Thursday, August 25, 2011
Khutbah Jumaat: Lailatul qadar titik tingkat takwa, ibadat
HARI berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah berada pada hari ke-19 Ramadan. Maka 10 terakhir Ramadan ini adalah masa berharga yang perlu direbut semua insan beriman kepada Allah SWT.
Masa terakhir inilah akan menentukan sama ada puasa kita mendapat keberkatan, menjadi penebus segala kesalahan dan dosa dilakukan selama ini. Masanya Allah SWT janjikan kepada kita semua jika kita benar-benar beriman kepada-Nya.
Ramadan mempunyai satu malam dinamakan lailatul qadar dan pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Allah SWT menganugerahkan pahala besar itu sempena penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzaah al-Quran beransur-ansur diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril.
Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir
Jelaslah lailatul qadar mempunyai kelebihan besar, maka seharusnya kita tidak mensia-siakan peluang malam dijanjikan itu. Bagi orang beriman mereka berazam mencari peluang disediakan dengan berlumba-lumba bangun di malam hening dan mengharapkan pahala Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh hari terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Berdasarkan hadis yang memetik penerangan Saidatina Aisyah, antara pengkhususan ibadat dilakukan Rasulullah SAW ialah Baginda mandi antara waktu Maghrib dan Isyak, berpakaian indah serta sentiasa berharuman sepanjang 10 malam terakhir.
Rasulullah SAW juga melakukan iktikaf di masjid. Baginda memasuki masjid sebelum Maghrib, solat berjemaah di samping membaca al-Quran dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.
Pada waktu beriktikaf, Rasulullah SAW memutuskan hubungan dengan manusia dan aktiviti lain bagi bermunajat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW tidur berasingan dengan isteri pada 10 malam terakhir untuk memberi tumpuan beribadat kepada Allah SWT.
Memasuki fasa ketiga bulan penuh keberkatan ini mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang berharga ini menambah bekalan akhirat lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir yang banyak kelebihannya.
Lailatul qadar adalah malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku satu malam saja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa memperolehnya dan rugilah siapa melepaskannya.
Dalam fasa ketiga ini kita dituntut mempertingkatkan amal salih dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyak zikir, solat sunat dan sedekah selain dituntut memperbanyakkan doa khusus untuk lailatul qadar.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa patut saya doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu, oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Namun terdapat sebilangan umat Islam tidak memberi perhatian sebaliknya lalai dengan kesibukan urusan lain seperti membuat persediaan menyambut hari raya. Kebiasaannya pada malam 10 terakhir, masjid lengang dan sepi, jemaah tarawih semakin berkurangan.
Sebaliknya, pasar raya menjadi tumpuan, suri rumah sibuk membuat persiapan raya sehinggakan ada yang berpuasa kerana keletihan. Bahkan peniaga bazar Ramadan ghairah meraih keuntungan pada saat akhir.
Mimbar ingin menyatakan, suasana begini tidak sepatutnya berlaku di saat kita sepatutnya melipatgandakan ibadat, kerana kita belum pasti lagi sama ada berpeluang untuk menikmati Ramadan akan datang.
Ramadan kita tempuhi tahun ini sepatutnya menjadi titik perubahan dalam diri untuk menjadi insan bertakwa dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat.
Hayati firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)