Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.
Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:
“Perbuatan ini adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:
“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya , mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)
Jika majlis persandingan tersebut dibuat secara tertutup (di hadapan keluarga terdekat/mahram), ia diharuskan. Ini kerana ada di antara adat yang masih boleh dipulihkan mengikut acuan Islam atau memenuhi tuntutan syarak.
Tujuan asal majlis walimah ini ialah untuk memperkenalkan pengantin yang bergelar raja sehari kepada orang ramai.
Memang seharusnya mereka diperkenalkan sebagai pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi kebanyakan tetamu yang datang ke majlis walimah itu adalah bertujuan melihat dan menatap wajah pasangan raja sehari.
Namun di dalam majlis yang penuh kemeriahan dan bersejarah perlu di pastikan agar syariat Islam tidak tenggelam dalam lautan kegembiraan.
Apa jua bentuk upacara majlis persandingan boleh diadakan tetapi dengan syarat persandingan itu hanya dikhaskan untuk ahli keluarga yang mahram sahaja.
Tiada percampuran iaitu pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Tiada pembaziran dan tiada aktiviti-aktiviti yang melalaikan. Apatah lagi jika mengabaikan perintah Allah SWT dengan meninggalkan solat atas alasan sibuk melayan para tamu yang hadir.
Disebabkan manusia tidak mengambil berat terhadap syariat maka hilangnya keberkatan dalam sebuah perkahwinan. Ini kerana manusia lebih ghairah menggembirakan orang ramai dan tidak menggembirakan Allah SWT.
Itulah masalahnya; manusia hanya akan mencari Allah SWT ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit; dan melupai-Nya sewaktu dia senang dan gembira.
Jika bersanding telah dibuat secara tertutup yang dihadiri oleh kaum kerabat sahaja, jangan lah pula ada tangan-tangan yang telah mengambil gambar mereka bersanding dan mempamerkan dikhalayak umum seperti paparan di laman sosial. Sama sahaja mengundang tetamu untuk melihat mereka bersanding dipelamin itu. Maka gambar berdua bersanding tidak boleh dipamerkan dikhalayak umum.Wallahulam....