Saturday, September 1, 2012

PILIHLAH WANITA KERANA AGAMANYA...



Perkahwinan dalam Islam menawarkan ketenangan jiwa dan kedamaian fikiran, baik lelaki mahupun perempuan dapat hidup bersama dalam suasana cinta, kasih sayang, harmonis, kerjasama, saling menasihati dan bersikap toleransi. Ia telah meletakkan asas atau tapak yang kukuh dan mengangkat keluarga Islam dalam suatu persekitaran yang lestari dan sihat.

Al-Quran mengungkapkan dalam istilah yang sangat mengharukan dan mengesankan bahawa hubungan yang abadi dan alamiah antara lelaki dan perempuan, dipenuhi dengan ketenangan, rasa aman, saling cinta mencintai. Saling memahami dan kelembutan. Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah bahawa Ia menciptakan untukmu pasangan dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya, dan diciptakan-Nya di antaramu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.” (ar-Rum: 21)

Perkahwinan adalah penyatuan jiwa dalam perasaan yang paling dalam. Allah mempertemukan dua jiwa ini untuk bersatu sehingga mereka dapat memperolehi ketenangan dan kedamaian dalam rumah tangga yang dipenuhi dengan cinta yang tulus dan kasih sayang yang berkah.

Dalam Islam, perempuan yang berbudi dan baik dilihat sebagai salah satu rahmat dalam kehidupan ini, dan kurniaan yang agung bagi seorang lelaki, kerana dia dapat pulang bertemu dengannya menghadapi perjuangan hidup, dan menemukan bersama kedamaian,dan kenikmatan yang tidak terkira. Nabi s.a.w  bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Islam meletakkan perkahwinan pada darjat yang sangat tinggi, dan memandang kewanitaan sebagai sesuatu yang sangat bernilai dan berharga.

Atas dasar pandangan tentang perkahwinan dan perempuan di atas, seorang Muslim tidak dikendalikan oleh sikap yang tanpa arah (the empty headed attitude) sebagaimana diperlihatkan oleh banyak perempuan akhir-akhir ini. Tetapi, dia dikendalikan oleh keperibadian seorang Muslim yang sihat, dan dia menggunakan waktunya untuk memilih teman hidupnya, mencari  yang memiliki watak Islam yang benar dan yang akan menciptakan kehidupan rumah tangga yang damai dan bahagia. Oleh kerana itu, dia tidak tertarik kepada kecantikan, gaya dan kecantikan fizikal yang dibuat-buat yang diingini oleh kaum muda yang tanpa arah. Dengan tidak mengabaikan hal-hal yang bersifat lahiriah, seorang Muslim juga harus melihat isterinya dari segi kekuatan iman dan amalan agamanya, perilakunya yang baik, sebagaimana nasihat Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Perempuan dinikahi kerana empat hal: hartanya, keturunannya, kecantikanya dan agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya,maka kamu akan selamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Meskipun Nabi s.a.w menasihati golongan muda Muslim untuk memilih isteri yang kuat agamanya tetapi ini bukan bererti bahawa dia mengabaikan pertimbangkan dari segi kecantikannya. Nabi s.a.w menyuruh kita untuk melihat perempuan sebelum mengakhiri dengan perkahwinan, sehingga seorang Muslim tidak merasa dirinya terperangkap dalam perkahwinan dengan seorang perempuan yang tidak menarik dan cantik.

Al-Mughirah ibn Sya’bah berkata:

Aku meminang seorang perempuan pada masa Nabi. Baginda bertanya kepada saya, “Apakah kamu melihatnya?” Aku menjawab, “Belum.”  Nabi mengatakan: “Pergi dan lihatlah dia, kerana (dengan cara melihat) akan ada keserasian sehingga cinta dan kesesuaian akan tercipta di antara kamu.”

Seseorang yang telah meminang perempuan Ansar datang kepada Nabi s.a.w. Nabi bertanya, “Apakah kamu sudah melihatnya?” Dia menjawab, ”Belum.” 
Maka Nabi menyuruhnya untuk melihatnya.

Nabi s.a.w menekankan, dalam lebih daripada satu hadis, bahawa kecantikan merupakan salah satu perwatakan asas sehingga seorang lelaki seharusnya mencari seorang perempuan yang di samping moral, juga yang memiliki perwatakan yang baik. Sesungguhnya dua perkara ini tidak boleh dipisahkan. Sebagai contoh, Nabi s.a.w bersabda kepada Ibnu Abbas, yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu hal yang paling mulia jika dimiliki oleh lelaki? Ialah isteri yang solehah: ketika dia memandangnya dia senang, ketika dia menginginkannya melakukan sesuatu dia pun memenuhinya, dan ketika dia pergi dia dapat dipercayai dan setia kepadanya.

Abu Hurairah berkata:

Nabi saw ditanya: ”Perempuan mana yang terbaik?” Baginda menjawab: “Perempuan yang menyenangkannya ketika dia memandangnya, yang mentaatinya ketika dia memintanya untuk melakukan sesuatu, dan yang tidak melakukan sesuatu yang tidak disukainya berkenaan dengan dirinya dan harta suaminya.”

Inilah bimbingan yang diberikan oleh Nabi s.a.w berkaitan dengan keperibadian seorang perempuan yang berupaya membawa kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian bagi lelaki dan yang bisa mendatangkan bahagia, kesenangan dan keamanan di rumah tangga, yang akan melahirkan anak-anak yang cerdas, berjaya dan beriman.

Nabi s.a.w menegaskan bahawa perkahwinan harus dibangun di atas dasar atau tapak yang kukuh, yang ada keseimbangan antara keperluan fizikal, mental, spiritual dan emosional.

Oleh sebab itu, seorang Muslim sejati yang dibimbing oleh syariah dalam segala aspek, tidak akan terperangkap oleh tipu muslihat ”hadhra-ad diman” perempuan yang cantik secara fizikal namun buruk perwatakan dan peribadinya.

Susunan MAIZURAH HASSAN
ummatanwasatan.net