Monday, January 30, 2012

DERMAWAN



Sikap dermawan merupakan sebahagian dari sikap cinta Nabi s.a.w terhadap sesama manusia. Baginda berusaha untuk selalu menderma, baik dalam keadaan sempit mahupun saat lapang.

Diceritakan, ada seorang yang menemui Nabi dan meminta sesuatu kepada baginda. Dengan santun Nabi s.a.w, “ Itu memang atas tanggunganku, nanti apabila aku mempunyai wang akan aku bayar.”

“Wahai Rasulullah, bukankah sebelumnya tuan telah memberi sesuatu kepadanya? Sesungguhnya Allah tidak membebanimu dengan sesuatu yang tidak mampu engkau pikul,” kata sahabat, Umar al-Khattab yang berada bersama-sama di situ.

Tetapi, seorang sahabat Ansar mencelah, “Wahai Rasulullah, berilah, jangan khuatir, Allah akan memberimu sedikit.” Mendengar hal itu, merekahlah senyuman indah daripada bibir Rasulullah.

Kisah tersebut mengungkap betapa kayanya jiwa Nabi s.a.w dan melimpah-ruahnya kasih sayang baginda kepada orang-orang miskin, walaupun keadaan ekonomi keluarga baginda sendiri agak sulit.

Disebutkan, datanglah tiga orang meminta sedekah kepada Nabi s.a.w. Baginda menyambut dan memperlakukan mereka dengan rasa hormat dan cinta. Kepada mereka Nabi menyapa, “Duduklah, Allah akan memberi rezeki kepadamu.”

Suhanallah, tidak lama kemudian seeorang menemui Rasulullah dan memberikan wang empat uqiyah. Katanya, “Wahai Rasulullah, ini empat uqiyah sebagai sedekah.”

Nabi s.a.w memanggil ketiga-tiga orang tadi dan memberikan wang tersebut, masing-masing mendapat satu uqiyah. Bakinya satu uqiyah, ditawarkan baginda kepada salah seorang daripada mereka, tetapi tak seorang pun mahu menerimanya.

Malamnya, menjelang tidur, Nabi s.a.w meletakkan baki satu uqaiyah tersebut di bawah bantal kepalanya. Tetapi baginda tidak boleh tidur, gelisah memikirkan baki wang tersebut.

Sesudah solat, Aisyah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah engkau menanggung atau memikirkan sesuatu?”

“Tidak,” jawab Nabi s.a.w, Lalu, diambillah wang satu uqiyah itu.

“Inilah yang menjadikan aku seperti yang kamu lihat. Aku khuatir akan terjadi sesuatu yang ditimpakan Allah, sementara aku belum memberikan kepada yang berhak,” jelas Nabi s.a.w.

Besarnya kasih sayang kepada fakir miskin membuat baginda gelisah dan sukar tidur. Apalagi Rasulullah memang tidak mahuu menggunakan harta daripada sedekah untuk kepentingan sendiri mahupun keluarga baginda.

Suatu hari Rasulullah menerima wang lebih banyak daripada yang pernah diterima oleh baginda sebelum ini. Baginda meminta supaya wang tersebut diletakkan di masjid, manakala baginda bergegas mendirikan solat. Sesudah solat, Nabi s.a.w duduk di sisi wang tersebut, lalu membahagikannya kepada setiap orang yang memintanya.

Pada kesempatan lain, baginda mendermakan seluruh wang yang diberikan kepada baginda berjumlah 90 dirham. Nabi s.a.w meletakkan wang tersebut di atas tikar, lalu membahagi-bahagikan kepada orang ramai. Baginda tidak menolak permintaan seorang pun yang meminta sampai wang tersebut habis.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali- Imran: 92)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah , ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Maha Meliputi ilmu pengethuan-Nya.” (al-Baqarah: 261)

Seterusnya firman Allah yang bermaksud:

“Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya), serta ia mengakui dengan yaqin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya,- Serta ia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.” (al-Lail: 5-10)




Bersedekah bukan hanya mempunyai aspek ritual, namun juga bermakna sosial yang sangat bernilai tinggi. Dengan sedekah, bererti kita menolong atau meringankan beban orang-orang miskin dan serba kekurangan. Bersedekah dapat menjalin sekaligus mengeratkan ikatan kasih sayang antara sesame, sekali gus memupus kesenjangan sosial antara yang mampu dan yang tidak mampu.

Huraian di atas sudah cukup menegaskan betapa utamanya bersedekah. Sungguh, Nabi s.a.w telah menunjukkan teladan yang terbaik, termasuk dalam hal bersedekah. Keteladanannya selalu mengandungi keutamaan-keutamaan bagi umatnya yang mahu meneladani.

Selain bersedekah, ternyata beliau juga senang memberi hadiah. Sabda baginda yang bermaksud: “Hendaklah kalian saling memberi hadiah, pasti kalian saling memberi hadiah, pasti kalian saling mencintai.” (Riwayat Baihaqi)

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Jika aku diundang untuk sebuah (urusan) yang ukurannya hanya sehasta atau sebetis, pastilah akan aku penuhi. Dan jika aku dihadiahi (dengan sesuatu) yang nilainya hanya sehasta atau sebetis kaki, pastilah aku akan menerimanya.” (Riwayat Bukhari)

Memberikan hadiah adalah ungkapan sekali gus simbolisasi yang menunjukkan rasa cinta. Nilai sebuah hadiah bukan ditentukan oleh mahalnya hadiah tersebut, melainkan terletak seberapa besar hati mengikhlaskannya; di sanalah cinta berada. Seorang Muslim yang memiliki kebesaran jiwa dan kerendahan hati, pasti menunjukkan rasa gembiranya tatkala dia menerima hadiahsekecil apa pun hadiah tersebut. Ungkapan terima kasih terucap tulus daripada bibir. Beriringan dengan itu, rasa mengasihi sebagai sesama Muslim kian mengisi hati.

Susunan MUHAMMAD HATIM
ummatanwasatan.net