Monday, December 5, 2011

RIWAYAT HIDUP IMAM HANAFI


Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya Nu’man bin Thabit bin Zhuthi’ lahir pada tahun 80H/699M di Kufah, Iraq iaitu sebuah bandar yang sudah sememangnya terkenal sebagai pusat ilmu di ketika itu. Ianya diasakan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud radiallahu –anhu (32H/65M), seoarang sahabat zaman Rasulullah saw. Ayahnya seorang pedagang besar, sempat hidup bersama Ali bin Abi Talib ra. Abu Hanifah sekali-sekala ikut turut serta dalam urus-niaga ayahnya, akan tetapi minatnya lebih mendalam ke arah membaca dan menghafal Qur’an.

Abu Hanifah di satu hari telah berjumpa dengan seorang tokoh agama besar di ketika itu, iaitu Imam Ash Sya’bi dan melihatkan kepintaran dan kecerdasan yang terpendam dalam fikiran muda Abu Hanifah, Imam AsySya’bi menasihatkan beliau agar lebih banyak mencurahkan usaha kedalam bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat dan dorongan Asy Sya’bi-lah Abu Hanifah mula menceburkan dirinya secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam.

Abu Hanifah mula belajar dengan mendalam ilmu-ilmu qiraat, ilmu arab, ilmu kalam dan lain-lain. Tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah bidang ilmu fiqh dan hadith; dan beliau banyak meluahkan tenaga mendalaminya. Abu Hanifah meneruskan pelajarannya dalam bidang fiqh dan hadith dengan bergurukan kepada Asy Sya’bi dan beberapa tokoh-tokoh ilmuan di Kufah. Menurut riwayat jumlah gurunya di Kufah sahaja berjumlah 93 orang.

Beliau kemudainnya berhijrah ke Basrah untuk berguru pula dengan Imam Hammad bin Abi Sulaiman, Imam Qatadah dan Imam Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan as-Shu’bah yang ketika itu dikenal sebagai Amir al-Mukminin fii Hadith (Pemimpin ummat bidang hadith), beliau diizinkan gurunya untuk mengajar hadith kepada orang ramai. Berkata as-Shu’bah: Sebagaimana aku mengetahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasang bersama.

Abu Hanifah tidak hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di Kufah dan Basrah. Beliau kemudiannya turun ke Mekah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Disana beliau duduk berguru dengan Imam Atha bin Abi Rabah. Kemudiannya Abu Hanifah duduk pula bersama Imam Ikramah, seorang tokoh besar di Mekah, yang juga merupakan anak murid kepada Abdullah ibnu Abbas, Ali bin Abi Talib, Abu Hurairah dan Abdullah ibnu Umar ra-anhum. Kehandalan Abu Hanifah dalan ilmu-ilmu fiqh dan hadith diiktiraf oleh Imam Ikramah sehingga beliau kemudiannya membenarkan Abu Hanifah menjadi guru kepada penduduk-penduduk Mekah.

Abu Hanifah kemudian meneruskan pengajinnya ke Madinah bersama Imam Baqir dan Imam Ja’afar as-Sadiq. Kemudian beliau duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas, tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Abu Hanifah 13 tahun lebih dewasa dari Imam Malik, ini tidak menghalangnya untuk turut serta belajar. Apabila guru kesayangannya Imam Hammad meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti Hammad sebagai guru dan sekaligus tokoh agama Basrah. Melihatkan tiada siapa lain yang akan meneruskan perjuangan ilmu Imam Hammad, Abu Hanifah bersetuju kepada jawatan tersebut.

Mulai disinilah Abu Hanifah mula mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Pengaruhnya juga mula tersebar luas sebagai Imam Mujtahid yang besar. Disamping mengajar, Imam Abu Hanifah adalah seorang pedagang dan beliau sangat bijak dalam mengadili antara dua tnggung-jawabnya ini, sebagaimana keterangan anak muridnya al- Fudail ibnu Iyab:

Adalah Abu Hanifah seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk siapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali datang kepadanya sesuatu masaalah agama, amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.

Dimasa pemerintahan Abbasid, Khalifah al-Mansur telah beberapa kali meminta beliau menjawat sebagai qadi kerajaan. Beliau tetap berkeras menolak jawatan itu. Jawapan Abu Hanifah membuatkan Mansur marah, lalu dia menghantar Abu Hanifah ke penjara. Akan tetapi tekanan dari orang ramai menyebabkan Mansur terpaksa membenarkan Abu Hanifah meneruskan pengajarannya walaupun dalam penjara. Apabila orang ramai mula mengerumuni penjara untuk belajar dengan Abu Hanifah, Mansur merasakan kedudukannya mula tercabar dan tergugat. Mansur merasakan Abu Hanifah perlu ditamatkan hayatnya sebelum terlambat.

Pada usia 70 tahun, akhirnya Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rjab 150H/767M ketika dalam penjara, disebabkan termakan makanan yang diracuni orang. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini dirasai olah dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah. Imam Abu Hanifah mempunyai beberapa orang murid yang ketokohan mereka membolehkan ajarannya diteruskan kepada masyarakat. Antara anak-anak murid Imam Abu Hanifah yang ulung ialah Imam Zufar (158H/775M), Imam Abu Yusuf (182H/798M) dan Imam Muhammad Hasan as-Shaibani (189H,805805M).