Wednesday, August 10, 2011

RENUNGAN RAMADHAN 09

 

image

Salah satu ruh yang penting dalam puasa ialah mewujudkan rasa kebersamaan dengan orang yang kurang bernasib baik. Puasa membolehkan kita yang berkemampuan (secara sukarela) merasa apa yang dirasai (secara terpaksa) oleh golongan yang tidak berkemampuan menikmati makanan dan minuman yang mencukupi setiap hari. Bayangkan, kita menahan diri secara sukarela sedangkan peti-sejuk kita dipenuhi makanan, kabinet dapur kita sendat dengan pelbagai bahan, tetapi mereka yang kurang bernasib baik terpaksa berlapar kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli walaupun makanan yang asas seperti beras dan minyak. Kita masih boleh bergembira kerana kita tahu, lapar kita sekadar adalah seketika, sementara menunggu berbuka tetapi bagi mereka entah malam ini, entah esok belum pasti ada cukup makanan untuk seisi keluarga.

Memberi makan kepada orang yang lapar adalah tugas mulia.

Dari Abdullah bin Amr ra ia berkata, ketika salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah (saw). "Ya Rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik". Rasulullah saw menjawab: "Memberi makan (orang yang lapar) dan memberi salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal". (hadis Riwayat Bukhari).

Jangan kita anggap bahawa golongan yang sebegini hanya wujud di Palestin, Kashmir atau di Somalia. Golongan yang kurang bernasib baik sedemikian mungkin wujud di kawasan atau daerah kita.

Seorang rakan menceritakan pengalamannya menziarahi sebuah kampung di pinggir Johor Bahru baru-baru ini:

"Pak Ali ni kerja apa Tok", tanyaku kepada Tok Ketua. "Kerja memukul kulit kayu bakau untuk dijadikan kayu arang", jawab Tok Ketua sambil menunjuk ke arah kilang kayu arang. "Berapa upahnya Tok Ketua", perasaan ingin tahuku menebal. "20 sen sebatang"."Sebatang tu panjang mana?", tanyaku lagi. Aku mengharap Tok Ketua tak bosan melayaniku."Sebatang kayu sepanjang 6 kaki. Kalau kerja sampai malam, mungkin boleh dapat RM12 sehari. Kalau tak kerja, tak de le gaji." jawab Tok Ketua panjang lebar.”

Di ketika lain:
"Mak cik tak kerja hari ini", tanyaku memecahkan kesunyian. "Tak, hari Ahad cuti", jawabnya spontan. "Mak cik kerja kat mana?", tanyaku lagak reporter. "Mak cik kerja kat kilang Pasir Gudang. Baru aje 3 bulan...mak cik ni ada sakit mental". "Sebelum ni mak cik kerja kat mana?" pintasku. "Mak cik sebelum ni tak kerja. Dapat bantuan daripada Jabatan Masyarakat RM160 sebulan. Tapi sebulan dua ni, lambat masuk. Siapa nak bagi anak-anak mak cik ni makan", terangnya sambil mengusap2 kepala anaknya. Ku lihat matanya mula bergenangan. Bibirku terkelu sayu.

Mari sama-sama kita merenung tindakan kita membaca pengalaman rakan ini dalam konteks dua hadis ini:

“ Tidak beriman kepadaku siapa yang tidur kenyang padahal jirannya lapar dan di sampingnya sedangkan dia tahu jirannya lapar”. (hadis riwayat Tabarani)

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

“ Apabila anda memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiranmu dan berikanlah kepada m,ereka sebahagian darinya denan baik.” (hadis riwayat Muslim)

Walaupun mereka bukan jiran sebelah rumah kita tetapi mereka jiran sedaerah, senegeri senegara dengan kita.

Marilah sama-sama kita merealisasikan salah satu ruh puasa ini dengan menyumbang sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untukmembantu golongan yang tidak bernasib baik. Pelbagai cara boleh dilakukan; banyak peluang kini dibuka. Pokoknya tepuk dada.. tanyalah iman kita.