Thursday, August 5, 2010

Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapanya Memiliki Darjat Yang Istimewa.

 

Usair bin Jabir berkata:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murod, kemudian daripada Qarn?”

“Ya” jawab orang tersebut.

‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?”

Orang itu menjawab: “Ya.”

‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?”

Orang itu menjawab: “Ya.”.

Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.”Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.[1]

Demikianlah besarnya darjat seorang anak yang berbuat baik kepada ibunya sehingga jika dia bersumpah, nescaya sumpahnya dibenarkan oleh Allah. Jika dia meminta ampun kepada Allah untuk seseorang, nescaya Allah akan mengampunkan orang tersebut. Sebegitu besar darjatnya sehingga seorang sahabat yang mulia kedudukannya, yakni Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh, tidak melepaskan peluang untuk mencarinya dan memintanya untuk mendoakan keampunan untuk dirinya.

Hadis ini tidak terhad kepada Uwais bin ‘Amar, tetapi merangkumi sesiapa sahaja yang sentiasa beristiqamah berbuat baik kepada ibubapanya. Maka janganlah kita menganggap berbuat baik kepada ibubapa sebagai satu amalan yang lekeh atau rendah martabatnya. Sebaliknya hendaklah diketahui bahawa ia adalah sesuatu yang mampu mengangkat darjat kita ke maqam yang tinggi di sisi Allah dan manusia yang lain.

Rujukan

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2542 (Kitab Fadha’il al-Shahabah, Bab keutamaan Uwais al-Qarni).

[tweetmeme only_single="false"]