Friday, August 26, 2011
Perang dibenarkan untuk pertahan Islam
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Syeikh al-Maraghi berkata: Selepas Allah menyebut pada ayat yang terdahulu berkenaan dengan bulan-bulan sebagai penentuan masa bagi manusia dalam acara ibadat dan muamalat mereka lebih-lebih lagi ibadat haji, maka ia pada bulan-bulan khususnya peperangan diharamkan pada masa jahiliah.
Dinyatakan di sini bahawa tidaklah menjadi kesalahan kamu berperang kepada bulan-bulan ini semata-mata mempertahankan agamamu, memutuskan perjanjian bukan kerana habuan-habuan nafsu, syahwatnya dan suka pertumpahan darah.
Sayid Qutub berkata: Selepas itu dikemukakan pula penjelasan mengenai peperangan secara keseluruhan dan mengenai peperangan di kawasan Masjid al-Haram dan di dalam bulan-bulan haram secara khusus. Di samping itu, mengemukakan dakwah kepada infak untuk sabilillah dan dakwah ini mempunyai hubungan yang amat rapat dengan jihad.
Allah berfirman, Dan hendaklah kamu memerangi demi sabilillah orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang menceroboh.
Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu jumpai mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusirkan kamu dan penindasan itu lebih buruk daripada pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di kawasan-kawasan Masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu jika mereka memerangi kamu di situ, maka perangilah mereka. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang kafir.
Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih.
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi penindasan dan sehingga agama itu untuk Allah semata-mata, kemudian jika mereka berhenti maka tidak ada pencerobohan lagi kecuali terhadap orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah: 190-193)
Sayid Qutub berkata: Bahawa berperang kerana Allah bukan kerana sesuatu matlamat yang lain dari matlamat-matlamat perang yang dikenali umat manusia dalam sejarah peperangan mereka yang panjang.
Berperang sabilillah bukan kerana matlamat kemuliaan, kemegahan dan kedudukan yang tinggi di muka bumi. Ia juga bukan berperang kerana harta rampasan perang dan kerana perolehan-perolehan yang lain.
Bukan berperang kerana kepentingan pasaran-pasaran ekonomi dan bahan-bahan mentah atau berperang kerana mempertuankan satu golongan terhadap satu golongan yang lain atau satu bangsa terhadap satu bangsa yang lain.
Sebaliknya, berperang kerana matlamat-matlamat tertentu, yang kerananya disyariatkan jihad di dalam Islam. Iaitu berperang kerana untuk meninggikan kalimah Allah di muka bumi dan menegakkan sistem hidup-Nya dalam kehidupan manusia. Juga berperang kerana melindungi kaum Mukminin dari tertindas kerana agama mereka dan daripada dihanyutkan oleh kesesatan dan kebejatan.
Selain matlamat-matlamat ini, maka peperangan itu merupakan satu peperangan yang tidak halal menurut hukum Islam. Mereka yang menceburi diri di dalam peperangan itu tidak akan mendapat pahala dan kedudukan di sisi Allah.
Firman Allah: Dan hendaklah kamu memerangi demi sabilillah orang-orang yang memerangi kamu. Syeikh Sya’rawi berkata: Sebab turunnya ayat ini bahawa Rasulullah dan sahabatnya rindu untuk ke Baitullah al-Haram Mekah dengan berumrah.
Mereka datang pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah untuk berumrah. Apabila sampai di Hudaibiah, kaum Quraisy menghalang mereka memasuki kota Mekah hingga berlaku perjanjian dengan syarat-syarat yang pada zahirnya berat sebelah. Tetapi Rasulullah bersetuju walaupun para sahabat protes. Namun, dengan nasihat isterinya Ummu Salamah akhirnya semua mengikut perbuatan Nabi bertahallul.
Mengikut al-Mawardi; terdapat dua sebab yang lain iaitu: ia diturunkan di Madinah untuk memerangi orang musyrikin. Inilah pendapat Ibnu al-Rabi’ dan Ibnu Zaid.
Ia thabit pada hukum di mana ia diperintahkan memerangi seluruh orang musyrikin. Inilah pendapat Ibnu Abbas, Umar bin Abd. al-Aziz dan Mujahid.
Firman Allah: Dan janganlah kamu menceroboh. Sesungguhnya Allah tidak sukakan orang-orang yang menceroboh.
Terdapat tiga pandangan ulama:
* Pencerobohan dengan maksud memerangi golongan yang tidak memerangi mereka.
* Membunuh wanita dan kanak-kanak.
* Berperang bukan atas dasar agama.
Firman Allah: Dan bunuhlah mereka dimana sahaja kamu jumpai mereka. Yakni apabila kamu menguasai mereka.
Firman Allah: Dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusirkan kamu dan penindasan itu lebih buruk dari pembunuhan. Maksud fitnah di sini ialah kekufuran, mengikut pendapat yang ramai. Sesungguhnya dinamakan kufur dengan fitnah kerana ia membawa kepada kebinasaan seperti fitnah.
Firman Allah: Dan janganlah kamu memerangi mereka di kawasan-kawasan Masjid al-Haram sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu jika mereka memerangi kamu di situ, maka perangilah mereka. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang kafir.
Syeikh al-Maraghi berkata: Sesungguhnya berlaku sunnatullah bahawa dibalas orang-orang kafir dengan balasan ini dan di azab mereka dengan azab itu. Ini kerana mereka menentang dan melanggar had-had yang disyaratkannya. Merekalah yang sebenarnya zalim pada diri mereka kerana mereka memulakan permusuhan.
Firman Allah: Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Jika mereka meninggalkan peperangan terhadap orang Islam dan kekufuran dengan menganut ajaran Islam sudah pasti Allah menerima amalannya kerana Allah bersifat Maha Pengampun lagi Penyayang.
Firman Allah: Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi penindasan dan sehingga agama itu untuk Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti maka tidak ada pencerobohan lagi kecuali terhadap orang-orang yang zalim.
Ayat perangilah yang pertama menerangkan permulaan peperangan dan perangilah yang kedua menerangkan menerangkan matlamat daripadanya iaitu supaya tiada suatu fitnah dalam agama.
Al-Maraghi berkata: Orang-orang Islam pada permulaan Islam dikalahkan dalam urusan mereka sedangkan orang musyrikin dalam kesesatan mereka yang berkuasa ketika itu.
Justeru jadilah Kota Mekah tempat bertapaknya syirik dan Kaabah pula tempat simpanan berhala-berhala, tetapi Allah enggan kecuali menyempurnakan cahayanya. Kemudian Allah memungkinkan bagi orang yang beriman di bumi seterusnya dapat membuka Kota Mekah dan menghancurkan berhala.
Iktibar dan pengajaran ayat:
*Islam mempunyai adab dan peraturan sekalipun dalam peperangan.
*Fitnah merupakan perkara yang amat besar implikasi dan natijah sama ada terhadap individu ataupun masyarakat seluruhnya.
*Ithbat sifat Allah s.w.t. yang Maha Pengampun lagi Penyayang.