Monday, March 25, 2013

MISTERI TABUT AS-SAKINAH NABI MUSA






TABUT sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran adalah satu anugerah Allah kepada Bani Israel. Di dalamnya terdapat sebuah kitab suci. Ia berukuran tiga hasta panjang dan dua hasta lebar. Ia mempunyai berbagai-bagai keistimewaan. Tabut tersebut boleh memberikan ketenangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Ia mampu mengalahkan pihak lawan dalam peperangan. Sekiranya Tabut itu dibawa ketika berperang, sudah pasti pihak musuh akan berasa gentar dan tewas.
“Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja ialah kembalinya Tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun. Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu jika kamu orang yang beriman.” (al-Baqarah: 248)

Malangnya, Bani Israel tidak tahu mensyukuri anugerah yang diberikan itu. Mereka mengingkari segala perintah Allah s.w.t.. Mereka banyak memalsukan kitab suci mereka. Mereka juga ingkar dengan ajaran Nabi Samuel. Pada zaman tersebut, Nabi Samuel diutuskan oleh Allah untuk menyeru mereka ke jalan kebenaran. Semasa kecil Nabi Samuel telah dididik dan dibesarkan oleh orang yang alim. Baginda kemudiannya diajar dengan ajaran Nabi Musa dan juga kitab sucinya iaitu Taurat. Setelah dewasa dan menjadi utusan Allah, Nabi Samuel mula berdakwah kepada Bani Israel supaya menyembah Allah tetapi mereka ingkar. Malah, mereka tidak percaya akan kenabian Nabi Samuel. Mereka menuduhnya sebagai pendusta. Bani Israel telah mencabarnya agar menunjukkan bukti kenabiannya. Lalu Allah menarik balik keistimewaan yang diberikan kepada Bani Israel itu. Dia menukarkannya dengan memberi kekuatan dan keberanian kepada orang-orang Palestin. Ketika Palestin berperang dengan Bani Israel, mereka berjaya mengalahkan Bani Israel dengan mudahnya. Bani Israel telah diusir dari Jerusalem. Tabut yang menjadi azimat mereka selama ini telah dirampas.

Gambar merupakan gambaran rupa tabut, benda yang paling ditakuti pada masa Perjanjian Lama. Setidaknya begitulah gambarannya. keberadaanya dulu begitu kuat dan sangat berpengaruh terhadap bangsa Israel semenjak peristiwa exodus keluar dari Tanah Mesir. Namun, kini ia telah hilang ditelan masa.. dimanakah ia berada kini?

crdt: baca-blogspot.blogspot.com


Ibu…setiap titis susumu menjadi darah dagingku,
Senyum tawaku menjadi penawar hatimu,
Jika dahulu engkau menjadi tempatku mengadu,
Kini…hanya Allah s.w.t. tempat berpaut tangisanku…..

Setiap manusia dilahirkan oleh seorang wanita yang bernama ibu. Dialah yang menjadi teman, tempat mengadu, dan segala-galanya hanya untuk manusia yang bergelar anak. Kita dibawa ke hulu ke hilir selama 9 bulan tanpa mengenal erti kepayahan dan kesusahan terhadap ibu kita. Malah setiap anggotanya hanyalah semata-mata untuk anaknya.

Dalam kebejatan dunia hari ini, manusia seringkali melupai ibunya yang terlantar jauh di hulu kampung tanpa menghiraukan kehidupannya yang daif. Walaupun berkeadaan demikian, wanita tua yang bernama ibu itu masih meneruskan kehidupannya biarpun hatinya merintih, meronta, dan merayu ingin meminta secebis kasih sayang daripada anaknya.

Jika dahulu ketika kecil kita dibelai, disusukan, diasuh, dimandikan, disuap nasi, kini kasih sayang itu seolah-olah tidak bererti buat anaknya yang telah melupai dirinya. Malah kesibukan bekerja dijadikan alasan dengan mengungkapkan kata “Ibu saya sibuk, kalau tak cukup duit nanti saya berikan lagi”. Bukanlah wang ringgit yang menjadi pertaruhan nyawa, tetapi hanya dengan ungkapan kata-kata yang ikhlas dan kasih sayang sudah memadai baginya.

Umat Islam yang bergelar anak harus sedar betapa pentingnya menghormati, memberikan kasih sayang agar doanya sentiasa berada bersama-sama dalam mengharungi kehidupan agar diberkati Allah azzawajjalla. Setiap titis air matanya yang mengalir atau tercuit hatinya akibat dari perbuatan atau kata-kata yang kesat akan dilaknati Allah s.w.t. dan serta-merta akan menerima balasan daripada-Nya.

Retrospektif kisah Mariam dan anaknya Isa a.s. yang harus dijadikan teladan buat umat Islam pada hari ini. Betapa perit dan hibanya melahirkan anaknya Isa, sehingga beliau terpaksa bersandar pada pohon kurma, dan berkata,”Aduhai…alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan”. Allah s.w.t. sangat menyayangi hamba-Nya, lantas memerintahkan Jibrail, lalu menyerunya.”Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Allah s.w.t. telah menjadikan anak sungai dibawahmu dan goyanglah pangkal pohon kurma ke arahmu, nescaya pohon itu akan mengugurkan kurma yang masak padamu.”

Betapa sayangnya Allah s.w.t. kepada hamba-Nya, begitulah juga sayangnya ibu kepada anaknya. Daripada Ibnu Ma´sud, telah datang seorang A´robi (penduduk kampung) kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada Rasullulah s.a.w.

“Sesungguhnya aku mempunyai bapa, ibu, bapa dan emak saudara, saudara lelaki dan perempuan, datuk , nenek, dan saudara yang lain. Siapakah harus kudahulukan dalam membuat kebaikan kepadanya.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Berbuat baiklah pada ibumu dahulu, kemudian bapamu, dan saudara-saudaramu.”

Oleh hal yang demikian, berbaktilah, berilah kasih sayang kepada ibu yang entah berapa lama lagi sisa hidupnya di muka bumi ini. Ingatlah bahawa rumah orang tua-tua bukanlah tempatnya. Kawan-kawan dan isteri boleh dicari, tetapi ibu yang sejati tiada penggantinya. Sesungguhnya redha Allah terletak pada redha ibu bapa. Seringkali kita terlupa. Beribadah sehabis daya, namun kebajikan kepada ibu bapa telah kita lupakan. "Selamat Hari Ibu".

Demi malam apabila menutupi cahaya siang,
Dan demi siang apabila terang benderang,
Kalau ibuku masih ada,
Kandunglah aku semula..