Monday, May 9, 2011

AL-TABARRUJJ (Bhgn 5)

 

image

SATU KEHINAAN

Sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru bila keluar dari rumah. Mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Ada pula kain bajunya terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan. Dengan perbuatan ini, seolah-olah mereka berkata-kata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membalut tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan langkahku dan siapa….?”

Sedarkah mereka bahawa perbuatan tersebut tak ubah langkahnya seperti penjual manik-kuran di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti memerhatikan. Jika tidak melihat, penjual sendiri datang menawarkan diri. Tapi sayang ……! Ramai pemerhati dari pembeli.

Andainya golongan ini berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu. Natijahnya, sudah pasti mereka akan menutup ‘aurat dan keindahan rupa paras mereka. Allah s.w.t ada berfirman yang bermaksud: “Hai Nabi ‘Alaihissalam, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang” (al-Ahzab: 59).

Sekitar ayat tadi, dapatlah difahamkan bahwa Allah s.w.t telah menjelaskan kedudukan wanita-wanita yang baik. Sebagai model untuk Muslimat semua, Rasulullah s.a.w menyuruh isteri-isteri dan anak-anak perempuan supaya mereka memakai jilbab (purdah).

Wahai wanita-wanita yang beriman! Hendaklah kamu semua berpakaian menutup ‘aurat. Setiap pergaulan dan percakapan mestilah berpandukan Islam. Dari aspek-aspek inilah dapat diukur sejauh manakah keimanan kamu dalam melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya.

Tanggungjawab yang anda semua lahirkan itu merupakan satu kaedah yang boleh menjadi tauladan kepada wanita-wanita yang lain. Di samping itu pula, dapat dibezakan di antara golongan yang beriman lagi beramal dengan golongan yang tidak beriman. Golongan beriman sudah tentu dihormati dan disegani oleh setiap golongan dan lapisan masyarakat.

Duhai belia-beliawanis Islam! Andainya pakaian dan tingkah laku anda tidak ada bezanya dengan penari-penari di kelab malam, atau pakaian kamu sama sahaja dengan pakaian wanita-wanita yang tidak beriman, di manakah letaknya bukti dan di manakah letaknya keperibadian sebagai wanita Islam? Iman terletak di hati sudah tentu tidak dapat dilihat. TETAPI penzahiran keimanan dapat dilihat dari amalan dan pakaian serta tingkah laku.

Bertudung kepala dan berpakaian menutup ‘aurat adalah di antara lambang wanita Islam. Perkara tersebut menjadi bukti di sisi wanita Islam dan melambangkan kemuliaan dan ketinggian moral serta budi pekerti mereka.

Awasilah diri kamu wanita-wanita Islam. Tutuplah ‘aurat kamu seperti yang disuruh oleh Allah dan RasulNya. Dengan tudung dan pakaian demikian kamu tak mungkin mengalami pandangan-pandangan liar, sindiran-sindiran yang tajam dan teguran-teguran sinis dari jejaka di kaki lima. Setiap jiwa dan anggota yang bersih, sudah pasti tidak rela dinodai. Berbeza dengan kaum wanita yang tidak beriman, jiwa raga mereka ini semua sudah jelas tidak bersih, sebab itulah kata-kata menyindir dan renungan yang tajam tidak terasa menghina. Jika kata-kata kesat seperti ini sudah terasa menyentuh perasaan mereka, tergoda sanubari, tentulah mereka sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk membeli alat-alat solek, pakaian-pakaian yang mendedahkan ‘aurat mereka. Bukankah perbuatan ini semua untuk dijadikan ‘Free Show’, tontonan bebas, siapa saja boleh melihat dan menatap dengan sepuas hati tanpa bayaran tertentu.

Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Oleh itu kenapakah kaum wanita rela menukarkan dari rupa paras yang normal kepada wajah yang berlainan dari yang asal. Apakah mereka belum berpuas hati dengan kejadian naluri yang ada pada mereka….?

Seorang sasterawana Perancis yang terkenal berkata: “Secantik-cantik seorang gadis ialah yang tidak menyedari kerupawanannya”. Si cantik manis lagi rupawan tidak akan berhajat kepada segala alat-alat solek kerana ia sudah berpuas hati dengan apa yang ada padanya. Tetapi kenapakah masih ada yang berpura-pura menampakkan kejelitaannya andainya ia tidak memiliki kecantikan seindah orang lain. Muka yang berkerut dan berbintil-bintil ditempel bedak. Bibir yang pucat digincu. Rambut yuang pendek bagai wanita Habsyi ditambah dengan ciptaan palsu. Yang panjang dipendekkan hingga sukar dikenali jantinanya. Buah dada yang kempes disarungkan dengan coli yang besar lagi tajam. Apakah dari tindakan yang kamu ada-adakan ini semua boleh menguntungkan?

Sebenarnya pemuda yang siuman lebih mengerti manakah gadis yang asli dan manakah pula gadis celupan. Walaupun ditampal dengan seribu jenis alat solek, namun rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia, kamu ditertawakan atau dipermain-mainkan orang, sedangkan di akhirat pula, kamu pasti menerima siksaan!

جﺮﺒﺘﻟا
Al-TABARRUJJ
Oleh: Ustazah Ni’mat Sidqi (Seorang Ulamak Wanita Mesir-1930M-Terjemahan)

 

[tweetmeme only_single="false"]