Tuesday, November 8, 2011

KASIH SAYANG MENURUT ISLAM






Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu Muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan. Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.

Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “

Inilah sebabnya baginda Rasulullah s.a.w menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan di kalangan mereka. Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah.

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Maka tepatlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “

Apabila kita meninjau akan kelemahan kita masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita sehari-hari. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri. Ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita. Malah dalam sejarah bangsa Melayu, pernah kita mengajak Inggeris, menyediakan kelengkapan perang untuk menjatuhkan sesama Melayu. Akibatnya negara kita dijajah.

Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.

Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya yang berbunyi:

Maksudnya: “ Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat Tarmidzi)

Malah banyak lagi Hadis yang melarang segala sifat keji ini. Antara punca lahirnya sifat-sifat keji itu ialah:

1. Hilang rasa malu dan rendah diri kita terhadap segala perkataan dan perbuatan kita.

2. Meletakkan nafsu dan dorongan rasa benci terhadap saudara kita.

3. Rasa benci dan ketidakpuasan hati kita yang telah mengawal akal dan hati kita.

Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu. Maka ketika itu mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam seperti di Indonesia, negara-negara Arab dan Afrika yang hanya memikirkan cara untuk menghapuskan saudaranya sahaja, bukan untuk membantu dan meningkatkan maruah serta martabat bangsa mereka sendiri.

Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat kasih sayang yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan. Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu cicit kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun jua.

Rumusan
Kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak anak kita di rumah. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan anak-anak kita.