Thursday, December 8, 2011

MENCARI TUHAN DI HUTAN.???



Pada suatu hari, seorang pengembara beragama Islam telah sampai ke sebuah perkampungan manusia atheis. Tatkala sampai, pendakwah itu terus bersolat kerana pada waktu itu sudah masuk waktu Zohor. Dia hanya bersolat di atas tanah berlapikkan kain yang dibawanya. Penduduk di situ mentertawakannya kerana mereka tidak pernah melihat orang bersolat.

”Orang muda, apa tujuan kamu datang ke mari? Kamu bukan orang sini. Pakaian kamu seperti orang yang bandar.”

Salah seorang penduduk di situ menanyakan soalan. Usianya agak tua. Mungkin menjadi ketua kampung di situ.

”Saya mahu tumpang tinggal di sini selama beberapa hari, boleh? Saya seorang pengembara.”

”Boleh memang boleh. Tapi, kamu perlu berhati-hati. Tempat ini asing bagi kamu. Jika berkenan, kamu boleh tumpang tidur di rumah saya.”

”Ya. Terima kasih.”

Pada malam itu, pengembara itu bersolat lagi di rumah orang tua tadi. Mereka semua hairan melihat amalannya itu. Sejurus selepas solat, orang tua tadi bertanya,

”Apa yang kamu buat tadi?”

”Saya menyembah Tuhan saya.”

”Tuhan? Di mana Tuhan kamu? Tidak nampak pun!” soal orang tua itu sambil disambut ketawa oleh anak-anak dan isterinya.

”Tuhan saya ada. Tapi, kita tidak boleh nampak.”

”Hah? Ada, tapi tidak nampak?”

”Ya, Tuhan itu wujud. Tetapi, kita tidak boleh melihatnya.”

Sekeluarga kehairanan. Sambil tersenyum, pengembara itu berkata, ”Setiap kejadian alam ini, Tuhan yang buat. Tuhan buat pokok. Tuhan buat haiwan. Tuhan buat kamu dan juga saya.”

”Mustahil! Bagaimana benda yang kita tidak boleh nampak boleh mencipta sesuatu yang boleh nampak? Hah! Hah! Mengarutlah!”

Pengembara itu menahan kemarahannya dengan tersenyum. Tidak ada gunanya dia berdebat dengan orang atheis seperti orang tua ini.

”Terpulanglah pada pak cik. Esok, temankan saya masuk ke hutan, boleh? Saya mahu cari Tuhan saya.”

”Haha! Boleh! Pak cik pun tak sabar-sabar nak tengok Tuhan kamu. Hehe!”

Maka, pada malam tersebut, pengembara itu bermalam di rumah pak cik itu. Ketika waktu sahur, dia bangun lagi untuk bersolat tahajjud. Dalam doanya, dia meminta semoga Allah memberikan hidayah kepada seluruh penduduk kampung tersebut.

Pada keesokan pagi, dia dan pak cik tadi pun masuk ke hutan. Sepanjang perjalanan itu, pak cik tua itu menunjukkan kepada pengembara tersebut pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Pengembara itu bertanya,

”Siapa yang ciptakan semua pokok-pokok dan haiwan-haiwan ni?”

”Semuanya tumbuh dan membesar dengan sendiri. Tidak ada sesiapa yang buat,” jawab pak cik itu selamba.

”Tapi, setiap kejadian itu, mesti ada penciptanya.”

”Jika ada pencipta, mana penciptanya? Tak nampak pun! Mana Tuhan yang kamu katakan?”

Pengembara itu bersabar dan tidak mudah melatah. Mereka meneruskan perjalanan. Sambil itu, pengembara itu bertanya lagi, ”Jadi, pak cik tidak percaya pada wujudnya Tuhan?”

”Tidak. Segala yang wujud perlu dibuktikan dengan mata. Jika Tuhan ada, dia di mana?”

Soalan itu tidak berjawab. Perjalanan diteruskan lagi sehinggalah pak cik itu tiba-tiba melompat tatkala terserempak dengan kesan tapak kaki harimau.

”Kita kena balik sekarang! Kita dalam bahaya!” jerit pak cik itu.

”Kenapa pak cik?”

”Kamu tidak nampakkah? Ini bekas tapak kaki harimau. Masih baru lagi!”

”Tapi, ini cuma bekas tapak kakinya sahaja, bukan betul-betul harimau.”

”Jika ada bekas tapak kaki, maknanya adalah harimaunya!”

”Pak cik yakin ada harimau di sini?”

”Ya. Mengikut pengalaman pak cik, jika ada bekas tapak kaki, maknanya harimau masih berkeliaran di sini. Pak cik yakin ada harimau di depan sana. Lebih baik kita balik!”

Sambil tersenyum, pengembara itu berkata, ”Melihat pada kesan tapak kaki sahaja pun pak cik sudah percaya di sini ada harimau. Jika ada, mana dia? Tak nampak pun.”

”Ish! Mengapalah orang seperti kamu ini bongok sangat? Daripada mana datang tapak kaki ini jika tidak ada harimau? Hah!”

Pengembara itu tersenyum lagi. ”Pak cik, bukankah pak cik pernah kata, jika tidak nampak, maknanya benda tu tak wujud? Jadi, saya tak nampak harimau, maknanya harimau tak wujud!”

Pak cik tua itu terdiam. Pengembara itu meneruskan lagi, ”Melihat pada kesan tapak kaki pun, kita sudah tahu bahawa ada harimau di sini. Tapi, apabila saya kata, setiap kejadian alam ini, Tuhan yang cipta, mengapa pak cik taknak percaya?”

Pengembara itu meneruskan lagi. ”Mestilah Tuhan yang menciptakannya walaupun kita tak pernah nampak dia!”

”Jomlah kita balik, pak cik. Saya ’dah jumpa’ Tuhan saya.”