Apabila kita memperhatikan keadaan kehidupan manusia dalam mengharungi samudera kehidupan, ada di antaranya yang hidup dengan diselimuti kemudahan dan keberuntungan, namun ada juga yang sering dikelilingi kesulitan, seakan-akan bintang kehidupan mereka sedang redup tertutup kabus. Bagi kelompok pertama, kelihatan begitu mudah dan lancar saja dalam menapaki jalan hidupnya. Setiap usaha yang dilakukan selalu menuai kejayaan atau sekurang-kurangnya tidak mengalami kesukaran seolah-olah setiap langkahnya selalu tepat pada jalan menuju keberuntungan. Ketika berniaga selalu untung, jika menanam tanaman, tanamannya tumbuh subur dan apa sahaja yang diusahakan selalu menghasilkan pulangan yang memberangsangkan.
Sedangkan kelompok kedua, hampir sering menemukan kesukaran dalam hidup. Usaha yang dilakukan seolah-olah selalu mengalami kegagalan. Apa yang diusahakan selalu tidak tepat, kesukaran demi kesukaran selalu menghadang jalan hidupnya. Ketika berniaga selalu merugi, bahkan modalnya pun habis dan jatuh bankrap. Ketika menanam tanaman, tanamannya tidak tumbuh subur sebagaimana sepatutnya atau jika tumbuh pun tanamannay itu diserang serangga atau haiwan perosak.
Mengapa hal itu terjadi? Dan apa pula penyebabnya? Untuk mendapatkan jawapan akan sebab-sebabnya memang tidak mudah, kerana faktor penyebabnya begitu kompleks. Bagaimanapun, setidak-tidaknyanya kita dapat merenungi firman Allah s.w.t yang sudah pasti akan kebenarannya. Dalam kaitannya dengan persoalan tersebut, marilah kita teliti firman Allah s.wt yang bermaksud:
Sedangkan kelompok kedua, hampir sering menemukan kesukaran dalam hidup. Usaha yang dilakukan seolah-olah selalu mengalami kegagalan. Apa yang diusahakan selalu tidak tepat, kesukaran demi kesukaran selalu menghadang jalan hidupnya. Ketika berniaga selalu merugi, bahkan modalnya pun habis dan jatuh bankrap. Ketika menanam tanaman, tanamannya tidak tumbuh subur sebagaimana sepatutnya atau jika tumbuh pun tanamannay itu diserang serangga atau haiwan perosak.
Mengapa hal itu terjadi? Dan apa pula penyebabnya? Untuk mendapatkan jawapan akan sebab-sebabnya memang tidak mudah, kerana faktor penyebabnya begitu kompleks. Bagaimanapun, setidak-tidaknyanya kita dapat merenungi firman Allah s.w.t yang sudah pasti akan kebenarannya. Dalam kaitannya dengan persoalan tersebut, marilah kita teliti firman Allah s.wt yang bermaksud:
“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (a-Lail: 5-7)
Ada tiga hal yang dapat kita perhatikan yang merupakan faktor penyebab timbulnya kemudahan-kemudahan, iaitu:
Pertama: A’thaa, suka memberikan hartanya di jalan Allah. Orang yang murah hati dan suka memberi. Sebuah sikap hidup yang dermawan, suka memberikan sebahagian harta bendanya kepada orang-orang yang memerlukan dan kesulitan dalam usahanya mencari penghidupan, seperti orang-orang miskin, anak yatim, para ibu tunggal yang miskin, orangkurang upaya yang tidak memiliki kemampuan untuk berusaha memenuhi kebutuhan hidupnya dan lain sebagainya. Juga untuk mendirikan masjid-masjid, madrasah dan sebagainya.
Perumpamaan pelipat gandaan balasan pahala bagi orang yang membelanjakan harta bendanya di jalan Allah, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat berikut ini yang bermaksud:
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai seratus biji, Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Diakehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 261)
Rasulullah s.a.w menerangkan tentang pahala dan keberuntungan orang yang suka memberi (dermawan) dan akibat yang bakal tertimpa ke atas orang yang bersifat bakhil atau kikir. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Orang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat pada syurga, dekat dengan manusia dan jauh daripada neraka. Sedang orang bakhil itu jauh daripada Allah, jauh daripada syurga, jauh daripada manusia, namun dekat dengan neraka. Sungguh orang bodoh yang suka memberi itu lebih baik pada pandangan Allah daripada orang alim yang bakhil.” (Riwayat Tirmidzi)
Sikap hidup yang dermawan itu tidak hanya mendekatkan kepada Allah s.w.t dan pada syurga, tetapi juga kepada sesama manusia. Hubungan yang harmoni dengan manusia itu akan menciptakan ketenangan dan membuka jalan yang penuh harapan untuk meraih kejayaan dalam hidup.
Kedua: Bertakwa. Takwa dalam istilah yang paling popular ialah menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi semua larangan-Nya. Sebahagian ulama merumuskan bahawa takwa adalah menjaga diri daripada segala perkara yang akan mendatangkan murka dan azab Allah s.w.t. Dalam pengertian yang lain, takwa ialah menghindarkan diri dari segala sesuatu yang menjauhkan diri dari Allah.
Bagi orang bertakwa, Allah s.w.t berjanji akan memberikan kemudahan dan rezeki dari arah mana pun yang tidak terhingga dan tidak terduga.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya.” (al-Talaq: 2-3)
Ketiga: Menyakini akan adanya balasan pahala yang terbaik, setiap kesalehan dan kebaikan itu akan mendapatkan imbalan balasan atau pahala. Jika kita perhatikan sesungguhnya dalam kehidupan di dunia ini, ada dua unsur yang sangat menentukan dan mewarnai kehidupan manusia, iaitu nilai-nilai kebaikan yang akan mengantarkan manusia pada terciptanya kehidupan yang damai, mendapatkan kebahagiaan dan kenikmatan hidup. Dan kejahatan yang tentunya akan membawa manusia kepada kerosakan, kehancuran, kesengsaraan dan kebinasaan.
Perhatikan firman Allah s.w.t pada ayat selanjutnya yang bermaksud:
“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar.” (al-Lail: 8-10)
Dapat difahami daripada yat tersebut bahawa ada tiga perkara yang membawa seseorang kepada kesulitan dan kesukaran-kesukaran dalam kehidupannya, terutama kelak di akhirat, iaitu bakhil; merasa cukup dan mendustakan pahala yang terbaik. Bakhil dan kikir sesungguhnya sangat merugikan dan membuat seseorang menderita kesengsaraan dan kesulitan dalam hidupnya, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sesungguhnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.” (Ali Imran: 180)
Oleh sebab itu, mari kita buang sifat kikir dan bakhil dari dalam diri kita. Kita biasakan diri menjadi orang yang suka memberi. Abu Hanifah berkata, “Aku tidak pernah melihat keadilan dapat tegak di tangan orang yang bakhil kerana kebakhilan akan mendorong seseorang untuk mengikis habis, mengeksploitasi dan mengambil melebihi haknya kerana ia sangat takut akan rugi dan ketinggalan untuk mendapatkan apa yang diinginkan, sesuai dengan kerakusannya. Orang yang demikian itu, tidak dapat dipercaya untuk memegang amanah atau tanggungjawab.”
Diceritakan bahawa Nabi Yahya a.s pernah bertemu dengan iblis, lalu ia bertanya, “Hai iblis, beritahu aku tentang manusia yang paling kamu sukai, dan manusia yang paling kamu benci.” Iblis berkata, “Orang yang paling aku benci ialah orang fasik yang dermawan.” Nabi Yahya bertanya kepadanya, “Mengapa demikian?” Iblis menjawab, “Kerana kebakhilan orang yang bakhil itu telah cukup bagiku. Sementara orang fasik yang dermawan, membuat aku khuatir, kalau-kalau Allah melihat kedermawannya, lalu Ia menerimanya.” Lalu iblis pergi sambil berkata, “Seandainya kamu bukan Nabi Yahya, tentu aku tidak akan memberitahu kepadamu akan hal itu.”
Ketika Hasan Basri ditanya tentang bakhil, ia menjawab: “Kebakhilan itu, jika seseorang melihat harta yang diinfaqkan sebagai sesuatu kemusnahan dan apa yang ditahannya sebagai kemuliaan.” Sumber kebakhilan adalah cinta harta dan panjang angan-angan, ketakutan akan fakir dan kecintaan pada anak serta keluarga.
Akhirnya, dapatlah disimpulkan bahawa sikap dermawan, takwa, dan menyakini adanya balasan terbaik merupakan tiga tunggak utama yang akan membuka jalan keluar, menyebabkan kemudahan dan keberuntungan. Sedang kebakhilan; merasa cukup; dan pembenaran akan nilai-nilai kejahatan merupakan tiga tiang utama yang menyebabkan kesulitan, kehancuran dan kebinasaan. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang beruntung, bahagia di dunia, juga di akhirat. Amin.
MUHAMMAD HATIM
Ummatanwasatan.net