Wednesday, September 28, 2011

Kebersihan hati dan tubuh badan

Rasulullah SAW bersabda,
“ Setiap daging yang tumbuh hasil dari sumber yang haram, maka neraka adalah lebih berhak ke atasnya (daging itu)”

Itu adalah sabda Rasulullah SAW mengenai sesiapa yang mengambil sesuatu yang haram dan memasukkan ke dalam tubuhnya.

Hari ini, manusia bergerak tanpa menitik beratkan perkara ini. Manusia berjalan tanpa memandang akan besarnya perkara ini. Mereka makan apa yang mereka mahu, mereka mengambil duit dari segala sumber tanpa mempunyai sensitiviti dalam perkara halal haram.

Hakikatnya, memasukkan perkara-perkara haram, seperti makanan, mahupun membeli makanan dari sumber duit yang haram, akan memberikan kesan kepada hati kita.

Rasulullah SAW bersabda, “Hati itu dibina dengan apa yang dimakan.”

Maka sumber makanan kita juga perlu dijaga kerana makanan yang bersumberkan dari sumber yang haram sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada hati kita.

Imam As-Syafi’e Rahimullah ‘alaihi pernah berkata, “Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan memasuki hati yang gelap.”

Justeru, penjagaan hati ini adalah perkara yang utama. Hati kita adalah segumpal darah yang mengandung sel-sel darah merah dan zat-zat besi. Sel dan zat-zat itu berasal dari makanan yang kita makan. Kalau makanan kita bersih dan halal mengikut syariat Islam, maka sel dan zat itu juga bersih sehingga hati kita juga akan bersih. Sebaliknya kalau makanan yang kita makan itu kotor, haram dan syubhat, baik benda itu haram atau wang yang digunakan untuk membelinya haram, maka sel dan zat-zat besi, atau zat-zat yang membina hati kita itu kotor, busuk dan gelap.

Hati seperti wadah yang terbuka. Hati yang kotor tidak akan menerima taufik dari Allah sebab Allah tidak akan memberi taufik dan hidayah kepada hati yang kotor. Sama halnya kita tidak akan memasukkan makanan ke dalam piring yang kotor. Apalagi taufik dan hidayah dari Allah itu sangat tinggi harganya.

Bila hati tidak dapat melihat kebenaran maka tidak akan terasa kebesaran, kehebatan, kasih sayang dan didikan dari Allah, tidak terasa anugerah, penjagaan, pengawasan dan pembelaan Allah. Kalau hati tidak mendapat hidayah dan taufik lagi maka kita akan menjadi orang yang sesat dan selalu terlibat melakukan maksiat dan mungkar.

Bersabda Rasulullah SAW :
“Dalam diri anak Adam itu ada segumpal daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad. Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Firman Allah :
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman dengan-Nya.” (Al Maidah : 88)

Perintah memakan makanan yang halal adalah wajib. Kalau kita makan makanan yang haram dalam keadaan sedar bahawa benda yang kita makan itu haram maka kita akan berdosa dan hati kita akan gelap. Tetapi kalau makanan yang haram dan syubhat itu kita makan, tanpa diketahui bahawa benda itu haram dan syubhat maka kita tidak berdosa tetapi hati kita yang dibina dari makanan itu tetap akan gelap.

Atas dasar itulah Sayidina Abu Bakar As Siddiq mengorek kembali makanan yang telah ditelannya hingga muntah-muntah, setelah dia mengetahui bahwa makanan itu sumbernya adalah syubhat. Amirul Mukminin itu merasa cukup takut bila makanan itu akan membutakan hatinya. Setelah mengorek makanan itu, dengan rasa bimbang kalau ada sisa-sisa makanan tersebut yang masih ada dalam perutnya, maka beliau pun berdoa, "Ya Allah, jangan Engkau bertindak kepadaku akan apa yang telah jadi darah dagingku."

Hal ini menunjukkan betapa, perkara haram itu memberikan bahana yang besar terhadap seorang mu’min. Samada kita tahu atau tidak tahu perkara itu haram, maka yang haram tetap haram, tetap memberikan kesan terhadap hati kita. Kita tidak berdosa jika memakan makanan haram tanpa kita ketahui keharamannya, tetapi hati kita tetap terbina dari perkara yang haram itu.

Kalau kita pergi ke sebuah negara bukan Islam, tiada tanda halal, tiada pula kawasan yang menyatakan tidak halal dan sebagainya, maka kita perlu lebih sensitif mengenai penjagaan halal haram ini. Sebaiknya jika tiada keperluan ataupun darurat, maka lebih digalakkan untuk kita memasak di rumah. Hal ini kerana, keadaan itu sudah jatuh kepada keadaan syubhah. Menjaga diri dari syubah adalah amat dituntut.

Alasan tidak pandai memasak bukanlah satu alasan yang kukuh untuk dijadikan sebagai keadaan darurat. Untuk mengejar redha ALLAH SWT, kita sendiri perlu berusaha keras mengikuti perintahNya. Allah SWT tidak ingin sesuatu yang buruk berlaku kepada kita. Justeru kita sendiri perlu berusaha mengikuti apa yang diaturkan olehNya.

Jika kita tidak pandai memasak, maka berusahalah belajar memasak. Moga usaha kita itu, untuk menjaga kebersihan hati kita bagi memudahkan taqarrub kita kepada ALLAH akan diterima sebagai salah satu amal ibadah. Sesungguhnya ALLAH amat mengasihi hamba-hambaNya.

Mengenai penjagaan dari perkara-perkara syubhah ini, Rasulullah SAW ada bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram..." (H.Riw Bukhari dan Muslim).




Namun ramai yang ambil mudah kepada hadith ini, lalu menutup sebelah mata dan tetap juga memasukkan perkara-perkara syubhah dalam kehidupan mereka. Sedangkan keadaan ketika itu lebih cenderung kepada yang haram, kerana kita bukan di negara Islam, tambah pula yang memasaknya bukan Islam, itu belum lagi termasuk dengan bahan yang digunakan.

Akhirnya alasan darurat juga digunakan. Semua mengambil contoh dibolehkan memakan babi oleh Islam untuk membolehkan mereka makan di tempat-tempat syubhah.

Tetapi tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan darurat di dalam Islam? Darurat itu membawa maksud, jika tidak melakukan perkara itu, maka kita tidak akan dapat melakukan perkara lain. Contoh, kalau tidak makan babi itu ketika itu, maka kita akan mati. Maka bolehlah kita memakan makanan tersebut. Kalau sentuh air ketika itu, maka tubuh kita akan tumbuh gatal-gatal yang memeritkan. Maka bolehlah bertayammum.

Adakah kita sudah mencapai tahap sedemikian untuk mengambil perkara-perkara yang syubhah, sedangkan perkara yang jelas halal masih banyak di sekeliling kita?

Allah SWT berfirman, "(Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."
(Al-A'laa : 16-17)


Itulah sebenarnya yang ada dalam hati dan jiwa kita.

Hakikatnya, perumpamaan perkara halal kepada yang haram adalah seperti keluasan nikmat seluruh syurga, dengan sebatang pokok khuldi di dalamnya. Yang halal masih banyak, kenapa bergerak mengambil yang syubhah? Sedangkan Rasulullah SAW berpesan di dalam hadtih tadi, sesiapa yang memasukkan dirinya ke dalam kesamaran, maka dia memasukkan dirinya ke dalam yang haram.

Saya kembali kepada penjagaan hati. Makanan kita membina hati kita. Kita sepatutnya sensitif dalam menjaga hati kita. Hati adalah bejana keimanan, hati juga adalah ibu kepada pemikiran kita. Kalau rosak hati kita, maka rosaklah segala kehidupan kita dalam menjadi hamba yang baik kepada ALLAH SWT.

Sesungguhnya, kesukaran yang kita hadapi dalam menjauhi perkara-perkara haram dan syubhah, akan Allah bayar atas kesungguhan ketaatan kita kepadaNya. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli dari orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (harga) Syurga untuk mereka.” (At Taubah : 111)

Kesukaran kita akan dibayar oleh ALLAH SWT. Itu adalah sesuatu yang pasti.

Maka jagalah hati kita dengan menjaga diri kita dari dimasukkan sesuatu yang sumbernya haram atau syubhah.
Hidup ini untuk mendapat keredhaan Allah SWT!