Wednesday, January 11, 2012

ALI ADALAH PINTUNYA



“Aku ini adalah kota ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”

Itulah sabda Rasulullah SAW sekaligus menggambarkan betapa Ali sangat penting kepada baginda.

Sehingga kewafatan Rasulullah, Ali meneruskan kesinambungan ilmu yang ditinggalkan oleh baginda. Malah, tidak hairan ada yang sampai cemburu dengan kelebihan Ali di segi ilmu pengetahuannya.

Sehingga pernah Ali menerima kedatangan sepuluh orang lelaki dari kaum Khawarij. Niat mereka hanya satu, ingin berdialog dengan Ali mengenai kemusykilan yang mereka hadapi. Lebih dari itu, mereka sebenarnya ingin menguji sejauh mana ilmu pengetahuan Ali dan benarkah kata-kata orang mengenai lelaki bijak pandai dan beriman ini.

Kedatangan mereka diterima baik dan dilayan sebagai tetamu terhormat oleh Khalifah Ali. Setiap seorang daripada mereka ingin bertanyakan soalan dan mewakili kaum masing-masing.

“Jika begitu hajat kalian, apakah yang ingin kalian tahu?”

“Wahai Ali, manakah yang lebih mulia, ilmu pengetahuan atau harta benda, Kami ingin tahu sebab-sebabnya?” tanya lelaki pertama.

“Ilmu pengetahuan itu adalah warisan para nabi, sedangkan harta kekayaaan adalah warisan Qarun, Syadad dan lain-lain. Oleh kerana itu, ilmu pengetahuan lebih mulia daripada harta benda,” jawab Khalifah Ali.

Kemudian orang kedua bertanya, “Manakah yang lebih mulia ilmu pengetahuan atau harta benda, dan jelaskan sebab-sebabnya?”

“Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmulah yang menjaga dan memelihara pemiliknya, sedangkan harta yang empunyalah yang memelihara dan menjaganya,” jawab Khalifah Ali.

Setelah soalan lelaki pertama dan kedua selesai dijawab oleh Khalifah Ali, kemudian lelaki ketiga, keempat, kelima, hingga lelaki kesepuluh mengajukan pertanyaan yang sama seperti yang diajukan oleh lelaki pertama dan kedua.

Kepada penanya ketiga khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana orang yang berilmu banyak sahabatnya, sedangkan orang yang banyak hartanya lebih banyak musuhnya.”

Kepada penanya keempat khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu bila disebarkan atau diajarkan akan bertambah sedangkan harta kalau diberikan kepada orang lain akan berkurang.”

Kepada penanya kelima khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak dapat dicuri, sedangkan harta benda mudah dicuri dan dapat lenyap.”

Kepada penanya keenam khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak bisa binasa, sedangkan harta kekayaan dapat lenyap dan habis kerana masa dan usia.”

Kepada penanya ketujuh khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu tidak ada batasnya, sedangkan harta benda ada batasnya dan dapat dihitung jumlahnya.”

Kepada penanya kedelapan khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana ilmu memberi dan memancarkan sinar kebaikan, menjernihkan pikiran dan hati serta menenangkan jiwa, sedangkan harta kekayaan pada umumnya dapat menggelapkan jiwa dan hati pemiliknya.”

Kepada penanya kesembilan khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia daripada harta, kerana orang yang berilmu mencintai kebajikan dan sebutannya mulia seperti si ‘Alim, dan sebutan mulia lainnya. Sedangkan, orang yang berharta bisa melarat dan lebih cenderung kepada sifat-sifat kikir dan bakhil.”

Dan kepada penanya kesepuluh khalifah menjawab: “Ilmu lebih mulia dan lebih utama daripada harta kekayaan, kerana orang yang berilmu lebih mendorong untuk mencintai Allah. Sedangkan harta benda dapat membangkitkan rasa sombong, congkak dan takbur.”

Hebat! Ali tidak kehabisan hujah meski ditanya soalan yang sama. Diberitahu sepuluh kebaikan mengenai ilmu kepada lelaki-lelaki itu. Satu pertanyaan tetapi mereka memperolehi jawapan yang bernas-bernas. Memang benar sebagaimana sabda Nabi , Ali adalah pintu kepada kota ilmu baginda.