Tuesday, December 13, 2011

ALLAH TAK AKAN UBAH SEHINGGA KITA BERUBAH



Ungkapan di atas adalah satu Sunnatullah yang telah Allah tetapkan buat hamba-hambaNya. Ia bukanlah ungkapan yang tidak lazim dibicarakan malah hampir setiap dari kita amat arif tentang ayat ini.

Allah telah berfirman di dalam Al-Quran: “….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” (Ar-Ra’du:11)
Peristiwa serangan terhadap Ghaza telah membuka mata dan minda Umat Islam seluruh dunia. Malah umat manusia seluruhnya juga telah mengetahui kekejaman yang dilakukan Israel laknatullah terhadap Umat Islam Palestin. Setiap dari kita merasakan kesedihan, hiba dan simpati terhadap nasib Umat Islam Palestin di Ghaza.

Banyak yang telah kita lakukan; doa, solat, munajat, derma, boikot, rapat umum dan demonstrasi namun kita masih merasa lemah dan putus harapan. Kita rasa sedih kerana usaha yang dilakukan tidak menampakkan hasil yang sebenarnya yang diharapkan.

Suara-suara kebenaran meskipun ramai dan bergema namun tidak berkuasa mengubah hakikat kekuasaan musuh-musuh Islam menganyang Umat Islam hidup-hidup. Apa lagi yang boleh dilakukan agar maruah Umat ini kembali tertegak?

Kita tertanya-tanya, apakah salah kita menyebabkan hal ini berlaku? Adakah umat Islam hari ini ditimpa mara bencana akibat kelemahan dan kelekaan kita sendiri? Adakah ini kifarah terhadap dosa yang telah kita lakukan selama ini? Mengapa umat Islam di Palestin dan tempat-tempat lain yang menerima bencana bukannya kita?

Allah menatijahkan sesuatu pasti ada sebabnya kerana Dialah Perancang Yang Paling Utama. Dialah yang berkuasa menentukan penguasa di muka bumi ini. Allah berfirman dalam surah Ali’Imran ayat 26:

“Katakanlah (Muhammad) Wahai Tuhan Pemilik Kekuasaan, Engkau berikan kekuassan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”

Benar!! Kekuasaaan Dunia terletak pada tangan Zionis antarabangsa yang menguasai Kuasa-Kuasa Besar Amerika dan Britain. Dan Umat Islam pada hari ini berada dalam kelemahan dan kehinaan yang teruk.

Kelemahan, kehinaan yang melanda umat Islam bukanlah sengaja dikenakan namun ia adalah pengajaran supaya kita bangkit berubah. Sunnatullah tidak akan berlaku sewenang-wenangnya tanpa kita berusaha. Ayat di atas menuntut kita untuk melakukan sesuatu supaya kemenangan kembali kepada Islam, supaya kegemilangan Islam kembali menyinar.

Saya tidak menafikan segala usaha yang telah anda lakukan seperti doa, derma, demonstrasi dan sebagainya. Tahniah kepada yang telah melakukannya. Namun ia adalah usaha yang berhasilan sementara. Kita perlukan usaha yang menatijahkan kesan yang besar dan bertahan lama. Usaha yang akan mengubah nasib Umat Islam yang tercinta ini seluruhnya agar ia kembali terbela. Apakah usaha itu?

Usaha ini adalah usaha menyatupadukan Umat Islam seluruh dunia dalam Aqidah Islam yang Asli dan Satu. Ia adalah usaha yang diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w dan diwarisi para sahabat, tabien, tabi’ tabieen dan salafus solehin. Ia adalah usaha menggerakkan Umat Islam mewujudkan kembali Khalifah Islam. Ia adalah usaha menegakkan kembali Islam di muka bumi!!

Namun ia bukannya usaha yang mudah. Banyak cabaran dan rintangan yang bakal menimpa. Arus kejahiliyyahan yang besar harus diharungi dengan kesabaran dan keteguhan tekad yang tidak pernah kenal erti kecundang.

Ia adalah usaha Dakwah dan Tarbiyyah mengajak Umat Islam agar kembali kepada pengamalan Islam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Inilah perubahan yang perlu berlaku dalam Umat ini untuk Allah kembali mengubah nasib kita.

Justeru, marilah kita bersama-sama melakukan perubahan. Bermula dari kita, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya seluruh dunia.

Sekiranya kita tekad melakukannya InsyaAllah, Allah akan mengubah Nasib Kita juga Nasib Umat Islam ini suatu hari nanti. Kerana Janji Allah itu adalah pasti!!

“InnAllaha La Yughaiyiruma Bi Qaumin Hatta Yughaiyiruma Bi Anfusihim”