di dalam persafiran, maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang ditinggalkan itu) pada hari-hari yang lain.

Ulama khilaf berhubung dengan sakit yang diharuskan berbuka:

* Setiap sakit yang menyebabkan tidak mampu solat berdiri. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri.

* Sakit yang boleh menyebabkan bertambah dengan sebab berpuasa. Inilah pendapat al-Syafie.

* Setiap sakit yang dinamakan sakit. Inilah pendapat Ibn Sirin.

Berkenaan dengan musafir pula, juga terdapat dua pandangan:

* Asal nama musafir sama ada dekat atau jauh. Inilah pendapat Daud.

* Jarak perjalanan melebihi tiga hari (secara tradisional). Inilah pendapat Abu Hanifah.

Firman Allah s.wt: Allah mahukan kamu mendapat kemudahan dan tidak mahu kamu menanggung kesulitan. Sayid Qutub berkata: Ini merupakan dasar agung di dalam taklif-taklif agama ini seluruhnya iaitu seluruh taklif itu mudah dan tidak ada sebarang kesulitan. Dan taklif-taklif itu menyarankan kepada hati yang telah mengecapi kemanisannya perasaan mudah dan selesa dalam menjalani kehidupan.

Ia menerapkan ke dalam jiwa seseorang muslim perasaan lapang dada yang tidak dirasa sebarang keberatan dan kerumitan, iaitu perasaan lapang dada yang dapat melaksanakan semua taklif, semua fardu dan semua kegiatan hidup yang serius itu dengan selesa seolah-olah seperti air yang mengalir.

Seolah-olah seperti kesuburan pokok yang kian meninggi dengan penuh ketenangan, keyakinan dan kerelaan, di samping sentiasa menghayati perasaan mendapat rahmat Allah dan iradat-Nya yang mahukan kemudahan bukannya kesulitan terhadap para hamba-Nya yang mukmin.

Ayat ini mewajibkan puasa ganti ke atas orang yang musafir dan orang yang sakit pada hari-hari yang lain supaya orang yang terpaksa berbuka itu dapat menyempurnakan bilangan hari-hari bulan puasa dan tidak luput pahalanya.

Firman Allah: Dan hendaklah kamu mentakbirkan Allah di atas hidayat yang telah dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur. Sayid Qutub berkata: Inilah salah satu dari matlamat-matlamat fardu puasa, iaitu supaya orang-orang yang beriman itu dapat menyedari nilai hidayat yang telah ditaklifkan Allah kepada mereka dan mereka akan dapati kesedaran ini di dalam hati mereka dalam masa berpuasa, iaitu lebih banyak dari masa yang lain.

Hati mereka terhalang daripada memikirkan perkara-perkara maksiat dan anggota-anggota mereka tersekat dari melakukan maksiat kerana mereka benar-benar merasa dan menyedari nilai hidayat itu. Kerana itu hendaklah mereka mentakbirkan Allah yang menganugerahkan hidayat ini. Hendaklah mereka bersyukur kepada Allah terhadap nikmat ini dan seterusnya hendaklah hati mereka kembali kepada Allah dengan ketaatan hadis ini sebagaimana Allah menyebut kenyataan berikut kepada mereka di permulaan pembicaraan mengenai ibadat puasa.

* ktibar dan pengajaran ayat:

* Tautan antara al-Quran dan puasa begitu sinonim sehingga al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan.

* Sifat al-Quran sebagai pembawa hidayat dan pemberi keterangan.

* Pengecualian dari berpuasa golongan tertentu seperti sakit, musafir, yang hendaklah diqada selepas itu.