Wednesday, August 24, 2011
Iman tidak dipaksa
Oleh Minda Dr. Maza
KITA mungkin boleh memaksa manusia makan, atau bercakap, atau bergerak, atau diam atau apa sahaja tindakan fizikal. Namun kita tidak mungkin boleh memaksa keyakinan dan kepercayaan seseorang.
Ini seperti memaksa seorang mempercayai apa yang dia tidak percaya, atau meragui apa yang dia yakin, atau mengkufuri apa yang dia imani, atau mengimani apa yang dia tidak dapat terima kebenarannya.
Demikian juga kita tidak boleh memaksa perasaan seseorang seperti cinta, benci, suka, marah, sayang dan seumpamanya. Jika kita terus paksa dengan kekuasaan dan kekerasan untuk mengungkap dengan lidah apa yang tidak terkandung dalam jantung hatinya atau perasaannya, dia mungkin menyatakannya dengan lidah tetapi iktikad dan perasaan akan tetap menolak. Tiada siapa pun dalam kalangan makhluk mampu memaksa akidah orang lain. Apa yang manusia mampu hanyalah paksaan fizikal, sedangkan iman atau kufur seseorang tidak dapat diubah jika tidak dengan kehendak dan kerelaan empunya diri.
Mencipta
Islam sebagai agama yang diturun oleh tuhan yang mencipta manusia, Allah Maha Mengetahui tentang hakikat hambaNya. Maka Islam mensyaratkan iman itu berteraskan keyakinan dalam jiwa insan. Tanpanya, iman tidak dikira atau dinilai. Seseorang yang mengakui beriman kepada Islam dengan cara paksaan tidak diiktiraf. Demikian seseorang yang mengakui kufur kepada Islam dengan paksaan juga tidak hukum bersalah.
Firman Allah (maksudnya) “Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak mempercayai taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”, (Surah al-Baqarah ayat 256). Ayat ini diturunkan kepada golongan Ansar di mana dalam kalangan mereka mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan.
Apabila Islam datang, mereka ingin memaksa anak-anak mereka menganut Islam, maka Allah melarang mereka berbuat demikian sehingga mereka sendiri membuat pilihan. Lalu diturunkan firmanNya tadi. Kata Ibn ‘Abbas: “Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibubapa mereka: “Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikut mereka, maka Allah turunkan ayat: (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Demikianlah ajaran Islam. Ibubapa pun tidak boleh memaksa agama atau keyakinan anak sendiri, inikan pula orang lain.
Begitulah juga, jika seseorang dipaksa mengkufuri Islam atau tidak percaya dengan Islam, sedangkan jantung hatinya tetap dengan keimanan dan keyakinan, maka sekalipun dia tunduk dengan paksaan tersebut, imannya tetap sah dan diiktiraf di sisi Allah. Manusia hanya boleh memaksa lidah dan anggota yang lain, tapi tiada siapa mampu memaksa iman. Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar”. (Surah al-Nahl, ayat 106).
Jelas, iman tidak boleh dipaksa. Ia masuk ke dalam dada insan dengan rela dan keyakinan. Demikian kekufuran juga tidak boleh dipaksa. Ia bersarang dalam dada insan dengan pilihannya. Cumanya ada sebab-sebab yang membawa kepada iman atau tidak berimannya seseorang. Hujah dan alasan yang diterima oleh akal dan ruh insani menyebabkan insan mempercayai sesuatu atau mengingkari sesuatu.
Maka Islam sebelum menghukum iman atau kufur atas seseorang mewajibkan Iqamah al-Hujjah (penegakan hujah). Setelah ditegakkan hujah dan alasan yang kukuh, jika dia terus membantah dan tidak menerima sedangkan dia tahu dari segi hujah dan alasan Islam ini benar, maka ketika itu dia dianggap sebagai kufur. Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang beroleh petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk itu hanya kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga, dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Isra, ayat 15). Ayat ini adalah kaedah teras yang mesti difahami oleh setiap muslim. Allah Yang Maha Suci tidak akan menanggung dosa seseorang ke atas orang lain dan tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutusnya rasul yang menegakkan hujah. Apabila datang rasul, atau wakil rasul, atau apa sahaja saluran yang menyampaikan hujah dan bukti rasul terhadap kebenaran petunjuk Allah kepada seseorang sehingga dirinya akur bahawa ini merupakan ajaran Allah, maka jika dia menolak, dia layak untuk dihukum di Hari Pembalasan kelak.
Sebaliknya, jika hujah yang kukuh mengenai Islam atau ajaran rasul itu tidak sampai kepadanya, maka dia tidak akan diazab oleh Allah sekalipun kita memanggilnya ‘kafir’ atau seumpamanya. Bahkan kita pula yang mungkin diazab oleh Allah jika kita tidak menerangkan ajaran Islam yang telah sampai kepada kita, atau kita tunjukkan contoh buruk sehingga dia salahfaham terhadap Islam. Jika kita memahami hakikat ini, tentu kita akan mendahulukan dakwah daripada kekerasan. Persoalan yang patut kita semua tanya, apakah mereka yang kita anggap sebagai kaum kafir itu telah sampai kepada mereka hujah yang benar lagi teguh tentang Islam ini? Atau, mungkin kebanyakan mereka itu jahil? Atau mungkin sebahagian mereka telah disalahfahamkan hakikat Islam yang sebenar oleh musuh-musuh Islam, atau mungkin juga oleh tindakan sebahagian orang Islam sendiri.
Manusia
Dalam kalangan manusia, golongan yang paling jauh dari Islam adalah puak atheis yang tidak percaya kepada Tuhan sama sekali. Manusia beragama, walau apapun agamanya, sekurang-kurangnya mereka maju setapak dengan percaya tentang kewujudan dan kekuasaan Tuhan. Justeru menghormati nilai tersebut maka Islam tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat mereka tanpa alasan yang benar. Bahkan melindunginya, jika itu merupakan hak mereka. Ini seperti firman Allah: (maksudnya) “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (Surah al-Baqarah, ayat 251). Ini menunjukkan walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama, kerananya Islam melindungi mereka.
Dalam kalangan agama-agama yang ada, agama yang mempunyai unsur-unsur langit seperti Yahudi dan Kristianlah yang lebih dekat dengan Islam. Ini kerana kesan ajaran nabi-nabi terdahulu yang masih terdapat dalam agama tersebut menjadikan banyak persamaan antara mereka dengan Islam. Justeru, Islam walaupun mengecam Ahlul Kitab (Yahudi dan Kristian) atas pengubahan kitab, kesyirikan mereka dan salahguna agama tetapi Islam tetap mengizinkan memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan wanita mereka yang bukan lacur. Tujuannya untuk membawa mereka kepada ajaran Islam yang sepatutnya mereka ikuti. Isam tahu kesan agama langit dalam jiwa mereka memudahkan mereka menerima Islam jika mereka tidak takabur. Firman Allah: (maksudnya) “Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan Demi Sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang- orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong”. (Surah al-Maidah, ayat 82).
Iman tidak boleh dipaksa. Cuma sebab-sebab manusia menerima Islam disebabkan alasan yang dapat diterima oleh akal dan ruh insan. Mempercayai Tuhan adalah selangkah ke arah Islam. Mengetahui dan mengiktiraf ajaran Allah kepada nabi-nabi yang terdahulu adalah selangkah yang mendekatkan lagi manusia kepada Islam.
Apa yang tinggal peranan kita menjelaskan Islam yang sebenar. Janganlah pula kita yang merosakkan gambaran Islam yang mulia dan suci ini.